Category: Semasa

  • Wanita murung maut jatuh tingkat 13, tinggalkan nota derma organ

    Wanita murung maut jatuh tingkat 13, tinggalkan nota derma organ

    SEORANG wanita yang mengalami kemurungan ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Butterworth, Pulau Pinang kira-kira pukul 7 pagi tadi.

    Turut ditinggalkan oleh mangsa berusia 46 tahun itu di dalam biliknya adalah sekeping nota yang memaklumkan mahu pergi jauh dan meminta organnya didermakan kepada ahli keluarganya.

    Difahamkan mangsa tidak bekerja sejak kira-kira dua tahun lalu dan telah bercerai.

    Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, wanita itu mengalami kemurungan dan sedang dalam rawatan selain bergantung kepada ubat-ubatan.

    “Dia tinggal dengan keluarga di tingkat lima dan kejadian berlaku ketika semua sedang tidur.

    “Dia meninggalkan nota di dalam bilik menyatakan mahu pergi jauh dan jima mati, organnya boleh diberikan kepada ahli keluarga,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

  • [Video] Muhyiddin berselawat sempena Maulidur Rasul tarik perhatian

    [Video] Muhyiddin berselawat sempena Maulidur Rasul tarik perhatian

    SEMPENA sambutan Maulidur Rasul tahun ini, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghasilkan video khas bagi menyampaikan pesanan kepada umat Islam.

    Video yang turut memaparkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berselawat mendapat perhatian netizen.

    Setakat ini, ia mencatatkan hampir 30,000 tontonan, mendapat hampir 5,300 tanda suka.

    Dalam pesanan ringkasnya, Muhyiddin meminta umat Islam memperbanyakkan selawat ke atas baginda Rasulullah SAW .

    ‘’Tanamkan dalam diri setiap daripada kita rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW. Teladanilah amalan-amalan baginda dan insafilah perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam. Sesungguhnya Islam itu addin yang syumul lagi indah,’’ katanya.

    Beliau juga meminta umat Islam menjadikan selawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW sebagai sebahagian daripada amalan harian.

    ‘’Mudah-mudahan kita terlindung daripada segala keburukan dunia termasuk daripada wabak Covid-19 ini dan diberikan syafaat oleh Rasulullah SAW di akhirat kelak.

    ‘’Dan semoga kita terus diberikan kekuatan untuk berjuang memerangi Covid-19.Mudah-mudahan segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.Amin Ya Rabbal Alamin,’’ katanya.

  • Lelaki menyamar anggota polis, ‘lalok’ dan bergaduh ditahan

    Lelaki menyamar anggota polis, ‘lalok’ dan bergaduh ditahan

    SEORANG lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas terlibat dengan satu pertelingkahan di deretan rumah kedai di Taman TTDI Groove, Kajang, Sabtu lalu.

    Suspek yang tular dalam media sosial selepas pertelingkahan itu dirakam dan disebarkan, menyamar sebagai polis dan mengeluarkan kad kuasa palsu untuk melindungi dirinya dalam kejadian tersebut.

    Sebuah klip video berdurasi 50 saat tular dalam media sosial memaparkan suspek mendakwa dirinya bertugas di Balai Kajang dan mengaku berada di bawah pengaruh dadah.

    Menurut
    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pertelingkahan dipercayai berkaitan isu hutang sewa rumah membabitkan suspek sekitar pukul 2.29 pagi.

    “Kejadian tersebut dapat dileraikan orang awam dan dalam kejadian itu suspek seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengaku dirinya anggota polis serta mengeluarkan kad kuasa polis untuk melindungi diri.

    “Oleh kerana curiga pengadu dalam kejadian ini seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun telah menghubungi pihak polis untuk hadir ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati suspek menggunakan kad kuasa palsu dan ditahan oleh anggota polis peronda.

    “Hasil siasatan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah berjaya merampas beberapa peralatan polis iaitu sepasang baju operasi polis tertera nama suspek, kasut, tali pinggang, satu unit gari dan kad kuasa polis yang dirampas,” katanya.

    Menurutnya, suspek direman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan membabitkan kes penyamaran sebagai anggota polis melibatkan suspek sebelum ini.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menyamar polis dan memiliki barangan peralatan polis yang tidak sah di sisi undang-undang.

    “Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda,” katanya. – SB

  • Mohamad Shakir tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang

    Mohamad Shakir tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang

    HAKIM Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang tahun ini.

    Mohamad Shakir, 55, yang merupakan anak kelahiran Padang Menora, Tasek Gelugor itu membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000, sijil dan hadiah iringan.

    Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan secara maya dan hibrid menerusi aplikasi Zoom malam tadi.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

    Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Fuzi menggesa umat Islam di Pulau Pinang menghayati tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’.

    Menurut beliau, penerapan ‘manhaj rabbani’ itu merujuk kepada tiga elemen utama iaitu keilmuan, kerohanian dan aktivitisme atau gerakan dakwah berteraskan ‘amar makruf nahi mungkar’ dalam memangkin umat Islam berkualiti.

    Dalam masa sama, beliau turut menyeru umat Islam meneladani akhlak yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dalam setiap norma kehidupan.

  • Wanita pengsan semasa daki Bukit Tunggal

    Wanita pengsan semasa daki Bukit Tunggal

    SEORANG wanita yang melakukan aktiviti rekreasi sebelum mendaki Bukit Tunggal, Kampung Gajah, hari ini mengalami sesak nafas dan pengsan.

    Pengunjung yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak untuk bantuan.

    Jurucakap JBPM Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah menerima panggilan kecemasan jam 8.50 pagi.

    “Anggota bomba menaiki pacuan empat roda milik orang awam sejauh kira-kira 2.5 kilometer (km) dari kaki bukit untuk membawa turun mangsa.

    “Mangsa, 26, kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Operasi yang diketuai Megat Mohd. Dahari Megat Jamaludin itu tamat pukul 11.40 pagi.

  • Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    KEWUJUDAN pelbagai medium semasa khususnya media sosial, memberi impak positif dalam merancakkan program keilmuan dan dakwah, namun semua pihak termasuk asatizah (guru atau penceramah agama) perlu menjaga adab dan disiplin ilmu sebaik mungkin.

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau, hendaklah dielakkan dan ilmu yang hendak disampaikan perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam, agar ia tidak menimbulkan polemik berpanjangan.

    “Perkara ini bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri.

    “Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah disaran mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Meskipun tugas tersebut merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abdul Aziz berkata, Jakim juga ingin menasihati masyarakat khususnya umat Islam, agar mendapatkan ilmu daripada para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan.

    “Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.

    “Jakim memohon kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk sama-sama menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara. Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan, kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam,” katanya.

    Menurut Abdul Aziz, lanjutan itu, Jakim akan mengadakan ‘Multaqa Daie Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad’ pada 28 Okt ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

    “Program yang menghimpunkan para asatizah dalam negara ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan hubungan antara ulama dan umara ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya. – BERNAMA

  • Othman terima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul WP

    Othman terima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul WP

    AHLI Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Othman Mustapha dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.

    Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan dilakukan Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1443H itu adalah berdasarkan sumbangan cemerlang terhadap pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

    Othman ketika berucap menerusi rakaman video berkata beliau menganggap anugerah yang diterima itu sebagai amanah dan tanggungjawab beliau kepada agama dan negara, demi memastikan syiar Islam terus disemarakkan.

    Beliau yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata akan terus menyumbang kepakaran ilmu bagi membangunkan masyarakat Islam, khusus di Wilayah Persekutuan supaya mampu berdaya saing, progresif, dinamik dan bersatu berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    “Harapan saya semoga Islam terus dipandang mulia dan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, aman damai, serta selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Anugerah Khas Individu pula diberikan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim, manakala Anugerah Khas Organisasi bagi Kategori Masjid (Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan); Kategori Surau (Surau Jumaat Al-Hikmah Projek Perumahan Rakyat Beringin); dan Kategori Sekolah Rendah Agama atau Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) (SIRAJ Saidina Uthman bin Affan).

    Bagi kategori Institut Pendidikan Islam Swasta pula diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, selain kategori Badan Bukan Kerajaan diberi kepada Persekutuan Seruan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Jam’iyah).

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata, beliau mengajak agensi hal ehwal Islam terus bangkit bersama masyarakat, untuk membantu dan bina semula negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

    “Dalam konteks Wilayah Persekutuan, adalah menjadi harapan saya, agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama JAWI, terus melipatgandakan usaha memperkasa umat Islam dalam aspek pendidikan, sosioekonomi, kebajikan termasuklah aspek penyatuan dan perpaduan ummah,” katanya. – BERNAMA

  • Budak perempuan maut dibaham buaya semasa mandi sungai

    Budak perempuan maut dibaham buaya semasa mandi sungai

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dibaham seekor buaya ketika mandi bersama-sama rakannya di sebuah sungai di Teluk Kayeli, Pulau Buru, Lombok, Indonesia, Rabu lalu.

    Mangsa, Suci Ramadhani, diserang buaya berkenaan dan penduduk yang mengetahui kejadian itu bergegas ke sungai tersebut dan nampak kepala kanak-kanak itu terkeluar dari mulut haiwan berkenaan.

    Portal Tribunnews melaporkan, penduduk kemudian berjaya menikam buaya itu dengan tombak lalu membunuhnya.

    Namun, ketika perut buaya itu dibelah, mereka bagaimanapun tidak menemukan jasad kanak-kanak tersebut.

    Mayat mangsa hanya ditemukan pada awal pagi Jumaat, dua hari selepas kejadian.

    “Sungai ini memang diketahui dipenuhi buaya air masin.

    “Sekurang-kurangnya dua serangan buaya telah terjadi dalam 10 tahun terakhir,” kata pihak berkuasa.

  • Suzana cabar diri atasi gayat

    Suzana cabar diri atasi gayat

    PADA awalnya Suzanaeirne Zamri@Zambri merupakan seorang gadis yang takutkan ketinggian, namun kini beliau bebas terbang di udara menerusi sukan ekstrem iaitu luncur udara atau paragliding.

    Suzanaeirne, 23, atau mesra dipanggil Suzana berkata minat menceburi sukan luncur udara timbul apabila beliau begitu cemburu melihat paraglider lain menikmati sukan tersebut, sekali gus ingin membuktikan bahawa dirinya juga mampu meluncur seperti mereka.

    Pemegang Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak itu berkata sejak beliau menaiki tandem, iaitu paragliding dua orang dengan ‘pilot’ paragliding menerbangkannya di Bukit Maras, Terengganu dua tahun lepas lalu mula jatuh hati terhadap sukan itu.

    “Saya sememangnya seorang yang aktif bersukan sebelum kenal dengan sukan lasak ini. Saya baharu sahaja hendak menjinakkan diri dalam sukan ini namun kehadiran pandemik COVID-19 menyebabkan latihan saya terbatas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Mengimbau tujuannya menjalani latihan berkaitan sukan berisiko tinggi tersebut, Suzana berkata beliau mahu menambah baik kecekapannya supaya dapat melakukan aksi itu di pelbagai negara, kerana sukan lasak tersebut dikenali di seluruh dunia.

    “Saya berpeluang menjalani latihan dalam sukan paragliding selama sembilan hari di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir 2019 di bawah kendalian Prosky Academy Malaysia, Negeri Sembilan iaitu sebuah akademi paragliding di negara ini,” katanya.

    Suzana berkata pada awalnya beliau memilih untuk menjalani latihan di Malaysia, tetapi semasa menyatakan hasrat untuk terlibat dalam sukan tersebut, akademi berkenaan mengadakan kem latihan di UAE sekali gus memberikan dirinya peluang untuk mempelajari sukan itu di negara berkenaan.

    Beliau berkata pengalaman sembilan hari itu memberi manfaat kepadanya, kerana dapat mempelajari sukan tersebut di tempat dan cuaca berbeza.

    “Semasa di UAE, saya bermula dengan ‘zero basic’ di kawasan padang pasir. Apabila tamat latihan dan pulang ke tanah air, perbezaannya di sini (Malaysia) terdapat banyak pokok dan bukit yang merupakan cabaran dalam meluncur,” katanya.

    Menurut Suzana, beliau gayat apabila berada di tempat tinggi dan mencabar dirinya untuk menangani ketakutan itu, hingga mendorongnya berkecimpung dalam sukan berkenaan.

    “Pada waktu itu saya tidak terfikir untuk terbang secara solo, kerana saya ada masalah takut terhadap ketinggian. Saya pergi ke empat tapak paragliding di dalam negara dan dari situ timbul kelainan untuk cuba menyertai paragliding, serta mahu jadi seorang daripada mereka (paraglider lain),” katanya.

    Suzana yang merupakan seorang pengurus acara berkata komitmennya dalam sukan paragliding pada masa ini hanyalah sekadar separuh masa, kerana beliau mahu menumpukan kerjayanya sekali gus memastikan minatnya dalam sukan itu dan kerjanya seimbang.

    “Tiada yang mustahil bagi seorang wanita untuk berjaya dalam sukan paragliding ini yang merupakan satu daripada sukan ekstrem di dunia,” katanya. – Bernama

  • Diberkas selepas 6 jam rompak kedai emas

    Diberkas selepas 6 jam rompak kedai emas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BELUM sempat menjual emas dan perak yang dilarikan, seorang lelaki dicekup polis selepas dia disyaki memecah masuk sebuah kedai emas di Seberang Jalan Putra, Alor Setar, semalam.

    Kejadian pada mulanya disedari pemilik kedai emas berusia 46 tahun sebaik tiba di premis jam 9 pagi dan terkejut apabila mendapati pintu kedai pecah sebelum dia membuat laporan polis dua jam kemudian.

    Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati ada dua kesan cap jari dan polis turut merampas barang kes iaitu mangga serta gunting yang dipercayai digunakan suspek ketika memecah masuk kedai emas terbabit.

    Bagaimanapun, suspek ditahan di Jalan Raja, Alor Setar pada pukul 6.45 petang.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Raja dan semakan mendapati dia memliki 17 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

    Menurutnya, polis berjaya merampas pelbagai barang kemas dipercayai dicuri suspek yang terdiri daripada emas, perak dan jed.

    “Kita berjaya merampas 16 utas gelang tangan serta kaki, 52 cincin pelbagai bentuk dan warna serta 65 rantai perak serta hitam, 15 ‘bangle’, satu plastik mengandungi 25 set batu cincin, seutas gekang jed dan beg biru.

    “Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang jika didapati bersalah bileh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan ,” katanya.

    Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Sungai Petani, sebanyak 94 pemilik kenderaan dikenakan saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas yang dilakukan di Dataran Jam Besar diketuai Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari.

    Dalam operasi pukul 10 malam itu, pelbagai saman dikeluarkan terhadap 79 pemilik motosikal, 13 kereta dan dua van kerana kesalahan tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan ubahsuai nombor pendaftaran.

    Kamarul Zaman berkata, seramai 27 individu yang terdiri daripada pemilik, pekerja serta pelanggan turut dikompaun dalam Op Noda yang dijalankan di pusat hiburan di Taman Pekan Baru.