MAHKAMAH Majistret Port Dickson hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah pada Mac lalu.
Mohd. Shahril Samsudin, 35, mengaku salah di hadapan Majisteret, V. Vanita, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Sinar Harian.
Mengikut kertas pertuduhan pindaan, pada 13 Mac lalu, pukul 12.45 tengah malam di rumah tidak bernombor dekat Kampung Linggi, telah didapati dalam milikan tertuduh dadah berbahaya iaitu jenis heroin seberat 0.10 gram.
Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.
Bagi pertuduhan tambahan pertama dan kedua, pada tarikh, masa, dan lokasi yang sama, tertuduh telah didapati memiliki dadah jenis monoacetylmorphines seberat 0.01 gram dan methamphetamine seberat 0.17 gram.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
WALAUPUN menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan kehadiran pihak berkuasa, dua premis di Kajang yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian masih ‘tidak selamat’ malah digempur polis semalam.
Taktik tersebut tidak berkesan apabila diserbu dalam operasi Ops Dadu Khas bermula pukul 9 malam melibatkan 20 pegawai dan 42 anggota sebelum berjaya menahan sembilan individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Zaldino Zaludin berkata, polis telah menahan sembilan individu warga tempatan terdiri daripada tiga penjaga premis dan enam pelanggan.
“Pelbagai barang dipercayai digunakan untuk permainan judi online telah dirampas antaranya komputer riba, tablet, modem serta wang tunai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zaldino berkata, siasatan mendapati premis terbabit beroperasi dengan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk.
Selain dilengkapi pintu besi katanya, premis itu juga diawasi dengan CCTV untuk mengesan sekiranya ada serbuan dilakukan pihak berkuasa.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sepanjang tempoh baginda menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri berkata, segala pandangan, nasihat dan buah fikiran yang telah dizahirkan baginda telah banyak membantu dan sentiasa menjadi pedoman serta ingatan buat beliau dan rakan Jemaah Menteri dalam memastikan pentadbiran negara sentiasa berada di landasan tepat.
“Sememangnya inilah azam kerajaan baharu di bawah pimpinan patik pada hari tatkala mengangkat sumpah memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan warkah menjunjung kasih pada Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Dewan Bendahara, Istana Negara hari ini.
Sultan Nazrin menamatkan tugas menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.
Baginda yang melaksanakan tugas itu pada 18 Sept lepas akan menamatkan tugas berkenaan pada 12 tengah malam nanti.
Ismail Sabri berkata, beliau juga akan terus berusaha memulihkan permasalahan rakyat serta memantapkan ekonomi negara terutamanya berhubung hala tuju negara dalam era pandemik COVID-19.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dikurniakan taufik dan hidayah serta dilanjutkan usia untuk terus bersemayam atas takhta pemerintahan Perak dengan segala kemuliaan dan kedaulatannya. – BERNAMA
SEORANG peniaga ikan dan seorang penternak lembu dihadapkan keMahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas tuduhan membunuh rakan sekampung di Kampung Air Kuning Linggi, Port Dickson, pada pertengan bulan ini.
Harian Metro melaporkan, dua bersaudara itu, S. Vickna Raja, 32, dan R. Kalaichelvam, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret VVanita, bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didapati membunuh A. Kannan, 44, di sebuah pasar mini di Jalan Linggi Kampung Air Kuning Rantau, Port Dickson antara pukul 6.30 petang 12 Oktober hingga 8 pagi 13 Oktober lalu.
Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Paul Krishna Raja.
Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen Seremban, kedua-dua tertuduh didakwa di hadapan Hakim Madihah Harullah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki V. Arumugam, 70, yang juga ayah si mati dengan menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian dengan menggunakan parang.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di lokasi, masa dan tempat yang sama.
Berikutan itu kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Atiqah Abu Hassan.
Sebutan semula kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 8 Disember 2021 manakala pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan pada 25 November ini.
SEBUAH kapal kargo pukal yang berdaftar di Kepulauan Marshall ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, pagi semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo itu ditahan pada pukul 11.03 pagi di kedudukan 10 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi.
Katanya kapal yang ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram itu dikendalikan seramai 22 orang krew.
“Kesemua krew terdiri daripada warga Ukraine, Russia, Filipina dan Sri Lanka yang berumur antara 20 hingga 61 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Ekoran itu kapal serta semua krew ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Jelasnya, Maritim Malaysia menerusi Operasi Jangkar Haram akan terus memastikan perairan negeri Johor sentiasa terpelihara daripada sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran terutama di perairan Johor timur.
KERAJAAN hari ini membentangkan usul mengungkai ordinan-ordinan darurat bagi dibahas Ahli Parlimen dan digulung oleh kementerian berkaitan di Dewan Rakyat.
Ia meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.
Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan usul itu berkata, Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.
“Kerajaan akan memastikan pengungkaian ketujuh-tujuh ordinan ini tidak akan menjejaskan pengawalan ancaman pandemik demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Wan Junaidi berkata, Proklamasi Darurat dilaksana untuk membolehkan ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu dalam mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.
Ini kerana katanya gelombang ketiga wabak COVID-19 yang melanda negara bermula September 2020 menunjukkan peningkatan kes positif dan jumlah kematian naik begitu mendadak.
Beliau berkata, sehingga semalam, jumlah keseluruhan jangkitan adalah 2,426,050 kes dengan 77,305 kes aktif dan 28,354 kematian.
Wan Junaidi berkata, melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pengambilmilikan sementara tanah, bangunan dan harta alih telah dibuat untuk menempatkan dan menguruskan pesakit positif COVID-19 dan pesakit selain pesakit COVID-19.
“Bagi tujuan ini, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) di bawah milikan Universiti Kebangsaan Malaysia telah diambil alih,” katanya.
Selain itu, menurutnya sejak Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dikuat kuasa bermula 12 Mac hingga 7 Okt lepas, 30 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Ordinan itu bagi tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang didapati memuat naik atau menyebar berita tidak benar mengenai COVID-19 serta Proklamasi Darurat. – BERNAMA
SEORANG guru wanita dalam perjalanan ke sekolah maut apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di simpang tiga Alor Gajah Lama, di Melaka, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Sakura@Muna Sakura Muhammad Perang, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa difahamkan dalam perjalanan untuk bertugas di sebuah sekolah menengah di Durian Tunggal.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian lori dipandu lelaki berusia 43 tahun itu dalam perjalanan dari arah Krubong ke Nyalas, Jasin.
Kereta dipandu guru wanita berkenaan remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori
Sementara mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala dari Taman Nuri menghala ke Durian Tunggal.
“Berdasarkan hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah simpang cuba membelok ke kanan.
“Lori tanpa muatan itu yang kebetulan melalui lokasi kejadian, dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan kenderaan mangsa,” katanya.
Sakura@Muna Sakura Muhammad Perang
Susulan rempuhan itu, beliau berkata, kereta mangsa terseret sejauh lebih enam meter.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Alor Gajah, untuk bedah siasat.
“Kedua-dua kenderaan terbabit kemudian dibawa balik ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dihantar ke PUSPAKOM bagi tindakan lanjut,” katanya.
Hasan Basri berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
STRATEGI pemodenan dan pertanian pintar merupakan pemacu perubahan utama dalam menjayakan transformasi sektor agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.
“Dalam hal berkaitan, bidang Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini.
“Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0 ini,” katanya dalam rakaman ucapannya ketika melancarkan dasar berkenaan hari ini yang disiarkan melalui media sosialnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelas Ismail Sabri, DAN 2.0 dengan tempoh pelaksanaannya yang selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 bertujuan meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan negara dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.
“Keutamaan dasar kali ini ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan,” katanya dan menambah bahawa pertanian pintar juga merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Ismail Sabri berkata, fokus transformasi sistem makanan negara yang akan dilaksanakan melalui DAN 2.0 turut telah dibentangnya pada Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Sept lepas.
Mengulas sejarah pertanian negara, Perdana Menteri berkata sektor ini telah melalui beberapa proses transformasi sejak merdeka sehingga kini dan sepanjang 64 tahun ini, ia tidak pernah dipinggirkan dalam sebarang pelan pembangunan negara malah semakin ditumpukan.
“Misalnya pada 1974, buat julung kalinya kerajaan ketika itu melancarkan Rancangan Buku Hijau yang bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan. Usaha sedemikian diteruskan dari setahun ke setahun secara terancang.
“Ini termasuklah penggubalan Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) yang bertujuan menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat serta menjadikan sektor agromakanan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata, sistem makanan negara perlu terus diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan terutama sebagai persediaan menangani krisis global selain pandemik COVID-19 yang mungkin berlaku pada masa akan datang.
Ini menurutnya termasuk meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan.
Perdana Menteri berkata, melalui kerangka DAN 2.0 berserta dokumen pelan tindakan yang telah disediakan, sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.
Mengenai DAN yang dilancarkan sebelum ini, beliau berkata prestasinya ternyata begitu membanggakan.
Setelah dilancarkan, katanya sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara meningkat dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8 peratus pada 2020, peningkatan hampir 100 peratus berbanding pertumbuhan KDNK pada 2010.
Jumlah eksport bahan makanan menurutnya juga meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.4 peratus iaitu daripada RM18.1 bilion kepada RM33.7 bilion bagi tempoh yang sama.
“Ternyata sektor agromakanan hari ini memiliki nilai tambah yang berpotensi meningkatkan pendapatan di sepanjang rantaian peserta industri. Demi meneruskan kejayaan Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan pada 2011 itu, maka pada hari ini DAN 2.0 telah digubal,” katanya. – BERNAMA
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sudah membincangkan berkenaan 156 aduan membabitkan 62 syarikat produk susu formula bayi, makanan pelengkap bayi dan peralatan penyusuan dalam tempoh dua tahun lalu.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, syarikat terbabit sudah dikenakan tindakan penalti seperti amaran bertulis; penggantungan penapisan bahan untuk satu ke dua tahun; pemberitahuan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Syarikat berkenaan juga dikenakan tindakan pemberitahuan kepada Persatuan Antarabangsa Pengeluar-Pengeluar Makanan bayi; kenyataan akhbar dan terakhir, disenarai hitam bagi pelanggaran Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan yang diadukan.
“KKM sudah melaksanakan Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan sejak 1979 berdasarkan kepada International Code of Breast-milk Substitutes dan resolusi-resolusi World Health Assembly yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, matlamat pelaksanaan Tata Etika itu katanya, melindungi dan mempertahankan amalan penyusuan susu ibu serta melindungi ibu-ibu daripada pengaruh promosi dan pengiklanan produk berkaitan yang tidak beretika.
“Antara langkah yang diambil oleh Bahagian Pemakanan KKM bawah Tata Etika itu adalah melalui aktiviti pemantauan berterusan yang dijalankan di setiap negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Khairy berkata, KKM mengingatkan semua syarikat produk susu formula bayi, makanan pelengkap bayi dan peralatan penyusuan agar sentiasa mematuhi amalan etika yang ditetapkan dalam Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan.
KESEDARAN soal kesihatan mental perlu dititikberatkan dalam kalangan masyarakat khususnya ahli keluarga agar dapat dikesan lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil, titah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris, hari ini.
“Perhatian lebih berat perlu diberikan terhadap isu kesihatan mental kerana ia boleh dibantu dan kesan buruknya dicegah, bermula daripada kalangan ahli keluarga kita sendiri atau anggota masyarakat sekeliling kita.
“Saya berharap masyarakat menyedari bahawa ada badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa sedia menolong mereka yang merasa gelisah atau sedang menghadapi masalah-masalah peribadi melalui panggilan telefon, seperti Samaritan, misalnya,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Seminar Mind X dan Seminar Virtual Psikologi & Kaunseling Sempena Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat Negeri Johor yang diadakan secara maya di Johor Bahru.
Menurut Raja Zarith Sofiah, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan juga memberi kesan kepada kesihatan mental pelbagai lapisan masyarakat.
“Peraturan-peraturan ini, walaupun bertujuan melindungi kita daripada bahaya pandemik ini, turut dilihat sebagai kekangan yang menyukarkan kita menjalani kehidupan seharian yang telah biasa kita nikmati.
“Ramai dalam kalangan rakyat telah kehilangan kerja atau punca pendapatan dan menghadapi kesulitan kewangan. Keadaan ini amat mencabar, terutamanya dari aspek kesihatan mental,” titah baginda. – Bernama