Category: Semasa

  • Wanita bunuh ibu dibebaskan dari penjara Bali

    Wanita bunuh ibu dibebaskan dari penjara Bali

    SEORANG wanita warga Amerika Syarikat (AS) yang disabitkan kesalahan bersama-sama teman lelaki atas kes pembunuhan ibunya sebelum mayat mangsa disumbat dalam sebuah beg pakaian di sebuah hotel mewah Bali, Indonesia pada 2014, dibebaskan dari penjara, hari ini.

    Heather Mack dihukum penjara 10 tahun pada 2015 ketika berusia 19 tahun manakala kekasihnya, Tommy Schaefer pula dihukum penjara 18 tahun kerana membunuh Sheila von Wiese Mack yang ketika itu berusia 62 tahun.

    Schaefer yang juga seorang sosialis Chicago dipukul sehingga mati dengan menggunakan sebuah mangkuk buah dalam pertengkaran di hotel lima bintang tersebut.

    Pasangan itu didakwa kemudian meninggalkan beg baju berisi mayat mangsa dalam sebuah teksi dan melarikan diri tetapi berjaya ditangkap polis.

    Susulan itu, Mack yang sedang mengandung ketika kejadian, disabitkan kesalahan bersubahat dalam pembunuhan berkenaan.

    Ketua Bahagian Wanita Penjara Kerobokan di Bali, Lili memaklumkan bahawa Mack yang kini berusia 25 tahun, dibebaskan lebih awal dari penjara itu kerana berkelakuan baik.

    “Ketika dibebaskan, dia kelihatan agak terkejut dan beremosi. Dia juga dilihat teragak-agak serta takut, namun kami memberi semangat kepadanya,” katanya.

    Wanita itu seterusnya diserahkan kepada pegawai imigresen untuk menunggu dihantar pulang ke AS.

    Bagaimanapun, pegawai imigresen Bali enggan mengulas mengenai kes Mack atau bila wanita itu akan diterbangkan balik ke tanah airnya.

    Setakat ini, masih belum diketahui sama ada anak perempuan Mack yang kini berusia enam tahun dan dibesarkan di sebuah rumah kebajikan di Bali, akan turut dihantar pulang pada masa sama.

    Terdahulu, peguam Mack memberitahu AFP bahawa wanita itu tidak mahu anak perempuannya ‘dihantar pulang dan diburu oleh media (AS).’

    Pegawai penjara pula memaklumkan bahawa sejak pandemik Covid-19, Mack yang kini fasih berbahasa Indonesia dan Bali, hanya berhubung melalui video dengan anak perempuannya.

    Pada perbicaraan sebelum ini, Schaefer yang kini masih berada di penjara, mengaku membunuh mangsa tetapi mendakwa dia mempertahankan diri ketika bertengkar dengan von Wiese Mack yang marah kerana anak perempuannya hamil. – AFP

  • Tuntutan Kedah kepada Pulau Pinang bukan urusan Kon Yeow

    Tuntutan Kedah kepada Pulau Pinang bukan urusan Kon Yeow

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak sepatutnya masuk campur dalam urusan Kedah untuk menuntut bayaran royalti berjumlah RM100 juta bagi pajakan Pulau Pinang daripada kerajaan Persekutuan.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu langsung tiada kena mengena dengan Kon Yeow memandangkan permohonan tersebut dibuat kepada kerajaan Persekutuan.

    “Selama ini pun pembayaran royalti berjumlah RM10,000 dan sumbangan khas RM10 juta setahun dibayar oleh kerajaan Persekutuan.

    “Hal permintaan Kedah kepada kerajaan Persekutuan ini bukan urusan beliau,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat di sini, hari ini.

    Kelmarin Muhammad Sanusi dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco mendedahkan bahawa kerajaan negeri Kedah turut memohon kepada Kementerian Kewangan supaya tuntutan royalti Pulau Pinang dinaikkan kepada RM100 juta.

    Permintaan itu kemudiannya mendapat perhatian Kon Yeow yang menegaskan pendirian bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tetap bertegas tidak akan membuat sebarang pembayaran kepada Kedah.

    Malah Kon Yeow juga berkata, kerajaan Persekutuan tidak perlu melayan apa-apa tuntutan luar daripada perjanjian dan persetujuan sedia ada.

  • Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui tepi jalan

    Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui tepi jalan

    SEORANG lelaki yang dipercayai dibunuh ditemukan mayatnya di tepi Jalan Sungai Tua-Ulu Yam, Gombak, hari ini.

    Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi pihak polis pada pukul 8.30 pagi sebelum sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bergegas ke lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

    “Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan dipercayai dibunuh.

    “Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan, buat masa ini pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi.

    “Kita masih belum mengetahui sama ada dibunuh di kawasan lain atau sebaliknya, siasatan masih berjalan,” katanya dalam kenyataan.

    Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

  • Kerjasama UMNO: Pas Melaka tunggu Ahad, PN sedia hadapi segala kemungkinan

    Kerjasama UMNO: Pas Melaka tunggu Ahad, PN sedia hadapi segala kemungkinan

    prn melaka

    BERIKUTAN keputusan Majis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek menjelaskan bahawa keputusan berhubung tawaran itu akan hanya dibuat oleh Pas Pusat pada Ahad depan.

    Bagaimanapun tambahnya, Pas Negeri Melaka menzahirkan ucapan terima kasih atas tawaran yang diberikan UMNO itu.

    “Pada dasarnya Pas Negeri Melaka ucap terima kasih dengan perkembangan terbaharu dari UMNO.

    “Tetapi kami perlu tunggu daripada respon Pas Pusat..tunggu Ahad ini,” katanya kepada Astro Awani secara ringkas ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

    Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas pada PRN Melaka itu nanti.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor berkata, mesyuarat memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi PRN Melaka.

    Sementara itu,  Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata,  gabungan itu telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November ini.

    Selain itu kata beliau, Pas, Bersatu dan Gerakan juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam rundingan yang dijalankan.

    “Saya fikir kenyataan telah dibuat bahawa Pas adalah salah satu daripada komponen PN, (maka) tidak timbul isu memujuk ataupun apa kerana saya tengok komitmen Pas untuk bersama PN sentiasa berada di tahap tertinggi termasuk dari segi jentera.

    “Pelbagai program telah kita gerakkan (bersama) ke akar umbi dan rundingan kerusi juga insyaAllah ada sedikit sahaja lagi yang perlu diselesaikan dan kita akan umumkan sebelum penamaan calon nanti,” katanya di Melaka lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut mengenai keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO  untuk bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN), jelas Mohd Rafiq, PN sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan apa sahaja situasi.

    Malah PN Melaka, ujar Mohd Rafiq tidak menunggu siapa-siapa untuk menghadapi PRN Melaka.

    “Itu keputusan UMNO, jadi itu hak UMNO, kita Bersatu kita tidak boleh bercakap bagi pihak UMNO.

    “Kalau itu keputusan UMNO, kita Bersatu terima apa sahaja keputusan UMNO dan kita kena buat persiapan dan kita dah buat persiapan pun atas nama Perikatan Nasional Melaka.

    “Kita tidak pernah menunggu sesiapa, kalau rakyat boleh tengok sejak DUN dibubarkan, kita parti komponen PN antara Pas, Bersatu dan Gerakan kita telah buat persiapan kita,” jelasnya lagi.

    Kata beliau, PN sentiasa memperkukuhkan gabungan itu.

    “Pelbagai persiapan telah dibuat (dari sudut) jentera, mesyuarat bersama (komponen PN) telah dibuat dan rundingan kerusi juga insyaAllah ada sedikit lagi yang perlu diselesaikan.

    “Jadi saya fikir keputusan UMNO itu hak UMNO, bukan Bersatu untuk mengulas.. di pihak kita, kita konsisten akan bertanding atas PN.

    “Seperti mana diuar-uarkan (Pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin, itulah keputusan parti komponen dalam Perikatan Nasional untuk bertanding atas tiket PN,” katanya lagi.

  • Polis trafik dilanggar tidak buat laporan atas dasar simpati

    Polis trafik dilanggar tidak buat laporan atas dasar simpati

    ANGGOTA polis trafik yang dilanggar sebuah motor di susur Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke Persiaran Kewajipan tidak membuat sebarang laporan polis terhadap penunggangnya.

    Kejadian tersebut tular dalam media sosial semalam selepas video yang tular berdurasi 28 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan seorang anggota trafik dilanggar oleh penunggang sebuah motosikal.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, dalam kejadian pada jam 7.20 pagi itu, seorang anggota trafik sedang menjalankan tugas di lokasi telah dilanggar oleh penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang hendak memasuki susur tersebut.

    “Kedua-dua individu itu tidak mengalami kecederaan dan tiada kerosakan pada kenderaan.

    “Atas dasar simpati kepada penunggang motosikal tersebut dalam situasi yang dihadapi, maka anggota trafik terbabit tidak membuat sebarang laporan polis terhadap kemalangan yang berlaku sebaliknya meneruskan tugas di lokasi kejadian,” katanya melalui kenyataan.

    Abd. Khalid juga berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat terhadap kejadian yang menimpa anggota polis terlibat.

    “Semoga hubungan ini mencerminkan silaturahim yang erat antara polis dan masyarakat, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat,” katanya.

  • Tiga lelaki mengaku tidak bersalah ambil 43 tual balak

    Tiga lelaki mengaku tidak bersalah ambil 43 tual balak

    TIGA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan mengambil 43 tual balak di Kampung Perlak, Penyor, Pekan tanpa lesen pada Oktober lalu.

    Muhamad Saffrin Ahmad, 36, Ahmad Mustaim Muhamad, 30 dan Muhammad Taufik Hidayah Talib, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Shahrul Rizal Majid.

    Sinar Harian melaporkan, semuanya didakwa secara bersama-sama didapati mengambil 43 tual balak dari tanah kerajaan Pahang tanpa lesen.

    Semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Perlak, pada pukul 3.30 petang pada 21 Oktober lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang telah diterima pakai oleh Negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 dan boleh dihukum di bawah seksyen 15(2) Enakmen sama dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan dipenjarakan tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika didapati bersalah.

    Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Afidatul Azwa Kamarulanuar menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

    Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan kes pada 18 November depan.

  • Malaysia akan beli vaksin Pfizer untuk kanak-kanak – KJ

    Malaysia akan beli vaksin Pfizer untuk kanak-kanak – KJ

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, Malaysia akan melakukan pembelian vaksin Pfizer untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

    Perkara tersebut diumumkan beliau menerusi kenyataan dalam Twitter miliknya, hari ini.

    “Kita akan turut meneliti pilihan bekalan vaksin lain yang berada di pasaran seperti Sinovac untuk dimasukkan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kanak-kanak.

    “Menerusi keputusan panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat yang mengesyorkan suntikan Pfizer bagi individu berusia lima hingga 12 tahun, Malaysia akan teruskan usaha perolehan Pfizer untuk kanak-kanak.

    “Kita juga akan meneliti pilihan bekalan lain seperti Sinovac,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

    Selasa lalu, panel FDA mengesyorkan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, selepas penelitian agensi berkenaan mendapati manfaat suntikan pelalian itu melebihi risiko.

    Menerusi PICK Remaja, Malaysia merintis usaha pemberian suntikan vaksin kepada golongan terbabit yang berusia antara 12 hingga 17 tahun pada 20 September lalu.

    Dalam perkembangan lain, Khairy menyatakan keyakinan terhadap keputusan pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas liputan pemberian vaksin dalam kalangan remaja di negara ini semakin meluas.

    “Sebanyak 82.4 peratus daripada remaja di negara ini menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos, manakala 62 peratus mendapat dos lengkap.

    “Ini bermakna #PembukaanSemulaSekolah secara selamat,” katanya.

  • 27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dari China dirampas

    27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dari China dirampas

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas sebanyak 27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dari China yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.

    Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, produk yang dimuatkan dalam sebuah kontena itu ditahan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Selasa lalu.

    Menurutnya, tulang ikan tuna sejuk beku seberat 27,000 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM362,630 itu ditahan kerana komoditi yang dibawa masuk adalah berbeza dengan komoditi yang diisytihar pada Permit Import yang dikeluarkan Maqis.

    “Penahanan telah dibuat bagi tujuan siasatan lanjut,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tulang ikan tuna sejuk beku seberat 27,000 kg itu dianggarkan bernilai RM362,630

    Tambah kenyataan tersebut, pengikraran maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    Di bawah akta itu, mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

    “Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambahnya, Maqis sentiasa komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti serta selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

  • Kes Mitra:SPRM, KPN tubuh pasukan khas siasat

    Kes Mitra:SPRM, KPN tubuh pasukan khas siasat

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menubuhkan pasukan khas siasatan berkenaan penyelewengan peruntukan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

    Pasukan khas tersebut berperanan membuat semakan terhadap kira-kira 310 syarikat yang dikatakan menerima peruntukan di bawah RM1 juta yang akan melibatkan dua fasa siasatan.

    Menurut Harian Metro, fasa pertama yang memberi tumpuan kepada 27 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

    “Fasa kedua pula, SPRM akan bekerjasama dengan KPN untuk memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang menerima peruntukan di bawah RM1 juta.

    “Pasukan penyiasat sudah mengenal pasti 337 syarikat, persatuan dan NGO yang sudah diluluskan geran peruntukan Mitra sejak 2019 hingga tahun ini dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta,” katanya.

    Beliau berkata, pasukan siasatan kini sedang meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra sepanjang tempoh berkenaan.

    “Peruntukan paling tinggi yang diluluskan oleh Mitra ialah pada 2019 iaitu melebihi RM90 juta.

    “Ia diluluskan kepada kira-kira 205 syarikat, persatuan dan NGO. Daripada jumlah itu, terdapat syarikat memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta,” katanya.

    Katanya, pendekatan siasatan memberikan fokus kepada peruntukan melebihi RM1 juta berikutan kekangan bagi menyiasat kesemua 337 program yang disalurkan dalam peruntukan berkenaan.

    Menurutnya, pasukan siasatan sudah mengenal pasti syarikat penerima geran peruntukan di bawah RM1 juta dan akan memanggil mereka untuk siasatan lanjut termasuk mengemukakan bukti bahawa semua geran diterima itu dibelanjakan.

    “Setakat hari ini, seramai 18 pengarah syarikat sudah ditahan untuk membantu siasatan dalam kes berkenaan.

    “Daripada 10 syarikat yang disiasat setakat ini, 80 peratus daripadanya menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi,” katanya.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, siasatan akan diteruskan dengan maklumat baharu.

    Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa lagi pihak akan dipanggil termasuk mereka yang terbabit secara langsung dalam pemberian dana Mitra.

  • Kerajaan mohon lucut hak wang Alvin Goh, isteri Addy Kana

    Kerajaan mohon lucut hak wang Alvin Goh, isteri Addy Kana

    KERAJAAN memohon untuk melucut hak wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada ‘Datuk Addy Kana’, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Notis usul itu difailkan oleh pendakwa raya selaku pemohon secara berasingan pada 29 Sept lepas dengan menamakan Goh, 33, dan syarikatnya, Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd serta Alyaa, 34, dan syarikatnya, Nine Nine International Sdn Bhd selaku responden.

    Dalam notis usul itu, pendakwa raya memohon untuk melucut hak wang milik Goh berjumlah RM60,232.01 yang disimpan di dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Network Computer.

    Pendakwa raya juga memohon untuk melucut hak wang milik Alyaa berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

    Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari tahun ini didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan hari ini, mahkamah menetapkan 29 Dis ini untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak memaklumkan berhubung status penyiaran notis warta kepada pihak ketiga.

    Pihak ketiga berkepentingan perlu tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

    Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Goh diwakili peguam Lim Jin Wen dan Alyaa diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisyam. – BERNAMA