Category: Semasa

  • 2 maut, 6 cedera dalam kemalangan libat 4 kenderaan

    2 maut, 6 cedera dalam kemalangan libat 4 kenderaan

    DUA maut manakala enam cedera ringan dalam kemalangan melibatkan empat kereta di Km59 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan hari ini. 

    Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian kira-kira 2 petang itu menyebabkan seorang penumpang kereta Perodua Aruz, Nur Alya Fakhira Ariffen, 18, dan pemandu kereta Honda City, Mohd Said Husen, 67, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Toyota Hilux dari Kuantan menghala ke Segamat terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan Perodua Aruz tersebut.

    “Susulan itu, Perodua Aruz itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Nissan Almera dan Honda City yang mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu rosak teruk di bahagian depan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata pemandu Perodua Aruz dan Nissan Almera serta empat penumpang dua kenderaan itu hanya cedera ringan manakala pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – BERNAMA

  • Syed Saddiq, usahlah kecewa sangat…itulah politik

    Syed Saddiq, usahlah kecewa sangat…itulah politik

    PENULIS meneliti setiap patah perkataan ‘Surat Terbuka Kepada Sahabat Pakatan Harapan’ yang ditulis oleh Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

    Kalau membacanya, kita dapat merasakan betapa kecewanya Ahli Parlimen Muar itu apabila parti pimpinannya MUDA tidak dipertimbangkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, maka terpancul ayat ini;

    ‘’Meskipun segala apa yang telah kita lalui bersama, PH yang erat bekerja bersama saya dilihat cenderung untuk berunding dengan mereka yang tidak berprinsip, melompat keluar dari parti berbanding rakan dan sahabat seperjuangan, termasuk saya sendiri. Malangnya mereka lebih nampak nilai yang ada pada katak politik yang tidak ada prinsip.’’

    Ayat-ayat itu dizahirkan selepas empat para pertama dalam kenyataan tersebut, Syed Saddiq menyenaraikan ‘jasa’ dan ‘pengorbanan’ yang beliau lakukan.

    Ia termasuklah menyokong idea United Opposition dan menandatangani Akuan Bersumpah untuk Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selaras dengan semangat PRU-14.

    Syed Saddiq berhak berasa kecewa maklumlah selama ini beliau memang mempunyai hubungan rapat dengan Pakatan Harapan. Jadi beliau berharap dengan hubungan itu, apabila ada apa-apa pilihan raya, MUDA akan berada dalam bahtera yang sama dengan pakatan pimpinan Anwar tersebut.

    Tetapi malangnya itu tidak berlaku. Namun Syed Saddiq usahlah kecewa sangat…itulah politik. Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi pengajaran bahawa dalam politik ‘seninya cukup hebat’, bukan sekadar bijak berhujah, berdebat atau membuat Tik Tok sahaja, banyak lagi…

    Syed Saddiq kena belajar untuk hadam kenapa dalam politik, orang kata ‘’tidak ada musuh dan kawan yang kekal’’ – yang baik dengan kita belum tentu ada bersama selama-lamanya dan yang bermusuh dengan kita, belum tentu akan berperang dengan kita selama-lamanya.

    Selain itu, politik juga berkaitan soal bijak mengambil kesempatan tidak kira ke atas kawan atau lawan, apa yang penting ialah matlamat tercapai. Dan politik turut dikaitkan dengan perhitungan kuasa – siapa boleh beri untung, siapa tidak?

    Jadi semua inilah yang memungkinkan Syed Saddiq tidak termasuk dalam perkiraan Pakatan Harapan dalam pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Tak payahlah berhujah soal pengkhianat atau tidak, dalam politik mana ada istilah tersebut apa yang penting boleh menang pilihan raya dan mendapat kuasa.

    Kalau Syed Saddiq nak bercakap soal khianat mengkhianati lebih baik, beliau tubuh sahaja NGO (tu pun ada kes pengkhianatan). Ia kerana tafsiran pengkhianat dalam politik mengikut berlaku di pihak mana… siapa yang untung, siapa yang rugi.

    Jika kita dikhianati maka berdegar-degar berhujah soal pengkhianatan, tetapi apabila kita mengkhianati, tersembur pula hujah demi rakyat dan negara.

    Lagipun apa istimewa sangat MUDA sehingga parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu memberi laluan kepada parti itu di Melaka? Kalau MUDA istimewa dan boleh bawa kemenangan kepada Pakatan Harapan, sudah pasti DAP paling awal menawarkan kerusinya kepada Syed Saddiq kerana hubungan baik mereka.

    Tetapi mereka lebih tahu daripada Syed Saddiq. Gelanggang pilihan raya bukan macam dalam media sosial, ada banyak pengikut atau tanda suka, kita sudah boleh ‘berkepak’ rasa popular dan boleh menang dalam pilihan raya.

    Kalau parti yang bertahun-tahun berkawan dan bertanding pun ada masalah bila berhadapan pilihan raya, apatah lagi parti Syed Saddiq yang ‘bukan kata setahun jagung’, ‘benihpun belum tentu tumbuh lagi’.

    Lagipun Syed Saddiq ibarat ‘sekadar di pinggiran’, beliau bukan anggota rasmi Pakatan Harapan justeru usah la kecewa sangat. Belajarlah menguruskan parti sendiri untuk bertanding dalam pilihan raya dengan populariti dan kekuatan sendiri.

    Nasihat penulis kepada Syed Saddiq, daripada bermuram durja kerana layanan Pakatan Harapan, lebih baik Syed Saddiq tumpu kukuhkan kedudukan di Parlimen Muar yang khabarnya belum tentu beliau mampu pertahankannya dalam PRU-15.

  • Kejayaan Pelan Pemulihan Negara bolehkan sambutan Deepavali tahun ini berbeza – Muhyiddin

    Kejayaan Pelan Pemulihan Negara bolehkan sambutan Deepavali tahun ini berbeza – Muhyiddin

    HASIL pelaksanaan dan kerjasama rakyat dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara telah membolehkan sambutan Deepavali kali ini berbeza berbanding tahun lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, jika tahun lalu sambutan hanya diraikan bersama ahli keluarga di rumah sahaja kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan, tahun ini tidak lagi.

    ‘’ Kita sudah boleh beraya bersama ahli keluarga dan rakan-rakan namun dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Ini merupakan hasil pelaksanaan dan kerjasama anda semua dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    ‘’Jumlah populasi dewasa yang menerima dua dos vaksin lengkap sudah pun melebihi 95 peratus manakala sektor-sektor ekonomi dan sosial telah dibuka hampir sepenuhnya,’’ katanya dalam perutusan sempena Hari Deepavali, hari ini.

    Beliau berkata, usaha ke arah pemulihan negara tidak hanya boleh dilakukan oleh pihak kerajaan sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk pihak swasta dan rakyat .

    Kita bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita.

    Dengan pembukaan pelbagai sektor khususnya ekonomi, pastinya akan memberi lebih sinar kepada kita semua terutama golongan yang terjejas punca pendapatan mereka,’’ katanya.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau gembira melihat orang ramai sudah keluar berbelanja seperti biasa termasuk penganut agama Hindu yang keluar membeli-belah sebagai persiapan menyambut perayaan itu.

    ‘’Namun begitu, dalam kita meneruskan kehidupan seperti biasa dan meraikan apa sahaja perayaan, kita tidak boleh leka dan lupa bahawa virus Covid-19 masih lagi berada di sekeliling kita. Justeru kita perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua.

    ‘’Jika kita menerima tetamu atau berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan taulan sentiasalah beringat, pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal, elakkan bersalaman dan sentiasa mencuci tangan menggunakan sanitizer. Bagi yang bergejala, duduk di rumah dan ambil ujian saringan sebagai langkah berjaga-jaga,’’ katanya.

    Beliau berharap sambutan Deepavali yang lebih meriah pada tahun ini dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum dan agama, sekali gus mengukuhkan lagi kestabilan dan keharmonian negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

  • Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan

    Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

    Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka terhadap penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

    “Perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak (Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Penamatan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas. 

    Azuan Effendy berkata Al-Sultan Abdullah memberi perkenan itu selepas menerima menghadap Abdul Taib di Istana Negara semalam bagi menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri itu agar Proklamasi Darurat di Sarawak dapat ditamatkan.

    Pada hari ini, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara dan telah memberi sembah nasihat berhubung penamatan darurat itu pada sesi yang berlangsung selama satu jam, bermula 8 pagi.

    Al-Sultan Abdullah turut menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad, menyembah taklimat berhubung perkara sama, semalam.

    “Maka, setelah menimbang permohonon Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat YAB Perdana Menteri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan berkenaan, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan,” kata Azuan Effendy.

    Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan.

    “Pada hemat Seri Paduka, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan.

    “Perkenan Seri Paduka kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit. Namun, diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” kata Azuan Effendy.

    Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.

    Pada 31 Julai lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat diteruskan di Sarawak hingga 2 Feb 2022 susulan ancaman pandemik COVID-19, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri bagi tempoh berkenaan.

    Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri itu, DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran berkenaan.

    Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu, menyatakan Seri Paduka boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak. – BERNAMA

  • 118 penunggang p-hailing dikompaun langgar lampu merah

    118 penunggang p-hailing dikompaun langgar lampu merah

    SERAMAI 118 penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) dikenakan kompaun kerana melanggar lampu isyarat merah dalam Ops Merah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sejak 8 Oktober lalu.

    Mereka merupakan sebahagian daripada 236 penunggang motosikal yang dikesan melakukan kesalahan sama sepanjang operasi berkenaan yang akan dijalankan sehingga 7 November ini.

    Jumlah itu juga menunjukkan penunggang p-hailing berkenaan merupakan kumpulan pengguna jalan raya tertinggi yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah seperti mana yang sering menjadi rungutan banyak pihak sebelum ini.

    Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, antara alasan popular penunggang p-hailing berkenaan melanggar lampu isyarat merah meskipun menyedari risiko berlaku kemalangan kerana mahu mengejar trip melakukan khidmat menghantar makanan.

    Bagaimanapun jelas beliau, tindakan mereka itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut merisikokan pengguna jalan raya yang lain lebih-lebih lagi sekiranya berlaku nahas atau kemalangan.

    “Apatah lagi ketika ini keadaan jalan raya semakin sesak ekoran banyak aktiviti sosial seperti rentas negeri sudah dibenarkan, jadi kita perlu bertindak tegas dan tanpa kompromi mengeluarkan saman kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Ops Merah itu di Jalan Tenggiri, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan tambah Adenan, operasi yang sama setakat ini turut merekodkan sebanyak 537 kesalahan membabitkan penunggang motosikal di Pulau Pinang termasuk tiada lesen memandu membabitkan 142 kes.

    Kesalahan lain tambahnya, adalah melanggar isyarat lalu-lintas jalan sehala sebanyak 25 kes; tidak memakai topi keledar (27); memandu bawah umur (2); nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (79) serta lain-lain kesalahan (26).

  • 3,835 pegawai dan anggota bertugas di PRN Melaka

    3,835 pegawai dan anggota bertugas di PRN Melaka

    POLIS Melaka memberi jaminan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang dijadualkan bermula 8 November ini berjalan lancar terutamanya melibatkan aspek ketenteraman awam dalam tempoh pandemik Covid-19.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya turut mengenal pasti 16 lokasi panas di ketiga-tiga daerah di negeri itu yang akan dipantau menggunakan unit dron.

    “Polis kontinjen Melaka amat bersedia jika berlaku apa sahaja kemungkinan berkaitan ketenteraman awam. Maknanya latihan yang dibuat, bermula daripada latihan ketenteraman awam sehingga jika keadaan jadi tidak terkawal pengisytiharan darurat akan dibuat.

    “Semasa PRN ini juga, kontinjen Melaka mempunyai 17 pasukan ‘light strike force’ yang mana kita akan memastikan ketenteramana awam sepanjang PRN ini berjalan lancar supaya rakyat boleh keluar mengundi dan proses demokrasi itu juga berjalan lancar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Latihan Ketenteraamn Awam (POX) OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah di Banda Kaba di Melaka, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu beliau berkata, seramai 3,835 pegawai dan anggota polis termasuk 1,245 bantuan kontinjen luar Melaka digerakkan untuk membuat kawalan dan penugasan sepanjang tempoh PRN ini.

    Ujarnya, pasukan polis juga akan menggunakan empat unit dron bagi memantau lokasi-lokasi panas selain bantuan dari Unit Pencegahan Rusuhan, Pasukan Gerak Am (PGA) dan Unit pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

    “Daripada penilaian yang dibuat ketika ini kita dapati terdapat 16 kawasan yang dipanggil ‘hot spot’ yang mana akan diberi tumpuan utama oleh polis dan kita akan gunakan unit drone untuk membuat penilaian tentang keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Apabila ada drone penugasan dan persediaan kita lebih mudah, selain pandangan lebih jauh dan kita sebenarnya akan buat pengawasan di semua kawasan tetapi lokasi-lokasi panas akan diberi tumpuan lebih,”katanya.

    Tambah beliau, cuti tahunan pegawai dan anggota polis Melaka turut dibekukan bagi menghadapi PRN ini.

  • Pertembungan di 22 kerusi DUN majoriti Melayu jadi tumpuan

    Pertembungan di 22 kerusi DUN majoriti Melayu jadi tumpuan

    prn melaka

    TEKA teki lambang yang digunakan Pas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhirnya terjawab, dengan parti itu semalam memutuskan untuk bertanding atas tiket dan logo Perikatan Nasional (PN).

    Keputusan itu juga menyaksikan buat kali kedua Pas yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan didaftarkan sebagai parti politik pada 31 Mei 1955, bertanding dalam proses demokrasi negara tanpa menggunakan lambang sendiri, meskipun telah menyertai pelbagai gabungan politik antaranya Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah, dalam pilihan raya sebelum ini.

    Kali pertama Pas tidak menggunakan lambangnya adalah pada Pilihan Raya Umum keempat (PRU4) pada 1974 dan bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN), sebelum parti Islam itu meninggalkan BN pada 1977 dan bertanding sebagai pembangkang pada Pilihan Raya Umum 5 yang diadakan pada 1978.

    Pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, PN dan Pakatan Harapan (PH), bukanlah perkara yang mengejutkan bahkan sudah dijangka ramai pihak sejak awal lagi, susulan kegagalan mencapai kata sepakat antara BN dan PN.

    Namun di sebalik pertembungan itu, apa yang menarik diperhatikan adalah penentuan di 22 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu, yang dijangka sengit oleh pemerhati politik.

    UMNO pada PRN Melaka ini yakin mampu mempertahankan 13 kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, dan menyasarkan dua lagi kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, namun dalam landskap politik semasa adalah sukar untuk menyaksikan sebuah parti itu menjadi parti dominan.

    Majoriti mudah bagi membentuk kerajaan adalah 15 kerusi dan BN pada PRU14 menang di kerusi DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

    Malah terdapat juga cakap-cakap politik kononnya Pas akan bertanding di enam kerusi, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lapan kerusi dan keadaan ini mungkin telah membawa kepada kegagalan mencari titik temu, membabitkan BN dan PN.

    Meskipun ada pihak meramalkan bahawa bahawa kerjasama Pas dengan Bersatu akan menyebabkan kedua-dua parti itu kecundang, namun tindakan Pas untuk menggunakan lambang PN, seolah-olah memberi isyarat bahawa terdapat formula kebolehmenangan ditemui.

    Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata keputusan Pas itu mungkin didorong dengan kelebihan bertanding lebih banyak kerusi, berbanding pakatan bersama UMNO.

    “Walaupun matlamat kemenangan adalah agenda utama, namun menyedari pengaruh mereka kurang berbanding UMNO dan PH, saya lebih melihat ia sebagai satu cara untuk menguji kekuatan, dan satu peluang pemasaran politik yang sukar untuk dilepaskan oleh Pas.

    “Melihat kepada trend semasa, pertembungan tiga penjuru itu tidak dapat dielakkan namun meskipun PH dilihat berpeluang pada PRN kali ini, harus diingat bahawa pakatan itu juga mempunyai masalah dari segi menetapkan siapa bakal ketua menteri dan pada masa yang sama, isu penerimaan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang melompat keluar,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Dengan keputusan Pas itu, Che Hamdan berkata Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori Pas dan UMNO yang sebelum ini menyaksikan pelbagai kejayaan ditempa dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil semakin goyah, namun keadaan itu boleh berubah bergantung kepada keputusan PRN berkenaan.

    “Pas dan UMNO mungkin akan menguatkan MN apabila mereka menyedari bahawa untuk pilihan raya umum akan datang, mereka tiada pilihan lain (untuk menang),” katanya.

    Pada PRU14, PAS yang bertanding di 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN di Melaka dengan 10 calon hilang deposit, kalah di semua kerusi yang ditandingi berbanding PRU13, bertanding di 13 kerusi dan menang satu iaitu di DUN Bukit Baru.

    Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan keputusan Pas itu sebagai kejutan memandangkan parti itu sangat sensitif dan tidak berkompromi soal identiti parti sebelum ini.

    “Saya melihat ia langkah berani Pas untuk mengetepikan logo parti kerana selama ini Pas sangat pertahankan lambang yang menjadi identiti parti dan keputusan itu sudah pastinya telah mengambil kira pandangan akar umbi parti.

    “Mungkin ini satu perjudian Pas untuk berhadapan dengan PRN Melaka dan sekiranya Pas tidak mendapat keuntungan atau kalah, mungkin Pas akan mengkajinya semula,” katanya dan tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan itu akan membawa kepada undi protes dalam kalangan penyokongnya seperti mana yang berlaku ketika kerjasama parti itu dengan DAP dan PKR sebelum ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

    PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. 

    Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA

  • UUM dalam kedudukan kelompok 100 universiti terbaik

    UUM dalam kedudukan kelompok 100 universiti terbaik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BUAT julung-julung kalinya, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya berada dalam kedudukan kelompok 100 universiti terbaik di bawah penarafan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2022 yang diumumkan petang semalam.

    Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, pencapaian universiti itu melonjak ke kedudukan ke-98 berbanding 107 pada tahun lalu.

    Katanya, ini merupakan penpcapaian terbaik universiti tersebut dan ia sekali gus membuktikan bahawa UUM berada di kedudukan tepat sejak bermulanya Pelan Strategik UUM 2011.

    “Lonjakan demi lonjakan secara konsisten yang ditunjukkan saban tahun merupakan usaha bersama warga universiti yang patut dibanggakan.

    “Bukan mudah untuk berada dalam kedudukan 100 terbaik Asia ini kerana ia melibatkan reputasi sesebuah universiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Haim Hilman yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM berkata, penarafan itu juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa kualiti kurikulum dirangka UUM turut mendapat kepercayaan ahli akademik luar .

    “Itu sekali gus menunjukkan kualiti kurikulum UUM merupakan antara yang terbaik dan terjamin sekali gus memberi keyakinan kepada majikan terhadap kualiti siswazah dihasilkan,” katanya.

  • Mahkamah benar Najib pinda tarikh pasport ke Singapura

    Mahkamah benar Najib pinda tarikh pasport ke Singapura

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya ke Singapura selepas mendapati bekas perdana menteri itu telah mengemukakan alasan munasabah dalam permohonannya.

    Tiga panel hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata, mahkamah tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk meluluskan permohonan itu sekiranya tiada alasan munasabah diberikan.

    “Mahkamah telah membaca permohonan pemohon (Najib) dan afidavit sokongan. Saya percaya alasan diberikan pemohon adalah munasabah dan disebabkan itu, pihak pendakwaan tidak membantah. Jika tiada alasan munasabah, mahkamah akan disalah tanggap dan dilihat sewang-wenangnya memberi kebenaran.

    “Saya juga mengingatkan bahawa tiada alasan kali ketiga diberikan oleh pemohon. Kali pertama, alasan untuk melawat anak perempuan bersalin di Singapura dan hari ini, permohonan kali kedua untuk membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    “Namun, setelah mempertimbangkan alasan munasabah diberikan, mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasportnya perlu dikembalikan kepada mahkamah pada atau sebelum 6 Dis ini,” kata Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Najib, 68, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah dari 20 Okt sehingga 22 Nov kepada 25 Okt sehingga 6 Dis ini bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan melahirkan anak kedua, dua hari lepas (Isnin).

    Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata, beliau juga diamanahkan untuk membantu jentera UMNO menghadapi PRN Melaka pada 20 Nov ini memandangkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa itu, akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang.

    Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu panel, jadual perjalanan Najib ke Singapura terpaksa diubah kerana beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Ahmad Zahid ketika PRN Melaka.

    Katanya, permohonan untuk meminda tarikh itu sudah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes jenayah dihadapinya.

    Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak membantah permohonan itu.

    Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

  • Bajet 2022 utamakan kebajikan rakyat – Ismail Sabri

    Bajet 2022 utamakan kebajikan rakyat – Ismail Sabri

    BAJET 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas mengutamakan kebajikan rakyat yang teruk terjejas berikutan pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, keputusan kerajaan membentangkan bajet berjumlah RM332.1 bilion itu dilakukan selepas mengambil kira semua keadaan termasuk kedudukan kewangan negara.

    “Saya telah beritahu sewaktu pra-bajet bahawa bajet ini mengambil kira semua dan kebajikan rakyat adalah amat penting, rakyat telah susah selama setahun dua ini akibat pandemik, ada yang kehabisan wang simpanan.

    “Oleh itu, kita beri bantuan tunai kepada rakyat untuk bantu mereka teruskan kehidupan, bantuan turut diberi kepada syarikat-syarikat mikro yang terjejas teruk kerana tidak boleh menjalankan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Bukit Jalil, di sini.

    Ismail Sabri mengakui bahawa Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas menelan belanja yang besar.

    “Memang benar kita berbelanja besar, kerana kita perlu jaga kebajikan rakyat, saya yakin Kementerian Kewangan akan menguruskan perbelanjaan ini dengan baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam di Dewan Rakyat bahawa Bajet 2022 terlalu besar dan memberi kesan buruk terhadap kewangan negara.

    Sementara itu, Ismail Sabri turut menafikan Bajet 2022 bersifat perkauman seperti didakwa oleh Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

    Ismail Sabri berkata, dalam bajet yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terdapat peruntukan yang disalurkan kepada kaum Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

    “Saya rasa dia tidak faham mungkin dia tidak baca bajet berkenaan, apa-apa pun menteri kewangan akan jawab dengan lebih lanjut di Dewan Rakyat nanti,” katanya.

    Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. – BERNAMA