Category: Semasa

  • 26 ditahan berparti liar di kondo mewah

    26 ditahan berparti liar di kondo mewah

    REMAJA berusia 13 tahun merupakan antara 26 individu yang ditahan polis ketika sedang berhibur dalam parti liar di sebuah kondominium mewah yang disewa mereka di Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.

    Malah, mereka sanggup berkongsi duit dengan bayaran RM30 bagi perempuan dan RM50 bagi lelaki untuk menyewa kondominium mewah berharga RM500 semalam itu semata-mata untuk berhibur.

    Bagaimanapun, keseronokan kesemua mereka yang terdiri daripada 15 lelaki dan 11 perempuan berusia antara 13 hingga 21 tahun itu terbantut selepas parti liar terbabit diserbu polis kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, operasi itu dilakukan selepas polis menerima maklumat awam berhubung parti dengan alunan muzik kuat di kondominium terbabit.

    Sehubungan itu jelasnya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kemudiannya bertindak menyerbu kondominium mewah terbabit.

    “Siasatan awal mendapati kesemua mereka merupakan kenalan masing-masing dan menyewa Kondominium tersebut untuk sehari menerusi laman sosial untuk mengadakan parti liar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, serbuan itu turut disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Timur Laut.

    Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan keatas semua peserta didapati kesemua mereka negatif dadah dan pihak polis turut merampas peralatan sistem audio yang digunakan untuk berparti.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya) dan Peraturan 17(1) Peraturan Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) (No 2) 2021,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti liar berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama sama orang ramai dalam menyampaikan kegiatan jenayah kepada pihak polis.

  • Lelaki Bangladesh keluarkan kenyataan berbaur perkauman ditahan

    Lelaki Bangladesh keluarkan kenyataan berbaur perkauman ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Bangladesh yang bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di platform Tik Tok mengundang padah setelah dicekup polis di Jalan Kempas Batu 7 1/2, Jalan Bakri, Muar, semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam ketika berada di tepi jalan.

    Katanya, polis Muar telah menerima satu laporan polis berkenaan video yang tular dalam media sosial oleh suspek yang mengeluarkan kenyataan agama Hindu, Muslim dan perayaan Deepavali.

    “Tindakan lelaki warga asing itu boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat keamanan awam.

    “Pada hari yang sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah berjaya menangkap suspek terbabit di tepi jalan.

    “Hasil siasatan mendapati permit suspek telah tamat tempoh dan telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, tular video lelaki berkenaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam media sosial Tik Tok namun didapati video itu tidak dapat dikesan dan dipercayai sudah dipadam.

    Ayob Khan memberitahu, suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

    Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    “Semua masyarakat diingatkan supaya menghormati perpaduan kaum di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, jangan bawa masuk budaya-budaya luar.

    “Jika ada pekerja asing bawa fahaman asing untuk pecah belah keharmonian kaum, tindakan tegas akan dikenakan tanpa tolak ansur,” katanya.

  • Mas Ermieyati ‘lawan’ Rauf di Tanjong Bidara, Pas tanding  lapan kerusi

    Mas Ermieyati ‘lawan’ Rauf di Tanjong Bidara, Pas tanding lapan kerusi

    prn melaka

    AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin akan berhadapan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan antara 28 calon yang akan mewakili Perikatan Nasional bertanding di pilihan raya berkenaan. Pengumuman calon Perikatan Nasional  oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menarik perhatian apabila Pas diberikan lapan kerusi manakala Gerakan pula lima kerusi.

    Lapan kerusi yang akan ditandingi oleh Pas ialah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau. DUN Duyong akan diwakili oleh Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik.

    Parti Gerakan pula akan mencuba nasib di DUN Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Machap dan Bandar Hilir.

    Bersatu pula akan bertanding di 15 kerusi dengan menyaksikan Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen bertukar kawasan dari DUN Paya Rumput ke Telok Mas.

    Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi Telok Mas dimenangi oleh Datuk Noor Effandi Ahmad yang mewakili Bersatu ketika parti itu bersama Pakatan Harapan.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Dr.Mohd Yazril Yaakub pula akan bertanding di DUN Bemban yang dimenangi oleh DAP pada PRU-14 dengan majoriti 1,345 undi.

    Muhyiddin dalam ucapannya berkata, dari segi latar belakang calon, 43 peratus adalah golongan profesional dan berpendidikan tinggi.

    ‘’Dari segi komitmen untuk berkhidmat sepenuhnya demi kepentingan kebajikan rakyat 100 peratus.

    ‘’Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat tetapi kita mempunyai komitmen yang tinggi apabila diberikan mandat oleh rakyat, kita mesti melakukan yang terbaik. We will deliver to the best of our ability and we will ensure that no one will left behind,’’ katanya.

    Beliau berkata, rekod Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara boleh dijadikan rujukan utama oleh pengundi negeri Melaka.

    ‘’Kita prihatin kepada nasib rakyat dan melaksanakan apa juga perkara yang boleh membantu rakyat menghadapi waktu yang paling sukar dalam hidup mereka.

    ‘’Saya tidak berniat mendabik dada tetapi lihatlah kejayaan yang kita capai hari ini dalam pengurusan pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

    ‘’ Inilah buku rekod kita yang akan kita bentangkan kepada rakyat negeri Melaka sebagai panduan untuk mereka membuat pilihan yang terbaik,’’ katanya.

  • Ah long maut ditetak depan dua anak

    Ah long maut ditetak depan dua anak

    SEORANG ah long maut ditetak depan dua anaknya dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang awal pagi ini.

    Orang awam yang melihat kejadian tersebut kemudian menghubungi pihak polis pada pukul 12.34 pagi.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa berumur 47 tahun itu datang ke restoran berkenaan bersama-sama dua anaknya yang masing-masing berumur 10 dan 18 tahun.

    “Selesai makan sekitar pukul 12.20 pagi, mangsa dan dua anaknya berjalan kaki ke kereta jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan.

    “Ssebaik hendak membuka pintu kereta miliknya, mangsa didatangi tiga individu bersenjatakan parang sebelum dua daripadanya bertindak menetak mangsa.

    “Mangsa kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati terdapat empat suspek terlibat dalam kejadian tersebut, seorang daripadanya dipercayai pemandu yang menunggu dalam kereta di belakang kereta mangsa di tepi jalan raya menghala keluar ke Persiaran Batu Nilam.

    Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, siasatan turut mendapati mangsa bekerja sebagai pemberi pinjaman wang atau ah long yang mempunyai pejabat di kawasan Bukit Tinggi Klang, Shah Alam dan Kajang.

    Beliau berkata, mangsa turut didapati mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

    “Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Cuepacs gesa segera laksana gaji minumum penjawat awam RM1,800

    Cuepacs gesa segera laksana gaji minumum penjawat awam RM1,800

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya segera melaksanakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang baharu bagi memastikan gaji minimum diperoleh 1.6 juta penjawat awam selaras dengan kos sara hidup masa kini.

    Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, kadar gaji minimum RM1,200 sebulan yang ditetapkan sejak 2002 sehingga kini tidak sesuai dengan keadaan sekarang dan dicadangkan dinaikkan RM1,800 sebulan.

    Beliau berpendapat, sistem SSM sedia ada itu sudah tidak praktikal atau relevan untuk digunakan lagi.

    “Justeru, sistem saraan yang baharu perlu diwujudkan untuk menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa setimpal dengan kos perbelanjaan harian. Gaji minimum perlu berubah setelah harga barangan meningkat berkali-kali sejak beberapa tahun lalu.

    “Cadangan gaji minimum RM1,800 ini bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi dan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Kursus Kepimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, jika kerajaan tidak mengubah kadar sedia ada, sasaran itu tak mungkin akan dapat dikecapi dengan gaji penjawat awam ketika ini.

    Menurutnya, gaji permulaan sektor kerajaan RM1,200 sebulan pada masa ini tanpa mengambil kira elaun lain jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

    Berkenaan aduan berkaitan penjawat awam yang tidak terima vaksin, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung perkara tersebut.

    “Penjawat awam harus divaksin dalam memberi keselesaan terhadap persekitaran tempat kerja yang selamat dan selesa,” ujarnya.

    Pihaknya bersetuju Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan terhadap kakitangan yang tidak mahu mengambil suntikan.

    “Ketua JPA masing-masing disarankan memanggil mereka yang berkaitan. Jika didapati tidak boleh divaksin, dapatkan surat pengesahan dari pengamal perubatan, namun jika enggan tanpa alasan munasabah, adakan perjumpaan seperti sesi kaunseling lanjutan,” katanya.

  • Pesara tentera, pekerja farmasi ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

    Pesara tentera, pekerja farmasi ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

    SEORANG pesara tentera dan pekerja farmasi mengalami kerugian masing-masing RM6,000 dan RM2,589 pada 3 dan 4 November lalu, selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pesara tentera, 39, kerugian RM6,000 selepas tertarik dengan satu pinjaman peribadi menerusi Facebook.

    “Mangsa kemudian menghubungi seorang wanita dikenali Jenifer Wong untuk membuat pinjaman berjumlah RM20,000.

    “Pesara tentera itu kemudian diarahkan memasukkan sejumlah wang bagi urusan pinjaman dan membuat sebanyak enam kali pembayaran secara dalam talian pada 3 dan 4 November.

    “Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas dia diminta membuat pembayaran sekali lagi sebanyak RM2,000 bagi membuka akaun pinjaman berkenaan.

    “Semakan polis mendapati akaun bank yang digunakan oleh suspek sudah mempunyai rekod penipuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kejadian berasingan, Chang Hook berkata, seorang wanita yang juga pekerja farmasi berusia 30 tahun, turut menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud selepas berurusan dengan syarikat dari Klang, Selangor yang ditemui menerusi enjin carian Google.

    Katanya, mangsa yang berminat untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM5,000 itu kemudiannya berhubung dengan seorang wanita, sebelum diarahkan membuat pembayaran bagi memproses pinjaman.

    “Pada 4 November, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam dua akaun bank berjumlah RM2,589.

    “Dia kemudiannya diminta untuk memasukkan lagi RM1,800, namun tidak diendahkan mangsa yang menyedari sudah ditipu,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan Batu Kikir bagi tindakan lanjut.

    Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • PGA tumpaskan sindiket seludup PATI

    PGA tumpaskan sindiket seludup PATI

    BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) didalangi seorang tekong darat warga tempatan tumpas di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor, semalam.

    Menerusi Op Benteng Covid-19 tersebut, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 5 pagi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Rizal Mohamed berkata, hasil pemeriksaan lanjut membongkar kegiatan penyeludupan itu.

    “Kita berjaya mengesan seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada 38 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rizal berkata, operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu mendapati kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut menggunakan bot.

    “Turut dirampas sebuah kenderaan, dua unit telefon bimbit serta wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM61,400,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Permerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

    “Kesemua tangkapan akan menjalani ujan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas polis,” jelasnya.

  • Rayu bina 40 rumah baharu keluarga Orang Asli

    Rayu bina 40 rumah baharu keluarga Orang Asli

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KIRA-KIRA 40 keluarga dari Kampung Orang Asli Teluk Jawa di Pasir Gudang merayu kerajaan membaiki atau membina rumah baharu untuk kerana keadaan kediaman sedia ada yang sudah rosak dan usang.

    Seorang penduduk, Awie Mee, 39, berkata, rumah mereka perlukan kediaman baharu bagi memastikan dapat tinggal dengan selesa dan selamat.

    Awie Mee

    Dia mendakwa, permohonan untuk membaiki rumah mereka sudah dimohon kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sejak lebih 10 tahun lalu tetapi tiada jawapan sehingga kini.

    “Namun ada pihak yang bermurah hati memberi sumbangan zink untuk menggantikan atap rumah kami yang sudah bocor. Rumah kami sudah usang dan jika kerajaan tidak mampu bantu, dapat memberikan peruntukan tiang konkrit pun sudah memadai,” katanya.

    Awie berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menyampaikan pakaian terpakai kepada penduduk kampung tersebut, hari ini.

    Bapa kepada empat anak dan merupakan seorang nelayan itu berkata, semua rumah di kampung itu menggunakan tiang daripada kayu bakau untuk struktur utama rumah dan perlu digantikan pada setiap tahun.

    Menurut Aiman Majid, 35, ketika ini banyak kawasan hutan bakau sudah dimajukan dan penduduk mempunyai kesukaran untuk mendapatkan kayu berkenaan bagi menggantikan tiang lama di rumah mereka.

    Aiman Majid

    “Kita memerlukan kira-kira 40 batang tiang daripada kayu bakau pada setiap tahun untuk menggantikan tiang sedia ada. Kalau kerajaan dapat memberi bantuan tiang konkrit, ini akan bertahan lebih lama dan tidak perlu menukar tiang kayu bakau setiap tahun,” katanya.

    Noraisyah Abdullah, 32, yang juga seorang nelayan mahukan kerajaan membaiki titi kayu yang menjadi penghubung antara rumah ke rumah di kampung tersebut kerana struktur sedia ada sudah rosak dan berlubang.

    Noraisyah Abdullah

    “Saya dan suami terpaksa mengutip kayu dan papan yang dibuang untuk digantikan pada laluan titi yang sudah rosak. Selain itu diharap kerajaan dapat menyediakan tempat pembuangan sampah atau tong sampah. Ketika ini penduduk membuang sampah ke dalam laut,” katanya.

    Yati Mee, 40, berkata, dia dan suami yang menjadi nelayan dengan pendapatan tidak seberapa mengharapkan bantuan kerajaan membangunkan kampung itu yang didakwa sudah diduduki datuk mereka sejak lebih 100 tahun lalu.

    Yati Mee

    Dia mendakwa, rata-rata penduduk adalah nelayan selain menternak kupang dan mereka yang kini merupakan generasi ketiga dan keempat tidak mampu membina rumah baharu atas faktor kewangan.

    Sementara itu, Hassan berkata, kira-kira RM2 juta diperlukan untuk membina kediaman baharu di kampung itu kerana kebanyakan rumah penduduk mengalami kerosakan bahagian atap dan dinding papan lapisnya sudah berlobang serta reput.

    Ketiadaan tong sampah dan tempat membuang sampah khusus mengakibatkan penduduk membuang sampah ke laut di Kampung Orang Asli Teluk Jawa

    “Semua rumah yang ada ini didirikan atas air dan diperbuat daripada kayu sepenuhnya. Perkampungan Orang Asli ini dibenarkan duduk atas tanah rizab kerajaan sejak sebelum merdeka lagi. Kita khuatir ribut akan meroboh dan merosakkan rumah mereka,” katanya.

  • 5,900 sukarelawan CDERT hadapi banjir-Dr. Abd. Latiff

    5,900 sukarelawan CDERT hadapi banjir-Dr. Abd. Latiff

    MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad memberitahu, seramai 5,900 anggota sukarelawan pasukan tindak balas kecemasan pertahanan awam (CDERT) dari seluruh negara bersedia untuk digerakkan bagi memberi bantuan awal bencana banjir.

    Ahli Parlimen Mersing itu berkata, ini berikutan musim monsun timur laut yang sedang melanda ketika ini.

    “Kesemua mereka boleh digerakkan dalam membantu berhadapan dengan bencana monsun hingga Mac tahun depan.

    “Berdasarkan pengalaman, mulai bulan ink hingga Januari adalah tempoh kritikal bagi fenomena ini. Oleh itu bagi parlimen yang sudah tubuhkan CDERT boleh gerakkan semasa bencana ini berlaku,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran CDERT Keluarga Malaysia Parlimen Mersing di Politeknik Mersing, hari ini.

    Katanya, pasukan CDERT bakal diwujudkan di seluruh kawasan parlimen untuk memasyarakatkan institusi Angkatan Pertahanan Awam (APM) daripada sudut tindak balas kecemasan pertahanan awam.

    Perkara tersebut katanya, telah dipersetujui oleh Perdana Menteri dan dijangka baki 60 kawasan Parlimen bakal mempunyai pasukan itu menjelang pertengahan tahun depan.

    Tambahnya, ketika ini sebanyak 162 kawasan Parlimen sudah ada pasukan CDERT ini dan baki 60 parlimen lagi akan mempunyai pasukan tersendiri menjelang pertengahan tahun depan.

    Di Johor sebanyak 12 Parlimen telah mempunyai pasukan CDERT dengan jumlah keanggotaan seramai 594 anggota.

  • Pelajar IPTA dikhuatiri lemas dalam tasik

    Pelajar IPTA dikhuatiri lemas dalam tasik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AKTIVITI riadah sekumpulan lelaki yang melakukan aktiviti mendaki bertukar menjadi detik hitam apabila salah seorang daripada mereka telah terjatuh tebing dan masuk ke Tasik Tiga Beradik, Plentong, Johor Bahru, pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Pasir Gudang dikhuatiri lemas di tasik berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.20 pagi menyatakan terdapat seorang lelaki dewasa berusia 20-an dipercayai lemas.

    Beliau berkata, mangsa difahamkan bersama kira-kira 40 rakannya melakukan aktiviti riadah mendaki di kawasan tersebut.

    “Mangsa dipercayai melakukan aktiviti mendaki dikawasan tersebut. Ketika mereka ingin melintasi tasik dengan melalui tebing, mangsa telah terjatuh. 

    “Rakan mangsa cuba membantu dengan menarik mangsa namun kehabisan tenaga dan pegangan tangan mangsa telah terlepas dari tangan rakan mangsa hingga menyebabkan mangsa tenggelam ke dasar tasik. 

    “Selepas cubaan menyelamat gagal, salah seorang rakan mangsa kemudian menghubungi pihak bomba,”katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Saiful Bahri, 11 anggota dari BBP Johor Jaya dan Pasir Gudang digegaskan ke lokasi bagi usaha mencari dan menyelamat yang masih dijalankan sehingga kini.