Category: Semasa

  • Pesara didenda RM6,000 guna peralatan komunikasi tidak diperakui

    Pesara didenda RM6,000 guna peralatan komunikasi tidak diperakui

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukukan denda RM6,000 terhadap seorang pesara swasta selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan peralatan komunikasi yang tidak diperakui, tujuh tahun lalu.

    Hukuman itu diputuskan Hakim Mohd. Kafli Che Ali dan penjara enam bulan terhadap Yap Aik Seng, 58, akan dikenakan sekiranya gagal membayar denda yang diarahkan.

    Bapa kepada lima anak itu mengaku bersalah menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu satu unit radio marin jenama Superstar model SS-39.

    Sinar Harian melaporkan, Aik Seng melakukan kesalahan itu pada jarak 14 batu nautika dari Kuala Rompin, pukul 10.45 pagi, 3 Julai 2015.

    Dia didapati melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16(3) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.

    Bagi kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    Dalam prosiding itu, peguam yang mewakili Aik Seng, Norazmi Kasani merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang paling minima kepada anak guamnya.

    “Anak guam saya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

    “Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa semua pihak dan perkara itu perlu diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan hukuman,” katanya.

    Sementara itu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang setimpal terhadap Aik Seng.

  • Kaji semula perkhidmatan feri selang dua jam

    Kaji semula perkhidmatan feri selang dua jam

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menyemak semula jadual perkhidmatan feri Pulau Pinang-Butterworth khususnya melibatkan trip dengan selang dua jam antara perjalanan pada waktu-waktu tertentu.

    Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, situasi itu akan menyebabkan kesulitan khususnya kepada penumpang pejalan kaki yang amat bergantung kepada feri untuk membawa mereka menyeberangi selat.

    Jelas beliau, penumpang pejalan kaki berkemungkinan tidak mempunyai pengangkutan sendiri serta hanya bergantung kepada perkhidmatan teksi dan mengambil teksi untuk menyeberangi jambatan pula melibatkan kos yang mahal.

    “SPPP juga perlu mempertimbangkan mereka yang bergantung kepada pengangkutan bersambung untuk mendapatkan atau mempunyai masa janji temu sensitif seperti janji temu untuk ke hospital.

    “SPPP tidak boleh mengharapkan penumpang pejalan kaki untuk merancang perjalanan mereka mengikut jadual feri kerana selang dua jam adalah terlalu lama dan membuang masa penumpang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, selang 20 minit hingga setengah jam bagi setiap perjalanan feri dilihat lebih munasabah apatah lagi dengan kehidupan di Pulau Pinang kini yang hampir pulih apabila beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka kekerapan perkhidmatan feri harus dipertingkatkan.

    “Jika SPPP berpendapat selang dua jam itu diperlukan untuk mengurangkan kos operasi, maka adalah salah kerana operasi pengangkutan awam tidak boleh dianggap sebagai usaha mencari wang.

    “Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau menjelaskan, SPPP mungkin perlu belajar daripada perkhidmatan kereta api di Hokkaido, Jepun yang terus menyediakan perkhidmatan ke stesen kereta api Kyu-Shirataki yang kurang digunakan dan terpencil beberapa kali sehari.

    Jelasnya, perkhidmatan itu disediakan hanya untuk menghantar seorang pelajar sekolah menengah ke kelas dan pulang semula serta beroperasi sehingga penumpang tunggal itu menamatkan pengajian.

    “Walaupun SPPP tidak dapat mencontohi perkhidmatan kereta api Hokkaido itu, ia sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan keperluan penumpang pejalan kaki untuk mengendalikan jadual yang lebih cekap.

    “SPPP tidak boleh mengharapkan penumpang yang tiba di Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth selepas 11 pagi untuk menunggu di terminal feri sehingga 1 petang untuk mendapatkan feri seterusnya ke Pulau Pinang,” katanya.

  • Kes terowong: Rayuan Guan Eng pindah mahkamah tinggi ditolak

    Kes terowong: Rayuan Guan Eng pindah mahkamah tinggi ditolak

    PROSIDING perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang kekal di Mahkamah Sesyen.

    Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang diketuai Hakim Datuk Nor Bee Ariffin hari ini sebulat suara menolak rayuan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu untuk memindahkan perbicaraan kes rasuahnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

    Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah.

    Hakim Datuk Che Mohd Ruzima yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata pendekatan perayu (Lim) menggunakan Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah khusus untuk kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi sebagai landasan untuk membawa rayuan kesnya ke Mahkamah Persekutuan tidak wajar dibenarkan.

    Beliau berkata tidak ada kesilapan yang dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila memutuskan Lim gagal memenuhi kehendak yang diperlukan di bawah Seksyen 417 (1) (b) dan Seksyen 417 (1) (e) Kanun Tatacara Jenayah.

    Beliau berkata kedua-dua persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Lim bukan tergolong dalam persoalan undang-undang yang luar biasa atau tidak pernah diputuskan oleh mana-mana mahkamah sebelum ini.

    Hakim Che Mohd Ruzima berkata oleh itu rayuan Lim ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

    Lim mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonannya untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

    Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan manakala kes yang bermula di Mahkamah Tinggi akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

    Guan Eng, yang merupakan Ahli Parlimen Bagan, berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

    Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

    Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Setakat ini, 11 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut yang bermula pada 13 Julai lepas. Perbicaraan dijadualkan bersambung 29 Nov di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Sepasukan peguam diketuai peguam Gobind Singh Deo mewakili Guan Eng manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bagi pihak pendakwaan.

    Ketika ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah, Gobind memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini ke Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Letupan teksi di luar hospital serangan pengganas

    Letupan teksi di luar hospital serangan pengganas

    POLIS United Kingdom (UK) mengisytiharkan insiden letupan melibatkan sebuah teksi di luar hospital di Liverpool semalam sebagai serangan penganas.

    Menurut polis UK, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya seorang lelaki yang memasuki kenderaan dilengkapi alat letupan.

    Letupan itu berlaku beberapa minit sebelum rakyat Britain bertafakur bagi hari peringatan pejuang perang yang diadakan setiap tahun.

    Akibat kejadian, seorang terkorban manakala pemandunya dimasukkan ke hospital akibat cedera.

    Pihak polis belum menyimpulkan sama ada kejadian itu berkait dengan hari berkenaan ataupun berlaku disebabkan ancaman penganas.

    Polis turut masih mengikuti rapat perkembangan terkini berkenaan kejadian itu.

  • JPKKP bantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik

    JPKKP bantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik

    SEMUA Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) di daerah Rembau diminta membantu semua anggota masyarakat tanpa mengira fahaman politik mereka.

    Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Rembau, Datuk Seri Dr Awaludin Said berkata, keutamaan sewajarnya diberikan terhadap usaha menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing.

    “Kita kesal dengan perbuatan pihak tertentu yang melampirkan borang masuk parti bersama dengan borang permohonan bantuan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JPKKP Daerah Rembau di Rembau, hari ini.

    Yang turut hadir, ADUN Chembong, Datuk Zaiful Bahri Idris.

    Zaiful Bahri Idris bersama pengerusi-pengerusi JPKKP di DUN Chembong. – Gambar: Facebook Awaludin Said

    Terdahulu, dalam ucapannya, Zaiful Bahri membangkitkan tentang cubaan pihak tertentu yang ingin memancing penduduk yang memerlukan bantuan untuk menyertai parti politik mereka.

    Pihak terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan rejim Pakatan Harapan (PH) yang menguasai Negeri Sembilan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Pada majlis tersebut, sebanyak 44 JPKKP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota dan DUN Chembong menerima surat pelantikan masing-masing yang disampaikan oleh Dr Awaludin dan Zaiful Bahri.

    Pelantikan mereka berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu dan diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Sebahagian pengerusi dan setiausaha JPKKP di sekitar Rembau yang menghadiri Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JPKKP Daerah Rembau di Rembau, hari ini.

    JPKKP memainkan peranan penting selaku pemudahcara dalam pelaksanaan program dan aktiviti sosioekonomi di bawah kerajaan Persekutuan khususnya yang di bawah KPLB.

    Jawatankuasa tersebut dibentuk di tiga negeri yang masih dikuasai rejim PH iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Cadangan mewujudkan JPKKP timbul selepas rejim PH tumbang di peringkat kerajaan Pusat selepas berkuasa selama hanya 22 bulan.

  • Salah guna kuasa: Pengetua dipenjara selepas rayuan ditolak

    Salah guna kuasa: Pengetua dipenjara selepas rayuan ditolak

    SEORANG pengetua sekolah menengah terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan bagi tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65 kira-kira empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk M.Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan Norliza Mat Radzi, 53, berhubung sabitan, hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Julai 2017.

    Hanipah, yang mengetuai panel itu, berkata hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Norliza oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak terlalu berat memandangkan tempoh maksimum hukuman penjara bagi kesalahan tersebut ialah 20 tahun.

    Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu, yang bebas atas jaminan sementara menunggu rayuan, diperintah menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

    Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di sekolah itu antara 12 Feb dan 13 April 2016.

    Sebelum ini, Norliza gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

    Dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,500 bagi pertuduhan pertama iaitu memilih syarikat miliknya sendiri, Orean Collection, untuk menjadi membekalkan alat bantuan mengajar bernilai RM2,091.65.

    Bagi pertuduhan kedua iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan tuala kecil bagi program ‘Selamatkan Bumi Kita’ bernilai RM500, dia dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000.

    Norliza turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 bagi pertuduhan ketiga iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan hamper, set fail, alat tulis dan pingat bagi program Perkhemahan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 2016 bernilai RM4,000.

    Mahkamah Sesyen telah memerintahkan Norliza menjalani hukuman penjara secara serentak. Dia telah membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

    Norliza diwakili peguam Anwar Ab Raof manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan. –Bernama

  • Najib tidak kata atau buat apa-apa untuk pisahkan diri daripada Jho Low- Saksi

    Najib tidak kata atau buat apa-apa untuk pisahkan diri daripada Jho Low- Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berkata atau melakukan apa-apa untuk memisahkan dirinya daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman berkata Najib tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk tidak mematuhi arahan yang diberikan oleh Jho Low dalam semua perkara berkaitan 1MDB.

    Sri Ram: Ketika anda bermesyuarat di rumah tertuduh dan Jho Low hadir, apa yang anda perhatikan mengenai hubungan antara Jho Low dan tertuduh?


    Mohd Hazem: Mereka teramat rapat.


    Sri Ram kemudian menyoal saksi pendakwaan ke-10 berusia 49 tahun itu mengapa beliau mematuhi arahan Jho Low dan Mohd Hazem menjawab semua arahan Jho Low ‘datang daripada Najib sendiri.’

    Mohd Hazem juga berkata peranan Jho Low dalam 1MDB telah disembunyikan semasa pertemuan dengan firma perakaunan KPMG Malaysia untuk membincangkan audit syarikat itu kerana Jho Low sendiri telah mengarahkan agar namanya tidak didedahkan.

    Ditanya lanjut mengenai penyingkiran KPMG Malaysia sebagai juruaudit pembangunan strategik syarikat itu, Mohd Hazem berkata firma tersebut enggan menandatangani laporan audit bagi tahun kewangan 2013 1MDB.

    Saksi itu juga berkata beliau telah menerima tekanan termasuk daripada Najib sendiri untuk memastikan bahawa laporan audit tersebut ditandatangani.

    “Saya telah dipanggil secara langsung oleh beliau (Najib) yang meminta saya mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu (menandatangani laporan audit) dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah menggantikan KPMG dengan juruaudit baharu.


    “Ketika itu, saya berada dalam kedudukan yang tidak membolehkan saya untuk tidak mematuhi Datuk Seri Najib kerana beliau adalah Perdana Menteri,” katanya.

    KPMG dilantik sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012 namun telah dipecat pada 2013 selepas enggan menandatangani akaun bagi tahun kewangan 2013 1MDB.


    Mohd Hazem juga berkata beliau tidak menerima satu sen pun daripada wang yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB atau diberikan sebarang pampasan kewangan oleh Jho Low atas dakwaan bersubahat untuk menggelapkan wang daripada syarikat itu.


    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.


    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama

  • Ketua Kampung Long Tap ditemukan lemas selepas perahu karam

    Ketua Kampung Long Tap ditemukan lemas selepas perahu karam

    KETUA Kampung Long Tap, Clement Wan Tingang, 74, lemas selepas perahu dinaikinya karam di sungai di Long Tap, hulu Baram, Miri, Jumaat ditemukan mayatnya hari ini.

    Mayat ditemui tersangkut di atas batu di tebing Sungai Abang, kira-kira pukul 9.10 pagi tadi.

    Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kemudian mengambil mayat mangsa dan menyerahkan kepada keluarganya untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian yang menimpa mangsa pada jam 11 malam, Jumaat lalu.

    “Keluarga mangsa membuat panggilan terus kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ah Lian yang memaklumkan kejadian yang menimpa ketua kampung itu.

    “Berikutan panggilan itu diterima hampir tengah malam, anggota dari BBP Marudi pergi ke lokasi kejadian pada jam 7 pagi, Sabtu kerana untuk ke Long Tap terpaksa melalui jalan balak yang memakan masa lapan jam perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, tiba di lokasi pada petang Sabtu, empat anggota dari BBP Marudi itu terus mengaktifkan operasi SAR bersama penduduk kampung.

    “Selepas pencarian memasuki hari ketiga, mayat mangsa ditemui hari ini di jarak kira-kira empat kilometer di hilir Sungai Abang,” katanya.

    Menurutnya lagi, mangsa aktif dalam aktiviti kebombaan dan pernah mengikuti ‘Summer Camp’ anjuran JPBM Sarawak pada 2018 yang diadakan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat berhubung langkah mencegah kebakaran.

  • 45 PATI Indonesia ditahan, dua positif Covid-19

    45 PATI Indonesia ditahan, dua positif Covid-19

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki warganegara Indonesia ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) di perairan utara Tenggaroh, Mersing pagi tadi.

    Daripada jumlah itu, dua PATI disahkan positif Covid-19 setelah ujian saringan dilakukan terhadap kesemua mereka.

    Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), anggota petugas pemerhati telah mengesan bunyi bot yang mencurigakan kira-kira pukul 1 pagi.

    “Atas maklumat tersebut, anggota petugas telah membuat serbuan dan sekitar pukul 1.30 pagi, seramai 39 PATI berjaya ditahan. 26 daripadanya dipercayai baru saja tiba dan selebihnya sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal.

    “Pada pukul 8.45 pagi, anggota Quick Reaction Force (QRF) yang ditugaskan untuk membuat penjejakan berjaya menangkap enam lagi PATI sedang bersembunyi di kawasan Ladang Sawit Tenggaroh Timur tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama.

    “Mereka dipercayai saki baki PATI yang baru tiba ke negara ini. Kesemua 45 PATI tersebut terdiri daripada 36 lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia berusia sekitar 19 hingga 46 tahun,” katanya di sini, hari ini.

    Tambah kenyataan itu, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguruskan dua PATI tersebut mengikut prosedur sehingga diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

    Ujarnya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,000 melibatkan RM4,174, matawang Rupiah Indonesia IDR5,455,300 (RM1,590) bersama-sama lapan buah telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama.

    Sementara itu, kesemua PATI yang negatif diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru. Manakala, laporan kejadian tersebut pula dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

  • Purata pendapatan penduduk luar bandar meningkat 34.5 peratus – Mahdzir

    Purata pendapatan penduduk luar bandar meningkat 34.5 peratus – Mahdzir

    PURATA  pendapatan penduduk luar bandar di negara ini meningkat sebanyak 34.5 peratus dalam tempoh 17 tahun, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Beliau berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan pendapatan penduduk luar bandar daripada RM1,729 pada tahun 2002 kepada RM5,004 pada tahun 2019.

    “Selain peningkatan dalam purata pendapatan, penduduk luar bandar juga mencatat peningkatan dalam aspek bekalan air di rumah yang meningkat daripada 74.7 peratus pada tahun 2000 kepada 84.9 peratus pada tahun 2019.

    ‘’Ini adalah bukti bahawa usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah berjaya dan berhasil meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di luar bandar, ‘’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis Sesi Libat Urus Menteri Pembangunan Luar Bandar bersama Ahli Parlimen Kerajaan Keluarga Malaysia Backbenchers Club (KKMBBC) di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mahdzir berkata, perangkaan turut mencatatkan liputan bekalan elektrik di luar bandar juga meningkat daripada 84.6 peratus pada tahun 2000 kepada hampir 99 peratus pada tahun 2019.

    ‘’Data daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pula menyatakan, capaian internet di luar bandar adalah sebanyak 83.9 peratus,’’ katanya

    Beliau berkata, Sesi Libat Urus itu  adalah bagi memberi penerangan mengenai hala tuju dan perancangan pembangunan KPLB untuk tahun 2022.

    Katanya, aa merupakan salah satu inisiatif KPLB untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen terhadap program-program yang dilaksanakan, selain mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan program-program KPLB hasil daripada pembentangan Bajet 2022.

    ‘’Untuk rekod, KPLB telah diperuntukkan sejumlah RM10.53 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi tahun 2022. Jumlah itu meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan RM7.01 bilion peruntukan pembangunan. Peruntukan itu adalah RM345 juta atau 3.39 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2021,’’ katanya.

    Mahdzir berkata, tumpuan KPLB juga terarah kepada program-program yang boleh meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar yang rata-ratanya terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19.

    ‘’Ia selaras dengan matlamat Bajet 2022 “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” agar dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya isi rumah golongan miskin, miskin tegar, B40 dan masyarakat Orang Asli,’’ katanya.

    Bagi tahun 2022, kata beliau, KPLB juga akan terus berusaha untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar, dimana program-program infrastruktur luar bandar akan diteruskan pelaksanaannya bagi memastikan kesejahteraan penduduk luar bandar.

    ‘’Program seperti Jalan Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa dan Program Ameniti Sosial akan diteruskan. Sebanyak RM2.44 bilion telah diperuntukkan untuk projek prasarana di luar bandar untuk tahun 2022,” katanya.