PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menyemak semula jadual perkhidmatan feri Pulau Pinang-Butterworth khususnya melibatkan trip dengan selang dua jam antara perjalanan pada waktu-waktu tertentu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, situasi itu akan menyebabkan kesulitan khususnya kepada penumpang pejalan kaki yang amat bergantung kepada feri untuk membawa mereka menyeberangi selat.

Jelas beliau, penumpang pejalan kaki berkemungkinan tidak mempunyai pengangkutan sendiri serta hanya bergantung kepada perkhidmatan teksi dan mengambil teksi untuk menyeberangi jambatan pula melibatkan kos yang mahal.

“SPPP juga perlu mempertimbangkan mereka yang bergantung kepada pengangkutan bersambung untuk mendapatkan atau mempunyai masa janji temu sensitif seperti janji temu untuk ke hospital.

“SPPP tidak boleh mengharapkan penumpang pejalan kaki untuk merancang perjalanan mereka mengikut jadual feri kerana selang dua jam adalah terlalu lama dan membuang masa penumpang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, selang 20 minit hingga setengah jam bagi setiap perjalanan feri dilihat lebih munasabah apatah lagi dengan kehidupan di Pulau Pinang kini yang hampir pulih apabila beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka kekerapan perkhidmatan feri harus dipertingkatkan.

“Jika SPPP berpendapat selang dua jam itu diperlukan untuk mengurangkan kos operasi, maka adalah salah kerana operasi pengangkutan awam tidak boleh dianggap sebagai usaha mencari wang.

“Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, SPPP mungkin perlu belajar daripada perkhidmatan kereta api di Hokkaido, Jepun yang terus menyediakan perkhidmatan ke stesen kereta api Kyu-Shirataki yang kurang digunakan dan terpencil beberapa kali sehari.

Jelasnya, perkhidmatan itu disediakan hanya untuk menghantar seorang pelajar sekolah menengah ke kelas dan pulang semula serta beroperasi sehingga penumpang tunggal itu menamatkan pengajian.

“Walaupun SPPP tidak dapat mencontohi perkhidmatan kereta api Hokkaido itu, ia sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan keperluan penumpang pejalan kaki untuk mengendalikan jadual yang lebih cekap.

“SPPP tidak boleh mengharapkan penumpang yang tiba di Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth selepas 11 pagi untuk menunggu di terminal feri sehingga 1 petang untuk mendapatkan feri seterusnya ke Pulau Pinang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here