Category: Semasa

  • Peranan Ismail Sabri, Tok Mat Hasan faktor kemenangan BN – Nazri

    Peranan Ismail Sabri, Tok Mat Hasan faktor kemenangan BN – Nazri

    BARISAN Nasional (BN) memperolehi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kerana peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Nazri menjelaskan, keyakinan rakyat Melaka terhadap kepimpinan Ismail Sabri sebagai perdana menteri juga membuatkan mereka memilih BN untuk menjadi kerajaan negeri.

    Selain itu, beliau menjelaskan rakyat Melaka juga memilih untuk memberikan kemenangan besar kepada BN kerana sumbangan yang dibuat oleh Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya BN.

    “Saya nak mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tok Mat (Mohamad Hasan) yang bertungkus lumus mengemudi parti sewaktu PRN Melaka.

    “Kita lihat sebelum ini ketika beberapa Pilihan Raya Kecil juga, boleh dikatakan Tok Mat memainkan peranan yang baik mengemudi BN untuk mencapai kemenangan.

    “Selain itu, saya rasa kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ismail Sabri juga mempengaruhi pengundi untuk memilih BN.

    “Walaupun Ismail baru beberapa bulan menjadi perdana menteri, namun rakyat lebih yakin dengan kepimpinan beliau dan ia terbukti dengan kemenangan BN di Melaka,” katanya kepada Astro AWANI.

    Pada PRN Melaka yang diadakan semalam, BN berjaya membentuk kerajaan setelah memperolehi majoriti selesa dengan kemenangan 21 daripada 28 kerusi Dun Melaka.

    Pakatan Harapan (PH) pula hanya memperolehi lima kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat dua kerusi.

    BN juga berjaya merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi PH antaranya DUN Machap Jaya, Gadek, Pengkalan Batu dan Paya Rumput.

  • Ancaman gajah semakin serius, jejas pendapatan 200 peneroka Felda

    Ancaman gajah semakin serius, jejas pendapatan 200 peneroka Felda

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu, sejak empangan Seluyut di Kota Tinggi dibuka serta dijadikan empangan dan takungan air mengakibatkan habitat gajah di kawasan itu kehilangan tempat tingal.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari memberitahu, sejak berpuluh tahun kawasan di empangan Seluyut itu menjadi habitat gajah dan kini mamalia tersebut keluar mencari makan di kawasan berdekatan.

    “Disebabkan itu, kawasan ladang kelapa sawit di sekeliling empangan Seluyut iaitu di Bukit Waha, Simpang Waha, Gugusan Lok Heng, Air Tawar 2 dan 3 serta Pasak menjadi sasaran gajah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi perbahasan Persidangan Keempat DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Katanya, keadaan tersebut mengakibatkan seramai 200 peneroka Felda di sekitar Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan ancaman gajah liar sejak lebih 10 tahun lalu.

    Jelas beliau, ini kerana mamalia tersebut telah masuk dan memusnahkan tanaman kelapa sawit mereka.

    Menurutnya, isu ancaman gajah liar merupakan sesuatu yang serius memandangkan keluasan ladang kelapa sawit yang dirosakkan sudah mencecah ratusan hektar selain telah meragut empat nyawa.

    Pada masa sama katanya, kenaikan harga sawit yang kini berada pada paras tinggi mencecah RM1,500 setiap tan tidak dapat dinikmati golongan peneroka akibat kelapa sawit di kawasan ladang mereka telah dirosakkan gajah liar.

    “Saya membawa keluhan dan rintihan hati penduduk dan peneroka Kota Tinggi yang sudah tidak dapat bertahan dengan ancaman gajah yang memusnahkan sumber pendapatan mereka.

    “Jika peneroka lain mampu dapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan berikutan harga sawit yang tinggi, namun kira-kira 200 peneroka di beberapa kawasan di Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan tanaman mereka musnah akibat gajah malah kini terpaksa berhutang,” katanya.

    Justeru beliau berharap isu ancaman gajah liar yang dibangkitkan mendapat perhatian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan mengambil langkah sewajarnya.

  • Selepas anak rentung dalam kereta, bapa pula susuli ‘pemergian’ anak

    Selepas anak rentung dalam kereta, bapa pula susuli ‘pemergian’ anak

    TIDAK sampai 12 jam Mohd. Azizi Jaafar, 37, ditemukan rentung selepas kereta dipandunya terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, Kuala Terengganu berhampiran Kampung Wakaf Beruas, semalam, bapanya pula mengikut dipanggil menghadap ilahi hari ini.

    Jaafar Abdullah, 76, menyusuli pemergian anaknya itu apabila menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu pada pukul 5.30 pagi tadi akibat asma.

    Sebelum itu, dalam kejadian semalam, Allahyarham Mohd. Azizi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik memandu Perodua Alza mengiringi bapanya yang dibawa menaiki ambulans untuk pulang ke rumah mereka.

    Allahyarham Jaafar sebelum itu dimasukkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hampir dua minggu lalu kerana penyakit dialaminya.

    Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka, kenderaan dipandu Allahyarham Mohd. Azizi tiba-tiba terbakar.

    Mangsa yang menyedari keretanya terbakar segera memberhentikan kenderaannya di tepi jalan bagi menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap namun gagal.

    Pada masa sama, abangnya, Mohd. Jasmani, 50, yang menaiki ambulans bersama bapa mereka turut menyaksikan kejadian berkenaan.

    Sementara itu, Mohd. Jasmani, 50, berkata, hatinya luluh apabila hanya mampu melihat kereta adik terbakar tetapi gagal menyelamatkannya memandangkan api sangat marak.

    Bukan itu sahaja, Mohd Jasmani sekali lagi diuji apabila bapa mereka turut menghembuskan nafas terakhir hari ini.

  • Perairan laut Johor dijangka terus jadi tumpuan kegiatan jenayah – APMM

    Perairan laut Johor dijangka terus jadi tumpuan kegiatan jenayah – APMM

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjangkakan perairan Johor akan terus menjadi tumpuan kegiatan jenayah di laut terutama aktiviti rentas sempadan membabitkan kegiataan penyeludupan migran.

    Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata ini susulan pembukaan banyak sektor ekonomi ketika ini seperti perdagangan, perkapalan, pertanian dan perladangan yang cukup pesat berbanding negeri lain.

    “Situasi berkenaan membuka jalan kepada pihak tidak bertanggungjawab membawa masuk orang asing melalui jalan yang tidak sah.

    “Faktor geografi Johor yang terlalu dekat dengan negara jiran iaitu hanya satu jam jika melalui jalan laut dan menjadi pintu sempadan ke negara ini, juga antara penyebab negeri ini jadi tumpuan,” katanya.

    Operasi Redback ke-16 kali ini melibatkan seramai 59 pegawai dan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia serta tiga pegawai ABF

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Operasi Redback ke-16 iaitu kerjasama antara APMM dan Australian Border Force (ABF)di Sungai Sarang Buaya, Muar, hari ini yang turut dihadiri wakil ABF Supt John Fleming.

    Justeru, Mohd Zubil berkata  pihaknya akan menggerakkan 45 aset laut sekurang-kurangnya beroperasi setiap hari untuk mengawal sempadan tidak termasuk pesawat udara bagi mengekang jenayah rentas sempadan daripada terus meningkat.

    Mengenai Operasi Redback 16, beliau berkata ia merupakan inisiatif kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui kawasan perairan sejak 2013.- Bernama

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang tahan bot bawa 7 penumpang tanpa lesen

    Maritim Malaysia Pulau Pinang tahan bot bawa 7 penumpang tanpa lesen

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot yang membawa penumpang tanpa lesen sah pada kedudukan 1.3 batu nautika timur Batu Maung semalam.

    Bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia Pulau Pinang yang sedang melakukan Op Pertiwi kira-kira pukul 5.55 petang.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, ketika diperiksa bot dikendalikan tekong yang membawa tujuh penumpang warga tempatan berumur antara 38 hingga 56 tahun itu gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang.

    Bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia Pulau Pinang

    “Bot itu dan kesemua mereka kemudiannya diiring ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum tekong dan penumpang dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah.

    Sementara itu, beliau turut mengingatkan pemilik dan tekong bot supaya mematuhi undang-undang di laut manakala penumpang harus peka

    Bot dan kesemua mereka diiring ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum tekong dan penumpang dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang

    dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa.

    Jelasnya, ia bagi memastikan tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan, orang ramai diminta segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • 337,765 OBS sudah mencarum dengan Perkeso

    337,765 OBS sudah mencarum dengan Perkeso

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seramai 337,765 individu yang bekerja sendiri di seluruh negara sudah pun mencarum di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan pada 1 Jun lalu.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, secara keseluruhannya jumlah kutipan caruman mereka itu yang dikenali sebagai ditakrifkan sebagai orang bekerja sendiri (OBS) adalah sebanyak RM77 juta hingga Rabu lalu.

    Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 1,752 OBS sudah pun menerima bayaran faedah sebanyak RM5.1 juta.

    “Mereka yang menerima bayaran faedah itu terdiri daripada pelbagai golongan antaranya petani, penjaja, mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan dan sokongan serta artis.

    “Pihak Kementerian juga dalam masa sama melaksanakan program geran penuh atau padanan caruman SKSPS pada tahun lalu bagi meluaskan liputan perlindungan sosial kepada lebih 810,000 individu yang bekerja sendiri,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Titi Haji Idris, Pendang, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Mada, Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman serta Pengurus Besar Mada, Kamarudin Dahuli.

    Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang memaklumkan, menerusi geran padanan SKSPS, pencarum hanya perlu membayar sebanyak RM232.80 atau 30 peratus daripada bayaran setahun untuk skim caruman dua manakala bakinya dibiayai kerajaan.

    “Sebab itu kita galakkan petani, pesawah atau mana-mana golongan yang layak untuk mencarum di Perkeso. Jika terjadi kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang atau ketika melaksanakan kerja, akan ada perlindungan dari pihak Perkeso.

    “Jika ditakdirkan meninggal dunia, insya Allah wang sebanyak RM2,000 akan diberikan serta-merta bagi tujuan pengurusan jenazah. Pencen penakat pula akan diberikan kepada isteri manakala anak-anak yang masih belajar juga akan mendapati bantuan.

    “Sehingga kini seramai 1,450 petani di Kedah sudah mencarum dan kita ada lagi kira-kira 50,000 petani dalam kawasan MADA yang belum berbuat demikian. Insya Allah kita akan jalin kerjasama bersama MADA agar lebih ramai pesawah dan petani membuat caruman,” katanya.

  • Langgar SOP: Zahid, Rauf kena kompaun RM10,000

    Langgar SOP: Zahid, Rauf kena kompaun RM10,000

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua pemimpin itu didapati menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

    “Kompaun itu dikeluarkan terhadap Ahmad Zahid dan Ab Rauf susulan siasatan ke atas sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan dua individu berkenaan gagal mematuhi SOP di sekitar mukim Masjid Tanah, daerah Alor Gajah, dua hari lepas,” menurut kenyataan itu.

    Menurut KKM Kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – BERNAMA

  • Dijel enam tahun guna wang palsu

    Dijel enam tahun guna wang palsu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pekerja binaan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kluang, hari ini kerana menggunakan wang palsu untuk berbelanja, dua minggu lalu.

    Hakim Mujib Saroji menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lim Lai Kok, 53, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan wang kertas RM100 untuk membeli sebuah beg kulit berharga RM30 di sebuah kedai kasut di Taman Sri Tengah di Kluang pada 3.30 petang, 7 November lalu.

    Pemilik kedai yang menyedari wang RM100 diberi adalah wang palsu kemudian bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh turut memiliki satu lagi RM100.

    Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan wang palsu RM100 untuk membeli dakwat mesin pencetak di Jalan Lambak, Kluang pada 1.24 petang hari yang sama.

    Untuk kedua-dua pertuduhan terbabit, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun jika disabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Farah Nabihah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam rayuannya, Lim berkata, dia terpaksa melakukan perbuatan tersebut kerana terdesak akibat ketiadaan wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya selain keadaan kesihatan yang tidak baik.

    Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihukum tiga tahun penjara di atas setiap pertuduhan dan hukuman berjalan dari tarikh dia ditangkap.

  • Warga emas sesat lebih 13 jam dalam hutan ditemukan selamat

    Warga emas sesat lebih 13 jam dalam hutan ditemukan selamat

    MISTERI kehilangan seorang lelaki warga emas yang sesat lebih 13 jam ketika meninjau tanah di sebuah hutan berhampiran Sungai Bil, Tangjung Malim, terjawab apabila dia ditemukan selamat pukul 9.40 pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang berusia 60 tahun itu ditemukan selamat tanpa kecederaan oleh pasukan penyelamat sebelum dibawa keluar.

    “JBPM Perak memaklumkan gerakan mencari dan menyelamat dilakukan sebaik laporan mengenai kejadian itu diterima pukul 8.34 malam tadi.

    “Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menerima maklumat berkenaan kehilangan mangsa daripada pihak polis.

    “Ketika kejadian, mangsa bersama-sama dua rakan telah masuk ke hutan atas urusan tinjauan tanah sebelum disedari hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, seramai 48 pegawai dan anggota daripada JBPM, Polis, Pasukan Bomba Sukarelas Slim Village, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi tersebut.

    “Dua kumpulan digerakkan untuk melakukan pencarian dengan kaedah ‘hasty search’ dan ‘follow the stream’.

    “Mangsa akhirnya ditemui oleh kumpulan pertama di ‘check point’ pertama iaitu dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba,” katanya.

  • Ibu terima ijazah UM untuk Allahyarham Haziq

    Ibu terima ijazah UM untuk Allahyarham Haziq

    “SAYA beri penghormatan kepada ibu mentua naik ke pentas kerana ia impian arwah untuk hadiahkan skrol itu kepada ibunya,” kata Shahira Abdul Halim.

    Shahira, 29, adalah isteri atlet memanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia 14 Mei lalu selepas dilaporkan rebah di rumahnya sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang.

    Terharu melihat ibu mentua, Rulifah Salihin, 57, melangkah naik ke pentas mengambil skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-60 di sini, hari ini, Shahira berkata, Haziq pernah meluahkan impian untuk membawa ibu bapanya ke konvokesyen apabila tamat pengajian.

    Hari ini, Allahyarham antara 518 graduan yang menerima ijazah sarjana dan sarjana muda pada istiadat konvokesyen sidang ketiga. 

    “Ini hari ditunggu-tunggu arwah selama ini dan saya berikan kejayaan terakhir arwah ini kepada ibunya. Arwah memulakan pengajian pada 2013, ambil masa lapan tahun untuk menghabiskannya kerana perlu membahagikan masa antara sukan memanah, latihan dan kelas. 

    “Arwah tidak pernah putus asa sebaliknya berusaha keras untuk berjaya. Biasanya dia merujuk dengan jurulatih mengenai jadual pengajian supaya tidak bertindih kerana ada masa arwah ke luar negara untuk sertai kejohanan. Apabila di luar negara saya akan bantu sediakan bahan pengajian dia,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Ditanya kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang bersama Haziq, Shahira berkata, senyuman arwah kekal diingati kerana suaminya itu sentiasa tersenyum meskipun penat.

    Antara pencapaian Haziq yang pernah beraksi di pentas Olimpik London 2012 dan Rio 2016, termasuk pingat emas di Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, selain empat emas dan dua perak dalam acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

    Dua lagi atlet kebangsaan turut menerima ijazah sarjana muda dalam jurusan sama, iaitu jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, 26, dan penerjun negara, Wendy Ng, 28.

    Mereka mengakui gembira dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang walaupun melalui pelbagai cabaran selain jadual padat bagi latihan dan kejohanan yang tidak pernah mematahkan semangat sebaliknya berusaha membahagikan masa dengan baik.

    Kedua-duanya turut mengucapkan terima kasih kepada pensyarah dan rakan yang banyak membantu sepanjang tempoh pengajian.