Category: Semasa

  • ‘’Ini pertukaran biasa, tiada kaitan kalah dalam PRN’’ – Kamarudin

    ‘’Ini pertukaran biasa, tiada kaitan kalah dalam PRN’’ – Kamarudin

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir Sabtu lalu menyaksikan beberapa jawatan tertinggi parti peringkat negeri itu mula bertukar tangan.

    Selepas Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew mengumum melepaskan jawatan, Pas pula mengumumkan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Kamarudin Sidek tidak lagi menjawat jawatan itu. Beliau digantikan dengan Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Zulkifli Ismail.

    Kamarudin berkata, pertukaran itu bagaimanapun tiada kaitan dengan kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada PRN lalu.

    “Itu satu pertukaran biasa sahaja kerana jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri biasanya hanya tiga penggal dan saya sudah cukup tempoh itu.

    “(Jadi) tiada kena mengena dengan PRN kerana jawatan itu boleh dilantik semula selepas ‘rehat’ satu penggal dan saya masih kekal Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin,” katanya lapor Astro Awani.

    Terdahulu, berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hanya Kamarudin tidak dikekalkan bagi sesi 2021-2023 manakala 13 lagi Pesuruhjaya Negeri masih penyandang yang sama.

    Perkara itu jelasnya telah diputuskan melalui Mesyuarat Kali Kedua, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 21 November 2021 yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Jelas Kamarudin lagi, beliau meletakkan harapan tinggi untuk Pas terus berkembang khususnya di negeri Melaka.

    “Semoga Pas terus berkembang khususnya di Melaka dan menjadi sebuah wadah perjuangan Islam yang menyatukan ummah. “Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Guru Hj Zulkifli Hj Ismail atas pelantikan sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri yang baharu dan tentunya saya akan banyak beri sokongan kepada beliau,” tambahnya.

    Terdahulu pada PRN lalu, Kamarudin yang sekali lagi mempertaruhkan nasib di DUN Duyong dan berdepan saingan enam penjuru, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Noor Helmy Abu Halen.

  • Polis buru empat lelaki terbabit kes culik dan bunuh

    Polis buru empat lelaki terbabit kes culik dan bunuh

    POLIS memburu empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut pada 13 November lalu.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek masih bebas manakala dua rakan mereka diberkas polis pada 14 November lalu pada jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur.

    “Dua lelaki ini akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas direman selama 10 hari.

    “Empat lelaki yang dikehendaki ialah Davadas Anpankam (Deva), 41, beralamat di N0 4 Batu 15 ½ Templer Park, Rawang, Selangor; Xavier Peter (Beckam @ Bob), 42, beralamat di 02-12 Blok Selasih, Taman Tun Teja, Batu 6, Rawang, Selangor; Murugan Christnan (Romeo), 40, beralamat di No 717, Tingkat 6, Blok C, Taman Prima Selayang, Batu Cave, Selangor dan Panirselvam Subramaniam (Panir), 31, beralamat di 10-1-23 Jalan 2/1a, Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302/ 364/170 Kanun Keseksaan.

    Media sebelum ini melaporkan, polis menerima aduan daripada isteri mangsa berumur 38 tahun yang mengatakan suaminya diculik semasa berada di rumah.

    Polis kemudian menerima panggilan memaklumkan mangsa sudah berada di Hospital Selayang, Selangor.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 pagi oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Selayang.

  • Keputusan rayuan Najib dalam kes SRC 8 Disember ini

    Keputusan rayuan Najib dalam kes SRC 8 Disember ini

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya menetapkan 8 Disember ini untuk keputusan rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan keputusan itu akan disampaikan pada 9 pagi.

    Rayuan kes itu yang didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berlangsung selama 15 hari dan selesai pada 18 Mei lalu.

    Najib, 68, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

    Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

    Mahkamah membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib. – BERNAMA

  • Ketua pengawal keselamatan, penganggur didakwa menyamar polis, menculik dan membunuh

    Ketua pengawal keselamatan, penganggur didakwa menyamar polis, menculik dan membunuh

    SEORANG ketua pengawal keselamatan dan penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh pada 13 November lalu.

    Tertuduh, M. Murugan, 44, dan Wong Yon Kuan, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret V. Vanita.

    Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Murugan yang sebelum ini bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan manakala Yon Kuan yang tidak bekerja, bersama-sama tiga lagi yang masih bebas dituduh menculik dan membunuh A. Vasudevan, 39.

    Perbuatan itu dilakukan pada 13 November di antara jam 5.40 pagi hingga 9.45 pagi di Bandar Springhill, Lukut, di sini.

    Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum mati manakala Seksyen 364 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan sebat.

    Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas didapati menyamar sebagai polis kepada S. Hindumathy, 38, pada tarikh dan di lokasi sama.

    Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainuddin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam T Harpal Singh.

    Mahkamah menetapkan 23 Disember depan sebutan semula kes.

  • Tidak konsisten punca Pakatan Harapan  gagal – sumber

    Tidak konsisten punca Pakatan Harapan gagal – sumber

    SIKAP tidak konsisten yang dilihat pada Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh 22 bulan memegang kuasa, menjadi punca utama kegagalan gabungan pembangkang itu dalam pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, minggu lalu.

    Seorang pemimpin DAP yang enggan dikenali, berkata ia telah menyebabkan kerosakan jangka panjang yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih malah mungkin juga berdekad lamanya.

    Keadaan itu boleh dilihat dalam beberapa kontroversi membabitkan penggunaan tulisan Jawi, penggantian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), peningkatan yang tidak seimbang dalam cukai keuntungan harta tanah dan kontroversi berhubung projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

    Sumber itu berkata, ia ditambah dengan masalah dasar serta sikap sombong yang ditunjukkan oleh pemimpin pembangkang dan Jemaah Menteri.

    Kekalahan yang diterima oleh PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019 menunjukkan betapa teruknya isu hilang kepercayaan pengundi yang dihadapi oleh PH.

    Barisan Nasional (BN) mengalahkan PH dengan meyakinkan di Tanjung Piai apabila memperolehi majoriti 15,086 undi. Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi, lebih dua kali ganda daripada 10,380 undi yang diperoleh pesaing terdekatnya, Karmaine Sardini (PH-Bersatu).

    “Rakyat sedang tunggu untuk menghukum PH dan ini akan dibawa sehingga pilihan raya umum (PRU) berikutnya,” kata sumber itu kepada FMT.

    “Melaka hanyalah satu lagi manifestasi hukuman terhadap PH di atas kegagalan mereka ketika berkuasa.”

    Sumber itu berkata penyokong Cina terhadap gabungan itu juga tidak peduli dengan PH dan DAP.

    Berikutan prestasi hambar PH di Melaka pada Sabtu apabila ia hanya berjaya memenangi lima kerusi – menurun daripada 15 kerusi pada 2018 – sebahagian penyokong mengesa supaya Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim disingkirkan.

    Saintis politik, Wong Chin Huat merupakan salah seorang yang berkata bahawa Anwar harus berundur selepas partinya, PKR, gagal memenangi sebarang kerusi daripada 11 kerusi yang ditandingi.

    Bagaimanapun, menurut sumber itu, beliau belum menerima sebarang aduan daripada akar umbi parti mengenai Anwar atau jika beliau harus bertanggungjawab atas kekalahan di Melaka.

    “Ia kurang bijak untuk sesiapa menyalahkan Anwar,” kata sumber itu.

    Tambahnya, rakyat kecewa dengan kerajaan PH secara keseluruhannya. Anwar bukan sebahagian daripada kerajaan PH yang memerintah pada 2018 hingga 2020, yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

  • Pemuda berlumuran darah diserang dengan tukul besi kerana curi burung murai

    Pemuda berlumuran darah diserang dengan tukul besi kerana curi burung murai

    TINDAKAN seorang pemuda mencuri burung murai membawa padah apabila dia dipukul dua beradik dengan tukul besi dalam kejadian di Kampung Banggol Petaling, Pasir Mas, semalam.

    Mangsa, 37, patah jari, luka serta bengkak di kepala selain terdapat kesan lebam dan calar pada belakang badan dipukul dua beradik itu yang juga rakan sekampung.

    kejadian itu kemudian dilaporkan kepada polis selepas bapa mangsa membuat laporan.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, bapa mangsa didatangi seorang rakan anaknya yang memberitahu mangsa dipukul ketika berada di rumah.

    Katanya, bapa mansa bergegas ke lokasi kejadian dan melihat anaknya berlumuran darah akibat dipukul.

    “Dia dan beberapa jiran lain kemudian membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM) untuk mendapatkan rawatan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.

    “Polis mengambil tindakan segera dengan menangkap dua beradik berusia 26 dan 41 tahun di rumah mereka sebaik laporan diterima,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Mohd. Nasaruddin berkata, hasil saringan ujian air kencing terhadap dua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    Menurutnya, siasatan awal suspek mengaku memukul mangsa kerana mendakwa dia mencuri burung murai milik mereka.

  • KWSP akan lancar i-sayang bolehkan suami carum 2.0 peratus ke akaun isteri

    KWSP akan lancar i-sayang bolehkan suami carum 2.0 peratus ke akaun isteri

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melancarkan kemudahan i-Sayang pada suku pertama 2022, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

    Pengerusi Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata kemudahan itu akan membolehkan pemindahan sukarela 2.0 peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

    Satu lagi kemudahan dana persaraan yang akan dilancarkan ialah i-Lindung, yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membeli insurans hayat dan penyakit kritikal melalui platform KWSP.

    “Inisiatif lain yang kami tinjau termasuk pendekatan berperingkat ke arah mewajibkan perlindungan KWSP yang sah kepada pekerja sektor tidak formal bukan pertanian.

    “Kami juga akan menyokong skim caruman lebihan sukarela yang mana ahli-ahli boleh memaksamajikan untuk meningkatkan caruman KWSP mereka kepada lebih daripada 11 peratus kadar berkanun,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang diadakan secara maya dan fizikal hari ini.

    Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Mengenai persidangan itu, Ahmad Badri berkata ISWC tahun ini bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai aspek isu ketaksamaan global.

    “Bersama-sama, kami percaya bahawa rangka kerja perlindungan sosial yang lebih baik boleh membantu kami dalam meminimumkan, jika tidak membasmi, kesan negatifnya kepada manusia,” kata beliau.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucapan awalnya berkata antara perkara yang paling membimbangkan akibat daripada pandemik ini ialah peningkatan isu ketaksamaan.

    “Isu ketaksamaan ini telah wujud awal sebelum berlakunya pandemik. Walaupun banyaknegara telah cuba mengurangkan impak COVID-19 dengan menggerakkan pelbagai sumbersecara intensif dan berjangka pendek, usaha-usaha ini hanyalah untuk sementara waktu dantidak memberikan penyelesaian jangka panjang yang berupaya memelihara hayat dan kehidupan masyarakat.

    “Oleh itu, ISWC tahun ini telah dinaik taraf, menyaksikan para penganjur yang merupakan kuasa-kuasa berpengaruh dalam negara, telah berkumpul bersama-sama barisan penceramah yang ternama bagi menyelami isu-isu berkaitan ketaksamaan, termasuk dari aspek ekonomi, penjagaan kesihatan, dan pendidikan,” tambah Amir Hamzah.

    ISWC 2021 ini dianjurkan secara bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual menutup persidangan ini esok.

  • Dua marshal konvoi motosikal ditahan, empat lagi diburu

    Dua marshal konvoi motosikal ditahan, empat lagi diburu

    DUA lelaki yang bertindak sebagai pengiring atau marshal dengan memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di lampu isyarat Sua Betong di sini ditahan polis awal pagi Selasa.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 2.45 pagi.

    “Masing-masing yang bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang itu ditahan di Springhill dan Lukut di sini.

    “Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, polis turut merampas dua buah motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dan Kawasaki Z800, topi keledar, pakaian dan kasut yang digunakan ketika rakaman diambil.

    Selain itu, katanya, polis masih mengesan empat lagi individu yang turut bertindak sebagai marshal seperti mana dalam rakaman video yang tular.

    Akhbar itu sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan beberapa individu yang bertindak sebagai marshal dengan memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di sebuah lampu isyarat di sini seperti dipaparkan dalam video tular di media sosial sejak Ahad.

    Ketika kejadian, lampu isyarat jelas berwarna merah dan tindakan marshal itu dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak secara konvoi bagi melepasi lampu isyarat tersebut.

    Pergerakan motosikal berkuasa besar itu dari arah Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke bulatan Sunggala, Telok Kemang.

  • Lelaki bunuh ibu saudara dihadapkan ke mahkamah

    Lelaki bunuh ibu saudara dihadapkan ke mahkamah

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh ibu saudaranya dalam kejadian dua minggu lalu.

    Sinar Harian melaporkan, Awkim Wah, 40, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Aw Foong Meng, 73, di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu antara pukul 11 pagi dan 3.25 petang pada 9 November lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga penganggur selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher.

    Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di tepi katil dalam bilik di rumahnya.

    Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kelar dan tikaman pada leher dengan senjata berupa pisau masih tertusuk di belakang leher wanita itu.

    Polis kemudian menahan reman seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anak saudara mangsa dan tinggal bersamanya untuk siasatan lanjut.

  • Bekas ketua hakim kritik UMNO laung slogan ‘Hidup Bossku’, mahu Zahid disingkir

    Bekas ketua hakim kritik UMNO laung slogan ‘Hidup Bossku’, mahu Zahid disingkir

    BEKAS Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad mengingatkan penyokong UMNO untuk menolak pemimpin terpalit skandal selepas parti itu menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Abdul Hamid yang bersara sebagai Ketua Hakim Negara pada 2008 selepas 50 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman, mengkritik Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan penyokongnya yang memekik slogan “Hidup Bossku” bagi meraikan kemenangan pada Sabtu lalu.

    Slogan tersebut sinonim dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian penjenamaan semula imejnya selepas tumbang dari tampuk pentadbiran kerajaan pada 2018 dan dikenakan pelbagai pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

    “Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi,” kata Abdul Hamid dalam satu tulisan panjang bertajuk “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU15?” hari ini.

    Barisan Nasional (BN) mendominasi kemenangan PRN Melaka dengan memenangi 21 dari 28 kerusi yang ditandinginya.

    Abdul Hamid mengingatkan liabiliti kepimpinan UMNO yang terpalit skandal selain berkata pimpinan seperti Ahmad Zahid, yang turut berdepan pelbagai pertuduhan rasuah perlu disingkirkan.

    Beliau turut berkata, pimpinan UMNO  perlu melakukan perubahan untuk menarik semula pengundi yang menjauhi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, mengatakan Ahmad Zahid perlu berundur demi mencapai matlamat tersebut.

    “Orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah. Untuk berubah, Ahmad Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden Umno. Demikian juga pemimpin UMNO yang menjadi liabiliti kepada UMNO,” katanya.

    Menurut Abdul Hamid, orang Melayu sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat “sejarah hitam UMNO” yang dikalahkan dalam PRU14 yang lalu untuk melihat parti itu dibersihkan daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

    “Pengajaran paling penting kepada UMNO ialah ia mesti sedar orang Melayu memberinya peluang sekali lagi. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser dari dalam,’’ katanya.

    Abdul Hamid menambah pengundi Melayu menunjukkan bahawa mereka serik dengan pemerintahan PH selama 22 bulan sebelum ini dan mereka muak dengan politiking yang melampau dan tidak menerima perbuatan lompat melompat parti demi kepentingan diri.

    “Orang Melayu sudah bosan dengan kerenah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Eloklah beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri dan bersara daripada politik,” katanya.