Category: Semasa

  • UMNO yakin mampu rampas Terengganu daripada Pas

    UMNO yakin mampu rampas Terengganu daripada Pas

    UMNO Terengganu yakin dapat menawan kembali negeri itu sekali gus merampas tampuk pimpinan daripada kerajaan Pas.

    Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam, berkata keyakinan itu berpandukan kepada keinginan dilontar dan disuarakan rakyat Terengganu.

    Katanya, kesediaan UMNO Terengganu untuk merampas pentadbiran negeri itu daripada pimpinan Pas juga seiring pendirian parti berkenaan yang ingin bertanding solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    ‘’Hari ini kita melihat desakan daripada rakyat di bawah, melihat kepada keluh kesah rakyat di bawah memang rakyat bersedia untuk menyokong Barisan Nasional (BN) kembali tadbir negeri Terengganu.

    ‘’Jadi kita sebagai jentera pimpinan parti di peringkat negeri memang bersedia untuk menyahut  kehendak yang telah dilontar dan disuarakan oleh masyarakat di bawah,’’ katanya lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun, Din berkata, UMNO menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk menilai dan memilih pemimpin yang mampu mentadbir dan membela nasib mereka.

    Pada masa sama, kata beliau UMNO  optimis untuk merebut kembali kerusi yang pernah dimenangi parti itu bagi membentuk kerajaan yang stabil.

    Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu di Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

    UMNO pula memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

    Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu kemudiannya berpindah menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah penyandangnya, Datuk Rosol Wahid isytihar keluar parti dan menyertai Bersatu.

    Sementara bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Pas memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi dimenangi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

  • Sotong goreng RM100, Restoran Hameediyah diberi notis

    Sotong goreng RM100, Restoran Hameediyah diberi notis

    RESTORAN nasi kandar popular Hameediyah di Georgetown, Pulau Pinang yang tular di dalam media sosial kerana menjual dua sotong goreng pada harga RM100 dikenakan notis oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Cawangan Timur Laut.

    Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada pengusaha restoran itu dikeluarkan selepas tiga pegawai penguat kuasa PPDNHEP Cawangan Timur Laut melakukan pemeriksaan di restoran berkenaan hari ini.

    Menurut Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar, notis itu dikeluarkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng berkenaan.

    Ujar beliau, pengusaha restoran itu dikehendaki memberikan maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja atau sehingga 26 November ini kepada pejabat Cawangan Timur Laut.

    “Sekiranya gagal berbuat demikian, pengusaha boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sotong goreng Restoran Hameediyah.
    Sotong goreng Restoran Hameediyah.

    Mengulas lanjut, Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya sentiasa memandang serius sebarang isu kenaikan harga atau melibatkan unsur pencatutan yang berkemungkinan dilakukan oleh peniaga-peniaga.

    “Sekiranya berlakunya sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah, pengguna disarankan membuat laporan rasmi kepada
    pihak kementerian,” katanya.

    Terdahulu awal hari ini, gambar resit dan lauk sotong goreng berharga RM100 yang dijual di restoran Hameediyah itu ditularkan di dalam media sosial dipercayai oleh pelanggan yang turut meminta orang ramai berhati-hati sekiranya mahu makan di Pulau Pinang.

  • Penjawat awam B40 boleh beli takaful kenderaan secara ansuran

    Penjawat awam B40 boleh beli takaful kenderaan secara ansuran

    KIRA-KIRA 1.7 juta penjawat awam terutama daripada golongan B40 kini berpeluang membeli atau memperbaharui takaful (insurans) kenderaan mereka secara ansuran tanpa sebarang faedah melalui pelaksanaan Skim MyezyCover yang diperkenalkan kerajaan hari ini.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, skim patuh syariah itu dilaksanakan dengan pembiayaan RM100 juta melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) dan A Tech Insure Sdn Bhd (ATECH).

    “Pada peringkat awal ini, program disasarkan kepada penjawat awam khasnya B40 sebelum diperluaskan kepada golongan pesara (kerajaan) dan syarikat swasta yang mana mereka boleh membeli insurans (takaful kenderaan) secara ansuran sama ada setiap bulan, setiap tiga atau empat bulan atau sekali gus.

    “Apabila mereka buat pembayaran sekali gus, mereka akan dapat 10 peratus diskaun dengan pembayaran adalah menerusi potongan gaji oleh Angkasa,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Skim MyezyCover di Menara Perkeso di Kuala Lumpur hari ini.

    Pada majlis perjanjian itu, Perkeso diwakili Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; ATECH diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syed Alwi Mohamed Sultan manakala MAAB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Faudzi Mt Din.

    Saravanan berkata, penglibatan Perkeso dalam program skim itu adalah sebagai pelabur kerana kerajaan menyedari terdapat penjawat awam khususnya daripada golongan B40 berdepan dengan kedudukan kewangan yang sekadar “cukup-cukup” untuk membeli takaful kenderaan mereka.

    “Keadaan ini menyebabkan ada daripada mereka terpaksa menunggu sehingga mendapat gaji untuk membeli takaful kenderaan sekiranya tempoh takaful kenderaan itu tamat pada pertengahan bulan.

    “Ada juga kumpulan-kumpulan ini memiliki road tax (lesen kenderaan motor) dan insurans kerana meminjam Ah Long (peminjam wang tidak berlesen) selain melalui koperasi dan menggunakan kad kredit.

    Jadi melihat pada kerugian aliran tunai melalui pinjaman ini, saya berbincang dengan syarikat sektor insurans dan diberitahu mereka tiada halangan untuk berikan ansuran selagi ada pihak ketiga boleh bayarkan (biaya) dahulu. Jadi saya telah berbincang dengan Perkeso dan pihak lain kemudiannya untuk menyertai program sebagai pelabur,” katanya.

    Saravanan yakin program itu akan dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat memandangkan lebih ramai penjawat awam berupaya mengurangkan bebanan kewangan mereka.

    Sementara itu, Pengerusi ATECH, Tan Sri Abu Kassim Mohamad dalam kenyataan berkata, dengan ansuran serendah RM50 sebulan, Skim MyezyCover itu dapat membantu penjawat awam menguruskan pegangan tunai untuk digunakan pada perbelanjaan lain. – BERNAMA

  • 14 PATI kantoi ceroboh negara ikut jalan tikus

    14 PATI kantoi ceroboh negara ikut jalan tikus

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN mengetahui pihak berkuasa Malaysia melakukan kawalan ketat serta operasi khas mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), seramai 14 individu dipercayai warga Indonesia tetap mencuba untuk melepasi negara ini melalui jalan tikus.

    Bagaimanapun, kehadiran mereka yang berusia antara 20 hingga 45 tahun itu tidak berjaya apabila dicekup Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan pantai berhampiran Teluk Punggai di Kota Tinggi, di sini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI itu ditahan dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

    Kata kenyataan itu, pergerakan PATI tersebut berjaya dikesan pada pukul 2 pagi selepas Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai.

    “Sekitar pukul 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai.

    “Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 4.40 pagi telah berjaya menahan dan membuat tangkapan ke atas sembilan PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” kata kenyataan itu hari ini.

    Tambahnya, Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama tim Drone Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) kemudian telah diatur gerak bagi membuat penjejakan untuk mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi.

    Hasilnya, sekitar pukul 9 pagi hari sama, Tim QRF telah berjaya menangkap lima lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama yang dipercayai saki baki mereka yang baru tiba ke negara ini.

    “Kesemua mereka telah menjalani saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang dan hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

    “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,063 melibatkan matawang Malaysia RM1,635.00, Indonesia IDR 10,338,330 (RM 3,048.00) bersama 11 buah telefon bimbit serta barangan kemas,” katanya.

    Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas dan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    Tambahnya pasukan kemudian meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron BSPP serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

  • Penunggang langgar lari motosikal lain dikesan

    Penunggang langgar lari motosikal lain dikesan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS sedang mencari individu yang terlibat dalam kemalangan langgar lari sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian di Kilometer 58, Jalan Batu Pahat – Mersing, malam tadi.

    Dalam kemalangan pada pukul 8.15 malam itu, mangsa yang berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia kurang dua jam kemudian selepas dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, polis sedang mengenal pasti identiti suspek yang turut menaiki motosikal dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit agar tampil membantu.

    “Kemalangan melibatkan dua buah motosikal iaitu jenis Suzuki RCI IOS dan sebuah lagi tidak pasti jenisnya. Ketika siasatan, motosikal tersebut tiada di tempat kejadian kerana dipercayai telah melarikan diri.

    “Berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Mersing menghala ke Kluang tiba di tempat kejadian telah berlanggar motosikal lain yang secara tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan,” katanya di sini, hari ini.

    Tangkap layar rakaman video yang tular

    Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal jenis Suzuki RCI 10S itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke HEBHK untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 malam.

    Hang Seng berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian.

    “Usaha mengesan pihak yang terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang,” katanya.

    Sementara itu, sebuah klip video kemalangan terbabit yang berdurasi 22 saat tular di media sosial dan mendapat reaksi pelbagai daripada warganet.

    Menerusi video itu, motosikal mangsa yang tiba di persimpangan lampu isyarat tiba-tiba dirempuh sebuah motosikal lain sehingga menyebabkan kedua-dua penunggang terpelanting ke atas jalan raya.

    Suspek dilihat menangkat motosikalnya dan segera melarikan diri tanpa mempedulikan mangsa yang terbaring di atas jalan raya sebelum dibantu pengguna lain.

  • Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal

    Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Balik Pulau membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan oleh sebuah portal yang disifatkan tidak tepat dan palsu mengenai Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Balik Pulau, Rosmady Mat Abu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, jam 2.00 petang tadi.

    Beliau berkata, kandungan artikel tersebut adalah tidak lain ingin menjatuhkan kredibiliti Menteri Kanan Pendidikan itu selain berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan (KPM) keseluruhannya.

    Katanya artikel yang disiarkan pada 21 Nov lepas bertajuk “Gempar! Bermula esok guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid” jelas tidak benar dan berniat jahat serta boleh mencemarkan reputasi KPM.

    “Diharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan serius ke atas pemilik portal terlibat kerana menyebarkan berita palsu dengan harapan tidak menimbulkan kegusaran awam,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini. – BERNAMA

  • Restoran Hameediyah jawab kecaman jual sotong goreng RM100

    Restoran Hameediyah jawab kecaman jual sotong goreng RM100

    SELEPAS dikecam warga maya ekoran menjual dua ekor sotong pada harga RM100 seperti yang tular di dalam media sosial hari ini, pengusaha restoran nasi kandar popular Hameediyah di Georgetown, Pulau Pinang tampil menjelaskan perkara sebenar.

    Pengarah Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, harga lauk itu tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan pihaknya sudah memaparkan kesemua harga makanan yang dijual untuk pengetahuan pelanggan.

    Malah katanya, harga lauk sotong itu juga dipaparkan dengan jelas antara RM10 hingga RM150 termasuk harga makanan lain yang dijual di restoran tersebut.

    Jelasnya lagi, sotong goreng jenis ‘appollo’ itu agak mahal iaitu dibeli pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram selain harganya yang sentiasa berubah-ubah di pasaran.

    Menjelaskan lebih lanjut tambahnya, beliau sendiri mengambil pesanan pelanggan terbabit yang turut membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan sayur timun.

    Menurutnya, sotong goreng yang dibungkus pelanggan itu juga bersaiz besar iaitu berharga antara RM110 dan RM120 untuk dua orang, namun dia telah memberikan diskaun kepada pelanggan terbabit.

    “Apabila pelanggan ini menempah hidangan sotong tersebut mereka tidak bertanyakan mengenai harganya.

    “Mereka juga melihat dengan jelas harga yang saya kenakan ketika mahu membayar tetapi tidak mengadu apa-apa ketika itu.

    “Saya tidak menyangka mereka bertindak menyiarkan salinan resit ini ke dalam media sosial sehingga menjadi tular dan saya anggap mereka sengaja mahu melakukannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Terdahulu awal hari ini, gambar resit dan lauk sotong berhara RM100 itu ditularkan di dalam media sosial dipercayai oleh pelanggan terbabit yang turut meminta orang ramai berhati-hati sekiranya mahu makan di Pulau Pinang.

    Dalam pada itu, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, ini bukan kali pertama restoran berkenaan tular di dalam media sosial selepas kejadian hampir sama membabitkan hidangan ayam piru sebelum ini yang turut didakwa terlalu mahal.

    Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya sudah mempamerkan dengan jelas harga makanan yang dijual di restoran itu pada papan tanda harga dan tidak memaksa pelanggan membelinya sekiranya beranggapan harganya terlalu mahal.

    “Malah, saya juga meminta pekerja untuk memaklumkan kepada pelanggan mengenai harga hidangan tertentu yang mahal,” katanya.

  • Jijik… rider campur makanan halal, tidak halal dalam kotak sama

    Jijik… rider campur makanan halal, tidak halal dalam kotak sama

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERSATUAN Pengguna Kedah (Cake) menggesa pihak berwajib agar bertindak melakukan sesuatu bagi memastikan makanan halal dan tidak halal, tidak diletakkan dalam kotak penyimpanan sama apabila dihantar oleh penghantar makanan.

    Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu baru-baru ini daripada pengguna perkhidmatan tersebut yang meragui akan kesucian makanan diterimanya apabila perkara itu berlaku.

    “Baru-baru ini kami menerima aduan daripada seorang pengguna yang mendakwa dia menerima makanan tidak halal apabila penghantar makanan tersebut tersilap mengambil bungkusan.

    “Apabila kami membuat penelitian, barulah kami tahu bahawa makanan tidak halal dan makanan halal selama ini rupa-rupanya diletakkan dalam ruang penyimpanan sama yang ada pada kenderaan penghantar makanan,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat di Alor Setar, hari ini.

    Sebagai seorang muslim katanya, sudah tentu tiada siapa yang mahu agar ‘aroma’ makanan tidak halal tersebut masuk ke dalam makanan halal yang diletakkan di ruang penyimpanan sama.

    “Lebih menyedihkan, individu yang membuat penghantaran itu juga merupakan seorang muslim. Jadi perkara sebegini boleh menimbulkan keraguan dari pelbagai sudut.

    “Kami cadangkan supaya diwujudkan sistem agar makanan yang tidak halal tidak dicampur adukkan dengan makanan halal. Selain itu, golongan penghantar makanan juga diharap dapat bertindak dengan lebih prihatin dalam isu ini,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut menyarankan agar Jabatan Agama Islam meneliti perkara tersebut.

    “Pengguna hari ada segelintirnya masih bimbang untuk keluar makan di restoran dan memilih perkhidmatan penghantaran makanan untuk mengelakkan mereka daripada bersesak-sesak.

  • Penghantar makanan edar kanabis ke tali gantung

    Penghantar makanan edar kanabis ke tali gantung

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MAHKAMAH Tinggi di Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penghantar makanan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 764.90 gram pada 2018.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid membuat keputusan itu terhadap Izad Shahizal Pungot, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Dalam penghakiman ringkas, Hakim Ahmad Kamal menyabitkan tertuduh didapati bersalah dan pembelaan gagal menyangkal anggapan di bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap kegiatan pengedaran dadah.

    Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah pada pukul 9.30 malam, 16 Januari 2018.

    Ekoran kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

    Sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 2019, seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah dipanggil memberi keterangan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam, Shaik Saleem S.M. Daud.

  • Solat jemaah rapat saf di Johor seawal Januari

    Solat jemaah rapat saf di Johor seawal Januari

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SELEPAS hampir dua tahun jemaah yang menunaikan solat di masjid dan surau perlu mengamalkan penjarakan ekoran pandemik Covid-19, jemaah di Johor mungkin dapat merapatkan saf semula seperti sedia kala seawal tahun depan.

    Ini berikutan negeri itu sudah bersedia untuk membenarkan jemaah merapatkan saf ketika solat berjemaah di masjid dan surau seperti sebelum wabak tersebut serta tidak lagi perlu melakukan penjarakan fizikal.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, cadangan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mendapatkan perkenan Baginda pada minggu depan.

    Beliau berkata, satu mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor akan diadakan bagi melengkapkan kertas cadangan tersebut sebelum dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim.

    “Ramai yang bertanyakan bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu sebelum penularan Covid-19 setelah Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Oleh itu, kita akan perincikan kertas cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu solat jemaah di masjid dan surau pada minggu depan sebelum dipersembahkan kepada Tuanku Sultan.

    “Diharap tatacara SOP baharu solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini tanpa penjarakan fizikal akan diperkenalkan pada awal Januari depan setelah diperkenan Sultan Johor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Menurut Tosrin, dua cadangan yang akan diketengahkan dalam kertas cadangan itu adalah solat jemaah dengan kapasiti penuh di masjid dan surau tanpa penjarakan sosial dan solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial.

    Kata beliau, pihaknya juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mempersembahkan cadangan berkenaan kepada Sultan Johor.

    Pada bulan lalu, kerajaan negeri membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri itu dilaksana dengan mengikut had satu pertiga daripada kapasiti masjid atau surau.

    Sementara itu, Tosrin berkata, cadangan pengenalan SOP baharu solat berjemaah tanpa penjarakan sosial itu bagaimanapun tertakluk kepada situasi Covid-19 semasa di negeri tersebut.

    “Buat masa ini, jemaah perlu mematuhi SOP sedia ada seperti perlu lengkap dua dos vaksin selain kita akan memastikan semua pegawai masjid dan surau yang terdiri daripada imam, bilal dan noja sudah lengkap divaksin,” katanya.