Category: Semasa

  • Pembesar suara punca lelaki maut dicekik

    Pembesar suara punca lelaki maut dicekik

    Hanya kerana pembesar suara, seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam pergaduhan di hadapan warung pasar pagi di Flat Ashby Road, Ipoh, pagi tadi.

    Seorang wanita yang melihat kejadian tersebut melaporkan kepada polis pada pukul 9.50 pagi bagi meleraikan pergaduhan itu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bagaimanapun mangsa, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, didapati maut di lokasi kejadian dan disahkan petugas kesihatan yang hadir selepas itu.

    Menurutnya, berdasarkan temubual saksi yang juga pemilik gerai di tempat kejadian memaklumkan datang satu lelaki menaiki kenderaan jenis Perodua Kenari kira-kira pukul 7 pagi bertanyakan mangsa.

    “Kira-kira pukul 9 pagi mangsa tiba seorang diri dengan berjalan dan duduk di kerusi di bawah khemah depan kedai sebelum memesan minuman.

    “Setengah jam kemudian datang satu lagi lelaki (berjumpa mangsa). Lelaki itu kemudian beredar namun datang semula dengan bapa saudaranya untuk berjumpa mangsa.

    “Kemudiannya berlaku pertengkaran (mangsa dan suspek) sebelum berlaku pergelutan antara mereka. Kedua-dua suspek berjaya memegang mangsa,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata, tidak lama kemudiannya datang seorang lagi lelaki yang juga bapa kepada salah satu suspek di situ yang turut memegang mangsa.

    “Suspek itu (baru tiba) memeluk leher (mangsa) dari belakang sementara anaknya duduk atas belakang badan mangsa yang berada dalam keadaan meniarap.

    “Suspek memaut leher mangsa hampir 15 minit sehingga lemah. Tidak lama kemudian, kawan mangsa datang dan suspek melepaskannya (mangsa) namun ketika itu dia sudah tidak bergerak,” katanya.

    Katanya, susulan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia 60, 47 dan 34 tahun dilokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Polis turut merampas pisau lipat milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

    Menurutnya, punca kejadian dikatakan mangsa mencuri portable speaker (pembesar suara mudah alih) di warung milik salah seorang suspek.

    “Mangsa yang berada ditempat kejadian dikatakan memasang speaker milik suspek dengan kuat sehinggalah berlaku pergaduhan. Mangsa juga di katakan agak kurang siuman,” katanya.

    Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod lampau pelbagai kes jenayah termasuk berkaitan dadah.

    “Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa terdapat luka kecil di dahi kanan dan di pergelangan tangan kiri.

    “Mayat mangsa dibawa ke hospital HRPB untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

  • Tiket bas VTL-Land habis dijual dalam masa 30 minit

    Tiket bas VTL-Land habis dijual dalam masa 30 minit

    “Akhirnya, saya akan pulang”, pastinya ungkapan itu bermain di minda kebanyakan rakyat Malaysia di Singapura termasuk Wan Muhammad Fazlan Nordin, 28, selepas berjaya mendapatkan tiket bas di bawah skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) yang diumumkan pada Rabu.

    Skim VTL-Land yang bermula Isnin depan (29 Nov) membolehkan orang ramai yang lengkap vaksin COVID-19 melakukan perjalanan rentas sempadan dengan menaiki bas tanpa perlu menjalani kuarantin.

    Mereka yang memilih skim VTL-Land hanya boleh melakukan perjalanan melalui perkhidmatan bas disediakan dua pengendali bas – Transtar Travel Pte Ltd dan Handal Indah Sdn Bhd (juga dikenali sebagai Causeway Link) – dengan tiket dijual untuk tempoh perjalanan selama 30 hari.

    Sebanyak 32 perkhidmatan bas disediakan setiap hari dengan kapasiti maksimum 45 penumpang bagi setiap perjalanan, bermakna terdapat 1,440 penumpang sehala atau 2,900 secara keseluruhan.

    Wan Muhammad Fazlan yang tidak pulang ke Malaysia sejak bermulanya pandemik COVID-19 awal tahun lepas, adalah antara individu terawal mendapatkan tiket bas yang hanya dijual dalam masa kurang 30 minit.

    Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Perunding Sumber Manusia berusia 28 tahun itu berkata, dia duduk di hadapan komputer riba seawal 7 pagi sebelum ‘beratur’ dalam talian untuk mendapatkan tiket yang dijual bermula 8 pagi.

    “Pada 7.50 pagi saya cuba layari laman sesawang Causeway Link dan terpaksa menunggu. Saya ambil keputusan beralih ke laman sesawang Transtar Travel. Selepas memilih tarikh perjalanan, buat bayaran dan tekan butang ‘enter’, jantung saya mula berdegup apabila membaca pemberitahuan ‘pembayaran tidak berjaya’.

    “Pada awalnya rasa sangat kecewa…tetapi pada 8.13 pagi saya dapat pesanan bayaran telah berjaya…Alhamdulillah saya dapat tiket untuk perjalanan ke Johor Bahru bertarikh 24 Dis.

    “Saya sangat excited.. sangat gembira untuk bertemu keluarga selepas hampir dua tahun tak balik. Saya adalah antara rakyat Malaysia yang tidak balik langsung sejak pintu sempadan ditutup. Jadi ini baru pertama kali balik… happy sangat,” katanya.

    Wan Muhammad Fazlan, antara ribuan rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura selepas sempadan ditutup untuk membendung COVID-19 dan teruja untuk pulang ke tanah air bertemu ahli keluarga.

    Beliau menasihatkan kepada yang berjaya mendapatkan tiket untuk menjaga diri dan kepada yang tidak berjaya jangan putus asa.

    “Sabar, insya-Allah, ini adalah permulaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura untuk mula berulang-alik,” katanya. – Bernama

  • PRN Melaka: Sokongan penjawat awam beri PN motivasi – Hamzah

    PRN Melaka: Sokongan penjawat awam beri PN motivasi – Hamzah

    KEPUTUSAN  Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Noember lalu  memberikan Perikatan Nasional (PN) lebih motivasi susulan sokongan padu yang diterima gabungan itu daripada penjawat awam.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, walaupun hanya memenangi dua kerusi namun  “post mortem” awal dengan parti komponennya memberikan mereka beberapa alasan untuk meraikannya.

    ‘’“Kami mendapati terdapat peningkatan dari segi sokongan kepada PN dan itu memberikan kami lebih motivasi,” katanya lapor portal Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemegang taruh industri keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bergambar bersama ahli-ahli PIKM ketika hadir ke Majlis Perjumpaan dan Amanat YB Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Hamzah berkata, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, adalah penting mencari jalan untuk mengelakkan lebih banyak pertembungan yang boleh menyebabkan perpecahan lebih besar dalam negara.

    “Itu bagi saya lebih penting daripada perkara lain,” katanya.

    Beliau berkata, PN telah melibatkan beberapa organisasi untuk menghasilkan analisis mendalam mengenai prestasi gabungan itu di Melaka yang akan didedahkan kemudian.

    Mengulas siasatan polis terhadap ucapan dibuat di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman mengenai kebimbangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan desakan pemisahan Sabah, Hamzah berkata, Ahli Parlimen Warisan itu tidak sepatutnya menyentuh isu yang tidak menyumbang kepada pembinaan negara bangsa.

    “Orang ramai tidak boleh bercakap tentang isu sebegini hanya untuk suka-suka. Jika mereka bercakap sesuatu, ia sepatutnya membantu atau menyelesaikan masalah atau cadangan bagaimana rakyat boleh hidup aman dan harmoni,” katanya.

    “Tetapi jika mereka mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan rakyat, sudah tentu kita akan mengambil tindakan.”

  • Nelayan Pulau Pinang terus tolak projek tambak laut

    Nelayan Pulau Pinang terus tolak projek tambak laut

    PERSATUAN Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) menerusi Mesyuarat Agung Ke-36 di Batu Maung hari ini sekali lagi meluluskan resolusi menolak sebarang projek tambakan laut di negeri itu yang akan mengancam mata pencarian kira-kira 6,000 golongan berkenaan.

    Bantahan itu termasuk bagi projek tambak laut untuk membentuk tiga buah pulau buatan (PSR) seluas 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut dan tambakan laut dari Bagan Ajam ke Telok Air Tawar seluas 407 hektar dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU). 

    Pengerusi Pen Mutiara, Mahadi Md. Rodzi berkata, resolusi itu yang diputuskan secara rasmi menerusi mesyuarat agung sekali gus menjelaskan mana-mana pandangan nelayan Pulau Pinang yang didakwa menyokong projek tambak laut khususnya PSR sebelum ini bukan mewakili suara atau pendirian komuniti nelayan negeri itu.

    “Resolusi menerusi mesyuarat agung ini adalah jelas merupakan suara akar umbi khususnya nelayan di unit-unit atau kawasan nelayan yang bakal terjejas secara langsung dengan rancangan projek tambakan laut di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung itu di sini hari ini. 

    Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membatalkan kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek PSR.

    Keputusan itu berikutan Lembaga Rayuan JAS pada September lalu membuat keputusan mengetepikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan sekali gus menyebabkan kelulusan yang diperoleh bagi projek itu pada 25 Jun 2019 terbatal dan tidak lagi sah.

    Dalam perkembangan lain, Mahadi berkata, mesyuarat agung Pen Mutiara hari ini turut meluluskan resolusi membantah rancangan pembangunan jeti pendaratan tuna di Batu Maung sekiranya melibatkan pengambilalihan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

    Menurut beliau, pihaknya difahamkan projek itu kini dalam perancangan untuk dibangunkan oleh pihak swasta dan bakal melibatkan tanah seluas kira-kira tiga hektar di Batu Maung di sini. 

    Jelas beliau, pihaknya tidak membantah projek pembangunan itu tetapi perlu dipastikan tidak melibatkan pengambilalihan tanah milik LKIM yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan nelayan. 

    “Apa yang menjadi kebimbangan kita  sekiranya projek ini yang pernah dirancang pada 2006 sekali lagi gagal sedangkan tanah milik LKIM seluas lapan hektar ketika itu telah tergadai,” katanya. 

    Ujar beliau, pihaknya telah menyerahkan bantahan projek itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada November lalu dan berharap mendapat perhatian serta sokongan daripada Kerajaan Pusat.

    “Sama seperti bantahan terhadap projek tambakan laut, komuniti nelayan Pulau Pinang juga sedia berhadapan apa jua kemungkinan dalam mempertahankan hak kami dalam isu pembinaan jeti ikan tuna ini,” katanya.

  • Kes Syed Saddiq dibenar dibicarakan di Mahkamah Tinggi

    Kes Syed Saddiq dibenar dibicarakan di Mahkamah Tinggi

    PERBICARAAN Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang membenarkan permohonan Syed Saddiq supaya kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

    Hakim Mohamed Zaini dalam keputusan ringkas berkata mahkamah yakin kemungkinan besar terdapat persoalan perundangan luar biasa yang akan timbul (dari kes itu).

    “Adalah wajar untuk keadilan bagi kes pemohon (Syed Saddiq) dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Sehubungan itu, permohonan ini dibenarkan,” kata hakim.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa pemohon telah gagal untuk menunjukkan isu undang-undang yang wujud adalah isu yang kompleks dan pertama kali wujud sehingga menyebabkan seorang hakim Mahkamah Sesyen tidak dapat mengendalikan isu berkenaan.

    “Berhubung dakwaan pembelaan wujudnya konspirasi jenayah, pemohon juga gagal untuk menunjukkan dalam afidavitnya bagaimana Hakim Mahkamah Sesyen tidak boleh menangani dakwaan pembelaan tersebut jika ia timbul semasa perbicaraan kelak. Justeru, kami memohon permohonan ini ditolak,” katanya.

    Sementara itu, peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah jika kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen, masalah akan timbul kerana ia tidak dapat mengendalikan isu perlembagaan.

    Menjawab perkara ini, Hakim Mohamed Zaini bersetuju dengan hujah Gobind bahawa akan ada gangguan perbicaraan apabila isu itu timbul di Mahkamah Sesyen.

    “Bagaimanapun, jika kes bermula (dibicarakan) di Mahkamah Tinggi, kami (Mahkamah Tinggi) boleh mengendalikan isu perlembagaan, ia akan menjadi seperti Pusat Sehenti,” kata hakim.

    Sebutan kes itu dijadual pada 30 Nov di Mahkamah Sesyen untuk kedua-dua pihak mengemas kini mahkamah mengenai keputusan hari ini.

    Bagi pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq, 28, didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad,Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pada 5 Ogos di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

    Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.– Bernama

  • 5 termasuk kontraktor bergaduh bersenjatakan payung, gergaji di tepi jalan

    5 termasuk kontraktor bergaduh bersenjatakan payung, gergaji di tepi jalan

    HANYA kerana kurang sabar dan enggan bertolak ansur, lima individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana bergaduh akibat salah faham ketika memandu di jalan raya.

    Semua yang ditahan disyaki terlibat dalam satu pergaduhan di tepi jalan raya di kawasan Bulatan Taman Seraya, Ampang, Selangor.

    Suspek yang berumur lingkungan 16 hingga 48 tahun ditahan di Taman Bukit Teratai dan Taman Pandan Mewah, Ampang

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, punca kejadian dipercayai akibat salah faham ketika menggunakan jalan raya dan kurangnya sikap bertolak ansur sehingga menyebabkan pergaduhan.

    “Seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun bekerja sebagai kontraktor pendawaian bersama anaknya menaiki lori dalam perjalanan ke tempat kerja telah berlaku perselisihan faham dengan sebuah kereta perodua Myvi yang dipandu oleh dua lelaki dan seorang perempuan.

    “Pengadu bertindak menyekat kereta dan mengarahkan mereka berhenti sehingga berlakunya pertengkaran dan pergelutan. Semasa kejadian juga kedua-dua pihak ada memegang payung dan gergaji sebagai senjata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, polis turut merampas sebuah lori dan sebuah motokar serta senjata yang digunakan semasa kejadian.

    Hasil ujian air kencing semua mereka didapati negatif dadah dan semakan terhadap salah seorang yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

    Semua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selamat tempoh lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.

    Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan sekumpulan individu bergaduh di tepi jalan raya.

  • Tolak Muafakat Nasional, jika hanya libat UMNO, Pas – Hadi

    Tolak Muafakat Nasional, jika hanya libat UMNO, Pas – Hadi

    TAN Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas menolak Muafakat Nasional yang terbelenggu dengan hanya melibatkan parti itu dan UMNO sahaja.

    Selain itu Presiden Pas tersebut turut menegaskan, parti juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan lebih besar iaitu Perikatan Nasional.

    ‘’Tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang boleh mencacatkan struktur negara, sememangnya memerlukan suatu perubahan kepada proses islah yang dibentuk terkini kerana Barisan Nasional (BN) yang sudah berpenyakit.

    ‘’Oleh itu, langkah persembahannya bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional yang tidak lengkap, maka perlu dilengkapkan dengan penubuhan Perikatan Nasional .

    ‘’Oleh yang demikian, secara tegasnya Pas tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain. Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Pas boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja.

    Bahkan, tegas beliau, Pas bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

    ‘’Pas hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata.

    ‘’Pas hanya menerima Muafakat Nasional yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik Perikatan Nasional,’’ katanya.

    Abdul Hadi berkata, demi agenda perpaduan umat yang sebenarnya, maka Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional adalah laksana dua dalam sepasang yang tidak harus dipisahkan, sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.

    ‘’Kedua-dua gagasan ini laksana dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Bahkan, ia juga laksana sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah kasut sahaja.

    ‘’Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya. Kita semua laksana ramainya penumpang yang berada dalam satu bahtera atau mengikut slogan Keluarga Malaysia yang besar sebagaimana diuar-uarkan,’’ katanya.

    Beliau menegaskan,  berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera (penduduk asal), maka mereka wajib disatukan setelah berpecah belah dan berporak-peranda selama ini.

    ‘’Muafakat Nasional bukan sahaja disertai oleh Pas dan UMNO, bahkan melibatkan semua pihak jika benar-benar gagasan itu berkonsepkan acuan al-Quran yang pernah mendidik masyarakat Arab sebelum Islam yang berpecah belah,’’ katanya.

    Dalam pada itu, kata Abdul Hadi, semua pihak mesti diterima hakikat bahawa Perikatan Nasional yang menjadi gagasan politik lebih besar, perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini.

    ‘’Khususnya, bagi menegakkan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang telah wujud dan tidak perlu dirungkai lagi, tetapi kandungan perlembagaan mestilah ditafsirkan dengan jiwa yang merdeka daripada sebarang pengaruh penjajahan pemikiran yang perlu dibuang segala kesan-kesan dan pengaruhnya yang masih ada.  Di samping itu, perlu disingkirkan puak pendukung penjajah yang menjadi makhluk perosak dalam keluarga Malaysia,’’ katanya.

    Beliau berkata, Pas hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.

  • Persatuan Skuasy Israel ‘mengamuk’ Malaysia tolak beri visa

    Persatuan Skuasy Israel ‘mengamuk’ Malaysia tolak beri visa

     

    MALAYSIA  menolak untuk memberikan visa kepada pemain Israel yang mahu menyertai kejohanan skuasy utama bulan depan, kata badan pengurusan sukan negara, mencetuskan kecaman ramai di negara Yahudi tersebut.

    Tindakan tersebut adalah satu lagi keputusan tegas negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bagi menghalang atlet dari negara itu masuk ke Malaysia.

    Portal MalaysiaNow melaporkan, kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi lelaki itu dijangka berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Disember dengan, dengan 26 regu bakal mengambil bahagian.

    Bagaimanapun, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) berkata ia “telah dimaklumkan, pihak berkuasa Malaysia masih belum memberikan visa bagi pasukan skuasy Israel”.

    “WSF komited dengan prinsip kejohanan dunia yang terbuka dan inklusif di mana semua negara anggota yang ingin mengambil bahagian dialu-alukan untuk berbuat demikian,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan kepada AFP.

    WSF menambah ia sedang berhubung dengan badan skuasy Malaysia dan berharap “penyelesaian yang adil dan praktikal dapat dicapai”.

    Persatuan Skuasy Israel berkata, ia merancang untuk membuat aduan berhubung perkara tersebut kepada Mahkamah Sukan di Switzerland jika WSF tidak dapat menyelesaikan isu tersebut.

    “Sungguh memalukan, mereka campur urusan sukan dengan politik,” kata pengerusi persatuan skuasy negara itu, Aviv Bushinsky kepada AFP.

    “Mereka yang menutup mata – semua negara yang mengambil bahagian dan biarkan sesuatu seperti itu berlaku – telah membenarkan perkauman dan diskriminasi berlaku dalam sukan.”

    Ketika dihubungi, Persatuan Skuasy Malaysia (PSM) enggan mengulas perkara itu.

  • Pulau Pinang sekali lagi tegaskan tidak akan bayar kepada Kedah

    Pulau Pinang sekali lagi tegaskan tidak akan bayar kepada Kedah

    KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sekali lagi menegaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan membayar caj sumber air mentah setahun seperti dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menerusi Facebook beliau semalam.

    Menurut Kon Yeow berkata, pendirian Pulau Pinang itu juga telah berulang kali dinyatakan secara rasmi sebelum ini.

    “Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Kedah yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook beliau.

    “Saya dengan ini menegaskan bahawa pendirian Pulau Pinang sudah banyak kali dinyatakan secara rasmi.

    “Kita tidak akan bayar kerana isu bayaran adalah tidak berbangkit, ini kerana kita ambil air dari sempadan negeri kita, nampaknya Kedah masih tidak mahu faham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Muhammad Sanusi menerusi Facebook sekali lagi membangkitkan mengenai tuntutan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas memuat naik gambar beliau bersama Kon Yeow dalam satu pertemuan di Istana Negara.

    Sebelum ini, Muhammad Sanusi menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

    Menurut Muhammad Sanusi, tuntutan bayaran air mentah ini adalah untuk negeri dan rakyat Kedah dan wajar serta munasabah kerana pengorbanan Kedah menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.

    Namun, Kon Yeow dalam pertemuan itu menjelaskan Pulau Pinang tidak mampu membayar kerana hasil negeri itu tidak banyak.

  • Malaysia, Singapura kekal komited selesai isu sempadan maritim

    Malaysia, Singapura kekal komited selesai isu sempadan maritim

    MALAYSIA dan Singapura kekal komited untuk menyelesaikan isu sempadan maritim antara kedua-dua negara, termasuk pelaksanaan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkenaan isu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

    Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan akhbar bersama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan selepas Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) bermesyuarat secara maya pada Selasa untuk meneruskan perbincangan mengenai kedaulatan ke atas tiga pulau itu.

    Menurut kenyataan itu, mesyuarat kesembilan berkenaan telah mengesahkan Terma Rujukan (TOR) untuk Jawatankuasa Kecil Mengenai Persempadanan Maritim Pulau Batu Putih (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) dan Jawatankuasa Kecil sepakat meneruskan tugas berdasarkan TOR.

    Mesyuarat itu turut bersetuju bahawa Mesyuarat MSJTC ke-10 akan dihoskan Malaysia pada 2022.

    Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob manakala delegasi Singapura diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong.– Bernama