MALAYSIA dan Singapura kekal komited untuk menyelesaikan isu sempadan maritim antara kedua-dua negara, termasuk pelaksanaan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkenaan isu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan akhbar bersama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan selepas Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) bermesyuarat secara maya pada Selasa untuk meneruskan perbincangan mengenai kedaulatan ke atas tiga pulau itu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat kesembilan berkenaan telah mengesahkan Terma Rujukan (TOR) untuk Jawatankuasa Kecil Mengenai Persempadanan Maritim Pulau Batu Putih (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) dan Jawatankuasa Kecil sepakat meneruskan tugas berdasarkan TOR.

Mesyuarat itu turut bersetuju bahawa Mesyuarat MSJTC ke-10 akan dihoskan Malaysia pada 2022.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob manakala delegasi Singapura diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong.– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here