Category: Semasa

  • Pengantin baharu sebelum maut mahu pakai baju putih, ambil gambar seorang diri atas pelamin

    Pengantin baharu sebelum maut mahu pakai baju putih, ambil gambar seorang diri atas pelamin

    SEORANG pengantin baharu yang melangsungkan majlis pernikahan pada Jumaat lalu, tidak sempat melangsungkan majlis bertandang yang dijadualkan pada Jumaat ini selepas terlibat kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Galok, Pasir Mas-Tanah Merah, Pasir Mas.

    Allahyarham Wan Ahmad Haziq Wan Abdul Razak yang berusia 25 tahun, terlibat dalam kemalangan selepas selesai menguruskan urusan pelamin untuk majlis bertandang tersebut.

    Menurut adiknya, Wan Ahmad Aizat Wan Abdul Razak, 23, sebelum kejadian, dia sempat bersarapan pagi bersama-sama arwah abangnya itu.

    Wan Ahmad Aizat yang bekerja sendiri berkata, dia sepatutnya pulang ke Perak kerana ada urusan kerja, namun membatalkan niatnya kerana berasa tidak sedap hati.

    “Saya tidak sedap hati, sepatutnya selepas makan pagi saya kemas barang untuk balik ke Perak, tapi saya batalkan niat dan keluar untuk beli barangan bertandang untuk majlis arwah pada Jumaat ini.

    “Arwah pun selepas makan pagi, dia keluar menyelesaikan urusan pelamin untuk majlis bertandang dan bercadang untuk pulang ke rumah isterinya di Jeli selepas semua urusan selesai.

    “Lebih kurang jam 4.30 petang, isteri arwah telefon beritahu mereka kemalangan tetapi dia hanya mengalami kecederaan ringan. Tapi kondisi abang saya memang agak teruk menyebabkan saya terdiam dan kaku,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas, semalam.

    Wan Ahmad Aizat berkata, Allahyarham sangat teruja dan gembira ketika berkahwin.

    Malah, katanya, pada minggu lalu hampir setiap hari arwah menghubunginya untuk berkongsi kegembiraan tersebut.

    Wan Ahmad Aizat berkata, arwah abangnya juga memberitahu bahawa dia mahu memakai pakaian putih untuk majlis pada Jumaat ini.

    “Dia ada kata nak pakai baju putih untuk majlis ‘menghantar’ nanti. Rupanya itu salah satu petanda yang kami semua tidak perasan sehinggalah dia sudah tiada.

    “Dalam kumpulan WhatsApp keluarga pun dia ada kata rindu nak ‘melepak’ dengan kawan-kawan. Malah, turut berkongsi gambarnya di pelamin seorang diri yang diambil pada hari pernikahan pada Jumaat lalu,” ceritanya.

    Menurutnya, arwah yang juga anak keenam daripada lapan beradik adalah seorang yang mudah mesra dan sangat taat pada ibu bapa.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kemalangan pada jam 4.45 petang itu melibatkan dua kenderaan.

    Beliau berkata, kenderaan dipandu Allahyarham dari arah Tanah Merah menghala ke Pasir Mas.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan kenderaannya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kenderaan lain.

    “Mangsa dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pasir Mas untuk mendapat rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 6.50 petang dan dibawa ke unit forensik untuk bedah siasat,” katanya.

    Allahyarham Wan Ahmad Haziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, Kota Bharu.

  • ”Jangan anggap menang di Melaka, undi percaya kepada UMNO’’ – Ku Li

    ”Jangan anggap menang di Melaka, undi percaya kepada UMNO’’ – Ku Li

    BEKAS Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu yakin dengan kemenangan besarnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

    Beliau berkata, UMNO tidak seharusnya “terperdaya” kerana ramai rakyat Melaka yang tidak keluar mengundi sehingga peratus keluar mengundi hanya  326,068 undi atau 65.8% daripada pemilih berdaftar di negeri itu.

    Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, pengundi lebih rela “tunggu dan lihat” menjelangnya PRU nanti yang dijangka diadakan tahun depan.

    “Saya tidak katakan Melaka akan mengadakan satu lagi pilihan raya (negeri) bersama dengan pilihan raya umum bagi Parlimen juga. Tetapi saya katakan bahawa mereka merasakan bahawa ini adalah pilihan raya kecil berbanding pilihan raya besar yang akan menggerakkan segalanya selepas PRU15.

    “Tetapi ia adalah amaran jelas kepada semua, termasuk dalam UMNO. Jangan terlalu yakin. Anda mungkin mempunyai sokongan kuat di beberapa bahagian di Melaka. Di peringkat persekutuan anda mungkin berdepan kumpulan anti-BN, (sentimen) anti-UMNO yang kuat berkembang dan akan memberi kejutan serta kekecewaan apabila tibanya PRU15,’’ kata kepada portal Free Malaysia Today.

    Pekembar UMNO 1946
    TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

    Peringatan Ku Li itu dilakukan berikutan keghairahan beberapa pemimpin UMNO yang mendesak supaya PRU-15 diadakan secepat mungkin. Gesaan itu dibuat selepas UMNO mencatatkan kemenangan dua pertiga dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan di PRN Melaka.

    Tengku Razaleigh seterusnya mengingatkan, BN menang dengan margin tipis di beberapa kerusi di Melaka dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi dan memberi amaran pengundi mungkin tidak bersama dengan gabungan itu sekiranya ia gagal menunjukkan prestasi baik.

    Beliau berkata, BN tidak boleh menganggap kemenangan besar di Melaka itu sebagai “undi percaya” pengundi terhadap parti itu sambil menjelaskan bahawa gabungan itu memperolehi kurang 40 peratus daripada jumlah undi.

    “Kita akan tersilap besar jika kita menganggap bahawa majoriti dua pertiga adalah “undi percaya” untuk parti. Saya fikir kita perlu bekerja keras dan berhati-hati,’’ katanya.

    Ku Li menegaskan, UMNO perlu melalui proses transformasi secara berterusan dan kepimpinan UMNO diberi terlalu banyak kuasa.

    Katanya, ini menyebabkan mereka terpisah daripada hakikat di peringkat akar umbi apabila pemimpin menjadi lebih elitis, yang akan menghakis sokongan terhadap UMNO.

  • Dua pendaki Kinabalu cedera, terjatuh ketika aktiviti paragliding

    Dua pendaki Kinabalu cedera, terjatuh ketika aktiviti paragliding

    DUA pendaki cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti paragliding di Gunung Kinabalu, Kundasang, Sabah, pagi tadi.

    Dalam kejadian 7 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui di Kilometer 7.5 Summit Trail dalam keadaan sedarkan diri.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 pagi dan empat anggota bersama empat malim gunung berkejar ke lokasi.

    “Sebaik tiba di lokasi pada 9.30 pagi, mangsa pertama didapati cedera di bahagian lutut, namun masih mampu bergerak sendiri turun ke kaki gunung.

    “Mangsa kedua pula didapati bengkak di bahagian lutut kanan dan disyaki mengalami retak tempurung lutut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Jurucakap itu berkata, mangsa diberikan rawatan awal dan lukanya dicuci serta dibalut sebelum dibawa turun dengan ‘stretcher’.

    “Ketika ini, kedua-dua mangsa bersama pasukan penyelamat masih dalam perjalanan turun,” katanya.

  • Kanak-kanak austisme ditemukan lemas

    Kanak-kanak austisme ditemukan lemas

    SELEPAS dua hari dilaporkan hilang, sorang kanak-kanak austisme ditemukan lemas di Sungai Sarawak, hari ini.

    Mangsa dilaporkan hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, di Kuching sejak Ahad.

    Muhd. Ramadhan Muhd. Ridhwan, 8, dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, kira-kira lima kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) di Kampung Rantau Panjang, 7.20 pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Raffy Saibi berkata, anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menaiki bot bergegas ke lokasi penemuan.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke PKB dan disahkan oleh ibu dan bapanya.

    “Keadaan mayat ditemui dalam keadaan sempurna tanpa ada sebarang kesan kecederaan,” katanya.

    Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

    Pada Ahad lalu, mangsa disedari hilang dari kediaman mereka di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, kira-kira 2 petang.

    Ketika kejadian itu, mangsa tinggal di rumah bersama ibu saudaranya manakala bapanya keluar berniaga.

    BBP Batu Lintang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi bagi melancarkan operasi SAR.

  • Remaja maut kereta bertembung SUV

    Remaja maut kereta bertembung SUV

    SEORANG remaja maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Taman Hijau, Sitiawan, Perak, awal pagi tadi.

    Mangsa yang dikenali sebagai Nga Hu Chen, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.12 pagi.

    Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan bertembung menyebabkan pemandu Perodua Myvi tersepit, manakala pemandu Proton X70 mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan orang awam,” katanya dalam kenyataan.

    Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

  • SPRM tahan pengurus besar agensi kerajaan

    SPRM tahan pengurus besar agensi kerajaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus besar di sebuah agensi kerajaan di Sabah di pejabat SPRM Tawau semalam.

    Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada jam 9 pagi selepas disyaki menerima suapan sebanyak kira-kira RM8,000.

    Lelaki tersebut dikatakan telah menggunakan kedudukannya untuk meluluskan baucar bayaran pada tahun 2018 sedangkan kerja-kerja itu dilakukan oleh suspek sendiri.

    Difahamkan, suspek dilepaskan dengan bon jamin SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    “Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada 3 Disember ini,” katanya.

  • ‘’Kekadang nampak macam pandai…1MDB apa cerita’’…Razali sindir Najib

    ‘’Kekadang nampak macam pandai…1MDB apa cerita’’…Razali sindir Najib

    “KEKADANG nampak macam pandai tetapi tidak bijak. Apa cerita 1MDB (1Malaysia Development Berhad)? Kerana 1MDB, rosak reputasi dan imej negara. Punca ekonomi teruk bermula dari 1MDB.’’

    Itulah kritikan keras Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris yang membidas kenyataan bekas Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang jatuh secara rasmi ke status kemelesetan ekonomi teknikal ketika era Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Melalui Facebooknya, Razali mempersoalkan kenyataan Najib yang seolah-olah membayangkan hanya Malaysia mengalami situasi itu selepas mencatatkan penguncupan dua suku tahunan berturut-turut.

    “Kekadang kalau kita hendak berbicara, kena pandang kiri dan kanan, atas dan bawah. Walaupun disajikan dengan fakta, apakah ia selari dengan keadaan sebenar atau situasi realiti?

    “Apabila kita tengok Najib (Razak) menyajikan ekonomi meleset terutama pada waktu Muhyiddin, apakah…Malaysia sahaja ke yang mengalami ekonomi yang sangat teruk?” soal beliau.

    Razali juga memaklumkan, tindakan pertama dilakukan ketika era Muhyiddin ialah melantik pakar ekonomi untuk mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berperanan merangka dasar fiskal jangka pendek dan panjang bagi menangani krisis kemelesetan ekonomi.

    “Kemuncak krisis ekonomi negara adalah ketika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 yang telah mengganggu keseluruhan kitaran ekonomi domestik berikutan penutupan aktiviti perkilangan, perniagaan dan pekerjaan.

    “Secara realiti, pelaksanaan PKP merupakan ancaman ekonomi paling besar dihadapi oleh pentadbiran kerajaan. Ia merupakan cabaran ekonomi paling berat yang tidak pernah dihadapi oleh semua Perdana Menteri Malaysia sebelum ini,’’ tegasnya.

    Beliau berkata, krisis ekonomi akibat Covid-19 jauh lebih besar daripada krisis kewangan 1998 dan kemelesetan ekonomi pada era 1980-an.

    “Bagaimanapun, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang diumumkan dalam tempoh 10 hari sebaik sahaja PKP berkuat kuasa telah membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri (Muhyiddin) untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.

  • Mini makmal diserbu, polis rampas, sita dadah & aset bernilai lebih RM10 juta

    Mini makmal diserbu, polis rampas, sita dadah & aset bernilai lebih RM10 juta

    POLIS menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi menerusi enam siri serbuan di sekitar Selangor, hasil penahanan 10 lelaki tempatan pada 22 Nov lalu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata kegiatan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu berjaya dibongkar pihaknya, menerusi serbuan yang dijalankan serentak oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, antara jam 12.10 hingga 4.30 petang sekitar Gombak dan Puchong.

    Menerusi serbuan tersebut pihaknya juga turut membongkar aktiviti pemprosesan dadah dipercayai jenis heroin, yang dijalankan di sebuah premis rumah kedai di sekitar kawasan Bukit Puchong, Puchong.

    “Hasil serbuan di kesemua lokasi itu, pihak kami telah berjaya merampas sejumlah 19.7 kilogram (kg) dadah heroin base; 43.1kg dadah heroin; 3.2kg pil ekstasi dan 110kg serbuk dadah MDMA dianggar bernilai RM8.09 juta,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

    Razarudin berkata bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

    Selain itu, katanya polis turut merampas dan menyita aset-aset sindiket berkenaan termasuk pelbagai jenis kenderaan mewah, barang kemas serta tindakan pembekuan akaun bank serta wang tunai, bernilai lebih RM2.039 juta.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan lebih RM10 juta,” katanya.

    Razarudin berkata saringan awal pihaknya terhadap 10 suspek tersebut mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dan lapan daripadanya mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.

    Katanya kes tersebut kini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek telah direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 Nov lalu.

    — BERNAMA

  • Lelaki curi tiang besi ditahan di bangunan kosong

    Lelaki curi tiang besi ditahan di bangunan kosong

    SEORANG lelaki yang dirakam sedang mencuri tiang besi di kawasan perumahan di Ipoh dan tular dalam media sosial ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek yang merupakan warga tempatan, 41, ditahan di sebuah bangunan kosong di Manjoi sekitar pukul 12.15 tengah malam selepas polis menerima laporan daripada orang awam.

    “Menerusi tangkapan itu polis turut menemui beberapa barangan kes. Siasatan awal menunjukkan suspek melakukan perbuatan mencuri tiang besi di sekitar kawasan Manjoi dan Jelapang.

    “Semakan lanjut mendapati, suspek ini memiliki 11 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuklah jenayah narkotik.

    “Ujian saringan air kencing yang dilakukan mengesahkan lelaki terbabit positif dadah jenis morfin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

    Dalam pada itu, Yahaya berkata, terdapat dua video berkaitan kes itu telah dimuat naik ke dalam akaun Facebook bernama ‘Acai D Raja’ dan ‘Info Santai Anak Utara’ memaparkan seorang lelaki mencuri tiang besi walaupun tindakan itu telah ditegur orang awam.

    Susulan daripada video dan laporan dibuat, polis berjaya melakukan tangkapan ke atas suspek, katanya.

    “Polis Daerah Ipoh mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan tampil menyalurkan maklumat berkaitan pelakuan jenayah tersebut sehingga tertangkapnya suspek dalam masa yang singkat,” ujarnya.

    Dua video berdurasi 34 saat dan satu minit lima saat itu tular di aplikasi TikTok memaparkan gelagat seorang lelaki merosakkan tiang disyaki milik syarikat telekomunikasi sambil ditegur seorang lelaki.

    Difahamkan, kejadian itu masing-masing dirakam pada Khamis lalu dan semalam.

  • Op Benteng:45 Pati Indonesia ditahan

    Op Benteng:45 Pati Indonesia ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan dalam tiga siri tangkapan Op Benteng di Teluk Punggai, Kota Tinggi semalam dan hari ini

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua 45 PATI tersebut yang terdiri daripada 33 lelaki dan 12 wanita berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun.

    Menurut kenyataan itu, Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai pada pukul 8 malam.

    Katanya, anggota petugas Pos Pemerhati juga turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai sekitar jam 9.30 malam.

    Seramai 30 PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah

    “Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 11 malam, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia telah berjaya menangkap seramai 30 PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut kenyataan itu lagi, Pasukan Tindakan Pantas (QRF) bersama-sama pasukan Angkatan Tentera Malaysia telah diaturgerakkan bagi menjejaki dan mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi.

    Katanya, pasukan QRF telah berjaya menangkap tujuh lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama dan lapan lagi PATI turut ditahan sekitar pukul 11 pagi.

    “Kesemua mereka telah dibuat saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang. Hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

    Kesemua 45 PATI tersebut yang terdiri daripada 33 lelaki dan 12 wanita berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun

    “Mereka akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Hasil penahanan kesemua suspek, sejumlah wang tunai RM2,838.70 dan matawang rupiah 38.1 juta (RM 11,316.54), beberapa matawang asing yang lain, 38 buah telefon bimbit serta barangan perhiasan turut dirampas.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM dan dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.