Category: Semasa

  • Anggota polis guna tiktok waktu bertugas dikecam netizen

    Anggota polis guna tiktok waktu bertugas dikecam netizen

    SEBUAH video tular sejak semalam yang memaparkan seorang anggota yang berpakaian seragam polis membuat rakaman video TikTok ketika bertugas.

    Video tersebut menjadi bualan di laman Twitter apabila pemilik akaun @My_CrimeWatch berkongsi video 39 saat itu yang memaparkan anggota tersebut merakam dirinya serta seorang individu yang dipercayai ‘suspek’ atau Orang Kena Pengawasan (OKP) ketika dalam perjalanan ke mahkamah.

    “Bermain aplikasi TikTok ketika sedang bertugas dan menyarung uniform adalah suatu perbuatan yang menyalahi budaya kerja.

    “Tidak kiralah jika anda dari PDRM, ATM, Jabatan Penjara Malaysia, AADK dan sebagainya. Apatah lagi jika anda menjadikan wajah OKP, OKT atau suspek sebagai content,” tulis @My_CrimeWatch

    Difahamkan, mereka menaiki sebuah kereta polis yang dibunyikan siren dimana pemandu serta penumpang hadapan juga lengkap berpakaian seragam polis.

    Namun, tindakan anggota polis tersebut telah mengundang kemarahan orang ramai kerana dilihat melanggar etika sewaktu bertugas.

  • Buli di kem tentera:Mangsa belum tampil beri penjelasan hingga kini

    Buli di kem tentera:Mangsa belum tampil beri penjelasan hingga kini

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pihak tampil memberikan penjelasan berhubung isu buli yang didakwa berlaku di sebuah kem tentera.

    “Tuan punya badan dari posting awal tak tampil. Tapi ada perkara lain dibangkitkan netizen di luar sana dan saya telah minta Timbalan Menteri, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz buat siasatan secara peribadi sendiri.

    “Kami tidak akan berkompromi dalam isu buli, tetapi kami juga tidak mahu sebarang dakwaan palsu dibuat terhadap anggota tentera,” katanya selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hishammuddin berkata, beliau bagaimanapun sudah meminta timbalannya, Ikmal Hisham Abdul Aziz, menyiasat sendiri kes berkenaan.

    Jelasnya, jika dakwaan terbabit tidak berasas, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan malah rakyat tidak sepatutnya menghakimi dakwaan berkenaan yang disebarkan di media sosial semat-mata.

    “Dalam hal ini apa yang dipanjangkan kepada kita akan disiasat. Akan tetapi, jangan kita dakwa mereka yang tidak berdosa dan jangan kita terikut apa yang kita baca di luar sana. Seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah,” katanya.

    Semalam, seorang anggota tentera didakwa dipukul ‘setiap hari’ oleh kumpulan ‘seniornya’ di kem tentera, selain dipaksa menghabiskan gajinya membeli barang keperluan untuk mereka.

    Abang kepada mangsa berkenaan membuat pendedahan itu dalam laman media sosial, sekali gus mengundang campur tangan Hishammuddin yang menjanjikan siasatan.

    Dalam tangkap layar perbualan mesej yang tular dalam Twitter, lelaki itu mendakwa adiknya, yang tinggal di kem bujang tentera, dibuli saban hari oleh 12 hingga 14 prajurit ‘senior’.

    “Adik aku…hari-hari kena pukul dengan senior dan habis duit gaji dia kena pau. Sampai duit simpan dia pun dah nak habis. Bayangkan kena belikan barang-barang keperluan yang 12-14 orang tu,” katanya dalam mesej dikongsi bersama pengguna Twitter @Pedoqpop.

    Dalam catatan Facebook semalam, Hishammuddin berkongsi tangkap layar ciapan pengguna Twitter @pedoqpop, dan meminta individu itu tampil memberikan maklumat dan berjanji bahawa identiti pemberi maklumat itu akan dirahsiakan.

  • KPDNHEP lancar Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia stabilkan harga barang

    KPDNHEP lancar Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia stabilkan harga barang

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) susulan kenaikan harga barang dan sebagai langkah menstabilkan harga barangan keperluan masa ini.

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa sama skim tersebut akan turut memastikan keberadaan bekalan di pasaran berkuat kuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021.

    Jelas beliau, skim berkenaan akan melibatkan kawalan harga ke atas item-item tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti berikut:

    (1) Ayam hidup
    (2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
    (3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
    (4) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
    (5) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
    (6) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
    (7) Kacang panjang
    (8) Cili merah
    (9) Tomato
    (10) Sawi hijau
    (11) Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing)
    (12) Timun

    Selain itu kata Alexander, senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

    “Pengumuman harga bagi barangan yang terlibat akan dilakukan dalam masa terdekat. Bagi ayam dan telur penentuan harga akan dilakukan di peringkat ladang, borong dan runcit.

    “Bagi sayur-sayuran, harga kawalan akan ditentukan di peringkat borong dan runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

  • Kluster Dah Pelangi libatkan pelajar Maktab Mahmud Sik di Kedah

    Kluster Dah Pelangi libatkan pelajar Maktab Mahmud Sik di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SATU kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Dah Pelangi ‘muncul’ di Kedah hari ini setelah 24 pelajar di Maktab Mahmud Sik, disahkan positif.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kesemua individu yang positif itu merupakan pelajar lelaki di sekolah berasrama tersebut.

    Katanya, kluster itu dikesan setelah beberapa pelajar didapati mengalami gejala bermua 28 November lalu.

    “Pihak pengurusan kemudiannya melakukan saringan bersasar kepada pelajar dan kes-kes mula didaftarkan positif pada hari ini.

    “Punca penularan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Hayati menambah, setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 38 individu telah disaring dalam kluster tersebut.

    “Daripada jumlah itu, hanya 14 dilaporkan negatif dan selebihnya positif Covid-19,” katanya.

    Menurutnya, PKD Sik telah menjalankan isolasi dan pemerhatian terhadap mereka yang positif manakala kesemua kontak rapat pula diarahkan menjalani kuarantin.

    “Selain itu, notis penutupan sekolah juga telah diberikan bermula 3 Disember 2021 hingga kerja-kerja membasmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan,” katanya.

    Mohd. Hayati menambah, orang ramai terutamanya pihak pengurusan sekolah di seluruh negeri diseru untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan selain mengamalakan norma baharu dalma kehidupan.

    “Semua pihak diminta patuh kepada penjarakan fizikal sepanjang masa dan elakkan daripada bersembang dalam jarak dekat.

    “Hindari kawasan sesak dan ruang sempit atau tertutup. Dalam masa sama, pastikan terdapat pengudaraan baik di kawasan pembelajaran dan asrama,” katanya.

  • 6 guru di SMJK Hwa Lian Mentakab positif Covid-19

    6 guru di SMJK Hwa Lian Mentakab positif Covid-19

    ENAM guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hwa Lian, Mentakab, Temerloh, dikesan positif Covid-19.

    Susulan itu SMJK tersebut akan ditutup selama seminggu bagi mengelak penularan Covid-19 selepas enam guru disahkan positif virus berkenaan.

    Pengerusi Pengelola SMJK Hwa Lian, Datuk Hiang Ah Lee berkata, setakat semalam tiada pelajar yang direkodkan positif Covid-19.

    “Kita meminta mana-mana individu yang bergejala agar melakukan ujian Covid-19 dengan segera.

    “Sekolah ditutup selama seminggu sehingga Khamis depan dan sanitasi juga dibuat di seluruh kawasan sekolah,” katanya, hari ini.

    SMJKC Hwa Lian mempunyai lebih 800 pelajar yang sudah lengkap dua dos vaksin.

    Menurut Ah Lee, dalam tempoh penutupan sekolah kesemua pelajar akan mengikuti kelas melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

  • Selepas lapan penggal di DUN Satok, Abang Johari ‘berubah angin’ ke Gedong

    Selepas lapan penggal di DUN Satok, Abang Johari ‘berubah angin’ ke Gedong

    TAN Sri Abang Johari Tun Openg menamatkan spekulasi apabila bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak.

    Beliau yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Satok selama lapan penggal menggantikan Datuk Mohd Naroden Majais di kerusi DUN tersebut.

    Pengumuman yang dibuat Abang Johari sendiri pada Majlis Penyerahan Watikah pelantikan Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching hari ini turut menyaksikan Naroden mengundur diri daripada bertanding pada PRN12 kali ini.

    Selain Abang Johari, dua timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kekal di kerusi DUN Bukit Saban serta DUN Bukit Sari, lapor Astro Awani.

    Selain itu, GPS mempertaruhkan calon baharu iaitu Nicholas Kudi Jantai Maseng di kerusi DUN Baleh yang sebelum ini dipegang mendiang Tan Sri James Jemut Masing selama lapan penggal.

    Nicholas Kudi merupakan anak saudara kepada mendiang Masing. Manakala Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian kekal di DUN Batu Kawah.

    Pada PRN11 lalu, GPS yang bertanding atas tiket Barisan Nasional menang 72 kerusi menewaskan DAP dengan tujuh kerusi manakala PKR tiga kerusi.

  • Siasat dan umum segera punca kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands

    Siasat dan umum segera punca kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands

    SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa menyiasat segera tragedi tanah runtuh di KM34 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley ke Cameron Highlands semalam dan mendedahkan hasil siasatannya kepada orang ramai.

    Presidennya, R. Meenakshi berkata, pihaknya bimbang sekiranya terdapat sebarang pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian atau pembangunan lain yang telah atau sedang dijalankan di kawasan itu.

    Jelas beliau, situasi itu jika berlaku perlu dihentikan segera supaya langkah perlindungan dan pemulihan dapat dilakukan dengan segera.

    Dalam masa sama tambahnya, SAM menggesa pihak berkuasa berkenaan di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya memantau semua kawasan berisiko tinggi serta mengambil langkah mencegah daripada berlakunya tanah runtuh atau kegagalan cerun lain.

    “Kita semua mesti tahu kawasan tanah tinggi dan bukit adalah kawasan alam sekitar yang sensitif dan amat terdedah kepada tanah runtuh serta kegagalan cerun.

    “Dengan berlakunya perubahan iklim, kita boleh melihat kekerapan dan keamatan hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya jelas menunjukkan langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah tragedi sebegitu masih tidak mencukupi.

    Ujarnya, kejadian hujan lebat bukan sesuatu yang luar biasa dan sudah dijangka, tetapi bukan penyebab utama kepada berlakunya tanah runtuh dan kegagalan cerun.

    “Bagi suatu kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun untuk berlaku dan dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan mestilah terdapat gangguan kepada rupa bumi semula jadi di kawasan berkenaan,” katanya.

    Sehubungan itu tambah Meenakshi, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengawal dengan ketat pembangunan di atas tanah bukit dan tanah tinggi dan menjalankan pemantauan lebih kerap serta menguatkuasakan dengan tegas undang-undang dan peraturan sedia ada.

    “Kita perlu menghentikan penukaran tanah bukit dan tanah tinggi dan mestilah mengawal dengan lebih tegas aktiviti yang sedia ada. Jika tidak, kita akan terus mengundang tragedi sebegini,” katanya.

  • Pembantu rumah bunuh bayi sendiri dipenjara dua tahun

    Pembantu rumah bunuh bayi sendiri dipenjara dua tahun

    PEMBANTU rumah warga Indonesia yang sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan, hari ini dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan dengan cuai menyebabkan kematian anaknya itu.

    Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Welmince Alunat, 40, selepas wanita itu mengaku bersalah atas perbuatan itu.

    Beliau membuat keputusan itu selepas meminda pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati kepada Seksyen 304(A) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Hakim itu berkata, setelah mengambil kira semua fakta, mahkamah mengemukakan pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(A), selepas mendapati tertuduh tidak sewajarnya dituduh di bawah Seksyen 302.

    Hakim Mohd Yazid dalam keputusan di akhir kes pendakwaan berkata wujud kegopohan dan kecuaian oleh tertuduh, sehingga menyebabkan kematian bayinya.

    “Kalau tertuduh tidak meletakkan bayinya ke dalam baldi, bayi itu tidak akan mati. Tertuduh ada hubungan sulit dengan seorang lelaki warga Bangladesh dan kerana takut (terbongkar), maka kejadian itu dilakukan secara gopoh-gapah.

    “Apa yang dia lakukan adalah kerana takut, memandangkan tertuduh masih mempunyai suami dan empat anak di Indonesia. Kenapa merampas hak bayi itu untuk hidup,” katanya.

    Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun itu bermula pada 22 Ogos 2019 iaitu tarikh tertuduh ditangkap. Tertuduh yang ditahan reman pada tarikh itu dibebaskan hari ini.

    Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik mencuci dan menjemur baju di rumah majikannya di Taman Cempaka, Ampang pada 7 pagi, 22 Ogos 2019.

    Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan dan hari ini ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ariff Muzammil Wan Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam S.Selvi, Lim Wei Qi dan Ho Zhi Qian.

  • ‘Anak yang tak disangka akan hidup sehingga hari ini’

    ‘Anak yang tak disangka akan hidup sehingga hari ini’

    BAYI kepada seorang wanita yang parah dipukul suaminya sehingga koma digelar ‘Baby J’, terpaksa dimasukkan semula ke hospital selepas bacaan penyakit kuning atau jaundis neonatal dialaminya tinggi.

    Menurut adiknya, Fauziah Nordin, 40, perlu dimasukkan semula ke wad Hospital Tuanku Ja’afar kerana masalah kuning dan sebelum itu bayi tersebut telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Sendayan.

    Ibu bayi berkenaan, Jahidah Nordin, 43, sebelum ini selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban di Seremban pukul 9 malam Selasa lepas.

    “Baru semalam ( Khamis) ambil ‘Baby J’ dekat wad.. hari ni kena hantar wad balik sebab kuning tinggi.. dia mahu dekat dengan umi (ibu) dia kot (rasanya),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

    Mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, selamat melahirkan bayi lelaki dalam kandungannya di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ),Seremban, Selesa lepas

    Fauziah turut berkongsi sebahagian wajah ‘Baby J’ selain mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kakaknya Jahidah dan bayi tersebut.

    “Alhamdulillah akhirnya ‘Baby J’ depan mata.. anak yang tak disangka akan hidup sehingga hari ini.. Terima kasih mendoakan..,” katanya.

    Sebelum ini media melaporkan, Jahidah merupakan seorang penjawat awam di Johor Bahru, koma kerana cedera parah dipercayai akibat dipukul suaminya di rumah mereka di Larkin, Johor Bahru pada 4 Mei lalu.

    Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.

    Pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

  • Pemandu lori disyaki mabuk tuak maut dalam kemalangan

    Pemandu lori disyaki mabuk tuak maut dalam kemalangan

    SEORANG pemandu lori yang dipercayai mabuk, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sungai Burong, Tawau, Sabah semalam.

    Siasatan awal polis mendapati kejadian pukul 8.15 malam itu berpunca daripada pemandu lori Daihatsu berusia 63 tahun yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

    Ketua Polis Daerah Peter AK Umbuas berkata, pemeriksaan dalam lori yang dipandu mangsa turut menemui minuman tuak.

    “Semasa kejadian, pemandu tersebut tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu melanggar cermin sisi kanan serta lampu belakang sebuah lori yang sedang dalam perjalanan menuju ke Tawau.

    “Kemudian, pemandu lori (Daihatsu) yang sedang menuju ke Semporna itu memasuki semula laluannya sebelum menuju ke laluan bertentangan sehingga bertembung dengan lori jenis Nissan,” katanya ketika dihubungi.

    Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Dua lori lain yang terbabit mengalami kerosakan akibat kemalangan itu, namun pemandunya tidak cedera.

    Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.