Category: Semasa

  • Kanak-kanak ditemukan lemas, terapung dalam paya

    Kanak-kanak ditemukan lemas, terapung dalam paya

    KEHILANGAN seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun selepas tidak balik ke rumahnya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang sejak petang semalam, terjawab apabila ditemukan meninggal dunia hari ini akibat lemas dalam sebuah paya.

    Muhammad Syafiq Abdullah ditemukan pada pukul 8 pagi di kawasan paya berdekatan kampung itu yang jaraknya hanya 500 meter dari rumahnya.

    Mayat ditemukan berseluar pendek berwarna biru tanpa baju, terapung dalam paya itu yang kedalamannya lebih kira-kira 1 meter.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris berkata, kehilangan mangsa di rumah hanya disedari ibunya kira-kira pukul 6 petang semalam sejurus tersedar daripada tidur.

    “Pada mulanya menyangkakan anaknya keluar bermain seperti selalu.

    “Namun, sehingga pukul 8 malam mangsa didapati masih belum pulang ke rumah yang seterusnya mengundang rasa tidak sedap hati serta bimbang tentang keselamatan mangsa sebelum meminta bantuan ahli keluarganya dan penduduk kampung mencari mangsa.

    “Usaha pencarian dilakukan di kawasan parit, paya dan lombong serta semua kawasan di sekitar kampung tetapi kanak-kanak itu tidak dijumpai.

    “Suri rumah tersebut mengambil keputusan membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya yang dilihat kali terakhir pukul 4 petang semalam telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Jelas Mohd. Zain, hasil siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan terjatuh ketika cuba mengambil sebiji bola yang dipercayai terjatuh ke dalam kawasan paya.

    Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

    Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • USANITA bantu usahawan wanita luar bandar bangkit semula selepas terkesan Covid-19

    USANITA bantu usahawan wanita luar bandar bangkit semula selepas terkesan Covid-19

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar terus berusaha membantu memulihkan perniagaan usahawan wanita di luar bandar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 apabila melancarkan Program USANITA – Penjenamaan dan Pendigitilan Bersama KPLB hari ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar,Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, platform khas itu disediakan bagi membantu usahawan wanita luar bandar khususnya golongan B40 agar selari dengan  arus perniagaan semasa yang berasaskan  digital.

    “Sebelum ini, dalam usaha memperkasakan usahawan di luar bandar, kementerian telah memperkenalkan program DesaMal@KPLB bagi membantu golongan berkenaan memasarkan produk secara atas talian.

    ‘’Inisiatif itu adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan LuarBandar(DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluas Pasaran Termasuk Pemasaran Perniagaan Dalam Talian,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB di Kuala Lumpur harini.

    Turut hadir,Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk SeriAbdul Rahman Mohamed, Ketua Setiausaha  KPLB,Datuk Ramlan Harun serta Pengarah Urusan V5, Datuk Mohd Syafiq Abdulah.

    KPLB kata Mahdzir mengambil serius perkembangan dan pembangunan usahawan luar bandar khususnya dalam aspek pemasaran produk mereka secara atas talian yang kini menjadi saluran yang sangat berkesan.

    Usahawan di luar bandar tegas beliau perlu mengambil peluang pemasaran secara digital itu dan tidak boleh ketinggalan dalam meluaskan pasaran produk mereka

    Katanya, penjenamaan dan pemasaran secara digital bukan sahaja boleh dimanfaatkan di dalam negara,malah melangkau pasaran seluruh dunia yang mampu dicapai menerusi platform atas talian.

    “Penjenamaan itu amat penting untuk membina nilai percaya pembeli terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan,kadang kala orang membeli bukan kerana faktor jenama semata-mata,tetapi kerana mereka ingin mengguna dan memerlukan produk itu.

    Jadi di sinilah pentingnya penjenamaan dan pendigitalan produk usahawan walaupun mereka berada di luar bandar tetapi jualan produknya boleh menembusi pasaran satu dunia,’’ katanya.

    Beliau berkata,  dalam fasa pemulihan kesan pandemik Covid-19 ini, usahawan luar bandar perlu bangkit semula dengan memperkasakan penjenamaan dan pendigitalan produk keluaran mereka sekaligus memulihkan ekonomi dan pendapatan golongan tersebut.

    Untuk maklumat lanjut berkaitanProgram USANITA-Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB,boleh hubungi talian 03-41313041 atau layari laman sesawang www.usanita.com.

  • Dakwaan pencemar sungai, udara tidak boleh didakwa, tidak berasas – Mas Ermieyati

    Dakwaan pencemar sungai, udara tidak boleh didakwa, tidak berasas – Mas Ermieyati

    DAKWAAN menyatakan bahawa Peguam Negara, yang bertindak sebagai Pendakwa Raya, kadang-kadang tidak membenarkan pendakwaan dibuat terhadap mereka yang melakukan pencemaran sungai dan udara adalah tidak berasas.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undangDatuk Mas Ermieyati Samsudin berkata sesuatu pendakwaan di mahkamah adalah bergantung kepada hasil siasatan kes.

    “Selaras dengan kehendak undang-undang di bawah seksyen 44, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 125), izin pendakwaan mestilah diperoleh terlebih dahulu daripada Pendakwa Raya.

    “Arahan pertuduhan hanya akan dikeluarkan setelah Pendakwa Raya berpuas hati bahawa segala keterangan dalam kertas siasatan adalah mencukupi untuk membuktikan elemen pertuduhan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) adakah kerajaan berhasrat memberi kuasa pendakwaan kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar supaya tindakan dapat terus diambil ke atas pihak yang mencemar sungai dan udara berikutan mendakwa pihak Peguam Negara kadang-kadang tidak membenarkan dakwaan dibuat terhadap pesalah alam sekitar itu.

    Menjawab soalan tambahan Mukhriz sama ada campur tangan dari pihak berkepentingan hingga ada kes tidak mendapat kelulusan untuk dibawa ke mahkamah, Mas Ermieyati memberi jaminan isu pencemaran alam sekitar adalah amat serius dan pihaknya memberi jaminan tiada campur tangan yang boleh menjejaskan mana-mana siasatan atau pendakwaan.– Bernama

  • Jangan lambat salur peruntukan kepada PMKS

    Jangan lambat salur peruntukan kepada PMKS

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERUNTUKAN RM40 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2022 untuk geran, jaminan dan ekuiti kepada semua perniagaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga syarikat senaraian awam perlu segera disalurkan.

    Presiden Gabungan Persatuan Anak Negeri Malaysia (Gapan), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, peruntukan sebanyak itu tidak membawa erti sekiranya penyaluran bantuan tersebut lambat, berdepan birokrasi dan tidak sampai kepada golongan sasaran.

    Katanya, Gapan yang terdiri daripada sembilan Persatuan Anak Negeri menegaskan sektor PMKS telah melalui suatu fasa yang amat sukar dalam meneruskan kehidupan perniagaan mereka.

    Maka, Syed Hussein berkata, fasa pemulihan ini diharapkan dapat memberi peluang kedua kepada usahawan-usahawan di negara ini.

    “Gapan mengalu-alukan peruntukan besar yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan PMKS di seluruh negara terbela apabila memasuki tempoh pemulihan ekonomi selepas negara dilanda pandemik.

    “Ini adalah penting kepada PMKS untuk membantu mereka bangkit kembali dan bersaing di pasaran yang sedang pulih. Namun begitu, pendekatan oleh kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pengumuman Bajet 2022 mestilah disalurkan tepat kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Syed Hussein menyarankan sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu menyalurkan bantuan kepada usahawan-usahawan yang benar-benar memerlukan.

    Kata beliau, pihaknya menyokong sepenuhnya cadangan dan tindakan proaktif yang diambil Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam mengkaji semula syarat serta kelayakan inisiatif serta bantuan yang ditawarkan kementerian itu dan agensi di bawahnya bagi memudah cara proses permohonan para usahawan mendapatkan pembiayaan.

    “Saranan menteri bagi memudah cara proses permohonan ini yang bersesuaian dengan situasi semasa adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh PMKS di seluruh negara,” katanya.

  • Bas persiaran rempuh tiga kereta, dua cedera

    Bas persiaran rempuh tiga kereta, dua cedera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH bas persiaran tanpa penumpang hilang kawalan sebelum merempuh tiga buah kereta di kilometer (KM) 37, Lebuh Raya Selatan Susur Bandar Dato Onn, Johor Bahru, hari ini.

    Kemalangan pada kira-kira pukul 9 pagi itu melibatkan bas persiaran, kereta jenis Proton Saga, BMW dan Perodua Myvi.

    Pelanggaran itu mengakibatkan dua lelaki cedera iaitu mangsa berusia 38 tahun yang memandu Proton Saga manakala seorang lagi berusia 47 tahun memandu kereta BMW.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Abd. Aziz berkata, tujuh anggota dengan bantuan sebuah unit Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

    Anggota bomba membantu mangsa yang cedera selepas sebuah bas persiaran merempuh tiga buah kereta di kilometer (KM) 37, Lebuh Raya Selatan Susur Bandar Dato Onn, Johor Bahru, hari ini.

    “Kejadian juga dipercayai berlaku apabila bas persiaran telah merempuh tiga buah kenderaan itu sekali gus mengakibatkan dua mangsa mengalami kecederaan

    “Dalam perlanggaran tersebut, tiada penumbang di dalam bas persiaran itu. Bas itu juga telah dialihkan selepas pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kedua-dua pemandu katanya, diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru,” katanya.

  • Dua pekerja SWM Corp maut dalam kemalangan

    Dua pekerja SWM Corp maut dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA pekerja SWM Corp maut manakala seorang lagi parah selepas lori pengangkut sampah milik syarikat konsesi itu kemalangan berhampiran ST Rhodes Club, Ladang Johor, Labis, dekat Segamat, hari ini.

    Kemalangan melibatkan dua pekerja syarikat konsesi itu iaitu pemandu lori tersebut, Ramli Ibor, 58, dan kelindan, Muhammad Helmi Karim, 30, dengan lori jenis Isuzu melibatkan pemandunya, Nor Fazli Ramli, 30.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md. Sarif berkata, pihaknya
    menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 8.11 pagi.

    “Seramai 14 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Dua mangsa daalam lori SWM Corp telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian

    “Kemalangan itu melibatkan sebuah lori 3 tan membawa muatan besi binaan telah bertembung dengan sebuah lori SWM Corp,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

    Beliau berkata, akibat pelanggaran secara berdepan itu semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

    Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan rescue tools dan stretcher.

    “Dua mangsa daalam lori SWM Corp telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

    Sementara pemandu lori berkenaan katanya, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Segamat dengan menaiki ambulans bagi menerima rawatan lanjut.

    Beliau menambah, operasi berkenaan tampat pada pukul 10.56 pagi.

  • Warga emas rugi RM11,600, terpedaya iklan jual MyPR

    Warga emas rugi RM11,600, terpedaya iklan jual MyPR

    HASRAT seorang peniaga mahu mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) hampa apabila kerugian RM11,600 selepas ditipu satu sindiket yang menawarkan kad itu menerusi iklan dalam Facebook bulan lalu.

    Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun mendapat maklumat berkaitan pihak yang boleh menguruskan hal itu melalui iklan tersebut sebelum berurusan dengan seorang wanita pada pukul 1.08 petang, 10 November lalu.

    Ketua Polis Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, individu tersebut menghantar mesej melalui aplikasi whatsApp dan memaklumkan cara-cara dan bayaran yang perlu dilakukan untuk mangsa untuk mendapatkan kad MyPR itu,

    “Mangsa tertarik dengan tawaran yang diberikan oleh individu tersebut untuk satu keping kad MyPR berharga RM4,800.

    “Setuju tawaran yang diberikan, mangsa telah berhubung lanjut dengan individu berkenaan bagi mendapatkan kad MyPR untuk seorang rakannya dan pekerjanya dengan kos dua kad MyPR berjumlah RM9,600 sahaja.

    “Bagaimana pun, dia diminta membuat penambahan bayaran sebanyak RM2,000 setiap kad dan mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM11,600 serta meminta individu itu selesaikan proses permohonan untuk satu kad MyPR sebelum membuat bayaran tambahan berbaki RM2,000 lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Chang Hook berkata, mangsa telah membuat pembayaran tersebut (berjumlah RM11,600) ke tiga akaun yang berbeza namun individu berkenaan mendesak mangsa menjelaskan baki bayaran RM2,000 lagi sebelum kedua-dua kad tersebut diproses.

    “Curiga dengan tindakan tersebut, mangsa telah membuat semakan dan mendapati urusan yang dijalankan ini adalah tidak sah sebelum membuat laporan polis malah sehingga kini mangsa gagal berhubung dengan individu tersebut. Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Hasil siasatan awal mendapati akaun itu mempunyai rekod berkaitan kes penipuan bagi mendapatkan kad MyPR bersangkut repot Taman Ungku Aminah, di Johor Bahru,” katanya.

  • Paul Yong diarah bela diri atas tuduhan rogol pembantu rumah

    Paul Yong diarah bela diri atas tuduhan rogol pembantu rumah

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh, hari ini memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, pada tahun 2019.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, lapor Astro Awani, hari ini.

    Sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan selama dua hari pada 15 dan 16 Februari 2022.

    Yong, 51 tahun, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Dia disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

  • Perhilitan siasat buaya sesat dalam tasik Taman Dengkil Jaya

    Perhilitan siasat buaya sesat dalam tasik Taman Dengkil Jaya

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini membuat penilaian dan tinjauan susulan penemuan seekor buaya tersesat di Taman Dengkil Jaya, Dengkil, Putrajaya semalam.

    Pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung berkata, langkah tersebut selepas pihaknya ke lokasi tersebut semalam dan telah mengambil beberapa langkah keselamatan kepada orang awam.

    “Semalam kakitangan kita telah memasang pita tali amaran untuk memberi makluman awal kepada orang awam tentang kehadiran buaya.

    “Pasukan Perhilitan akan menilai kawasan pada hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Media semalam melaporkan, penduduk di Taman Dengkil Jaya gempar dengan kehadiran seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter dalam sebuah tasik berhampiran kawasan tersebut pada Isnin.

    Menurutnya, pemeriksaan telah dilakukan dan mendapati seekor buaya berada dalam tasik berkenaan dipercayai tersesat dari sungai berhampiran.

  • Perbicaraan SRC diteruskan dalam talian atau waran tangkap untuk Najib akan dikeluarkan – Hakim

    Perbicaraan SRC diteruskan dalam talian atau waran tangkap untuk Najib akan dikeluarkan – Hakim

    PERBICARAAN kes rayuan SRC International akan diteruskan pada 12.30 tengah hari secara dalam talian atau waran tangkap akan dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta-merta, kata Mahkamah Rayuan hari ini.

    Astro Awani melaporkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, juga berkata keputusan rayuan Najib terhadap sabitan kesalahannya juga akan diteruskan esok.

    Malam tadi, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan bagi kes SRC International selepas salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19.

    Pasukan pembelaan Najib sebelum ini memohon penangguhan pendengaran mereka untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan didengar pada Selasa.

    Ini susulan salah seorang pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu dilaporkan dijangkiti COVID-19.

    Peguam utama dalam pasukan itu, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah melalui surat, yang didedahkan kepada media lewat malam tadi, bahawa salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19 manakala yang lain telah menjadi kontak rapat.

    Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan yang difailkan oleh Najib pada 1 Dis lalu di mana Ahli Parlimen Pekan itu meminta Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan bukti viva voce (bukti lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki antara lain untuk diambil bagi tujuan rayuan Najib.

    Mahkamah rayuan juga bersedia untuk menyampaikan keputusan dalam rayuan Najib dalam kes SRC International pada Rabu.

    Dalam suratnya, Muhammad Shafee meminta mahkamah mengosongkan perbicaraan untuk kedua-dua prosiding hari ini dan esok kerana peguam, yang merupakan anaknya, Muhammad Farhan, telah disahkan positif COVID-19 pada 6 Dis.