Category: Semasa

  • Kejam! Warga emas maut dibelasah batang cangkul

    Kejam! Warga emas maut dibelasah batang cangkul

    SEORANG warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan batang cangkul dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Abi Tok Hashim, di Kangar kira-kira 10 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa Yeen Baai, 72, ditemukan terbaring di hadapan pintu bilik rumah itu oleh adiknya yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

    Wari berkata, selepas kejadian bunuh itu, adik mangsa didatangi seorang lelaki berusia 34 tahun yang dikenalinya.

    “Adik mangsa memberitahu polis bahawa suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk ketika itu telah meminta untuk melihat keadaan mangsa kerana kepalanya berdarah.

    “Saksi bersama lelaki itu kemudian pergi ke rumah mangsa yang jaraknya lebih kurang 30 meter dan memasuki rumah itu sebelum menemukan mangsa terbaring dengan kesan darah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, saksi turut melihat serpihan sebatang cangkul yang telah patah di sisi mangsa sebelum bertindak menghubungi polis. 

    Wari berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah itu dan kerap didatangi suspek yang ingin meminta rokok daripadanya.

    “Mangsa akan melayan suspek dan membenarkan suspek masuk ke rumah dan menghisap rokok bersama. Punca kejadian dipercayai disebabkan isu meminta rokok dan duit oleh suspek,” katanya.

    Katanya, suspek yang juga seorang penganggur telah ditahan tidak lama selepas itu dan mengakui terlibat dalam kejadian tersebut.

    “Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau direman enam hari bermula hari ini,” katanya. – BERNAMA

  • Rosmah dilarang hadir perbicaraan di mahkamah

    Rosmah dilarang hadir perbicaraan di mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor hari ini dan esok selepas beliau didapati mempunyai kontak dengan seorang pesakit COVID-19.

    Peguam Rosmah, Jagjit Singh, berkata status anak guamnya di aplikasi MySejahtera adalah ‘kontak kasual’ dan beliau tidak dibenarkan memasuki bangunan mahkamah.

    “Beliau hadir hari ini, dan kami menyuruhnya berada di dalam kereta,” kata Jagjit seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

    Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan berkata, prosedur operasi standard (SOP) mahkamah hanya membenarkan mereka yang berstatus ‘berisiko rendah’ memasuki pekarangan bangunan.

    “Walaupun saya mendesak untuk beliau masuk, pegawai di tingkat bawah boleh mengatasi keputusan saya,” katanya.

    “Status boleh berubah. Ia mungkin oren atau kuning sekarang tetapi ia mungkin bertukar menjadi biru kemudian.”

    Zaini kemudian mengarahkan pasukan pembelaan menyemak dan mengemas kini status MySejahtera Rosmah pada Jumaat.

    “Jika statusnya ‘berisiko rendah’, kita akan teruskan,” katanya.

    Rosmah sedang dibicarakan atas tiga tuduhan rasuah kerana didakwa meminta RM187.5 juta daripada ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan membantu syarikatnya, Jepak Holdings Sdn Bhd, mendapatkan projek panel solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion, melalui rundingan langsung dengan Kementerian Pendidikan.

    Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

    Pendakwa raya ad hoc Datuk Seri Gopal Sri Ram akan meneruskan pemeriksaan balasnya terhadap Rosmah apabila perbicaraan disambung semula.

  • Laman Facebook rasmi Exco Kedah, Najmi Ahmad digodam

    Laman Facebook rasmi Exco Kedah, Najmi Ahmad digodam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Laman Facebook rasmi milik Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad digodam sejak tiga hari lalu disyaki oleh individu yang berpangkalan di luar negara.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang itu, pihaknya sudah pun membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana bimbang tindakan penggodam yang mungkin akan menggunakan laman Facebook tersebut untuk tujuan salah.

    “Kalau boleh memang kami mahukan semula laman Facebook itu kerana dibimbangi digunakan untuk tujuan tidak elok. Bimbang juga jika perbuatan dilakukannya nanti membuka ‘pintu’ fitnah.

    “Laporan polis telah dibuat semalam dan saya amat berharap agar akaun tersebut tidak disalah gunakan untuk buat benda-benda mengarut,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Laman Facebook dengan jumlah pengikut lebih 15,000 orang itu kini difahamkan dikawal oleh pemilik akaun Facebook yang berasal dari Vietnam.

    Tinjauan di laman Facebooknya itu mendapati setakat ini masih tiada sebarang status terbaru dimuat naik oleh penggodam.

    Selain membuat laporan kepada pihak berkuasa, Najmi turut menawarkan saguhati kepada mana-mana pihak yang boleh membantu mendapatkan akaun Facebook itu semula.

    Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

    “Kes tersebut ketika ini telah pun dirujuk kepada Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

  • Najib sangat kecewa keputusan Mahkamah Rayuan

    Najib sangat kecewa keputusan Mahkamah Rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan sabitan bersalahnya dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau juga menyatakan sudah memberi arahan kepada pasukan peguam belanya untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

    Menegaskan kedudukannya sebagai orang Islam, Ahli Parlimen Pekan itu juga sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak bersalah..

    “Pertama saya nak nyatakan bahawa saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan berikutan keputusan itu.

    “Saya telah minta peguam untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan segera,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

    Sidang media itu dibuat sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan sepakat mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

    Panel hakim terbabit yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil juga sebulat suara mengekalkan hukuman yang ditetapkan ke atas Najib.

    Menurut Najib, persoalan pokok isunya itu adalah mengenai dana bernilai RM42 jua milik SRC yang dipindahkan ke peribadinya.

    “Sebagai (orang) Islam saya nak nyatakan saya pernah tidak tahu, minta, arahkan sesiapa untuk pindah RM42 juta ke akaun saya,” katanya.

    Semasa prosiding secara hibrid pagi ini, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.

    Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Has Zanah Mehat.

    Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai Perdana Menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

    Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

    Beliau masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

  • Kes SRC: Najib gagal ketepi hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

    Kes SRC: Najib gagal ketepi hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Beliau masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

    Panel itu bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, yang menurut peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan difailkan hari ini.

    Mahkamah juga mengekalkan jaminan RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

    Prosiding hari ini dijalankan melalui sidang video berikutan Ahli Parlimen Pekan itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Muhammad Shafee, Muhammad Farhan, yang disahkan positif COVID-19.

    Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Abdul Karim berkata mahkamah mendapati tiada kekhilafan yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali apabila memutuskan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan terhadap Najib.

    Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Hakim Abdul Karim berkata pemindahan RM42 juta daripada SRC International ke akaun Najib tidak diklasifikasikan sebagai kepentingan negara.

    “Dalam kes CBT, bukti menunjukkan Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat pengarah dan bukti juga menunjukkan pengarah SRC mengikut arahan Najib,” katanya.

    Hakim Abdul Karim selanjutnya berkata panel itu juga bersetuju bahawa kesalahan tersebut dilakukan dengan sengaja.

    Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat kesimpulan yang betul bahawa Najib sememangnya pengarah bayangan SRC dan mengawal SRC dan juga menunjukkan bahawa pengarah dilantik oleh Najib dan beliau menandatangani surat pelantikan mereka.

    “Najib adalah individu yang mengarahkan SRC dan mengambil alih syarikat itu,” kata Hakim Abdul Karim sambil menambah bahawa keterangan menunjukkan Najib mengarahkan dan mengawal SRC yang ketika itu beliau merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri serta Pengarah SRC.

    Beliau berkata panel itu juga bersetuju bahawa Najib tidak bertindak sebagai pemegang saham tunggal Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) apabila beliau menguruskan syarikat itu (SRC).

    Hakim selanjutnya berkata Najib tidak bertindak dalam skop wakil MoF Inc tetapi lebih seperti pengarah bayangan SRC yang berkuasa memberi arahan dalam operasi hariannya.

    “Najib tahu bahawa RM42 juta itu datangnya daripada SRC dan tiada bukti menunjukkan bahawa RM42 juta itu datang daripada keluarga diraja Arab Saudi,” katanya.

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan itu.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. – BERNAMA

  • Lelaki mati selepas tiba-tiba mengamuk tanpa sebab

    Lelaki mati selepas tiba-tiba mengamuk tanpa sebab

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki ditemukan maut setelah tiba-tiba mengamuk tanpa diketahui puncanya di Taman Dahlia, dekat Sungai Petani, Kedah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan, lelaki berusia 31 tahun itu disahkan meninggal dunia di dalam longkang di belakang rumahnya oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat pemeriksaan terhadapnya.

    Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.35 malam apabila pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki menyatakan jirannya mengamuk.

    “Individu yang mengamuk itu dikatakan meracau seorang diri dan membuat bising di luar rumah. Namun apabila polis tiba di lokasi, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri dalam longkang di belakang rumahnya.

    “Petugas KKM yang datang membuat pemeriksaan selepas itu mengesahkan bahawa lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati individu berkenaan yang merupakan seorang penganggur telah empat tahun tinggal berseorangan di rumah tersebut selain dipercayai turut menagih dadah.

    “Menurut jirannya, lelaki itu memang kerap mengamuk tanpa diketahui punca hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati dia mempunyai rekod perubatan psikiatri dengan kali terakhir menerima rawatan pada Mac 2016,” katanya.

    Tambahnya setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat lelaki itu dtelah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk dibedah siasat.

  • Hukuman penjara, denda terhadap Najib ditangguhkan

    Hukuman penjara, denda terhadap Najib ditangguhkan

    MAHKAMAH Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap kes SRC International Sdn Bhd.

    Memetik laporan Malaysiakini, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan pihak pembelaan setelah mengekalkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

    Beliau berkata, sabitan kes turut ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di mahkamah lebih tinggi.

    Abdul Karim berkata, syarat penangguhan hukuman sama seperti diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi iaitu jaminan RM2 juta dengan dua penjamin, dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan.

    Terdahulu, Bernama melaporkan, Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Abdul Karim yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

    Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

    Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

    Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Dis 2014, dan 29 Dis 2014.

    Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Feb 2015, dan 2 Mac 2015.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

    Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb 2015.

    Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuiman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

  • Rayuan Najib ditolak, hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta kekal

    Rayuan Najib ditolak, hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta kekal

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melakukan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib, 68, masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

    Beliau memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

    Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

    Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

    Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Dis 2014, dan 29 Dis 2014.

    Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Feb 2015, dan 2 Mac 2015.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

    Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb 2015.

    Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuiman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Kes SRC: Najib Razak ketahui nasibnya hari ini

    Kes SRC: Najib Razak ketahui nasibnya hari ini

    Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusannya hari ini berhubung rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Keputusan itu dijadualkan disampaikan melalui dalam talian pada 9 pagi, berikutan bekas perdana menteri itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, yang disahkan positif COVID-19.

    Difahamkan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram akan hadir dalam prosiding mahkamah terbuka itu.

    Seramai 42 wartawan dari media tempatan dan asing telah diberi pas untuk mengikuti prosiding itu melalui pautan video di dewan persidangan dan 47 jurugambar dan jurukamera akan berada di lobi Istana Kehakiman untuk membuat liputan.

    Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

    Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya.

    Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat  Emeritus  SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada  RM4 bilion kepunyaan SRC.

    Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Dis 2014, dan 29 Dis 2014.

    Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Feb 2015, dan 2 Mac  2015.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum  20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan,  Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan  Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb  2012.

    Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing  RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Feb  2015.

    Najib didakwa mengikut Seksyen  4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuiman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Remaja maut motosikal rempuh ‘backhoe’

    Remaja maut motosikal rempuh ‘backhoe’


    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG operator kilang maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah ‘backhoe’ di Jalan Baling menuju ke Weng dan Tanjung Pari, dekat Kampung Bandar di Baling, Kedah, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Muhamad Aiman Nor Hakim Rosidan, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15zr maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya, Muhmmad Aiman Shah Shukri pula cedera parah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua remaja itu cuba memotong sebuah kereta ketika melalui jalan tersebut.

    “Mereka cuba memotong kenderaan di hadapan namun tak lepas lalu masuk ke laluan bertentangan. Keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan jentera berat berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tersebut maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya pula mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat di sini, hari ini.

    Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Baling bagi mendapatkan rawatan.

    “Setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.