Category: Semasa

  • Harimau Malaya tewas di tangan Vietnam 3-0

    Harimau Malaya tewas di tangan Vietnam 3-0

    HASRAT Malaysia mara ke separuh akhir lebih awal disekat Vietnam, selepas tewas 0-3 pada aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Bishan, Singapura, malam ini.

    Kegagalan menyesuaikan diri dengan cepat terhadap intensiti tinggi permainan menghukum pasukan negara, apabila dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan babak pertama sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

    Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada kempen itu, selepas merakam kemenangan ke atas Kemboja dan Laos pada dua aksi pertama.

    Kekalahan di tangan penyandang juara itu juga menggugat peluang pasukan negara menempatkan diri ke pusingan empat pasukan terbaik, apabila jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan B dengan Vietnam kini di tempat kedua manakala Indonesia sebagai pendahulu.

    Ia juga kekalahan keenam Malaysia kepada Vietnam dalam tujuh pertemuan terakhir dan kekalahan kelima buat Cheng Hoe berdepan skuad Naga Emas itu sejak membimbing pasukan negara pada 2017.

    Pada aksi tersebut, kegagalan ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak mengeluarkan bola di udara dengan kemas, nyaris meletakkan Vietnam di depan seawal minit kedua, namun sepakan voli Nguyen Cong Phuong melambung tinggi.

    Cong Phuong sekali lagi mencemaskan gawang negara menerusi percubaan jarak dekat pada minit ke-10 yang bijak diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, sebelum Malaysia menerima tamparan apabila Mohamad Aidil yang mengalami kecederaan di paha terpaksa dibawa keluar pada minit ke-24.

    Pemain muda Dominic Tan dibawa masuk untuk digandingkan bersama Shahrul Mohd Saad dan situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Vietnam, bagi meledak gol pembukaan pada minit ke-32 menerusi Nguyen Quang Hai berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan.

    Selang seminit kemudian, Malaysia memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan selepas pemain pertahanan Vietnam tertanduk bola ke belakang tepat ke kaki penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin yang tidak dikawal, namun rembatan kaki kiri pemain berusia 19 tahun itu jauh tersasar.

    Kombinasi kurang baik antara Shahrul dan Dominic sekali lagi menghukum skuad kebangsaan, apabila Nguyen Cong Phuong mudah membuat larian untuk melepasi halangan dua pemain itu sebelum mengacah Dominic, dan melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-36. – BERNAMA

  • Banduan cuci kereta anggota Jabatan Penjara dibayar gaji

    Banduan cuci kereta anggota Jabatan Penjara dibayar gaji

    JABATAN Penjara hari ini menjelaskan berhubung isu gambar seorang penghuni penjara mencuci kenderaan seorang anggota jabatan itu yang tular di laman sosial, merupakan individu dilatih dan terlibat dalam program pemulihan luar penjara dikenali sebagai Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP).

    Jabatan Penjara dalam kenyataan memberitahu setiap banduan yang terlibat, telah menjalani saringan ujian fizikal dan mental tertentu untuk menjalani BKLP, dengan pemantauan anggota penjara selain turut menerima gaji hasil daripada pekerjaan mereka lakukan.

    “Kebanyakan institusi penjara menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan dan ia turut dibuka kepada orang awam dengan kadar harga bayaran berpatutan dan perkhidmatan berkualiti.

    “Masyarakat setempat yang berhasrat menggunakan perkhidmatan ditawarkan itu, dialu-alukan untuk berhubung dengan penjara berdekatan sebagai tanda sokongan masyarakat setempat terhadap program pemulihan Jabatan Penjara, dalam menyediakan peluang pekerjaan dan kerjaya kepada penghuni apabila dibebaskan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, tular di media sosial satu tangkap layar mendakwa seorang pegawai Jabatan Penjara menyuruh seorang banduan mencuci kereta miliknya.

    Tangkap layar berkenaan mengundang pelbagai kecaman, yang menganggap pegawai berkenaan menggunakan banduan itu untuk kepentingan peribadinya. – BERNAMA

  • KPLB salur RM79.8 juta laksana program bina baharu,baik pulih rumah PPRT di Sarawak

    KPLB salur RM79.8 juta laksana program bina baharu,baik pulih rumah PPRT di Sarawak

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan RM79.8 juta bagi membina dan membaik pulih rumah rakyat termiskin di Sarawak tahun ini.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah itu meliputi 405 projek bina baharu dan 3,077 projek baik pulih rumah golongan yang memerlukan bantuan program perumahan itu.

    “Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ini merupakan bantuan daripada kerajaan untuk membina baharu atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas kesejahteraan Keluarga Malaysia.

    ”Kumpulan sasar PPRT adalah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin yang ditentukan berdasarkan pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa yang berkuatkuasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut Program Peningkatan Pendapatan, PPP dan PPRT dekat Kampung Awat-Awat di Lawas hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong.

    Beliau berkata, GIATMARA telah diberikan tanggungjawab sebagai agensi pelaksana projek PPRT Wilayah Sarawak meliputi 180 unit rumah bina baharu dan 1,162 unit rumah baik pulih dengan peruntukan sebanyak RM29.7juta manakala selebihnya dilaksanakan oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat & Pembangunan Wilayah Sarawak, MANRED.

    ”Sehingga 15 November 2021, sejumlah 800 unit rumah bina baharu telah berjaya disiapkan 75 peratus. Manakala 10,000 unit rumah telah berjaya disiapkan 100 peratus bagi program baik pulih,” katanya.

    Bagi daerah Lawas kata Mahdzir, sejumlah RM1.5 juta dibelanjakan bagi 15 projek bina baharu dan 32 projek baik pulih rumah tersebut dan Limbang pula, GIATMARA melaksanakan 19 projek PPRT bina baharu dan 20 projek PPRT baik pulih melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

    Beliau juga memaklumkan, bagi Program Peningkatan Pendapatan, PPP, tahun ini KPLB telah menyalurkan sejumlah RM700,000 kepada GIATMARA Wilayah Sarawak.

    Daripada jumlah itu, katanya, RM500,000 disalurkan kepada 50 penerima manfaat di Lawas.

    ”Ia merangkumi program meningkatkan pendapatan nelayan kumpulan B40 di daerah itu melalui penyerahan bantuan enjin sangkut kepada 50 pesertanya. Kadar bantuan maksimum program PPP adalah sebanyak RM10,000, bergantung kepada projek yang dilaksanakan.

    ”Peruntukan projek yang diluluskan akan ditentukan sepenuhnya oleh pihak kementerian dan bantuannya merangkumi kos latihan atau kursus kemahiran projek yang berjumlah maksimum RM1,500 seorang mengikut keperluan,” kata Mahdzir.

  • SPRM nafi tahan Presiden Parti Bumi Kenyalang

    SPRM nafi tahan Presiden Parti Bumi Kenyalang

    prn sarawak

    DAKWAAN bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan pagi tadi adalah tidak benar.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan agensi itu mengejar Voon juga tidak benar.

    Menurut SPRM, agensi itu telah beberapa kali cuba menghubungi Voon sebelum ini namun gagal dan hari ini, beliau dikesan berada sekitar Kenyalang Park di Kuching.

    Kenyataan itu menyebut pihak SPRM juga telah menjelaskan kepada Voon mengenai keperluan beliau hadir ke pejabat agensi berkenaan bagi membantu siasatan berhubung klip video yang disebarkannya dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

    “Beliau juga turut diserahkan notis hadir pemeriksaan Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang-undang.

    “SPRM hanya menyampaikan notis pemakluman untuk beliau memberikan kerjasama dalam siasatan. Voon juga telah memberi kerjasama dan telah menghadirkan diri ke pejabat SPRM Kuching pada pagi ini untuk membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

    SPRM menjelaskan pihaknya sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional semasa menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    Terdahulu, Voon dilaporkan mendakwa beliau telah ditahan oleh pegawai SPRM ketika memandu melintasi Kenyalang Park selepas kenderaannya diarahkan berhenti. – BERNAMA

  • Motosikal bertembung, dua remaja Orang Asli maut

    Motosikal bertembung, dua remaja Orang Asli maut

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA remaja lelaki berketurunan Orang Asli maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Kampung Pasir Intan, di Kota Tinggi malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, kedua-dua mereka yang berusia 13 dan 15 tahun mengalami kecederaan parah di kepala akibat pelanggaran secara berhadapan.

    Remaja berumur 13 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang menunggang Demak 110 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

    Lokasi kemalangan di Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Kampung Pasir Intan, di Kota Tinggi malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal jenis Demak 110.

    “Siasatan awal mendapati mangsa berumur 13 tahun berketurunan Orang Asli menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Kota Tinggi menghala ke Kluang.

    “Semasa tiba di lokasi kejadian iaitu kawasan jalan lurus dan gelap tanpa lampu, mangsa telah berlanggar dengan sebuah lagi motosikal dinaiki remaja berusia 15 tahun yang juga keturunan Orang Asli dari arah bertentangan.

    “Akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal Honda EX5 mengalami cedera parah
    pada bahagian kepala dan kaki telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Hussin berkata, mangsa kedua yang turut mengalami cedera parah pada bahagian kepala telah dibawa ke hospital oleh ambulans sebelum disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan.

  • Ayob Khan beri amaran tegas kepada polis Johor

    Ayob Khan beri amaran tegas kepada polis Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dan mempertahankan anggota dan pegawai yang terlibat dalam kesalahan rasuah, salah laku, bersekongkol dengan penjenayah dan dadah.

    Pada masa yang sama, beliau mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak perlu takut berdepan tohmahan atau kritikan daripada orang awam atau mana-mana pihak selagi menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang dan prosedur standard operasi (SOP).

    Ayob Khan menambah, seluruh warga polis khususnya kontinjen Johor juga harus berpegang teguh kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah biarpun berdepan kemungkinan dikritik, dikecam dan diugut ketika menjalankan tugas.

    “Tuan-tuan dan puan-puan jangan bimbang, saya bukan akan berada di belakang tetapi saya akan sentiasa di hadapan, saya tidak akan biarkan pegawai dan anggota dibelasah. Itu bukan prinsip saya, saya bertanggungjawab terhadap semua dan sebarang kelemahan dan kekhilafan anak-anak buah, saya akan bertanggungjawab.

    “Jangan bimbang, jangan gusar dan jangan gabra dengan kritikan dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

    “Jangan bimbang pengikut Facebook dan Instagram Kontinjen Johor menurun, kita bukan nak jadi artis, YouTuber atau nak bertanding dalam pilihan raya, yang penting berpegang pada prinsip ikhlas, amanah, tegas, adil dan berhemah,” katanya pada Perhimpunan Bulanan IPK Johor, hari ini.

    Tambah Ayob Khan, warga polis Johor juga harus berbangga kerana mendapat sokongan mantap daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad serta ketua-ketua jabatan dan agensi luar.

    Justeru katanya, kesemua anggota dan pegawai diminta terus meningkatkan komitmen menjalankan tanggungjawab membanteras jenayah secara habis-habisan biarpun menerima kecaman.

    Sementara itu, kata beliau, indeks jenayah di negeri itu mencatatkan penurunan sebanyak 40 peratus bagi Januari hingga bulan lalu hasil kerja keras Polis Johor melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang memastikan keamanan rakyat dan negeri terpelihara.

    Dalam tempoh itu, 4,036 kes direkodkan berbanding 6,726 kes untuk tempoh sama tahun lalu dengan jenayah kekerasan mencatat penurunan 32.6 peratus dan jenayah harta benda pula menurun sebanyak 41.6 peratus.

    “Pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merekodkan tangkapan kedua tertinggi antara kontinjen dengan seramai 12,828 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan selain merampas sebanyak 12.38 tan dadah yang bernilai RM375.93 juta.

    “Malah lima makmal haram dadah dan enam stor dengan nilai rampasan dan sitaan sebanyak RM355.34 juta turut dibongkar. Pada masa sama, 20 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan skala tangkapan dan rampasan yang besar dalam sejarah JSJN Johor dan negara,” katanya.

    Ayob Khan berkata, Johor turut mencatatkan tangkapan tertinggi melibatkan seramai 847 individu bagi kes penagih berulang untuk dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 selain 173 orang ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985.

    “Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor, kita telah berjaya membuka sebanyak 2,774 kertas siasatan berbanding 3,822 kertas siasatan pada tahun lalu, menunjukkan pengurangan sebanyak 27.4 peratus,” katanya.

  • Daerah baharu Gedong bandar satelit Samarahan

    Daerah baharu Gedong bandar satelit Samarahan

    prn sarawak

    GEDONG kini secara rasmi adalah sebuah daerah di Sarawak, satu pengiktirafan yang akan meningkatkan corak hidup masyarakat, dan seterusnya menjadi bandar satelit bagi kawasan Samarahan.

    Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan perkara itu berkata, sebagai daerah baharu, Gedong akan mempunyai infrastruktur dan struktur pentadbiran yang lebih tersusun dan terperinci.

    “Kita akan merancang Gedong sebagai bandar satelit, dengan kawasan kampung serta rumah panjang (sekitarnya) akan menikmati kemajuan pertanian moden.

    “Gedong akan mempunyai satu pendekatan pembangunan melalui Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA), satu agensi merancang dan seterusnya membangunkan daerah di kawasan Samarahan termasuk Gedong,” katanya ketika melancarkan Gedong sebagai daerah baharu di Sarawak di Geding, hari ini.

    Abang Johari turut mengumumkan pembentukan lima daerah baharu termasuk Gedong iaitu Siburan di Serian, Sebuyau di Samarahan, Lingga dan Pantu di Sri Aman, serta satu daerah kecil Balai Ringin di Serian.

    Beliau berkata, Gedong akan menjadi pusat penyelidikan yang berteraskan hasil biodiversiti kerana adanya institusi pendidikan tinggi berdekatan di Samarahan.

    Katanya kawasan luar bandar akan diubah menjadi satu kawasan yang moden mempamerkan keindahan budaya rakyat Sarawak.

    “Kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar melalui jalan yang kita bangunkan termasuk jalan pesisir; dan sektor ekonomi termasuk pertanian dan pelancongan yang ada khazanah di kawasan Gedong, Simunjan, dan sekitarnya,” tambahnya

    Pada majlis sama Abang Johari menyampaikan cek pampasan tanah bagi projek Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong serta projek naik taraf jalan di sekitar Simunjan bernilai RM5.35 juta.

    Beliau turut menyampaikan lesen pendudukan sementara Skim Pembesaran Kampung Masjid Gedong Fasa II. – BERNAMA

  • Rompakan berkumpulan, seorang pegawai SPRM ditahan

    Rompakan berkumpulan, seorang pegawai SPRM ditahan

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

    SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada agensi penguat kuasa itu, petang semalam.

    SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah.

    “Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terlibat,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta. – BERNAMA

  • Mangsa kedua insiden bot bertembung ditemukan

    Mangsa kedua insiden bot bertembung ditemukan

    OPERASI mencari dan menyelamat mangsa kedua kejadian sampan bertembung dengan sebuah bot berdekatan Jeti Tok Kuning, ditamatkan selepas mayat nelayan itu ditemukan pada 3.27 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata mangsa Abdul Rashid Md Derus, 45, ditemukan di kawasan Denai Larian, Sungai Perlis, Pengkalan Asam kira-kira lima kilometer dari Jeti Tok Kuning.

    “Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di kawasan itu dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

    Terdahulu pada pagi tadi, seorang lagi mangsa yang terlibat dalam insiden itu Mohd Faizal Hisham, 39, ditemukan kira-kira 7.46 pagi pada jarak kurang 20 meter dari tempat kejadian.

    Dua nelayan itu sebelum ini dikhuatiri lemas selepas sampan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot dalam kejadian kira-kira 10 malam Khamis lepas. – Bernama

  • Kes buli: Empat lagi ditahan, enam pelajar dibebaskan

    Kes buli: Empat lagi ditahan, enam pelajar dibebaskan

    POLIS menahan empat lagi pelajar bagi membantu siasatan kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular dalam media sosial semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata seorang pelajar berusia 15 tahun dan tiga orang berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar hari ini.

    Katanya, ia menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 10 orang setakat ini selepas enam pelajar ditahan semalam.

    “Enam daripadanya dibebaskan petang ini manakala empat lagi akan dibebaskan esok selepas siasatan selesai,” katanya.

    Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular dalam media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

    Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 hingga 2 pagi pada 9 Dis melibatkan seorang mangsa yang juga berusia 13 tahun.

    Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar yang terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama