Category: Semasa

  • Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima RM3.41 juta hasil aktiviti haram

    Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima RM3.41 juta hasil aktiviti haram

    SEORANG bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 14 pertuduhan menerima wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM3.41 juta pada 2017 hingga 2019.

    Tertuduh, R. Ganesan, 35, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima sejumlah wang antara RM20,000 hingga RM670,000 dengan keseluruhannya berjumlah RM3.41 juta daripada 12 individu yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Inderawasih, Perai antara 22 Ogos 2017 sehingga 23 Oktober 2019.

    Ganesan didakwa melakukan kesalahan itu di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM140,000 manakala kes itu akan disebut semula pada 17 Januari depan.

    Mengikut fakta kes, sepasang suami isteri telah membuat pelaburan pada Jun 2019 dengan seorang pegawai bank dengan tawaran pulangan 8.88 peratus bagi setiap enam bulan.

    Mangsa telah dimaklumkan bahawa pelaburan sebanyak RM716,000 hanya boleh membuat wang dividen dan wang pokok tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun.

    Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menerima pulangan seperti dijanjikan dan pegawai bank tersebut dikatakan melakukan pengubahan wang haram menggunakan wang pelaburan mangsa.

  • Duit lesap, hajat guru tadika jadi isteri ‘menteri’ tak kesampaian

    Duit lesap, hajat guru tadika jadi isteri ‘menteri’ tak kesampaian

    SEORANG guru tadika mendakwa kerugian RM4,200 selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘menteri’ menerusi laman Facebook pada awal bulan ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa guru tadika wanita berusia 59 tahun itu mendakwa telah ditawarkan wang tunai RM1 juta dan kereta mewah Rolls-Royce sekiranya bersetuju menjadi isteri ‘menteri’ berkenaan.

    Beliau berkata, mangsa turut diminta untuk berurusan dengan seorang individu bernama Siti yang memperkenalkan dirinya sebagai pengurus bank sebelum diminta wang kononnya sebagai yuran pemprosesan sebagai isteri suspek.

    “Mangsa seterusnya telah memasukkan wang sebanyak RM4,200 ke dalam nombor akaun milik seorang lelaki pada Jumaat lepas.

    “Bagaimanapun, mangsa yang berasa ditipu dan tidak berpuas hati kerana suspek telah mempergunakan nama menteri untuk memperdayanya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh semalam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Pegawai SPRM disyaki terlibat kes rompakan RM700,000

    Pegawai SPRM disyaki terlibat kes rompakan RM700,000

    DUA individu termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman, masing-masing tiga dan empat hari bagi membantu siasatan kes rompakan melibatkan kerugian RM700,000.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kedua-dua individu berumur lingkungan 30 tahun itu ditahan pada Sabtu dan semalam oleh sepasukan anggota daripada bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi.

    Beliau berkata, setakat ini, seramai 12 individu telah dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, SPRM dalam kenyataan mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

    Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, di sini melibatkan kerugian hampir RM1 juta. – BERNAMA

  • Peruntukan RM10 juta bina GIATMARA Limbang

    Peruntukan RM10 juta bina GIATMARA Limbang

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terus memperkasakan bidang pendidikan Teknikal dan Vokasional, TVET, menerusi pembinaan GIATMARA terbaharu di Limbang, Sarawak.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, RM10 juta diperuntukkan untuk projek tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

    “Sudah tiba masanya untuk GIATMARA Limbang beroperasi di bangunan sendiri bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat.

    Kita juga mahu para pelatih menjalani proses pembelajaran dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif.”

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan GIATMARA Limbang hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah yang juga Ahli Parlimen Limbang, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

    Jelas Mahdzir, peruntukan tersebut termasuk kos pembinaan bangunan baharu, pembelian peralatan serta perabot dan keperluan operasi.

    Projek pembinaan GIATMARA Limbang dijangka siap pada Ogos 2023.

    Sebelum ini, GIATMARA Limbang beroperasi di Bangunan Pejabat Residen Lama Limbang bermula sejak tahun 2011.

    Pusat TVET itu menawarkan kursus Teknologi Fabrikasi dan Kimpalan Logam, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Jahitan serta kursus baharu Solekan dan Terapi Kecantikan.

    Sehingga kini, terdapat 30 buah pusat GIATMARA di wilayah Sarawak yang sedang beroperasi.

    Bagi tahun 2021, sejumlah 750 pelatih sedang mengikuti latihan dalam pelbagai bidang pilihan masing-masing.

    Untuk pengambilan sesi tahun 2022, GIATMARA akan menawarkan tempat kepada 700 pelajar bagi seluruh Sarawak.

    GIATMARA di wilayah Sarawak terletak di tiga lokasi yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu Bandar, Separa Bandar dan Luar Bandar dengan masing-masing mempunyai 10 buah premis.

    “GIATMARA adalah Institusi Pendidikan yang menyediakan latihan kemahiran dan vokasional kepada penduduk setempat di peringkat sijil, kursus yang dijalankan pula adalah dalam jangka masa pendek iaitu dari 6 bulan hingga 24 bulan,” kata Mahdzir.

    Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan watikah dan bakul makanan kepada 19 penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bina Baharu, 20 penerima Program Peningkatan Pendapatan (PPP-KPLB) dan penyampaian Sijil Tamat Latihan kepada 50 peserta Program Long Life Learning (3L) daerah Limbang.

    Turut diraikan, 15 pelajar B40 yang menerima Alat Bantu Pembelajaran Alat Peranti Elektronik sumbangan Yayasan Pelajaran MARA, YPM dan 15 penerima sumbangan Wang Tunai serta Bakul Makanan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat, Rural Capital Berhad.

  • Mayat pekerja pembinaan jambatan ditemui

    Mayat pekerja pembinaan jambatan ditemui

    MAYAT seorang lelaki ditemukan orang awam di Sungai Perak berhampiran Kampung Sawa, Gerik, pada pukul 8.41 pagi ini.

    Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dalam satu kenyataan, mengesahkan mayat berkenaan adalah Nabil Haikal Nazarrudin, 21,

    Nabil Haikal mangsa bersama-sama rakan mandi di sungai tersebut pada petang kelmarin sebelum hilang.

    Ketua BBP Lenggong, Farizul Anuar Razali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.44 petang.

    “Berdasarkan maklumat rakan mangsa, mangsa yang bekerja membina jambatan di lokasi tersebut mandi bersama-sama rakan lain sebelum didapati hilang.

    “Operasi mencari dilakukan kelmarin dan mayat mangsa dijumpai hari ini sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, operasi mencari mangsa disertai 16 pegawai dan anggota BBP Gerik dan Lenggong dibantu enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar.

    “Operasi yang turut mendapat kerjasama pihak polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu tamat pada pukul 10 pagi,” katanya.

  • 143,523 saman selesai di Kedah, nilai lebih RM7 juta

    143,523 saman selesai di Kedah, nilai lebih RM7 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 143,523 saman telah pun diselesaikan setakat semalam di Kedah sejak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun hingga 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Disember lalu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, nilai kutipan kompaun bagi keseluruhan saman yang diselesaikan itu berjumlah RM7,417,030.

    “Nasihat saya buat semua yang masih ada saman tertunggak, bayarlah sekarang dan usah tangguh hingga ke saat akhir.

    “Tujuannya adalah bagi mengelakkan kesesakan selain memastikan agar prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Kamarul Zaman menambah, selain hadir ke kaunter-kaunter trafik, individu yang hendak menyelesaikan saman juga boleh berbuat demikian di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank.

    “Selain itu, pembayaran saman itu juga boleh dibuat menerusi aplikasi ‘My Bayar’,” katanya.

  • Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 695 kg ketum

    Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 695 kg ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan percubaan menyeludup kira-kira 695 kilogram daun ketum di kedudukan 5.0 batu nautika, timur Pulau Tanjung Dendang dekat Langkawi, awal pagi semalam.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejayaan itu merupakan hasil maklumat risikan dan intipan berterusan kegiatan penyeludupan tersebut yang dilihat kian aktif di kawasan perairan berhampiran sempadan negara jiran.

    Katanya, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan kira-kira pukul 3.30 pagi.

    Pemeriksaan dilakukan terhadap objek dibuang menemukan sebanyak 57 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat kira-kira 695 kilogram

    “Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot tersebut bertindak memecut laju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand dan meloloskan diri dengan cara membuang sejumlah objek ke laut.

    “Pemeriksaan dilakukan terhadap objek dibuang menemukan sebanyak 57 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat kira-kira 695 kilogram.

    “Kesemua daun ketum itu dianggarkan bernilai RM125,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, harga pasaran yang tinggi di negara jiran sehingga mencecah RM180 sekilogram dilihat sebagai faktor pendorong kepada aktiviti ini.

    Kesemua daun ketum yang dirampas maritim dianggarkan bernilai RM125,000

    “Selain itu, upah tinggi diterima ‘transporter’ iaitu dianggarkan mencecah antara RM350 hingga RM800 bergantung kepada berat muatan dilihat menjadi pendorong kepada kegiatan penyeludupan ini,” katanya.

    Tambahnya, semua hasil rampasan dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

  • RM600,000 lesap kerana bitcoin

    RM600,000 lesap kerana bitcoin

    SEORANG pengurus kanan sebuah syarikat insurans kerugian lebih RM600,000 akibat ditipu sindiket pelaburan bitcoin sejak Oktober lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita berusia 40 tahun itu terlibat dalam pelaburan tersebut melalui sebuah aplikasi telefon bimbit yang diperkenalkan oleh seorang lelaki warga asing.

    Beliau berkata mangsa mengenali lelaki berkenaan melalui nombor telefon antarabangsa pada awal Oktober lepas.

    “Mangsa telah memuat turun aplikasi tersebut dan telah memindahkan wang RM1,000 ke dalam aplikasi tersebut dan berjaya memperoleh keuntungan RM800. Sejak dari itu, mangsa mula yakin apa yang dikatakan suspek dan telah melakukan 31 transaksi ke lapan akaun berbeza melibatkan wang berjumlah RM648,800.

    “Mangsa mula curiga apabila kesemua wang pelaburannya tidak lagi memperoleh keuntungan dan bertindak membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji-janji manis kenalan alam maya. – Bernama

  • Pegawai bomba maut terkena letupan kebakaran kilang

    Pegawai bomba maut terkena letupan kebakaran kilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, kelmarin, meninggal dunia hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, Pegawai Bomba Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat pada pukul 4.15 pagi.

    “Jenazah yang kini berada di Hospital Segamat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

    “Allahyarham sudah 10 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba sejak 3 Disember 2012.

    Mohd. Firdaus Sulaiman

    “Bersama-sama kita mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kelmarin, Mohd. Firdaus dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah, manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di kilang tersebut.

    Selain Mohd. Firdaus, mangsa lain yang cedera ialah Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52 dan anggota ERT kilang Mohamad Azuraini Mahrani, 40.

    Jenazah Allahyarham Mohd. Firdaus diusung untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

    Mohd. Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

    Secara keseluruhannya seramai 22 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat serta BBP Labis terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran di bahagian dandang laluan habuk kayu di tingkat tiga bangunan kilang berkenaan.

  • Kisona tersingkir awal Kejuaraan Dunia BWF

    Kisona tersingkir awal Kejuaraan Dunia BWF

    HARAPAN pemain badminton perseorangan wanita utama negara S. Kisona untuk kembali cemerlang tidak kesampaian, apabila beliau tewas kepada Neslihan Yigit dari Turki, pada pusingan pembukaan Kejuaraan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol, hari ini.

    Pemain nombor 28 dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk mengenepikan cabaran Kisona yang berada di kedudukan 58 dunia, 21-14, 21-15, pada perlawanan yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin.

    Perlawanan hari ini merupakan penampilan Kisona yang pertama selepas hampir dua bulan berehat selepas menjadi mangsa serangan rasis di media sosial, berikutan kekalahannya kepada pemain nombor tiga dunia Akane Yamaguchi dari Jepun di perlawanan separuh akhir Piala Sudirman di Vaanta, Findland pada Oktober.

    Sementara itu pemain perseorangan persendirian lelaki negara Cheam Jun Wei, juga gagal meneruskan cabarannya selepas tewas pada pusingan pertama kepada Kenta Nishimoto dari Jepun, 21-17, 21-8.

    Beberapa pemain negara termasuk juara All England 2021 Lee Zii Jia, selain pasangan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See akan beraksi pada perlawanan pusingan pertama yang akan bersambung esok.

    Zii Jia selaku pemain pilihan keenam kejohanan akan behadapan pemain dari Kanada Jason Anthony Ho-Shue, manaka Pang Ron-Yee See akan bertemu pasangan Belanda, Ties Van Der Lecq-Debora Jille. – BERNAMA