Category: Semasa

  • Wang simpanan DJ RM419,050 lebur ditipu ‘Inspektor Ling’

    Wang simpanan DJ RM419,050 lebur ditipu ‘Inspektor Ling’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WANG simpanan seorang DJ wanita di sebuah Pusat Hiburan sebanyak RM419,050 lebur apabila ditipu ‘Inspektor Ling’ berkaitan tunggakan bil telefon.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, mangsa berusia 45 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam.

    Beliau berkata, pengadu menerima panggilan telefon pada 1 Disember lalu, melalui talian telefon rumah daripada lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Telekom Malaysia.

    “Lelaki itu mengatakan bahawa nama pengadu akan disenarai hitam kerana tunggakan bil telefon belum dijelaskan dan akan menghubungi pengadu semula.

    “Pengadu kemudiannya telah menerima panggilan telefon dari wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Ling’ daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan yang memaklumkan boleh membantu pengadu membuat laporan polis secara atas talian.

    “Inspektor Ling kemudian menyatakan telah membuat semakan ke atas nama pengadu dan mendapati pengadu terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Amran memberitahu, ‘Inspektor Ling’ itu kemudian mengarahkan pengadu membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan atas alasan untuk siasatan dan wang itu akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

    Katanya, mangsa yang terpedaya dengan kata-kata Inspektor Ling telah membuat 58 transaksi pindahan wang berjumlah RM419,050 ke lapan akaun pelbagai bank antara 2 hingga 9 Disember lalu.

    “Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas gagal menghubungi Inspektor Ling selepas bayaran dibuat.

    “Polis mengingatkan kepada orang awam agar sentiasa berhati-hati sekiranya menerima panggilan telefon dari individu tidak dikenali yang mendakwa dari penguatkuasa,” katanya kes disiasat dibawah Seksyen 420 kanun keseksaan.

  • Rusuhan perlawanan bola sepak, polis tahan 10 lelaki

    Rusuhan perlawanan bola sepak, polis tahan 10 lelaki

    POLIS Labuan hari ini menahan 10 lelaki selepas berlakunya kejadian rusuhan yang melibatkan penyokong dan pemain ketika satu perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Labuan semalam.

    Timbalan Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Ghani berkata kesemua lelaki tempatan berusia antara 17 dan 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan pada satu perlawanan bola sepak bawah 23 tahun.

    Beliau berkata, lapan daripada mereka telah dikenakan perintah reman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Labuan, manakala dua lagi direman sehingga esok.

    “Kami menerima laporan kejadian keganasan tidak lama selepas ia berlaku…rusuhan bermula ketika separuh masa kedua perlawanan antara pasukan Bambu 2 dan PAT United kira-kira jam 1.30 tengah hari.

    “Terdapat penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuashati dengan kekasaran berlaku ketika permainan, menyebabkan mereka masuk ke padang dan mencetuskan pergaduhan antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan, dengan beberapa individu mengalami kecederaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Mohd Ibrahim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • Gonzalo Cabrera tinggalkan JDT

    Gonzalo Cabrera tinggalkan JDT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMAIN kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera tidak lagi akan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia musim depan apabila akan meninggalkan kelab itu.

    Perkara itu diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, hari ini.

    JDT mengesahkan tidak akan menyambung kontrak pemain sayap kiri pasukan itu, Gonzalo Cabrera bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

    Menerusi kenyataan itu, turut dimuat naik ucapan terima kasih kepada Cabrera atas jasanya sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan sejak 2017.

    “Ia pengalaman bersama yang akan sentiasa dikenang, memenangi pelbagai trofi dan menjaringkan begitu banyak gol untuk menjadi penjaring terbanyak kelab berkenaan.

    “Cabrera menjaringkan 43 gol sepanjang bersama JDT dalam saingan Liga Super dan juga 66 gol dalam semua pertandingan menerusi 152 penampilan sejak musim 2017.

    “Sudah tiba masanya untuk berpisah tapi ia penghormatan yang amat besar. Terima kasih sekali lagi untuk setiap detik yang indah dan kami ucapkan selamat maju jaya,” demikian menurut kenyataan itu.

    Sepanjang kariernya bersama JDT, pemain kelahiran Argentina itu membantu pasukan muncul juara liga sejak 2017 hingga 2021 manakala memenangi Piala Sumbangsih dari 2018 hingga 2021.

    Pemain lincah berusia 32 tahun itu turut membantu skuad Harimau Selatan muncul juara Piala Malaysia 2017 dan 2019.

    Sebelum ini, nama Cabrera dicanang untuk dijadikan pemain naturalisasi bagi memperkuat skuad Harimau Malaya setelah berada di negara melebihi tempoh lima tahun.

    Berita perpindahan Cabrera itu bakal membuka ruang buat pasukan untuk membawa masuk pemain import baharu bagi menguatkan jentera serangan namun belum ada sebarang perkembangan terkini mengenainya.

  • Bapa tiga anak bebas tuduhan bunuh pengawal keselamatan

    Bapa tiga anak bebas tuduhan bunuh pengawal keselamatan

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG bapa kepada tiga anak dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini daripada pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan dalam kejadian di Pasir Gudang, pada Disember 2017.

    Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut terhadap M.S. Muthusamy, 58, yang didakwa menyebabkan kematian Ramli Jusoh, 54.

    Muthusamy didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kilang di Jalan Timah, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang antara pukul 9 hingga 10 pagi pada 16 Disember 2017.

    Atas perbuatan itu, dia dibawa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya disabitkan bersalah.

    Dalam penghakimannya, Abu Bakar memberitahu mahkamah telah melihat dengan teliti bukti dipersembahkan sepanjang prosiding kes berkenaan.

    Katanya, pendakwaan bergantung kepada bukti persekitaran di mana tertuduh merupakan individu terakhir yang dilihat bersama si mati.

    “Walaubagaimanapun, mahkamah telah mempertingkatkan tempoh sepanjang 13 jam sebelum Ramli ditemui mati sebagai tempoh masa terlalu lama untuk mengaitkan tertuduh dengan jenayah berkenaan.

    “Pertemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang tidak dikenali di atas dua batang kayu yang mungkin digunakan sebagai senjata turut mempengaruhi keputusan mahkamah.

    “Melihat kepada bukti secara keseluruhannya, pendakwaan dilihat gagal membuktikan kes prima facie bahawa tertuduh yang menyebabkan kecederaan sehingga mangsa maut,” katanya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

  • Tasik Cermin ditutup mulai hari ini susulan tular lelaki terjun

    Tasik Cermin ditutup mulai hari ini susulan tular lelaki terjun

    TASIK Cermin di Ipoh, Perak yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semula jadinya, ditutup bermula hari ini gara-gara tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.

    Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata kawasan tersebut ditutup sehingga siasatan kes itu selesai dijalankan dan pembukaan semula untuk kunjungan pelancong akan diumumkan kepada orang ramai.

    “Majlis Perbandaran Ipoh (MBI) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu dan kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Katanya identiti pelaku masih dalam siasatan dan tindakan akan dikenakan mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan yang bersesuaian.

    Kawasan Tasik Cermin berada di bawah pengurusan Geopark Kinta dan orang ramai tidak dibenarkan mandi-manda di kawasan tasik berkenaan.

    Baru-baru ini, video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan tular di aplikasi TikTok.

    Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan lelaki itu kerana perbuatannya itu boleh menyebabkan kawasan rekreasi itu ditutup kepada pengunjung.

    Sebelum ini, Tasik Cermin pernah ditutup kepada pengunjung pada Mac tahun lalu atas faktor keselamatan.–Bernama

  • Konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bendung gejala buli

    Konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bendung gejala buli

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

    Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata konsep itu bukan untuk dijadikan sebagai mata pelajaran baharu sebaliknya ia merupakan penerapan nilai murni kepada pelajar sewaktu mereka berada di peringkat awal persekolahan.

    “Jika kita lihat antara komponen dalam konteks buli ini sebagai contoh, apabila ramai anak-anak kita yang tidak bertindak secara rasional, masing-masing mengambil tindakan merasakan mereka dalam kelompok yang ramai, mereka boleh membuli sahabat-sahabat lain.

    “Mereka ini menyebabkan antara punca yang membawa kepada keadaan pada hari ini, anak-anak kita tidak mengambil kira bahawa apa yang dilakukan itu adalah sesuatu yang tidak betul. Begitu juga rasa empati, rasa memahami apakah perasaan mereka yang dibuli atau dipukul,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

    Radzi berkata konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami atau natural.

    Katanya, pelajar ketika ini tidak didedahkan di peringkat awal tentang keperluan untuk membuat sesuatu keputusan dengan rasional, iaitu kesan besar gejala buli terhadap diri sendiri, keluarga dan masa depan mereka termasuk kepada mangsa yang dibuli.

    “Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan turun ke bawah menceritakan bahawa pada masa ini, kita mahukan anak-anak kita bukan sahaja menumpukan pada pendidikan akademik semata-mata, tetapi mereka memahami konsep penting dalam kehidupan,” katanya.

    Rang undang-undang yang memperuntukkan RM47,590,933,700 dalam Bajet 2022 bagi KPM diluluskan dengan lebih suara menyokong setelah dibahas lebih 20 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas. – Bernama

  • Mahkamah tolak permohonan 3 remaja untuk mengundi PRN Sarawak

    Mahkamah tolak permohonan 3 remaja untuk mengundi PRN Sarawak

    MAHKAMAH Tinggi Kuching menolak permohonan tiga remaja untuk izin membuat semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung hak mereka mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew, menolak permohonan oleh Avril Clarice Chin Ning, 18; Ivan Alexander Ong, 19 dan Addam Johanson Jeremy Shayne, 19, untuk memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menggunakan notis daftar pilihan raya yang diwartakan pada suku tahun kedua.

    Mahkamah memutuskan tiga remaja itu gagal memenuhi syarat untuk mendapat izin bagi meneruskan semakan kehakiman. Tiada perintah dibuat berkaitan kos.

    Menurut pemohon, hak mereka untuk mengundi telah dinafikan apabila kerajaan menggunakan notis daftar pilihan raya berkenaan.

    Mereka diwakili peguam Simon Siah dan Clarice Chan, manakala SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad.

    Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menetapkan 15 Disember sebagai tarikh penguatkuasaan pindaan terhadap Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan had usia mengundi dari 21 kepada 18.

    Dengan pindaan berkaitan Undi18 itu berkuat kuasa Rabu, mereka yang telah mencapai usia 18 tahun secara automatik termasuk dalam daftar pilihan raya.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Ser Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengesahkan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik akan dilaksanakan sebelum 31 Dis, kerana Putrajaya akan terdedah kepada penghinaan mahkamah jika gagal berbuat demikian.

  • Lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman

    Lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman

    SEORANG lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di paha kanan di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian dalam sebuah premis di taman tersebut dimaklumkan rakan mangsa kepada pihak polis pada pukul 3.57 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan polis menemui mangsa berusia 49 tahun dalam keadaan terbaring di atas lantai dan berlumuran darah.

    “Mangsa tidak memakai baju, hanya berseluar jeans panjang serta berkasut telah mati di tempat kejadian dan terdapat beberapa kesan tikaman di paha kanan.

    “Hasil siasatan mendapati premis itu telah tutup pada pukul 12 tengah malam. Mangsa bersama dua rakannya telah minum minuman keras di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, hasil rakaman kamera litar tertutup pada pukul 3.04 pagi, mangsa telah mengambil sebilah pisau dalam premis tersebut dan menikam paha kanannya beberapa kali sebelum dia rebah.

    Beliau berkata, terkejut dengan insiden itu, rakan mangsa segera menghubungi 999 untuk meminta bantuan.

    “Mayat mangsa telah dirujuk ke Bahagian Forensik Hospital Kuala lumpur untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar,” katanya.

    Katanya, kertas siasatan dibuka sebagai laporan mati mengejut pada ketika ini kerana siasatan awal mendapati ia tidak melibatkan unsur jenayah.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222 atau di Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya.

  • Demi bantu pekebun kecil di Limbang dan Lawas, RISDA buka cawangan ke-204

    Demi bantu pekebun kecil di Limbang dan Lawas, RISDA buka cawangan ke-204

    RISDA membuka cawangannya yang ke-204 di Bahagian Limbang dan Lawas bagi memberi perkhidmatan tanam semula getah kepada masyarakat pekebun kecil di luar bandar.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk  Seri Mahdzir Khalid berkata, cawangan terbaharu itu akan mula beroperasi pada Januari depan.

    “Saya yakin, pembukaan RISDA Daerah di Bahagian Limbang dan Stesen RISDA di Lawas ini adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan.

    “Menerusi cawangan RISDA di sini, diharapkan kegiatan ekonomi penduduk juga dapat dipertingkatkan terutamanya melalui kemudahan aktiviti keusahawan dan pemantauan peningkatan produktiviti,’’ katanya

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur, RISDA Negeri Sarawak di Rumah Panjang James Jimbau, Kampung Semabat di Limbang hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.

    Mahdzir berkata, pihaknya memahami permasalahan yang dihadapi penduduk, terutama di kawasan luar bandar seperti Limbang dan Lawas untuk mendapatkan perkhidmatan RISDA.

    ‘’Sebelum ini, penduduk di Limbang mengalami kesukaran dengan terpaksa menempuh jarak perjalanan melebihi satu jam untuk berurusan dengan pejabat RISDA di Miri atau ke Stesen Kecil RISDA di Lawas.

    “Besar harapan saya agar RISDA dapat menjadi sebahagian daripada komuniti di Limbang dan Lawas untuk membantu penduduk di sini meningkatkan kemajuan sektor pertanian khususnya sektor perladangan getah,’’  katanya.

    Beliau juga memberi jaminan kerajaan melalui RISDA akan terus membantu dalam pembangunan sektor pekebun kecil dengan menyampaikan bantuan pembangunan kawasan bertanam getah, peningkatan produktiviti, pembangunan semula hasil baharu serta Bantuan Musim Tengkujuh tahun 2022.

    Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyempurnakan majlis Pra Pelancaran Pembukaan Pejabat RISDA Bahagian Limbang dan menyampaikan Bantuan Musim Tengkujuh selain bantuan Bakul Prihatin kepada pekebun kecil RISDA dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat kepada peserta FELCRA yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

  • BNM beli tanah RM2.07 bilion, hasil jualan bayar hutang 1MDB – PAC

    BNM beli tanah RM2.07 bilion, hasil jualan bayar hutang 1MDB – PAC

    PENJUALAN Tanah Geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh kerajaan melalui Syarikat SPV Hartanah Mampan Sdn Bhd adalah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat BNM pada 19 Dis 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Dis 2017 (RM1.035 bilion), dengan hasil jualan itu telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Dis tahun sama.

    PAC yang menjalankan mesyuarat prosiding berhubung isu tanah itu pada 20 Sept lepas, antara lain merumuskan BNM tidak pernah merancang membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

    “Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wong berkata tiga saksi dipanggil pada mesyuarat prosiding berkenaan iaitu Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

    Hasil prosiding itu juga PAC mendapati BNM tidak melaksanakan usaha wajar secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41, selain Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli tanah lot itu dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF pada 15 Ogos 2017, dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF pada 21 Ogos tahun sama.

    “Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu empat bulan. Kesemua itu membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan,” kata Wong.

    PAC turut merumuskan harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan Tetuan Suleiman & Co adalah tinggi.

    “Penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia) yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000,” katanya.

    Wong memaklumkan pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah daripada “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.

    Justeru, PAC mengesyorkan supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan serta pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di samping menghormati transaksi jualan hartanah yang menguntungkan kerajaan.

    BNM juga perlu dengan segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41, selain rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah lot itu perlu dimuktamadkan, katanya.

    Menurut Wong, isu berhubung tanah berkenaan adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Dis 2020. – BERNAMA