Category: Semasa

  • Hari ini Guan Eng keluar IJN, esok hadir bicara rasuah

    Hari ini Guan Eng keluar IJN, esok hadir bicara rasuah

    BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani rawatan.

    Memetik laporan Malaysiakini, susulan itu, bekas Menteri Kewangan itu dijangka menghadiri perbicaraan kes rasuah esok yang berkaitan dengan skandal projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

    Peguamnya, Haijan Omar memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini bahawa beliau telah diberi pelepasan dari wad dan boleh menghadiri prosiding esok.

    Semalam, Guan Eng dilaporkan tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke IJN sejak Ahad.

    Di sebalik tanpa kehadiran Guan Eng, hakim Azura Alwi semalam membenarkan permohonan peguam pembelaan untuk prosiding diteruskan tanpa tertuduh, mengikut Seksyen 264 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

    Semasa prosiding hari ini yang tanpa kehadiran Guan Eng, Azura bertanya kepada peguam bela sama ada tertuduh cukup sihat untuk menghadiri perbicaraan esok.

    Azura: Tertuduh okay? Bolehkah dia datang (perbicaraan) esok?

    Haijan: Saya percaya dia telah keluar (IJN) dan akan datang (di mahkamah) esok.

    Prosiding disambung hari ini dengan keterangan daripada saksi ke-20 pendakwaan iaitu pegawai DUN Pulau Pinang, Mohd Farulizam Che Meh.

    Perbicaraan akan disambung semula sekitar 9.30 pagi esok.

    Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

    Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

  • Suami ditahan polis sebab pecahkan cermin kereta isteri

    Suami ditahan polis sebab pecahkan cermin kereta isteri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis kerana disyaki melakukan ugutan selain merosakkan kenderaan milik isterinya termasuk memecahkan cermin kereta itu dalam satu kejadian yang turut tular di media sosial, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari isteri mangsa yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai kerani.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Lorong Panglima, Jalan Teluk Wan Jah di Alor Setar, tidak jauh dari rumah pasangan tersebut.

    “Wanita itu terlebih dulu menyedari bahawa kereta dipandunya diekori oleh suaminya yang menunggang motosikal jenis Honda Wave. Suspek kemudian menahan kereta tersebut lalu mengetuk cermin kereta bahagian pemandu depan.

    “Suspek berbuat demikian untuk meminta mangsa membuka tingkap dengan alasan mahu memberi wang kepada nak mereka. Apabila mangsa membuka sedikit tingkap kereta itu, suspek tiba-tiba merentap cermin tingkap tersebut hingga menyebabkannya pecah dan tercabut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tindakan lelaki itu yang tular di media sosial mendapat kecaman banyak pihak yang jelas tidak berpuas hati dengan perbuatan tersebut.

    Tambahnya, serpihan kaca cermin tingkap itu turut mengenai anak mangsa hingga menyebabkan kanak-kanak itu terkejut.

    “Pemeriksaan awal mendapati kawasan kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup namun tindakan lelaki itu berjaya dirakam mangsa menggunakan telefon pintarnya.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini direman selama empat hari bermula semalam,” katanya.

  • Bersatu sudah korbankan segalanya, apa lagi UMNO mahu?

    Bersatu sudah korbankan segalanya, apa lagi UMNO mahu?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Bera, pada 11 Disember lalu mengejutkan lamunan dan semarak nafsu beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

    Pengakuan jujur Perdana Menteri bahawa kembalinya UMNO memegang tampuk pemerintahan negara bukan kerana menang lebih 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seakan hempedu yang sukar ditelan.

    Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ daripada parti lain.

    Menurut Ismail Sabri, selaku Naib Presiden UMNO dapat menjawat jawatan nombor satu negara itu hasil kesepakatan bersama-sama parti lain antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa wakil rakyat Bebas.

    Ismail Sabri berkata, dengan kudrat yang dimiliki UMNO selepas PRU-14 lalu, tidak mungkin parti keramat itu akan kembali menerajui pentadbiran negara dan memperoleh jawatan Perdana Menteri.

    “Sekarang, kita (UMNO) seolah-olah tak sedar perkara itu, seolah-olah tidak peduli parti lain kerana kita pegang tampuk kuasa. Jangan kita ulangi kesilapan lalu,” katanya.

    Pendedahan berani Ismail Sabri itu, memberikan satu tamparan hebat terutama pemimpin-pemimpin UMNO yang masih ‘tidak sedar’ selain lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding penyatuan parti-parti Melayu dan Islam.

    Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ parti lain.

    Bagi Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim, UMNO seharusnya sedar dan tidak perlu mendabik dada kononnya rakyat sudah ‘kembali’ menerima mereka sedangkan hakikatnya sebenar adalah sebaliknya.

    Md. Nasir Hashim

    Katanya, kerjasama antara parti yang membolehkan UMNO kembali ke pangkuan kuasa namun apabila sudah berada semula di tampuk kuasa, terdapat pemimpin mereka lupa dan seolah-olah tidak menghargai permuafakatan dan perikatan dibina sebelum ini.

    “Sebagai contoh Bersatu berkorban memberikan jawatan penting seperti Perdana Menteri dan Menteri Besar di Johor serta Perak. Ini adalah satu pengorbanan yang besar,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.

    Sepatutnya kata beliau, persefahaman yang terbina perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar terus subur, walaupun mungkin ada tindakan yang kadang-kala dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Razrul Anuar Rusli berkata, usaha menyatupadukan bumiputera perlu dilakukan menerusi platform parti berteraskan Melayu dan Islam.

    Razrul Anuar Rusli

    “Sebenarnya kedua-dua pihak saling memerlukan. Bukan sahaja UMNO tetapi Bersatu juga perlukan UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pun sebab UMNO sokong.

    “Apa yang penting kestabilan dan kemajuan rakyat pada masa depan. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukti bahawa rakyat mahu kerajaan yang stabil, bukan lompat-lompat kerana ahli politik nak berkuasa,” katanya.

    Jelasnya, itu sentimen yang dimainkan dan dirasai rakyat rentetan daripada kerajaan Melaka jatuh yang disebabkan pemimpin UMNO sendiri yang tarik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini.

    “Kalau kita bersama-sama UMNO dalam konteks Johor pada PRU-15, kerajaan orang Melayu akan kuat di negeri ini. Tetapi jika tiga penjuru, maka Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang sering UMNO momokkan pada orang Melayu untuk ditakuti akan menyamai kekuatan kita,” katanya.

    Menutup bicara, beliau melontarkan persoalan: “Adakah ahli politik semua benar-benar mahu Melayu bersatu atau sekadar retorik.”

  • Jangan bawa kambing atau lembu masuk dewan pula

    Jangan bawa kambing atau lembu masuk dewan pula

    YANG Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menegur tindakan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) yang membawa ayam segar ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

    Beliau berkata, pihak keselamatan diminta melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barangan yang dibawa masuk ke dalam dewan negeri termasuk beg dan bungkusan.

    “Saya ingin menegaskan perkara yang berlaku ketika sesi perbahasan persidangan semalam sewajarnya tidak lagi berulang.

    “Saya harap tidak ada pula hendak membawa kambing atau lembu hari ini ya,” katanya berseloroh sebelum meneruskan persidangan yang memasuki hari keempat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

    Semalam, Muhamad Arafat mengejutkan Dewan pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 kira-kira 12.23 tengah hari apabila bertindak mengeluarkan ayam segar dari bungkusan beg di tempat duduknya.

    Beliau berkata, tindakan itu dilakukan kerana isu harga ayam yang membebankan rakyat ketika ini dilihat seolah-olah tiada tindakan serius daripada pihak berkuasa dan tidak melihat usaha dilakukan exco terlibat seperti mengadakan pertemuan bersama peruncit serta pengusaha bagi menangani masalah sebenar rakyat.

    Tindakannya memegang ayam beberapa minit itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan malah ada antara Ahli Dewan Undangan Negeri yang mencelah dengan mengatakan “ayam itu letaklah…balik buat rendang” selain Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong) yang mempersoalkan sama ada rakyat bersedia menghadapi harga mentah ayam terutama apabila musim perayaan. – BERNAMA

  • Bot karam:10 PATI maut, 29 masih hilang

    Bot karam:10 PATI maut, 29 masih hilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) mati lemas manakala 21 lagi selamat selepas bot yang dinaiki karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kejadian itu pada pukul 4.30 pagi.

    Satu daripada mayat lelaki dewasa yang ditemukan lemas

    “Sebuah bot yang membawa 60 PATI dilapor karam akibat cuaca buruk di Tanjung Balau. Seramai 21 orang dilaporkan selamat dan 10 mayat telah ditemui pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM).

    “Seramai 29 mangsa masih tidak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pukul 8.50 pagi dengan mengatur gerak pesawat AW 139 AGUSTA, kapal KM TEGAS dan bot Petir 50 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang terlibat.

    Seramai 10 PATI ditemukan lemas manakala 29 lagi masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini

    Sementara itu, Ketua Bomba Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Al Hasra Mohamed berkata, seramai tujuh anggota bersama-sama 40 anggota TDM dikejarkan ke tempat kejadian.

    “10 mayat yang ditemukan itu terdiri daripada empat wanita dan enam lelaki manakala 21 mangsa yagn terselamat terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanita,” katanya dalam satu kenyataan.

  • KPLB berjaya capai KPI aspirasi 100 hari

    KPLB berjaya capai KPI aspirasi 100 hari

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mencapai kesemua empat petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia merangkumi aspek mempertingkat infrastruktur dan menstruktur semula ekonomi luar bandar.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara empat pencapaian tersebut ialah pembinaan 100.56 kilometer jalan perhubungan desa sebagai akses perhubungan yang lebih cepat dan selamat yang memanfaatkan 20,095 penduduk kampung.

  • Tolak PRU awal, ahli Parlimen kerajaan sokong Ismail Sabri habiskan penggal pada 2023

    Tolak PRU awal, ahli Parlimen kerajaan sokong Ismail Sabri habiskan penggal pada 2023

    KELAB Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen kerajaan mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menolak sebarang usaha yang cuba mengugat pentadbiran kerajaan sedia ada.

    Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata mereka memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehingga habis penggal pada 2023 dan menolak sebarang usaha untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal.

    “Kami menyokong penuh kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mudah-mudahan beliau dapat menerajui kerajaan hinggalah habis penggal. (Habis) penggal itu sehingga 2023, ya. Jadi keadaan terus stabil, terus mantap dan kukuh,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, lapor portal AgendaDaily.

    Tajuddin berkata MP blok pembangkang juga menyokong kerajaan Ismail Sabri, ia terbukti apabila Bajet 2022 yang dibentangkan sebelum ini sudah diluluskan selepas memperoleh majoriti diperlukan dalam Dewan Rakyat.

    “Kerajaan ini mendapat sokongan daripada semua sebagaimana yang kita semua sedia maklum bukan sahaja dari pihak kerajaan yang menyokong tetapi pihak pembangkang juga.

    “Pakatan Harapan pun telah berjanji dan menyokong kerajaan ini dan PM… Kita ucap terima kasihlah kepada pihak pembangkang, ini adalah politik matang baharu yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya lagi.

    Jelasnya lagi, kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri selama 100 hari sudah membuktikan kemampuannya dalam menangani isu yang melibatkan kepentingan rakyat, disamping kejayaan dalam melawan penularan wabak Covid-19.

    “Kita berharap beliau akan terus memimpin kerajaan, pemimpin Kabinet untuk memberikan fokus kepada usaha-usaha membela rakyat untuk mengatasi masalah-masalah seperti Covid-19 dan juga masalah ekonomi rakyat dan lain-lain yang sewajarnya menjadi tumpuan kepada kerajaan dan kita.

    “Kami menaruh kepercayaan yang tinggi kepada beliau sebagai Perdana Menteri kerana beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam tempoh 100 hari,” katanya lagi.

    Ujarnya, penurunan kes jangkitan baharu yang mendadak adalah hasil langkah yang diambil oleh pentadbiran Ismail Sabri yang cekap dan efisien dalam menguruskan krisis dihadapi negara.

  • Perhalusi SOP kemasukan lebih ramai pekerja asing, termasuk pembantu rumah – Hishammuddin

    Perhalusi SOP kemasukan lebih ramai pekerja asing, termasuk pembantu rumah – Hishammuddin

    MESYUARAT menteri Kuartet COVID-19 sudah diarahkan Kabinet untuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing dalam pelbagai lagi sektor, termasuk pembantu rumah.

    Menurut Pengerusi Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebahagian pengusaha mengalami kesukaran untuk merancakkan semula perniagaan, kerana kekurangan pekerja susulan SOP sedia ada yang agak ketat.

    “Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan telah hadir menjelaskan situasi sebenar, seterusnya mencadangkan pendekatan bersesuaian bagi menangani situasi berkenaan.

    “Penting untuk saya tegaskan, di pihak Mesyuarat Kuartet, fokusnya hanyalah terhadap penambahbaikan dari sudut pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.

    “Untuk menentukan jumlah kemasukan pekerja asing, ia bukan di bawah bidang kuasa Mesyuarat Kuartet sebaliknya di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri,” ujar Menteri Kanan Pertahanan itu di Bangunan Parlimen hari ini.

    Hishammuddin berkata, SOP baharu tersebut telahpun tersedia dan diselaraskan, namun ia banyak bergantung kepada jumlah kuota yang diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

    Beliau berkata, penyediaan SOP berkenaan juga sedikit sebanyak terkait dengan penularan varian baharu COVID-19, iaitu Omicron di beberapa negara.

  • Lebih 5,000 PATI cuba masuk Malaysia ditahan

    Lebih 5,000 PATI cuba masuk Malaysia ditahan

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) merekodkan sebanyak 5,862 tangkapan individu membabitkan kes kemasukan pendatang tanpa izin dengan nilai rampasan sekitar RM366 juta sejak tahun lepas.

    Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, jumlah itu diperoleh melalui operasi diadakan di sekitar perairan negeri Selangor yang menjadi tumpuan pendaratan pendatang tanpa izin.

    Beliau berkata, operasi terbabit turut membawa kepada tangkapan tekong darat serta laut selain penemuan rumah-rumah apungan yang menjadi tempat persembunyian pendatang tanpa izin itu.

    “Kejayaan tersebut melibatkan kesemua 5 Briged PGA seluruh negara dan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang turut serta dalam menghasilkan tangkapan yang berkualiti,” katanya menerusi program Koresponden Bernama.

    Muhammad berkata, PGA akan turut melaksanakan satu operasi khas dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin di sekitar perairan negeri Selangor dalam masa terdekat.

    Beliau berkata, terdapat banyak titik pendaratan tanpa izin serta lorong tikus di Kuala Lumpur bermula dari sempadan Sungai Lang di utara Selangor yang bersempadanan dengan Perak sehingga Sepang yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan.

    “Berikutan ia menjadi lokasi tumpuan mereka untuk memasuki negara, pihak kami akan menggandakan operasi itu,” katanya. – Bernama

  • Bekalan cukup, tidak perlu kurangkan eksport ke Singapura

    Bekalan cukup, tidak perlu kurangkan eksport ke Singapura

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN tidak perlu mengurangkan apatah lagi menghentikan eksport barangan keperluan harian ke Singapura ekoran peningkatan harga yang dilaporkan berlaku memandangkan bekalan di negara ini mencukupi.

    Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr. Chong Fat Full berkata, faktor kenaikan harga yang berlaku bukan kerana kekurangan bekalan asas sebaliknya harga kos yang meningkat.

    Malah, aktiviti eksport ke Singapura juga perlu terus dilakukan bagi mematuhi kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.

    “Kita perlu faham bahawa kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini bukan disebabkan kurangnya bekalan di pasaran tetapi kerana kenaikan harga kos seperti baja dan racun.

    “Buktinya kita boleh lihat kesemua barangan itu ada dijual di pasaran tempatan dan mudah diperolehi, cuma harganya sahaja dijual agak mahal berbanding biasa.

    “Oleh itu tiada keperluan mengurangkan eksport ke Singapura, namun jika benar berlaku kekurangan barangan keperluan, sudah pasti kita akan utamakan keperluan tempatan dahulu,” katanya selepas melawat Projek Aquagro di Kota Masai, hari ini.

    Mengulas lanjut, kata Fat Full, kerajaan juga tidak sewajarnya terlalu mencampuri urusan penjualan barangan sehingga menyebabkan golongan peniaga tidak mendapat sebarang keuntungan.

    “Buat masa ini kerajaan tidak masuk campur kerana golongan peniaga perlu diberi ruang untuk mendapat keuntungan, jika tiada keuntungan dikhuatiri tidak ada mana-mana pihak yang akan berniaga.

    “Jadi kerajaan hanya akan masuk campur apabila perlu sahaja bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak,” ujarnya.