Category: Semasa

  • Bicara kes rasuah pemimpin Warisan, Rozman Isli mula 9 Mei

    Bicara kes rasuah pemimpin Warisan, Rozman Isli mula 9 Mei

    PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, yang didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, akan bermula 9 Mei tahun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Hakim Rozina Ayob menetapkan lima hari bermula 9 Mei 2022 untuk perbicaraan dan 8 Feb sebagai pengurusan kes.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 42 saksi.

    “Majoriti saksi dari Labuan,” katanya.

    Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, ketika dihubungi Bernama, berkata pihaknya telah menerima senarai nama saksi pendakwaan.

    Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd di mana bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang 21 Mac 2018.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • KPLB laksana program khusus bantu tingkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar – Mahdzir

    KPLB laksana program khusus bantu tingkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar – Mahdzir

    DALAM usaha mewujudkan kesemarataan taraf ekonomi masyarakat luar bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (PKLB) bukan sahaja memberi tumpuan melaksanakan program dan projek berbentuk fizikal semata-mata.

    Malah kata Menterinya , Datuk Seri Mahdzir Khalid, selain projek seperti Jalan Luar Bandar (JALB),Bekalan Air Luar Bandar(BALB) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar(BELB), kementerian juga melaksanakan program khusus bagi membantu penduduk kawasan berkenaan.

    Katanya, kelompok itu yang terdiri daripada kategori miskin, miskin tegar dan B40 dibantu melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin(PPRT),Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) serta program-program keusahawanan di bawah agensi KPLB seperti KEMAS,MARA dan Lembaga Kemajuan Wilayah.

    ‘’Program-program yang dilaksanakan ini membentuk suatu pakej nilai tambah untuk memperkasa dan memberi keupayaan kumpulan sasar membentuk jati diri,menjana pendapatan sendiri selain memiliki kediaman yang selamat dan selesa,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator A.Kesavadas di Dewan Negara, hari ini berhubung strategi KPLB bagi mewujudkan kesamarataan taraf hidup ekonomi bagi semua kaum di kawasan luar bandar sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

    Kesavadas juga mahu kementerian itu menyatakan agenda pelaksanaan bagi tempoh 2 tahun mendatang terhadap penambahbaikan akses jalan perhubungan desa di kawasan- kawasan kampung di Negeri Sembilan.

    Menjawab soalan tersebut, Mahdzir berkata, KPLB sentiasa komited dalam memastikan penduduk luar bandar menerima kemudahan infrastruktur yang sewajarnya termasuklah pelaksanaan projek-projek seperti Jalan Perhubungan Desa (JPD)di kawasan-kawasan kampung di NegeriSembilan.

    ‘’Selain itu,di bawah Teras 4, Dasar Pembangunan Luar Bandar, pihak Kementerian telah menggariskan Liputan Prasarana Luar Bandar Yang Lengkap untuk memastikan akses perhubungan masyarakat luar bandar.

    ‘’ Bagi memastikan penduduk setempat mendapat kemudahan akses jalan yang berkualiti dan selesa di kawasan kampung, pihak Kementerian akan sentiasa menambah baik pelaksanaan dari segi proses,kaedah dan pemantauan projek supaya memenuhi spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan,’’ katanya.

    Beliau berkata, langkah itu penting untuk memastikan pelaksanaan projek itu mencapai hasrat kesejahteraan hidup masyarakat dalam aspek fizikal, ekonomi dan sosial.

  • 1MDB: Ismee bimbang keselamatan diri, keluarga

    1MDB: Ismee bimbang keselamatan diri, keluarga

    BEKAS pengarah bukan eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau merasa  resah dan bimbang tentang keselamatan keluarganya apabila dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi kenyataan berkenaan skandal 1MDB.

    Ismee, 56, berkata beliau bimbang keselamatan keluarganya dan dirinya sendiri kerana terdapat banyak ketidakpastian yang beliau sendiri tidak dapat merungkaikannya.

    “Saya tidak ditekan oleh sesiapa, perasaan yang sukar hendak diterangkan…rasa tidak tentu hala, rasa tidak keruan sebab pada masa itu saya tertanya-tanya apa yang terjadi.

    Saya cuba untuk mencari jika ada perkara yang saya tidak melakukannya dengan betul,” katanya semasa pemeriksaan balas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak Datuk Hariharan Tara Singh dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu mengenai penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

    Apabila ditanya dengan lebih lanjut oleh Hariharan, Ismee berkata SPRM tidak pernah mengancam untuk mengenakan sebarang prosiding jenayah atau sivil ke atas beliau sebagai balasan untuk mendapatkan bukti terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

    “Sepanjang tempoh memberikan kenyataan kepada SPRM, saya risau tentang keselamatan (keluarga saya) tetapi mereka (SPRM) menunjukkan kepada saya bahawa saya tidak perlu bimbang tetapi tiada janji tentang tiada saman sivil.

    Saya tidak akan berkata saya memberikan bukti yang menunjukkan kesalahan (Najib) tetapi saya memberikan fakta kes. Saya bertanggungjawab untuk memberitahu perkara sebenar semasa siasatan.

    Saya memberikan mereka (SPRM) fakta sebenar tetapi jika ia menyalahi undang-undang saya tidak akan menghakiminya,” kata saksi itu. 

    Saksi ke-13 pendakwaan itu juga bersetuju dengan cadangan peguam beliau tidak gembira apabila mengetahui mengenai satu saman sivil yang difailkan kerajaan melalui 1MDB ke atasnya dan bekas pengurusan kanan syarikat itu.

    Hariharan: Kamu merasa sangat tidak gembira kerana kamu dijanjikan SPRM, jika kamu memberikan bukti terhadap Datuk Seri Najib tidak akan ada saman sivil terhadap kamu.

    Ismee: Tiada perjanjian sedemikian.

    Hariharan: Adakah kamu merasakan dikhianati apabila kamu mengetahui tentang saman sivil itu?

    Ismee: Saya tidak akan mengatakan dikhianati, saya katakan saya sangat sangat sedih. Saya lebih rasa sedih daripada rasa dikhianati .

    Bagaimanapun, saman sivil ke atas beliau telah ditarik balik. 

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung 5 Jan tahun depan. – BERNAMA

  • Bot karam Tanjung Balau: Tiga lagi mayat ditemukan

    Bot karam Tanjung Balau: Tiga lagi mayat ditemukan

    TIGA lagi mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, di Kota Tinggi, ditemukan pagi tadi.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, dua mayat lelaki dipercayai pendatang tanpa izin itu ditemukan pada 10 pagi manakala satu lagi mayat lelaki pada 10.54 pagi.

    “Dua mayat dijumpai terdampar di pesisir pantai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian manakala satu lagi mayat ditemukan terdampar lebih kurang 800 meter dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di Kota Tinggi hari ini.

    Terdahulu, lima mayat ditemukan antara 6.45 pagi hingga 7.45 pagi tadi yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

    Dengan penemuan ini, 19 mayat telah ditemukan berkaitan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau setakat ini manakala 17 mangsa dipercayai masih hilang.

    Sementara itu, Simon berkata hasil saringan ke atas 14 pendatang tanpa izin yang terselamat mendapati kesemuanya negatif COVID-19.

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati susulan penemuan tiga mayat antara 10 pagi dan 10.54 pagi itu, pasukan bertugas mengambil masa kira-kira sejam bagi menguruskan kelapan-lapan mayat yang dijumpai hari ini untuk dihantar ke Hospital Sultan Ismail bagi proses bedah siasat.

    Selain itu, lebih 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan tugasan dan rondaan mencari saki baki mangsa.

    Lebih 10 petugas media berkumpul di lokasi kejadian sejak dari awal pagi bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat.

    Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil turut meninjau lokasi kejadian. – BERNAMA

  • Penerima 60 tahun, Sinovac 18 tahun ke atas perlu dapatkan dos penggalak sebelum Februari 2022

    Penerima 60 tahun, Sinovac 18 tahun ke atas perlu dapatkan dos penggalak sebelum Februari 2022

    PENERIMA  vaksin COVID-19 berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan penerima vaksin Sinavoc berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya Februari tahun depan bagi mengekalkan status lengkap vaksin mereka.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata cadangan tersebut telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 – Booster (CITF-B) pada 8 Dis lepas.

    “Sekiranya tidak berbuat demikian, status anda akan berwarna putih dan tidak divaksin sepenuhnya di MySejahtera,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

    Beliau berkata individu tersebut juga tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19.

    Sementara itu, Khairy berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan diaktifkan semula bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak.

    Khairy berkata berikutan pengesanan kes kedua varian Omicron di negara ini, prosedur operasi standard (SOP) tambahan telah digariskan bagi mengekang penularan varian membimbangkan itu.

    SOP tersebut menyatakan pengembara yang kembali dari United Kingdom mesti melakukan ujian pengesanan kendiri setiap hari sepanjang menjalani tempoh kuarantin dan melaporkan keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera (tempoh kuarantin adalah tujuh hari bagi yang telah lengkap vaksinasi dan 10 hari bagi yang tidak lengkap vaksinasi).

    Selain itu, katanya, lebih banyak negara berisiko tinggi yang akan diumumkan dan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi, pengembara yang tiba dari negara-negara ini akan dipakaikan gelang pengawasan digital sepanjang tempoh kuarantin.

    Khairy berkata terkini Nigeria disenaraikan di dalam negara berisiko tinggi menjadikan terdapat sembilan negara disenaraikan sebagai berisiko tinggi.

    Sebelum ini, KKM menyenaraikan lapan lagi negara berisiko tinggi iaitu Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, India dan Kanada.

    Manakala lapan negara dikenakan sekatan iaitu Afrika Selatan, Botswana, Mozambique, Namibia, Malawi, Zimbabwe, Lesotho dan Eswatini.            Sementara itu, Khairy berkata penganjuran sambutan tahun baru 2022 secara besar-besaran adalah tidak dibenarkan.

    “Bagi sambutan tahun baru dan perayaan Krismas kecil-kecilan bersama keluarga dan rakan, ujian pengesanan COVID-19 sebelum menghadiri sambutan tersebut perlu dilakukan,” katanya.

    Terdahulu, Khairy memaklumkan Malaysia mengesan satu lagi kes varian Omicron membabitkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara berumur lapan tahun, yang tiba dari Lagos, Nigeria pada 5 Dis lepas.

    Kes pertama dikesan 3 Nov lepas melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun. – — BERNAMA

  • Satu lagi kes varian Omicron dikesan di Malaysia

    Satu lagi kes varian Omicron dikesan di Malaysia

    MALAYSIA mengesan satu lagi kes varian Omicron membabitkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara, berumur lapan tahun, yang tiba dari Lagos, Nigeria pada 5 Dis lepas.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes dikenal pasti selepas Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 52 sampel daripada 52 kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara bagi tempoh 6 hingga 10 Dis lepas.

    “Daripada jumlah ini, satu sampel telah menunjukkan kemungkinan varian Omicron melalui ujian PCR Genotyping Assay dan jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan selanjutnya ke atas sampel tersebut telah disahkan varian Omicron pada 14 Dis 2021.

    “Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak dua kes dengan kedua-duanya merupakan jangkitan import dari luar negara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    Menjelas lanjut, Khairy berkata, keputusan ujian RT-PCR COVID-19 ke atas kes yang tiba bersama ibu dan adik perempuannya itu adalah negatif sebelum mereka berlepas ke Malaysia.

    Katanya, selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kes dan ahli keluarganya menjalani RT-PCR dan kuarantin wajib di rumah sebelum kanak-kanak perempuan yang tidak mempunyai gejala itu memperoleh keputusan positif COVID-19 pada 7 Dis dan diarah menjalani isolasi di rumah selama 14 hari.

    Menurut Khairy, kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke kediaman.

    Beliau berkata, semua ujian ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif.

    Keputusan ujian RT-PCR bapa kes yang tiba di Malaysia pada 12 Dis juga negatif dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta manakala keputusan ujian RT-PCR bagi pemandu teksi dijangka diketahui hari ini.

    “Terdapat seramai 35 orang kontak dalam penerbangan iaitu empat baris tempat duduk di hadapan, belakang, sebelah kiri dan sebelah kanan. Keputusan ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelima bagi kesemua kontak ini adalah negatif.

    “Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah meneruskan siasatan lanjut termasuk siasatan kontak semasa dalam penerbangan. Buat masa ini, punca jangkitan kes masih dalam siasatan,” katanya.

    Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan KKM, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada WGS serta keputusan dijangka akan diperolehi esok.

    “18 kes ini daripada pelbagai negara. Kita tak akan umumkan lagi negara mana sehingga kita dapat jujukan genom penuh nanti,” katanya. – BERNAMA

  • Polis tembak mati lelaki pandu kereta secara bahaya

    Polis tembak mati lelaki pandu kereta secara bahaya

    TINDAKAN anggota polis melepaskan tembakan ketika cuba menahan sebuah kereta di Jalan Simpang Tiga di Kuching malam tadi adalah kerana kereta itu dipandu dalam keadaan bahaya, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

    “Lebih kurang 7.20 malam tadi di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching melepaskan tembakan semasa cuba menahan sebuah kereta Proton Saga warna kelabu yang mencurigakan dan dipandu dalam keadaan bahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pegawai perubatan mengesahkan pemandu kereta itu iaitu lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, siasatan kes itu akan dilakukan menyeluruh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

    Bernama malam tadi melaporkan, polis menembak mati seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Saga selepas dipercayai cuba merempuh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di Jalan Simpang Tiga, di sini.

    Kejadian turut menyebabkan beberapa kenderaan milik orang awam rosak dilanggar oleh suspek yang dikatakan cuba melarikan diri.

    Sementara itu, Aidi berkata untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu, anggota-anggota polis terlibat telah ditukarkan bertugas ke bahagian pentadbiran. 

    “Lima (anggota yang terlibat)…semua daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi. – BERNAMA

  • Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

    Lelaki maut tertimbus tanah ketika gali emas

    SEORANG lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk di Kuala Terengganu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian sekitar 5 petang itu, Mohd Johari Mohd Asri, 34, berada di kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.

    “Pada masa kejadian, cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut dan menyukarkan operasi pencarian.

    “Dengan bantuan pihak bomba, mayat Mohd Johari ditemukan pada 7 malam dan berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Afandi berkata usaha mengeluarkan Mohd Johari dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.

    Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • Individu dalam senarai eKasih dapat keutamaan terima PPRT – Mahdzir

    Individu dalam senarai eKasih dapat keutamaan terima PPRT – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi keutamaan kepada senarai nama di dalam sistem eKasih bagi proses permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi tahun depan, Pejabat Daerah telah mengeluarkan senarai nama yang dikategorikan sebagai kumpulan miskin dan memerlukan bantuan untuk memiliki rumah.

    “Senarai (nama) yang ada dalam itu adalah daripada eKasih… senarai nama itu akan diberi keutamaan dan berdasarkan itulah KPLB akan bagi (PPRT) dan ketiganya adalah senarai (nama) yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Berhormat (Ahli Parlimen),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) mengenai langkah penyelarasan KPLB dalam memberi bantuan segera kepada golongan miskin yang masih mendiami rumah daif.

    Mahdzir berkata, KPLB memperuntukkan RM361.1 juta melibatkan 2,400 unit PPRT Bina Baharu (BB) dan 11,450 unit PPRT Baik Pulih (BP) bagi pelaksanaan program berkenaan tahun depan.

    “PPRT merupakan usaha kerajaan bagi membolehkan rakyat mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa khususnya kepada golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar,” katanya.

    Menjawab soalan asal Mohd Redzuan yang bertanya dasar kerajaan membangunkan PPRT menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Mahdzir menjelaskan, pelaksanaan PPRT bagi projek BB secara kaedah IBS telah dimulakan pada 2019 bertujuan untuk menjimatkan kos dan mengurangkan tempoh masa pembinaan rumah.

    “Ini juga bagi menyahut saranan kerajaan yang menggalakkan peningkatan industri pembinaan dengan memberi tumpuan kepada penggunaan IBS, selaras dengan hala tuju ke arah mencapai status negara maju serta pembinaan lestari,” katanya.

    Menurutnya, bagi tempoh 2019 sehingga 2021, sebanyak 1,918 atau 50.3 peratus unit rumah PPRT BB telah dilaksanakan secara kaedah IBS berbanding dengan jumlah keseluruhan iaitu 3,833 unit.

    Beliau berkata, KPLB juga menyokong usaha pihak agensi pusat untuk melaksanakan semakan semula insentif IBS sedia ada bagi menggalakkan pemaju menggunakan kaedah teknologi itu dalam mengawal kos dan meningkatkan kecekapan pembinaan terutama projek berskala kecil.

  • Penolong pengurus ladang dituduh hantar komunikasi lucah

    Penolong pengurus ladang dituduh hantar komunikasi lucah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang penolong pengurus ladang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghantar komunikasi lucah kepada seorang individu, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Afif Ramlan, 36 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid di Mahkamah Sesyen 5 Aor Setar.

    Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang kini sudah pun berkahwin didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah kepada seorang individu dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

    Komunikasi bersifat lucah itu telah dibaca individu berkenaan pada 19 Jun 2019 kira-kira pukul 11.59 malam di sebuah premis di Taman Uda, Jalan Sultanah di Alor Setar.

    Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988 (Akta 588) oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malayia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri manakala tertuduh diwakili peguam, Dr. Mohamad Sofee Razak.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama iaitu penjara tidak lebih setahun atau didenda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

    Hakim menetapkan 9 Januari depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes tersebut.