Category: Semasa

  • Tipu tanah rugi RM22 juta, polis cari warga emas

    Tipu tanah rugi RM22 juta, polis cari warga emas

    POLIS sedang mencari seorang warga emas bagi membantu siasatan kes penipuan tukar hak milik tanah membabitkan kerugian berjumlah RM22 juta.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki  dikenali sebagai Chua Seng Keat, 61, yang alamat terakhirnya di Kota Damansara, Petaling Jaya untuk tampil bagi membantu siasatan.

    Menurutnya ia susulan aduan daripada seorang ahli perniagaan yang mendapati tanah yang didaftarkan di atas nama syarikatnya telah ditukar milik kepada seorang individu tidak dikenali selepas membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian di Wisma Negeri Sembilan pada 15 Okt tahun lepas.

    “Individu tersebut telah membuat tandatangan palsu di dalam dokumen-dokumen berkaitan ke atas pertukaran tanah tersebut tanpa pengetahuan daripada pengadu yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM22 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Lelaki tergamak tikam ibu tua dengan keris

    Lelaki tergamak tikam ibu tua dengan keris

    AKIBAT perselisihan faham, seorang wanita warga emas berusia 60 tahun cedera di rusuk kiri selepas ditikam oleh anak lelakinya dengan sebilah keris yang dijadikan hiasan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Teja 5, Rancangan Perumahan Awam (RPA) di Arau pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 10.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

    “Sebaik tiba di lokasi, suspek masih berada di kawasan rumah dan tiada pergelutan berlaku di antara pihak polis dan suspek manakala keris tersebut dijumpai di luar rumah.

    “Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau telah menikam mangsa menggunakan keris sepanjang 30 sentimeter di luar rumah tersebut,” katanya kepada pemberita.

    Beliau berkata suspek, 31, yang juga anak keempat daripada lima beradik, telah menikam ibunya dengan sekali tikaman dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi mendapatkan rawatan.

    Ahmad berkata pihak HTF telah memaklumkan bahawa keadaan mangsa adalah stabil dan tidak mengalami kecederaan yang serius.

    “Suspek yang kini dalam tahanan akan direman esok pagi bagi siasatan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

  • MPN syor perluas pengambilan pekerja asing – Muhyiddin

    MPN syor perluas pengambilan pekerja asing – Muhyiddin

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan pengambilan tenaga kerja asing perlu diperluaskan untuk sektor ekonomi selain perladangan, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut beliau, langkah itu untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang dibuka semula dapat beroperasi dalam prapandemik Covid-19.

    “Pelaksanaannya perlu disegerakan agar tak timbul kesulitan pihak industri yang dalam proses pemulihan.

    “Namun MPN menyarankan agar Majlis Tindakan Khas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencari penyelesaian untuk kurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing dalam masa panjang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    Muhyiddin berkata, syor itu adalah antara tiga syor yang dikemukakan MPN hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata dua lagi syor MPN adalah supaya Kementerian Kesihatan (KKM) memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan Covid-19 kendiri dan menggalakkan pengambilan suntikan dos penggalak sebagai langkah waspada dalam penularan Covid-19.

    Katanya, ini kerana MPN berpandangan perlunya langkah proaktif dan lebih ketat dalam mengambil kira kemungkinan ancaman varian Omicron.

    “Ini penting bagi mengimbangi kesihatan awam dan ekonomi negara,” katanya.

    Muhyiddin berkata, MPN juga berpandangan cadangan bantuan sektor PKS juga perlu lebih bersasar dan lebih mengutamakan sektor-sektor kritikal.

    Katanya, dengan cabaran dihadapi pada tahun ini pasti ada sinar harapan dipenghujungnya.

    “Proses pemulihan negara perlu diperkukuhkan lagi dengan memastikan semua dasar dan inisiatif pemulihan diumumkan bawah Belanjawan 2022 dilaksanakan segera selaras dengan cekap dan berkesan.

    “Dalam hak ini MPN akan terus sokong usaha kerajaan dalam memulih semula dan tingkatkan daya tahan semua segmen sosio ekonomi negara,” katanya.

    Muhyiddin menambah, selaras dengan pembukaan semula ekonomi negara seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara, indikator-indikator utama ekonomi semakin menunjukkan momentum pemulihan yang mengalakkan bagi suku tahun keempat 2021.

    Beliau memberitahu, petunjuk keyakinan perniagaan bagi suku tahun keempat 2021 turut bertambah baik dan MPN optimistik bahawa momentum pemulihan akan berterusan memasuki tahun 2022.

    “Proses pemulihan negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan memastikan semua dasar dan inisiatif pemulihan yang telah diumumkan di bawah Bajet 2022 dilaksanakan dengan segera, terselaras, cekap dan berkesan.

    “Dalam hal ini, MPN akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memulih semula dan meningkat daya tahan semua segmen sosioekonomi,” jelasnya.

  • Peguam dakwa ada cubaan bunuh ‘Long Tiger’  dalam tahanan

    Peguam dakwa ada cubaan bunuh ‘Long Tiger’ dalam tahanan

    ADA  cubaan mencedera atau membunuh “Long Tiger,” ketika dalam tahanan, sebelum banduan warga Rohingya itu lolos dengan tangan bergari daripada lokap mahkamah Tangkak kelmarin, kata peguamnya.

    Shaharudin Ali berkata, Mahkamah Tinggi Muar sebelum ini telah mendengar “dengan panjang lebar” tentang cubaan itu ke atas anak guamnya pada 21 Nov lalu dan hakim berkenaan telah mengarahkan Long Tiger di pindahkan ke penjara lain.

    Long Tiger, atau Ab Hamim Ab Hamid, melarikan diri 15 Nov lalu, ketika menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan atau pemerasan.

    “Kami khuatir dan kami tidak tahu, sama ada Hamim melarikan diri atas sebab yang berkaitan dengan keadaan mentalnya akibat serangan fizikal dan mental ke atas beliau di dalam tahanan reman,” kata Shaharudin dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata, laporan polis telah dibuat berhubung cubaan itu dan Mahkamah Tinggi Muar telah merekodkan kenyataan peguam dan pendakwa raya.

    “Cubaan mencederakan Hamim semasa dalam tahanan bukan perkara baru kepada kami dan semuanya ini telah dirakamkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Muar.

    Akibat daripada dakwaan ini, untuk keselamatan tertuduh, hakim telah meminta Hamim dipindahkan ke penjara lain.

    “Setakat ini, kita tidak tahu perkembangan siasatan laporan polis yang telah dibuat bagi pihak Hamim,” tambahnya.

    Shaharudin menegaskan perbuatan anak guamnya melarikan diri daripada tahanan sah adalah kesalahan jenayah.

    “Kejadian ini memeranjatkan kami kerana pada sebelah pagi, kes terhadap Hamim mulanya telah dipanggil oleh majistret di dalam kamar,” katanya.

    Shaharudin memaklumkan sehari selepas kejadian lolos itu, pihaknya memaklumkan kepada Mahkamah Majistret Tangkak bahawa pembelaan sedia meneruskan kes tanpa kehadiran Long Tiger.

    Malah, pihaknya tidak membantah hujah pendakwa raya yang mahu wang ikat jamin Long Tiger dirampas dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

    “Reaksi kami mudah,” katanya.

    Pada 15 Dis lalu, Long Tiger dilapor meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak dengan melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran.

    Pada hari kejadian, dia dibawa ke mahkamah dari Penjara Sungai Udang Melaka, untuk prosiding mengikut Seksyen 388, iaitu kes ugutan terhadap seseorang selepas dibawa dari Penjara Sungai Udang, Melaka.

    Suspek memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar dan alamat terakhirnya di No 292 Jalan Rambutan, Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak.

    Berikutan itu, polis beserta unit anjing pengesan K9 melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah berkenaan dalam usaha mengesan suspek namun belum berhasil.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat anggota polis disiasat untuk membantu siasatan kes.

    Ayob Khan berkata, empat anggota polis itu disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan (KK), iaitu penjawat awam dengan cuai menyebabkan tahanan lari.

    Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan untuk empat anggota itu dan sedang mengambil tindakan susulan.

  • Penubuhan Srikandi Muda pengiktirafan Bersatu kepada wanita

    Penubuhan Srikandi Muda pengiktirafan Bersatu kepada wanita

    PENUBUHAN sayap Srikandi Muda yang akan dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahad ini disifatkan sebagai pengiktirafan besar parti tersebut kepada golongan wanita.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usul yang dibawa sendiri Majlis Pimpinan Bersatu (MPT) untuk meminda Perlembagaan Bersatu itu merupakan sejarah baharu apatah lagi buat parti yang masih muda.

    Menurut Ahmad Faizal, ia juga menjadi tanda bahawa Bersatu semakin diterima rakyat dan mendapat sokongan besar.

    “Dalam perhimpunan agung tahunan ini, kita akan menempa satu lagi sejarah apabila kita akan membawa satu usul baharu yang dibawa sendiri MPT iaitu untuk menubuhkan sayap Srikandi Muda.

    “Kita amat berbangga kerana sebagai parti masih muda, kita sudah ada dua sayap iaitu Srikandi dan Armada serta dua lagi sayap iaitu Bersekutu dan jika diluluskan iaitu Srikandi Muda.

    “Ini merupakan tanda bahawa Bersatu semakin diterima rakyat dan sokongan juga makin meningkat,” katanya dalam sidang akhbar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, hari ini.

    Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut memaklumkan ucapan dasar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjadi agenda penting dalam perhimpunan kali ini.

    Kata beliau, semua ahli Bersatu menjangkakan Muhyiddin akan menyentuh mengenai prinsip asas parti tersebut selain situasi politik semasa.

    Ahmad Faizal turut menjangkakan Muhyiddin akan menekankan asas perjuangan Bersatu dari segi agenda memegang amanah, menjaga integriti dan tadbir urus baik yang menjadi tawaran parti berkenaan.

    “Bukan saya sahaja tetapi semua perwakilan Bersatu seluruh negara ternanti-nanti ucapan dasar Presiden (Muhyiddin).

    “Kami menjangkakan ucapan beliau akan menggariskan perkara penting yang akan menjadi panduan bagi semua ahli Bersatu seperti prinsip asas dan situasi politik semasa terutama dari segi pergerakan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan dalam kerajaan,” jelas beliau.

    Seramai 1,600 perwakilan Bersatu dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan agung tahunan yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama dua hari hingga Ahad.

    Perhimpunan akan dimulakan dengan perasmian perhimpunan sayap-sayap parti iaitu Armada dan Srikandi oleh Ahmad Faizal, esok.

    Ia diikuti perhimpunan agung parti dengan ucapan dasar Muhyiddin pada hari Ahad.

  • Jangan paksa pengguna lebuh raya guna RFID

    Jangan paksa pengguna lebuh raya guna RFID

    KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) tidak sepatutnya memaksa pengguna lebuh raya bertol menggunakan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID).

    Ketua Aktivus Persatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamarudin Hussain berkata, penggunaan kad TnGo dan peranti Smart Tag sepatutnya dikekalkan.

    Menurut beliau, para pengguna seharusnya diberi peluang memilih perkhidmatan yang ingin mereka gunakan.

    “Apakah KKR akan membayar semula kerugian yang bakal dihadapi oleh puluhan juta pengguna yang selama ini telah mengeluarkan wang mereka untuk membeli kad TnGo dan mesin Smart Tag?

    “Adakah KKR tidak mempedulikan kerugian yang bakal rakyat hadapi kelak?” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

    Kamarudin berkata, KKR perlu memberi fokus kepada masalah yang lebih penting daripada mengunakan kuasa yang ada untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.

    Beliau menambah, kebanyakan lebuh raya yang ketika ini masih mengekalkan dua lorong yang perlu ditingkatkan kepada empat lorong atau setidak-tidaknya tiga lorong.

    “Jumlah tol yang ketika ini tidak mencukupi sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan perlu ditambah agar masalah tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

    Katanya, KKR juga perlu melihat kesesakan yang sering berlaku di hentian rehat dan rawat (RnR) khususnya untuk kenderaan berat juga perlu ditangani, bukannya membiarkan ia berlarutan.

    Semalam, KKR memaklumkan transaksi tol menggunakan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan depan.

    Namun, kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID.

  • Bayi cedera kepala dan muka, mungkin dilanggar kereta bapa

    Bayi cedera kepala dan muka, mungkin dilanggar kereta bapa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bayi berusia setahun mengalami kecederaan di kepala disyaki akibat dilanggar bapanya ketika mengundurkan kereta di Alor Setar, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk S. Suresh Kumar berkata, kejadian itu dilaporkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah bayi tersebut dibawa untuk mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

    Menurutnya, kira-kira pukul 10.56 malam tadi, seorang pegawai perubatan di hospital tersebut membuat laporan kepada pihak polis mengenai kecederaan dialami bayi tersebut.

    “Pada awalnya, bayi itu didakwa cedera di bahagian kepala termasuk melecet di muka kerana ditendang lembu ketika bermain di luar rumah.

    “Bagaimanapun siasatan pihak polis mendapati mangsa telah dilanggar oleh bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pengawasan unit rawatan rapi (ICU) HSB.

    “Berikutan itu, bapa mangsa yang merupakan seorang warganegara asing ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Menurutnya, siasatan lanjut turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana bapa bayi tersebut disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

  • Buat hantaran jelik di Facebook, ‘Apit Wan Lebo’ dihadap ke mahkamah

    Buat hantaran jelik di Facebook, ‘Apit Wan Lebo’ dihadap ke mahkamah

    SEORANG pengguna akaun Facebook yang dikenali sebagai ‘Apit Wan Lebo’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi yang jelik berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Mei lepas.

    Roshafeez Abdul Hamid, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

    Mengikut kertas pertuduhan,  tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil ‘Apit Wan Lebo’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 1.30 tengah hari, 9 Mei 2021 dan pautan itu telah dibaca   keesokannya pada 10.30 pagi di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998  dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

    Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang diwakili peguam Sukhdave Singh dan Keshvinder Singh merayu jaminan dikurangkan atas alasan menanggung isteri dan lima orang anak dan bekerja sebagai penjual nasi lemak dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jan depan untuk sebutan semula kes.  — BERNAMA

  • Zarul terkejut Guan Eng minta sogokan 10 peratus

    Zarul terkejut Guan Eng minta sogokan 10 peratus

    Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendakwa, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta 10 peratus keuntungan daripada projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, perkara itu didedahkan oleh Pengarah Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd tersebut dalam perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau yang juga saksi utama perbicaraan berkata, Guan Eng membuat permintaan tersebut pada Mac 2011 ketika beliau menghantar Ahli Parlimen Bagan itu pulang ke hotelnya selepas makan malam.

    “Saya terkejut kerana tidak sangka ia datang daripada YB (Guan Eng), individu yang saya anggap menentang rasuah,” katanya, sambil menambah bahawa beliau faham permintaan tersebut dimaksudkan sebagai sogokan.

    Guan Eng sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta daripada Zarul Ahmad 10 peratus keuntungan daripada projek terowong dasar laut terbabit dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada ahli perniagaan itu.

    Beliau juga didakwa atas dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

    Zarul Ahmad memberitahu mahkamah bahawa beliau diperkenalkan kepada Guan Eng oleh bekas menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di ruang ‘lounge’ hotel di Kuala Lumpur pada Januari 2011.

    “Saya mengambil kesempatan memberitahu YB (Guan Eng) bahawa BUCG berminat untuk menjalankan sebarang projek di Pulau Pinang.

    “Beliau kelihatan berminat dengan apa yang saya beritahunya. Dari situ, kami bertukar nombor telefon,” katanya sambil menegaskan, pertemuan itu tidak dirancang.

    Katanya, beberapa minggu selepas itu, beliau menghubungi Guan Eng yang menjemputnya dan wakil BUCG ke pejabatnya di Komtar untuk memberi taklimat.

    “Beliau memberitahu saya seorang individu bernama Lim Hock Seng (bekas Exco Pulau Pinang) akan menghubungi saya dari semasa ke semasa, untuk memberikan saya butiran cadangan projek terowong dan jalan raya,” katanya.

    Terdahulu, ketika Zarul Ahmad berada di kandang saksi, peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah pihak pembelaan mahu pihak pendakwaan memberikan salinan keterangan ahli perniagaan itu yang direkodkan semasa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Gobind berkata, dalam keterangan Zarul Ahmad yang dikemukakan di mahkamah hari ini, beliau menyebut telah direman oleh SPRM pada 2018.

    “Kami mahu memeriksa balasnya mengenai keterangan SPRM itu, yang kami katakan bercanggah dengan keterangannya pada 2018,” katanya.

    Pihak pembelaan membuat permohonan yang sama untuk mendapatkan keterangan Zarul Ahmad pada Ogos.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, mahkamah perlu membenarkan Zarul menghabiskan bacaan keterangannya terlebih dahulu.

    “Mereka boleh membuat permohonan ini sebelum pemeriksaan balas,” katanya.

    Hakim Azura Alwi berkata, beliau akan mendengar permohonan pihak pembelaan sebelum Gobind memulakan pemeriksaan balasnya.

    Perbicaraan akan disambung pada 24 Mac setelah Zarul Ahmad memberitahu mahkamah beliau sakit perut.

  • Dua beradik maut dalam perjalanan balik kampung

    Dua beradik maut dalam perjalanan balik kampung

    DUA beradik maut, manakala tiga yang lain termasuk ibu bapa mereka cedera apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 44.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bentong awal pagi tadi. 

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan dipercayai berlaku pada 3.20 pagi itu melibatkan sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan. 

    Mangsa yang maut ialah Wafa Safia Mohd Hairy, 17, dan adiknya Adam Haiqal, 12, dengan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

    Ibu bapa mereka Mohd Hairy Ahmad dan Zuraini Zolkifli kedua-duanya berusia 44 tahun, cedera manakala anak bongsu pasangan itu Fahmi Eyman, 10, dilaporkan parah di kepala. 

    Mohd Hairy, pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dilaporkan cedera tulang belakang manakala Zuraini yang merupakan guru sekolah rendah retak tangan kanan. 

    “Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menghadiri majlis pertunangan ahli keluarga apabila kenderaan itu terbabas semasa pemandu cuba untuk memotong kenderaan di hadapan berhampiran selekoh.  

    “Keadaan jalan yang licin juga dipercayai menyebabkan pemandu berhadapan kesukaran mengawal kenderaan sebelum kereta itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 

    Kamarulzaman berkata mangsa yang cedera dan mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Bentong bagi rawatan dan bedah siasat yang akan dijalankan selepas keputusan saringan COVID-19 diperoleh.  – BERNAMA