Category: Semasa

  • 108 PPS dibuka di 6 negeri – Rina Harun

    108 PPS dibuka di 6 negeri – Rina Harun

    JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka sebanyak 108 pusat pemindahan sementara PPS bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri terjejas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

    Beliau berkata, setakat ini lebih 5,000 orang terjejas akibat banjir ekoran hujan berterusan sejak semalam.

    “108 pusat pemindahan sementara telah dibuka yang melibatkan enam buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Setakat ini, jumlah kesuluruahan mangsa adalah seramai 5,846 orang,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, hari ini.

    Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada sidang akbar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, hari ini

    Katanya, beberapa bilik gerakan JKM Daerah dan Negeri di kawasan yang terjejas turut dibuka bagi memudahkan urusan mangsa.

    Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan di negeri berikut:
    Selangor- 03-55456856
    Pahang- 09-5650226
    Kelantan- 09-7416925. -SB

  • Sekolahku Sejahtera bukan subjek baharu, hanya penerapan nilai murni – Radzi

    Sekolahku Sejahtera bukan subjek baharu, hanya penerapan nilai murni – Radzi

    KONSEP ‘Sekolahku Sejahtera’ yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) bukan subjek baharu sebaliknya lebih kepada penerapan nilai murni kepada pelajar, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata konsep berkenaan memberi peluang kepada guru untuk ‘bercerita’ secara santai mengenai elemen penting kehidupan dalam bahasa mudah agar difahami dan diingati pelajar.

    “Kita lihat anak-anak sejak kecil biasanya didedahkan dengan konsep penting yang terhad, contohnya seperti hormat-menghormati dan bekerjasama. Dalam konteks ‘Sekolahku Sejahtera’, kita ingin kembangkan konsep ini, contohnya menyentuh mengenai isu integriti dan kes penyelewengan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Tertutup Komuniti Putrajaya, hari ini.

    Isnin lepas (13 Dis), Radzi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat berkata KPM dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’, yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

    Beliau berkata konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ juga membolehkan elemen nilai murni diterapkan sejak kecil bagi membolehkan murid mengingati kesan baik dan buruk sesuatu perbuatan atau perkara sehingga mereka dewasa kelak.

    Mengulas mengenai penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir, Radzi berkata KPM sentiasa bekerjasama dengan jawatankuasa bencana daerah dan negeri sekiranya terdapat keperluan untuk menggunakan institusi pendidikan itu memandangkan pihak sekolah dilatih dengan pendekatan dan penyelesaian terbaik ketika banjir.

    Beliau berkata pihak sekolah juga sentiasa bersiap siaga, khususnya di negeri yang menghadapi musim tengkujuh untuk menyediakan fasiliti berkaitan sekiranya banjir semakin teruk.

    Kejohanan badminton anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) bertempat di Gelanggang Badminton, Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini, berlangsung tiga hari sejak semalam dan jadual berakhir esok (19 Dis). – B

  • Banjir di Melaka:Balai Polis Lubok Cina, jentera bomba tenggelam

    Banjir di Melaka:Balai Polis Lubok Cina, jentera bomba tenggelam

    BALAI Polis Lubok Cina dan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Masjid Tanah ditenggelami air sejak pukul 5 pagi tadi.

    Keadaan itu berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan paras Sungai Rembau yang kira-kira 100 meter dari bangunan dan jentera berkenaan melimpah ke daratan.

    Melalui hantaran dalam Facebook Polis Alor Gajah, balai polis berkenaan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

    Sementara itu, anggota bomba menjalankan gerakan menyelamat mangsa banjir di Kampung Telok Berembang berkata, jentera berkenaan diletakkan berhampiran balai polis itu awal pagi tadi.

    Menurutnya yang enggan dikenali, semua anggota bomba sibuk menjalankan gerakan menyelamatkan mangsa banjir di beberapa kampung, terutama Kampung Telok Berembang yang paling teruk terjejas.

    Balai polis di Alor Gajah turut dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam

    “Bagaimanapun, apabila mereka kembali ke lokasi jentera itu diletakkan, mereka dapati jentera sudah dinaiki air,” katanya.

    Setakat pukul 12.30 tengah hari tadi, air masih belum surut, sekali gus menyebabkan jentera berkenaan masih belum mampu dialihkan.

    Peniaga warung di pekan Lubok Cina, Mohd. Rozi Khamis, 45, berkata, warungnya yang berhampiran balai polis itu dinaiki air pukul 5 pagi.

    “Saya pergi ke warung untuk menyelamatkan 100 doh roti canai tetapi tidak sempat kerana air sudah naik kira-kira 1.5 meter dan saya terkejut apabila mendapati balai polis juga sudah dinaiki air.

    “Bagaimanapun, saya diberitahu, semua anggota polis dalam balai berkenaan sudah keluar sebelum air mencecah paras 1.5 meter,” katanya.

  • Bantu rakan baiki kereta sebelum jadi korban nahas – Adik

    Bantu rakan baiki kereta sebelum jadi korban nahas – Adik

    “SAYA sempat berbual dengan abang kira-kira pukul 10 malam tadi ketika beliau pulang dari kerja dan bersiap-siap untuk keluar semula difahamkan bagi membantu rakannya yang mengalami kerosakan kereta di jalan raya,” kata Muhamad Farhan Rolex.

    Muhamad Farhan, 24, adik kepada Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang merupakan seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri berhampiran kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam di sini, malam tadi. 

    Beliau berkata bapanya, Rolex Shapiai memberitahu bahawa Mohamad Rahimi masih belum pulang meskipun waktu itu sudah pukul 12.30 tengah malam.

    “Bapa cuba menghubungi telefon abang saya beberapa kali sehinggalah seorang individu yang tidak dikenali menjawab panggilan itu dan memberitahu keadaan yang menimpa beliau,” katanya kepada Bernama di bilik mayat Hospital Shah Alam, di sini.  

    Muhamad Farhan berkata sudah menjadi kebiasaan bagi abangnya yang merupakan seorang mekanik, menghulurkan bantuan kepada pemandu yang kenderaan mereka mengalami kerosakan di jalan raya. 

    Bernama difahamkan rakan kepada Mohamad Rahimi yang meminta bantuan bagi membaiki kereta Perodua Axianya turut mengalami kecederaan iaitu patah kaki dalam nahas tersebut.  

    Sementara itu, tinjauan Bernama di bilik mayat hospital itu mendapati suasana sugul menyelubungi ahli keluarga dan sahabat handai mangsa. 

    Selain Mohamad Rahimi, nahas membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler itu yang melibatkan 17 mangsa, turut mengorbankan seorang wanita dan lapan anaknya.

    — BERNAMA


  • Seorang nelayan Myanmar dikhuatiri lemas bot karam

    Seorang nelayan Myanmar dikhuatiri lemas bot karam

    SEORANG nelayan warga Myanmar dikhuatiri lemas manakala empat yang lain berjaya diselamatkan selepas bot mereka karam di perairan Kuala Kuantan di Kuantan semalam.

    Empat mangsa tersebut diselamatkan nelayan tempatan yang berada sekitar lokasi, mereka semuanya berusia 25 hingga 37 tahun.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, nelayan warga asing itu menaiki bot nelayan kelas C karam kira-kira 3.8 batu nautika akibat dipukul ombak.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bermula pukul 4.15 petang semalam selepas menerima laporan daripada pemilik bot.

    “Bot ronda maritim yang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan segera diatur gerak bagi melaksanakan operasi carilamat.

    “Maklumat turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan termasuk beberapa rakan pemilik bot yang turut membantu dalam operasi pencarian,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    Maritim Malaysia Pahang membuka bilik gerakan operasi carilamat seorang nelayan warga Myanmar yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Perairan Kuala Kuantan semalam.

    Amran berkata, operasi ditangguhkan pada pukul 7 petang semalam dan disambung semula jam 7 pagi ini.

    “Operasi hari ini turut melibatkan pesawat udara Maritim dengan keluasan sektor pencarian 178 batu nautika persegi namun setakat ini masih gagal ditemui,” katanya.

    Tambah beliau, Maritim sentiasa menasihatkan bot nelayan tempatan terutama bot kecil supaya lebih berwaspada dengan amaran angin kencang dan laut bergelora ketika ini.

    “Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.

  • KPLB peruntuk RM1.92 juta bantu usahawan luar bandar pulihkan perniagaan terjejas

    KPLB peruntuk RM1.92 juta bantu usahawan luar bandar pulihkan perniagaan terjejas

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB), memperuntukkan sejumlah RM1.92 juta bagi membantu usahawan luar bandar memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi program khas Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

    “Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar tersebut turut menjadi salah satu inisiatif di bawah Strategi Memperkukuh Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar, Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari.

    “Bermula September lalu, KPLB telah melaksanakan Program Sokongan SPKLB Re-Start yang bertujuan untuk membantu usahawan luar bandar yang terjejas akibat Covid19 bagi memulakan semula perniagaan mereka dengan penyediaan geran bantuan dalam bentuk pembelian, pembaikan aset, mesin, peralatan, modal pusingan dan pengubahsuaian premis dengan nilai RM3,000 hingga RM5,000,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB di Kompleks Komuniti Padang Kerasak di Naka, Padang Terap hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

    Menurut Mahdzir, setakat ini sejumlah 400 usahawan luar bandar di seluruh negara telah menerima manfaat daripada geran program SPKLB.

    Beliau memberitahu program tersebut diperkenalkan pada tahun 2019 dengan menyediakan geran penuh kepada usahawan bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

    ”Selain menyediakan latihan, kursus dan kejurulatihan yang bersesuaian kepada usahawan yang komited mengembangkan perniagaan mereka.

    “Program SPKLB disasarkan kepada usahawan luar bandar yang komited meningkatkan taraf hidup dan ekonomi selain menggalakkan usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tinggi bagi meluaskan pasaran produk mereka,” katanya.

    Pada majlis itu, Mahdzir turut menyempurnakan Simbolik Penyerahan Geran Bantuan SPKLB kepada 400 usahawan di seluruh negara, menyampaikan bantuan gajet pembelajaran kepada 50 pelajar dan cermin mata kepada 100 pelajar dari keluarga B40.

    Turut disampaikan, bantuan wang saku persekolahan kepada 300 pelajar sekitar daerah Padang Terap dan Bantuan Bakti Desa KPLB kepada 204 orang pelajar berjumlah RM204 ribu.

  • 11 kes import disahkan varian Omicron, kumulatif kini 13 kes

    11 kes import disahkan varian Omicron, kumulatif kini 13 kes

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan 11 lagi kes varian Omicron di Malaysia yang kesemuanya kes import dari lima negara, menjadikan jumlah kumulatif varian itu di negara ini kepada 13 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata tiga kes adalah dari United Kingdom, Amerika (tiga), Nigeria (dua), Arab Saudi (dua) dan Australia (satu).

    “Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes,” katanya. 

    Menurut Dr Noor Hisham, daripada 11 kes yang disahkan varian Omicron itu sembilan kes melibatkan warganegara Malaysia manakala dua kes adalah warganegara Nigeria. 

    Beliau berkata lapan kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori dua manakala tiga lagi kes tidak bergejala. 

    Lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin, katanya. 

    Dr Noor Hisham berkata kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat. 

    Beliau berkata 11 kes yang disahkan varian Omicron hari ini merupakan sebahagian daripada 18 kes yang disyaki Omicron seperti diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Khamis lepas. 

    “Tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandangkan ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan. Ini disebabkan tahap ‘viral load’ yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima,” katanya. 

    Menurut Dr Noor Hisham, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada Jumaat 17 Disember. 

    Beliau berkata dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia, KKM mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan di dalam komuniti. 

    KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan pandemik berkenaan, katanya. 

    — BERNAMA

  • 3 sebab UMNO tuntut Parlimen Alor Setar daripada MCA

    3 sebab UMNO tuntut Parlimen Alor Setar daripada MCA

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Perwakilan yang menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar hari ini turut menandatangani memorandum untuk menuntut supaya kerusi Parlimen Alor Setar yang sebelum ini ditandingi MCA, diserahkan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen tersebut dari Pakatan Harapan (PH).

    Katanya, sehingga kini terdapat tiga sebab mengapa UMNO perlu diberi ruang untuk kembali bertanding di kawasan itu dengan satu daripadanya adalah, jumlah pengundi Melayu merupakan yang tertinggi di Alor Setar iaitu mencecah 64 peratus atau 70,000 orang.

    “Keduanya apabila kalah pada PRU-14, wakil MCA terus hilang selama tiga tahun dan hanya timbul kembali pada tahun ini. Manakala sebab ketiga adalah MCA tidak memiliki calon untuk diketengahkan di Parlimen Alor Setar sedangkan UMNO memiliki barisan calon berwibawa,” katanya selepas merasmikan mesyuarat tersebut di Dewan Besar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), hari ini.

    Ini bukan kali pertama perkara itu dibangkitkan dengan gesaan sama turut pernah disuarakan dalam mesyuarat UMNO bahagia itu, tahun lalu.

    Mengulas lanjut Mohd. Yusof berkata, perkara itu sebelum ini turut pernah disuarakan kepada kepimpinan UMNO di peringkat Pusat dan perkara itu juga dirasakan pernah dibincangkan dalam kalangan pemimpin BN.

    “Dalam dua atau tiga siri perbincangan sebelum ini pun saya telah tegaskan kepada pemimpin MCA di Alor Setar yang mereka tidak mempunyai calon sesuai untuk diletakan di sini. Jadi saya cadangkan kepada MCA untuk memberi tumpuan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman.

    “Jika itu berjaya dilakukan, saya yakin kita akan menang Kerusi Parlimen Alor Setar dan tiga lagi kerusi DUN dalam Parlimen ini,” katanya.

    Mohd. Yusof menambah, kemenangan BN di Parlimen itu cukup penting untuk dicapai memandangkan pembangunan di kawasan tersebut dilihat seakan terbantut apabila PH berjaya menewaskan calon MCA dalam pilihan raya lalu.

    “Bersandarkan keadaan semasa, kita memang dapat melihat bahawa peluang UMNO untuk menang di kerusi Parlimen ini lebih tinggi berbanding MCA,” katanya.

  • Kenderaan terkandas akibat banjir, pemandu tidur dalam kereta

    Kenderaan terkandas akibat banjir, pemandu tidur dalam kereta

    PULUHAN pemandu terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing malam tadi apabila laluan untuk pulang ke rumah mereka di Setia Alam di sini serta Bukit Raja dan Meru di Klang ditenggelami air berikutan hujan lebat di Lembah Klang sejak pagi semalam.

    Jalan-jalan utama di Setia Alam yang menghubungkan Meru dan Bandar Bukit Raja di Klang dinaiki air antara dua hingga tiga meter sejak lewat malam tadi menyebabkan ramai pengguna jalan raya yang pulang kerja lewat malam terperangkap dan tidak dapat pulang ke rumah hingga tengah hari ini.

    Setakat 1 tengah hari, hujan masih lebat turun di sekitar Lembah Klang.

    Tinjauan Bernama di jalan utama menghubungkan Setia Alam dengan Meru mendapati puluhan kenderaan masih berhenti di tepi jalan kerana laluan yang dinaiki air itu hanya boleh dilalui kenderaan berat seperti bas dan lori.

    Mohd Faizol Adzhar Mohd Mohtar, 34, berkata beliau terpaksa tidur di dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir kira-kira dua kilometer dari apartmennya di Bandar Bukit Raja sebelum berjalan kaki pulang pagi ini.

    “Saya balik kerja dari Kuala Lumpur pukul 9.30 malam tadi dan saya berhenti makan kerana jalan sesak, tiba di Setia Alam kira-kira pukul 12 tengah malam saya dapati semua jalan menuju ke rumah saya dinaiki air.

    “Keadaan waktu itu hujan lebat dan saya ambil keputusan untuk tidur di dalam kereta kerana tidak mahu ambil risiko meredah air banjir yang tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Kira-kira 10 pagi, Mohd Faizol Adzhar mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumahnya kerana air tidak menunjukkan tanda untuk surut berikutan hujan lebat masih turun.

    Mohamad Imran Hakim Mohd Nazri, 19, pula terpaksa tidur di tempat kerja selepas kawasan sekeliling dinaiki air.

    “Saya habis kerja di restoran kira-kira 12.30 tengah malam dan ketika itu air sudah naik setinggi dua meter di luar restoran,” katanya.

    Beliau yang tinggal di Sungai Kapar Indah, kira-kira 10 kilometer dari Setia Alam sejak kecil, berkata kejadian banjir kali ini adalah paling buruk pernah dialami sejak tinggal di daerah itu.

    “Sekarang saya masih lagi di tempat kerja, tidak boleh pulang ke rumah, harap hujan akan berhenti dan air segera surut,” katanya. – BERNAMA

  • Lebih 3,000 mangsa banjir Selangor dipindah ke 30 PPS

    Lebih 3,000 mangsa banjir Selangor dipindah ke 30 PPS

    SERAMAI 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam. 

    Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis, berkata di Klang sebanyak 20 PPS dibuka dengan jumlah membabitkan seramai 2,604 mangsa.

    Katanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan  SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang. 

    Sebuah lori meredah air banjir yang membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam 

    Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan 482 mangsa. 

    Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata pada masa sama, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir.

    Katanya kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak PPS sekiranya diperlukan. 

    Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor.  – Bernama