Oleh RIZQI ZABIDI

Perwakilan yang menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar hari ini turut menandatangani memorandum untuk menuntut supaya kerusi Parlimen Alor Setar yang sebelum ini ditandingi MCA, diserahkan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen tersebut dari Pakatan Harapan (PH).

Katanya, sehingga kini terdapat tiga sebab mengapa UMNO perlu diberi ruang untuk kembali bertanding di kawasan itu dengan satu daripadanya adalah, jumlah pengundi Melayu merupakan yang tertinggi di Alor Setar iaitu mencecah 64 peratus atau 70,000 orang.

“Keduanya apabila kalah pada PRU-14, wakil MCA terus hilang selama tiga tahun dan hanya timbul kembali pada tahun ini. Manakala sebab ketiga adalah MCA tidak memiliki calon untuk diketengahkan di Parlimen Alor Setar sedangkan UMNO memiliki barisan calon berwibawa,” katanya selepas merasmikan mesyuarat tersebut di Dewan Besar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), hari ini.

Ini bukan kali pertama perkara itu dibangkitkan dengan gesaan sama turut pernah disuarakan dalam mesyuarat UMNO bahagia itu, tahun lalu.

Mengulas lanjut Mohd. Yusof berkata, perkara itu sebelum ini turut pernah disuarakan kepada kepimpinan UMNO di peringkat Pusat dan perkara itu juga dirasakan pernah dibincangkan dalam kalangan pemimpin BN.

“Dalam dua atau tiga siri perbincangan sebelum ini pun saya telah tegaskan kepada pemimpin MCA di Alor Setar yang mereka tidak mempunyai calon sesuai untuk diletakan di sini. Jadi saya cadangkan kepada MCA untuk memberi tumpuan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman.

“Jika itu berjaya dilakukan, saya yakin kita akan menang Kerusi Parlimen Alor Setar dan tiga lagi kerusi DUN dalam Parlimen ini,” katanya.

Mohd. Yusof menambah, kemenangan BN di Parlimen itu cukup penting untuk dicapai memandangkan pembangunan di kawasan tersebut dilihat seakan terbantut apabila PH berjaya menewaskan calon MCA dalam pilihan raya lalu.

“Bersandarkan keadaan semasa, kita memang dapat melihat bahawa peluang UMNO untuk menang di kerusi Parlimen ini lebih tinggi berbanding MCA,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here