Category: Semasa

  • Koperal cedera pintu simpan tayar gantian bas ekspres terbuka di SJR

    Koperal cedera pintu simpan tayar gantian bas ekspres terbuka di SJR

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG anggota polis yang sedang bertugas cedera selepas sebuah bas ekspres melanggar khemah sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 52.0 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 10.30 malam melibatkan bas ekspres dipandu seorang lelaki yang membawa 26 penumpang.

    “Bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Larkin, Johor Bahru menuju ke Kuala Terengganu melibatkan 26 penumpang terdiri daripada 12 lelaki dan sembilan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki.

    “Semasa sampai di SJR tersebut tiba-tiba pintu penyimpanan tayar simpanan bahagian belakang sebelah kanan telah terbuka dan terkena khemah SJR yang berada di tengah-tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semasa kejadian anggota yang sedang bertugas berada di bawah khemah berkenaan dan seorang daripadanya cedera.

    Semasa kejadian terdapat anggota yang sedang bertugas berada di bawah khemah berkenaan dan seorang daripadanya cedera selepas khemah di SJR terbabit dilanggar

    Jelasnya, anggota yang cedera itu berpangkat Koperal dan berusia 30 tahun, mengalami bengkak di bahagian belakang badan sebelum dihantar dengan ambulans ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Pemandu bas ekspres berusia 50 tahun dan kelindannya termasuk semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Pihaknya kemudian melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas ekspres tersebut namun keputusannya negatif daripada sebarang pengaruh dadah selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

    Menurutnya, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan RM10,000 hingga RM15,000 bagi sabitan seterusnya.

  • Banjir: KKM buka pusat operasi medan di Taman Sri Muda

    Banjir: KKM buka pusat operasi medan di Taman Sri Muda

    PASUKAN Respons Kecemasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula melaporkan diri ke One Stop Centre di Taman Sri Muda, Shah Alam bermula Isnin.

    PUSAT Operasi Medan Kementerian Kesihatan (KKM) di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang dibuka sejak Isnin, mampu memberi rawatan kepada 50 pesakit sehari dan turut menempatkan doktor pakar kecemasan serta 10 katil. 

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pusat operasi itu yang pertama dibuka Kementerian Kesihatan (KKM) sebagaimana yang dicadangkan oleh Menterinya, Khairy Jamaluddin susulan lawatan beliau ke kawasan tersebut Ahad lepas. 

    “Pusat operasi ini berfungsi seolah-olah bilik kecemasan mini di lapangan.  Ini penting untuk kita bagi perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Taman Sri Muda, kawasan yang terjejas teruk akibat banjir, hari ini. 

    Beliau berkata, pusat itu akan merawat kes-kes ringan dan membekalkan ubat untuk penduduk yang kehabisan bekalan ubat supaya tidak perlu ke hospital.

    “Hanya kes-kes yang perlu rawatan rapi atau pendarahan serta kes-kes berat akan kita bawa ke hospital, namun kita akan beri rawatan awal terlebih dahulu di sini,” katanya.

    Dr. Noor Hisham berkata pusat itu akan beroperasi 24 jam sehingga pusat penempatan sementara ditutup. 

    Beliau berkata, tiga lagi pusat operasi di lapangan telah dirancang untuk dibuka di kawasan yang terjejas banjir di Selangor.

    Selain itu, katanya, KKM akan bekerjasama dengan hospital swasta yang terlibat dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir bagi memastikan bantuan terbaik dapat diberikan kepada penduduk.  

    “Sekarang kebimbangan kita adalah selepas banjir kerana mungkin penyakit berjangkit akan menular seperti kencing tikus, cirit-birit dan keracunan makanan,” katanya.

    Oleh itu, beliau menasihati mangsa banjir agar menjaga kebersihan serta terus mematuhi prosedur operasi standard untuk mengelakkan jangkitan COVID-19.  – Bernama

  • Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Osman Sapian

    Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Osman Sapian

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia malam tadi.

    Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian bekas menteri besar Johor itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

    “Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut catatan itu.

    Catatan itu juga menyatakan Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negeri Johor dan negara.

    Osman, 70, meninggal di rumah anak lelakinya di Damansara, di sini pada malam Selasa dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin, selepas Zohor.

    Pada 13 Oktober lalu, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas dan Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok.

    Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018. – Bernama

  • Pemergian Osman Sapian satu kehilangan buat johor dan Bersatu – Muhyiddin

    Pemergian Osman Sapian satu kehilangan buat johor dan Bersatu – Muhyiddin

    PEMERGIAN Datuk Osman Sapian satu kehilangan buat Johor dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

    Melahirkan rasa dukacita dan terkejut atas berita itu, Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu turut menzahirkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka bersabar dalam berhadapan dengan saat-saat yang menyedihkan ini.

    “Secara peribadi saya telah lama mengenali Allahyarham dan sama-sama aktif dalam politik di Johor terutama ketika penubuhan Bersatu beberapa tahun dahulu.

    “Sepanjang saya mengenali Allahyarham, dia seorang yang kuat, kental, tabah dan tidak mudah mengaku kalah,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini. 

    Sebagai sahabat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Muhyiddin turut merasa sayu atas kehilangan Osman, yang juga bekas Menteri Besar Johor.       
     
    “Tenanglah di sana sahabatku. Marilah sama-sama kita panjatkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. 

    “Saya memohon kepada semua untuk sama-sama membaca dan sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham,” tambah bekas Perdana Menteri itu. 

    Osman, 70, meninggal di rumah anak lelakinya di Damansara, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, di Kuala Lumpur, selepas zohor. 

    Pada 13 Oktober lepas, Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas diserang strok. 

    Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018, mulai 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019. – Bernama
     

  • 3 ditahan selepas serbu dua premis proses, simpan, jual arak tiruan

    3 ditahan selepas serbu dua premis proses, simpan, jual arak tiruan

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan tiga lelaki selepas melakukan serbuan di dua premis berasingan di Kawasan Industri Taman Bukit Maluri, Kepong, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Serbuan tersebut selepas pihak polis mendapat maklumat dan risikan premis berkenaan disyaki memproses dan menyimpan arak tiruan.

    Difahamkan, suspek mengisi campuran arak tiruan tersebut ke dalam botol kaca yang sama seperti minuman keras berjenama terkenal di mana harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua minuman keras tersebut dipercayai untuk memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan.

    “Kita percaya sasaran pasaran mereka adalah untuk pasaran tempatan lebih-lebih lagi untuk memenuhi permintaan ketika sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Krismas tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

    Eng Lai berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 6 petang itu, pihaknya berjaya merampas 53 botol arak kosong dan 70 botol yang sudah diisi dengan arak tiruan, 131 pelekat minuman keras pelbagai jenama serta pelbagai peralatan membancuh.

    “Pada serbuan di premis kedua pula kita berjaya merampas 756 kotak minuman keras jenama Tsingtao dan 474 kotak minuman keras jenama Harbin Ice di mana setiap kotak mengandungi 24 tin.

    “Minuman ini dipercaya tidak dibayar cukai Kastam yang dianggarkan bernilai RM117,912,” katanya dalam satu kennyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kesemua suspek direman tiga hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang(Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

  • 50 terperangkap dan terputus bekalan makanan diselamatkan di Kenaboi

    50 terperangkap dan terputus bekalan makanan diselamatkan di Kenaboi

    SERAMAI 50 orang awam yang terperangkap dan terputus bekalan makanan serta ubatan susulan banjir yang melanda Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan dua hari lepas diselamatkan Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD).

    Menurut kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM)  dua pegawai dan 23 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) 15 RAMD diatur gerak membantu mangsa banjir di lokasi tersebut.

    “Terdahulu, beberapa anggota tentera telah menemukan tiga orang awam yang sedang mencari bekalan makanan pada 11.15 pagi.

    “Susulan itu, satu kumpulan tinjau diatur gerak untuk mencari laluan masuk dan mengenal pasti jumlah orang awam yang memerlukan bantuan,” katanya.

    Jelasnya daripada jumlah itu seramai 31 orang bersetuju untuk dibawa keluar dan ditempatkan di Kem Rekreasi Bukit Perjuangan, manakala baki 19 orang yang enggan keluar telah dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jelebu untuk tindakan selanjutnya.

    Katanya, gerakan mencari dan menyelamat seperti ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.- Bernama

  • Guru dakwa rugi RM438,900 akibat Macau Scam

    Guru dakwa rugi RM438,900 akibat Macau Scam

    SEORANG guru wanita mendakwa kerugian RM438,900 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam sejak Ogos lepas. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata mangsa, 44, mendakwa dihubungi seorang lelaki kononnya wakil syarikat insurans pada awal Ogos, bagi menyiasat penipuan tuntutan bernilai RM76,000 atas namanya. 

    Mangsa menafikan dakwaan itu, menyebabkan suspek memintanya berhubung dengan seorang lagi suspek lelaki yang dikatakan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Kuala Lumpur yang akan mengendalikan kes salah guna nama mangsa. 

    “Suspek kedua semasa dihubungi pula mendakwa nama mangsa turut dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram berjumlah RM2.8 juta menyebabkan dia perlu membayar wang jaminan RM600,000 dengan membuka akaun bank yang baharu. 

    “Mangsa mendakwa telah membuka akaun itu namun hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM439,032 dan suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan semua maklumat perbankan bagi tujuan siasatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

    Mohd. Wazir berkata mangsa mendakwa membuat semakan di bank kelmarin dan mendapati wang akaunnya hanya berbaki RM132.31 selain terdapat banyak transaksi pemindahan wang secara online ke akaun tidak diketahuinya. 

    Mangsa cuba mendapatkan penjelasan daripada ‘pegawai polis’ tersebut, namun mendakwa nombor telefon itu tidak lagi digunakan. 

    Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Nenasi, Pekan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

  • Banjir di Taman Sri Muda semakin pulih, air mulai surut

    Banjir di Taman Sri Muda semakin pulih, air mulai surut

    SITUASI banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam iaitu antara kawasan yang terjejas teruk, dilihat beransur pulih apabila paras air semakin surut pada pagi ini.

    Paras air yang mencecah sehingga bumbung rumah sebelum ini surut ke paras pinggang sejak tengah malam tadi dan direkodkan perkembangan terkini pada parasa antara lutut dan pinggang orang dewasa.

    Tinjauan kru Astro AWANI yang tiba kira-kira pukul 6.30 pagi mendapati lokasi banjir masih lagi gelap dengan bekalan elektrik terputus.

    Walaupun begitu, liputan internet dan talian telekomunikasi lebih baik berbanding hari-hari sebelum ini.

    Setakat pukul 8 pagi, kelihatan beberapa ahli keluarga magsa yang terperangkap berkumpul di sekitar kawasan banjir.

    Turut kelihatan beberapa penduduk luar yang melalui kawasan terbabit untuk ‘singgah’ melihat situasi banjir.

    Semalam sahaja 370 orang dibawa keluar dari Taman Sri Muda, menjadikan jumlah penduduk yang diselamatkan di kawasan itu mencecah 3,552 mangsa.

    Setakat pukul 6.30 pagi ini, 12 lagi mangsa melibatkan tiga keluarga dibawa keluar selepas pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan daripada ahli keluarga mangsa.

    Sebanyak 431 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak Jumaat lalu.

  • Bukit Jelutong kembali banjir

    Bukit Jelutong kembali banjir

    HUJAN lebat kembali turun sejak awal pagi tadi di sekitar Selangor menjadi kebimbangan sebahagian besar penduduk khususnya di kawasan yang terjejas akibat banjir sejak Jumaat lalu.

    Hujan dilaporkan turun di sekitar Shah Alam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang.

    Malah, terdapat kawasan yang sebelum ini surut selepas dilanda banjir seperti di Bukit Jelutong kembali dinaiki air terutama di susur ke Plaza Tol Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie.

    Kawasan berkenaan sebelum ini ditutup kira-kira 24 jam sebelum kembali dibuka semalam akibat hujan lebat lebih dua hari bermula 17 Disember lalu.

    Hal berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan di Lebuhraya Guthrie sebelum susur Bukit Jelutong arah Pusat Bandar Shah Alam.

    Menurut laporan daripada ciapan @Plustrafik, beberapa lorong keluar dan satu lorong masuk di Plaza Shah Alam ditutup dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan lain.

    Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis  berkata, banjir melanda di Batu Arang, Rawang dengan peningkatan air dilaporkan pada paras betis.

    “Benar berlaku banjir di kawasan penduduk sehingga paras betis. Penduduk setempat dinasihatkan berpindah, namun masih belum mahu berpindah ke kawasan selamat.

    “Pihak bomba membuat pemantauan dan bersedia dengan logistik sekiranya pemindahan dibuat,” katanya.

  • Hakisan Sungai Kurau bimbangkan penduduk Kampung Raja Bashah

    Hakisan Sungai Kurau bimbangkan penduduk Kampung Raja Bashah

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan Sungai Kurau, di Kuala Kurau, daerah Kerian.

    Masalah yang serius berlaku sejak lima tahun lalu itu kini semakin membimbangkan penduduk Kampung Raja Bashah kerana kesan kejadian tersebut sudah hampir dengan kediaman mereka.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati kira-kira 20 buah rumah yang terletak di sepanjang 400 meter sungai berkenaan terdedah kepada bahaya ancaman itu selain beberapa batang pokok di kawasan tersebut telah tumbang.

    Jelasnya, CAP kesal dengan kejadian itu dan meminta pihak berkenaan menjalankan kajian secara menyeluruh punca berlakunya masalah tersebut.

    “CAP percaya jika keadaan ini berlarutan kemungkinan harta benda penduduk akan mengalami kerosakan dan kemusnahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohideen, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan yang berkaitan perlu turun padang melihat masalah itu secara dekat supaya tindakan bersepadu yang berkesan dapat diambil.

    Antara kawasan yang terhakis di Sungai Kurau, di Kuala Kurau dan memerlukan perhatian segera

    “CAP juga berharap perkara ini didedahkan kepada umum khususnya mereka yang berhadapan dengan situasi itu,” katanya.

    Sementara itu, seorang penduduk, Salimah Mohamad, 60, berkata, rumahnya bukan sahaja sudah terlalu hampir dengan tebing sungai tersebut yang sudah runtuh, malah ketika ombak melanda air sungai turut melimpah bersama sampah-sarap.

    Tambahnya, sejak kejadian itu berlaku, hampir 15 meter tebing sungai tersebut telah terhakis.

    “Masalah ini pernah dimaklumkan kepada pihak berwajib namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil.

    “Jadi, saya merayu pihak bertanggungjawab membina tembok pencegah hakisan di kawasan ini dengan segera kerana bimbang keselamatan kami yang tinggal sepanjang sungai ini boleh terancam pada masa akan datang,” katanya.