PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan Sungai Kurau, di Kuala Kurau, daerah Kerian.

Masalah yang serius berlaku sejak lima tahun lalu itu kini semakin membimbangkan penduduk Kampung Raja Bashah kerana kesan kejadian tersebut sudah hampir dengan kediaman mereka.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati kira-kira 20 buah rumah yang terletak di sepanjang 400 meter sungai berkenaan terdedah kepada bahaya ancaman itu selain beberapa batang pokok di kawasan tersebut telah tumbang.

Jelasnya, CAP kesal dengan kejadian itu dan meminta pihak berkenaan menjalankan kajian secara menyeluruh punca berlakunya masalah tersebut.

“CAP percaya jika keadaan ini berlarutan kemungkinan harta benda penduduk akan mengalami kerosakan dan kemusnahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohideen, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan yang berkaitan perlu turun padang melihat masalah itu secara dekat supaya tindakan bersepadu yang berkesan dapat diambil.

Antara kawasan yang terhakis di Sungai Kurau, di Kuala Kurau dan memerlukan perhatian segera

“CAP juga berharap perkara ini didedahkan kepada umum khususnya mereka yang berhadapan dengan situasi itu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Salimah Mohamad, 60, berkata, rumahnya bukan sahaja sudah terlalu hampir dengan tebing sungai tersebut yang sudah runtuh, malah ketika ombak melanda air sungai turut melimpah bersama sampah-sarap.

Tambahnya, sejak kejadian itu berlaku, hampir 15 meter tebing sungai tersebut telah terhakis.

“Masalah ini pernah dimaklumkan kepada pihak berwajib namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil.

“Jadi, saya merayu pihak bertanggungjawab membina tembok pencegah hakisan di kawasan ini dengan segera kerana bimbang keselamatan kami yang tinggal sepanjang sungai ini boleh terancam pada masa akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here