Category: Semasa

  • ”Tuduhan berniat politik, tiada seorangpun ahli Parlimen beri notis isu banjir” – Azhar Harun

    ”Tuduhan berniat politik, tiada seorangpun ahli Parlimen beri notis isu banjir” – Azhar Harun

    YANG Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menafikan beliau menolak usul membahaskan isu banjir pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat Isnin lepas.

    Azhar menjelaskan bahawa bagi hal-hal tergempar dan diperlukan untuk dirundingkan secara tergempar, satu usul di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 18 (1) perlu dibuat kepada beliau iaitu sehari awal, sebelum persidangan berlangsung. 

    “Untuk hal banjir ini, Ahli-Ahli Parlimen boleh sahaja memberikan notis kepada saya melalui WhatsApp dan sebagainya sebelum hari tersebut (20 Dis).

    “Malah, satu usul bertulis boleh sahaja dibuat pada pagi 20 Dis 2021. Namun, tidak ada seorang pun yang berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata dalam aturan urusan mesyuarat pada hari itu, pembentangan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 merupakan satu-satunya agenda yang disenaraikan.

    Namun, pembentangan pindaan rang undang-undang itu tidak dapat dibuat kerana proses libat urus antara Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dengan pihak pembangkang belum tamat serta terdapat isu-isu mengenainya perlu diselesaikan. 

    Azhar berkata usul diperlukan bagi membolehkan beliau mengemukakan masalah kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan dijawab oleh menteri serta membolehkan menteri yang berkenaan membuat persiapan bagi menjawab perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan. 

    Katanya, usul juga diperlukan untuk sesuatu masalah itu dibahaskan dengan bertatacara dan sempurna bagi menghalang Ahli Parlimen membahaskan perkara yang tidak berkaitan dengan isu dalam usul tersebut.

    “Saya bukannya hendak mengekang hak Ahli-Ahli Parlimen daripada membahaskan isu-isu semasa yang penting dan yang perlu disegerakan, namun Dewan Rakyat tidak sepatutnya dijatuhkan martabatnya menjadi kedai kopi dengan membangkitkan apa sahaja isu secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi Peraturan Mesyuarat.

    “Tidak ada Parlimen di negara-negara Komanwel yang membahaskan apa-apa isu yang dipetik daripada udara sesuka hati dan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengikut peraturan dan aturan urusan mesyuarat,” katanya.

    Azhar berkata beliau komited kepada pembahasan terbuka mengenai apa juga isu dan masalah yang dihadapi rakyat, malah telah mewujudkan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas semasa serta mengadakan sekretariat buat pertama kalinya dalam sejarah Parlimen Malaysia bagi membolehkan proses semak dan imbang diperkukuhkan.

    Justeru, beliau menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah berniat politik dan beliau tidak akan terjerumus dalam kancah politik. 

    — BERNAMA

  • Warga emas rugi RM298,500 diperdaya ‘pegawai Tabung Haji, polis’

    Warga emas rugi RM298,500 diperdaya ‘pegawai Tabung Haji, polis’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG suri rumah kerugian RM298,500 diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Tabung Haji (LTH) dan ‘Inspektor Yong’ selepas didakwa mangsa mempunyai pinjaman dengan LTH pada bulan lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Supritenden Amran Md. Jusin berkata, mangsa, 62, menerima satu panggilan jam 11.23 pagi, 10 November lalu daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LTH.

    “Suspek wanita yang menyamar sebagai pegawai LTH itu memaklumkan mangsa mempunyai pinjaman dengan LTH sebanyak RM12,900 yang belum diselesaikan. Mangsa kemudian menafikan ada membuat pinjaman tersebut.

    “Panggilan itu kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain dan akhirnya seorang wanita memperkenalkan diri sebagai polis dengan nama ‘Chief Inspektor Yong’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, ‘Chief Inspektor Yong’ mengarahkan mangsa membuka satu akaun di sebuah bank tempatan dan mendaftarkan kemudahan perbankan internet sebelum diarahkan mengeluarkan semua wang miliknya dan suami.

    Menurutnya, semua wang berkenaan kemudian diminta dimasukkan ke dalam akaun baru dibuka itu untuk tujuan siasatan dan akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

    Amran Md. Jusin

    Mangsa katanya, mengikut semua arahan tersebut antara 15 November hingga 14 Disember dengan memasukkan wang semuanya berjumlah RM298,500 ke dalam akaun yang baru dibuka itu.

    “Mangsa turut memberikan kata laluan perbankan internet untuk akaun baharu itu kepada ‘Chief Inspektor Yong’. Mangsa menyedari ditipu setelah gagal menghubungi ‘Chief Inspektor Yong’.

    “Semakan mangsa pada 18 Disember terhadap akaun bank yang baru dibuka itu mendapati baki dalam akaun telah tiada dan telah berlaku pengeluaran wang tanpa pengetahuan mangsa,” katanya.

    Amran berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan sebat.

    Polis Johor katanya, menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali dan melakukan pemeriksaan terhadap kesahihan informasi dimaklumkan individu yang berkenaan.

    Tambah beliau, orang ramai boleh menggunakan aplikasi semakan atas talian yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa seperti Semak Mule, CCID Scam Response Centre, CCID Infoline dan Facebook JSJK.

  • Bekas KSU KDN tidak puas hati Zahid lanjut kontrak UKSB terlalu awal

    Bekas KSU KDN tidak puas hati Zahid lanjut kontrak UKSB terlalu awal

    BEKAS Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) bagi pelaksanaan sistem Visa Luar Negara (VLN) terlalu awal.

    Alwi, 62, berkata, pelanjutan yang dibuat bekas Timbalan Perdana Menteri itu terlalu awal sedangkan tempoh tamat kontrak itu masih panjang.

    “Bagaimanapun, berdasarkan laporan syarikat yang saya terima, saya berpuas hati dengan prestasi syarikat UKSB,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada hari kesembilan perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem VLN.

    Wan Shaharuddin : Pernah berlaku sebelum ini, pelanjutan kontrak dibuat awal?

    Alwi : Seingat saya tidak ada.

    Ketika membacakan penyataan saksinya, Alwi yang merupakan saksi pendakwaan keenam berkata, pihaknya akur dengan arahan Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk melanjutkan kontrak tersebut tiga tahun lebih awal, dari kontrak tamat iaitu pada 2019.

    “Berdasarkan perkara 2.2.1 perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN yang dimeterai sebelum ini, syarikat boleh memohon pelanjutan kontrak tidak kurang dari enam bulan sebelum tarikh kontrak tamat.

    “Secara praktikal ia nampak tidak sesuai untuk dilanjutkan kontrak kerana tempoh tamatnya masih jauh,” kata Alwi yang kini seorang pesara.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – Bernama 

  • Pegawai KKM lakukan ujian kualiti makanan untuk mangsa banjir

    Pegawai KKM lakukan ujian kualiti makanan untuk mangsa banjir

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mewujudkan kumpulan pegawai kesihatan yang melakukan ujian parameter pH air dan memeriksa kebersihan kualiti makanan bagi mengelakkan pencemaran makanan yang membahayakan kesihatan mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

    Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, mana-mana pihak yang mahu menyumbang makanan kepada mangsa banjir perlu melalui kumpulan KKM yang akan memeriksa kualiti makanan tersebut.

    Jelas beliau, mereka yang ingin menyumbang makanan tersebut boleh berhubung dengan KKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

    “Tindakan ini diambil kerana kita bimbang berlakunya penyakit berjangkit melibatkan mangsa-mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hospital Kebajikan Kek Lok Si, di Ayer Hitam, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, Noor Azmi turut melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya peningkatan kes-kes penyakit berjangkit berkaitan banjir khususnya bawaan air.

    Antaranya kata beliau, seperti jangkitan air kencing tikus; cirit-birit; demam, jangkitan saluran pernafasan, denggi serta penyakit yang berpunca daripada pencemaran makanan.

    Bagaimanapun jelasnya, keadaan masih terkawal yang mana pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang laporan mengenai kes-kes penyakit tersebut.

    Dalam perkembangan sama tambah beliau, pihaknya juga bimbang dengan kemungkinan berlakunya kluster-kluster baharu Covid-19 di kawasan-kawasan yang dilanda bencana banjir.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan semua pihak sentiasa kekal menjaga prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kita tahu amat sukar untuk melakukannya ketika banyak pihak ingat membantu dan menyelamatkan mangsa banjir,” katanya.

    Tambah beliau, setakat ini juga tiada kluster baharu Covid-19 dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) meskipun terdapat sejumlah mangsa banjir di Selangor dikesan positif Covid-19 sebelum tiba di PPS.

    “Mereka ini terdiri daripada pesakit Covid-19 tahap satu dan dua dan telah diasingkan serta sedang menjalani kuarantin sama ada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pusat kuarantin di PPS malah ada yang dikuarantin di rumah,” katanya.

  • Dua lagi mayat mangsa banjir ditemukan di Taman Seri Muda

    Dua lagi mayat mangsa banjir ditemukan di Taman Seri Muda

    MAYAT dua lagi mangsa banjir melibatkan dua beranak ditemukan di Jalan Semangat 25/8 Taman Seri Muda, Shah Alam pukul 6 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dua mangsa berkenaan adalah ayah dan anak yang ditemui di dalam sebuah rumah teres setingkat.

    “Mangsa adalah seorang lelaki berusia 76 tahun dan anak perempuannya yang berusia 48 tahun.

    “Pertambahan dua mangsa ini tu menjadikan korban akibat banjir di Shah Alam kini berjumlah 14 orang membabitkan lapan lelaki dan enam wanita.

    “Kita mendapat makluman daripada keluarga terdekat yang tidak dapat menghubungi dua beranak itu sejak banjir melanda kawasan ini.

    “Susulan itu, pasukan membuat pemeriksaan di rumah mangsa berdasarkan alamat yang diberikan dan menemui mayat dua beranak itu sekitar pukul 1.40 tengah hari tadi di dalam rumah mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK1) di Taman Sri Muda, Seksyen 25, hari ini.

    Katanya, sehingga kini tiada laporan diterima mengenai orang hilang susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

    Tambahnya, polis akan terus melaksanakan pemeriksaan dari kawasan ke kawasan berdasarkan maklumat dari orang awam termasuk jiran atau keluarga terdekat mangsa banjir.

    Sementara itu, Baharudin memaklumkan bahawa sejumlah 4,276 mangsa banjir direkodkan di daerah ini dan 4,080 dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala selebihnya memilih lokasi sendiri seperti berpindah ke rumah saudara atau keluarga terdekat.

    Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata pihaknya ada menerima 10 laporan mengenai jenayah pecah kedai di Taman Sri Muda.

    “Antara yang dipecah masuk adalah kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran,” katanya.

  • Peguam Long Tiger umum tarik diri

    Peguam Long Tiger umum tarik diri

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    FIRMA guaman Shaharudinali Azfarazmi & Co yang mewakili Long Tiger sebagai peguam bela lelaki berketurunan Rohingya itu mengumumkan penarikan diri berikutan berhadapan masalah untuk mendapat arahan daripada anak guam mereka yang kini hilang selepas melarikan diri.

    Datuk Shaharudin Ali berkata, mereka adalah peguam bela kepada suspek yang nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dalam beberapa kes jenayah dan sivil yang sedang berlangsung.

    “Seperti yang diketahui umum, Abdul Hamim atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ telah melarikan diri daripada lokap Mahkamah Tangkak pada 15 Disember lalu dan berita ini telah tersebar luas.

    “Kami dengan berat hati terpaksa menarik diri sebagai peguam belanya di dalam kes-kes yang berkenaan kerana kami mengalami masalah untuk mendapatkan arahan-arahan seterusnya daripadanya bagi maksud perjalanan kes-kes yang membabitkan beliau.

    “Sebagai peguam bela, kami juga merasai Abdul Hamim telah melarikan diri semasa perjalanan prosiding kes-kes beliau yang mencerminkan bahawa beliau tiada keyakinan dengan khidmat guaman oleh pihak kami dan tiada keyakinan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, sejak anak guamnya dilaporkan meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, dekat sini pada Rabu minggu lepas, Abdul Hamim masih belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa sehingga hari ini.

    Tambah Shaharudin, lelaki yang menjadi buruan semua kontinjen polis itu berkemungkinan mempunyai sebab tertentu untuk melarikan diri.

    “Abdul Hamim mungkin mempunyai sebab tertentu mengapa dia mengambil tindakan sedemikian dan dia juga tetap tidak bersalah kecuali selepas disabitkan oleh mahkamah,” katanya.

    Sebelum ini, Shaharudin mendakwa terdapat cubaan mencederakan dan membunuh anak guamnya ketika ditahan di dalam penjara dan pihaknya telah melakukan satu laporan polis berhubung perkara itu.

    Akhbar pada 15 Disember lalu melaporkan suspek berjaya meloloskan diri dari lokap mahkamah melalui pintu utama ketika dia dibawa dari Penjara Sungai Udang, Melaka bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun yang disyaki rakan subahat Long Tiger.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di Balai Polis Bukit Gambir kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin dan kini direman selama empat hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

    “Kita masih lagi melancarkan operasi untuk mengesan Long Tiger ini dan kita percaya dia masih berada di kawasan sekitar Bukit Gambir dan sebagainya. Saya menyeru kepada masyarakat agar jangan sesekali melindungi Long Tiger ini kerana dia diburu oleh pihak polis,” kata Ayob Khan.

  • Pasukan Cantas PDRM digerakkan untuk cegah kecurian kereta di kawasan banjir- Hamzah

    Pasukan Cantas PDRM digerakkan untuk cegah kecurian kereta di kawasan banjir- Hamzah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah proaktif untuk mencegah kecurian kereta daripada berlaku di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

    Bagi mencapai maksud tersebut PDRM telah menubuhkan satu pasukan khas yang dinamakan sebagai Pasukan Cantas.

    Antara lain pasukan berkenaan akan memantau aktiviti yang mencurigakan dan menangkap individu atau kumpulan yang disyaki mencuri kenderaan mangsa-mangsa banjir yang tersadai.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pasukan itu dibentuk serta-merta bagi menangani masalah kecurian kenderaan rosak di lapan negeri yang terjejas teruk akibat banjir luar biasa yang melanda negara pada 18 Disember lalu.

    “Saya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani tentang insiden kecurian kereta mangsa banjir oleh pihak tertentu dengan menggunakan trak penunda.

    “Hasilnya kita membentuk dan menggerakkan Pasukan Cantas terdiri daripada pegawai dan anggota polis di lapangan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di seluruh negara,” katanya dalam sidang media di KDN di Putrajaya.

    Beliau berkata, demikian selepas majlis penyerahan Watikah Pelantikan Datuk Razarudin Husain@Abd Rashid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu di Dewan Gemilang.

    Hamzah menambah, Pasukan Cantas itu akan turun ke lapangan setiap masa dan memantau sebarang jenayah kecurian kenderaan tersadai milik mangsa banjir.

    “Selepas Pasukan Cantas dapat mengesan pencuri kenderaan tersadai di kawasan terjejas banjir, mereka akan mencekup pencuri segera dan akan diheret ke muka pengadilan dengan tindakan sangat tegas.

    “Pasukan Cantas ini akan ditempatkan di semua tempat terutama sekali tempat-tempat yang ada kereta-kereta mangsa banjir,” ujarnya.

    Hamzah juga meminta orang ramai membuat laporan dan polis akan menyiasat segera.

    Kepada individu-individu yang melakukan perbuatan itu beliau menasihatkan agar jangan mengambil kesempatan ketika orang lain alam keadaan sengsara musibah.

    “Jangan ditambah kesengsaraan mereka. Kita akan menyiasat dengan pantas jika berlaku termasuk kes-kes pecah masuk kedai serbaneka agar ia tidak berulang lagi,” tegasnya.

  • Lelaki miliki senjata tiruan, peluru dan buku ideologi komunis dihadapkan ke mahkamah

    Lelaki miliki senjata tiruan, peluru dan buku ideologi komunis dihadapkan ke mahkamah

    SEORANG lelaki dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Ipoh hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api tiruan, peluru, gari, baju kalis peluru, buku lima dan buku-buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi Komunis.

    Tertuduh Leong Yew Chen, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid dan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

    Di Mahkamah Sesyen, Leong mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki peluru hidup tanpa  lesen serta membawa dan memiliki senjata.

    Tertuduh didakwa memiliki dua butir peluru hidup tanpa lesen senjata atau permit senjata yang sah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

    Dia juga didakwa membawa dan memiliki dua buku lima yang disenaraikan sebagai senjata yang dijadualkan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Manakala, di Mahkamah Majistret, Leong didakwa memiliki lapan laras senapang tiruan dan empat pucuk pistol tiruan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan  hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut didakwa memiliki sepasang gari dan tiga baju kalis peluru tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dalam mahkamah sama, Leong turut didakwa memiliki 14 buku-buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi Komunis di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(1) akta yang sama dan  jika sabit kesalahan, didenda tidak melebihi RM5,000.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di  No 24, Jalan Margosa, Pasir Puteh, Ipoh pada 1.45 tengah hari, 10 Dis lepas.  

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab, Nor Syahirah Azahar dan Sufi Aiman Azmi manakala peguam Amrick Singh Sandu mewakili tertuduh.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kes melibatkan Akta Senjata Api dan menetapkan 21 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan pskiatri selepas pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta berikutan Leong mempunyai sejarah penyakit mental. – Bernama

  • Empat penjawat awam antara lapan diberkas samun RM1.13 juta

    Empat penjawat awam antara lapan diberkas samun RM1.13 juta

    POLIS memberkas lapan individu termasuk empat penjawat awam kerana terbabit kes samun berkawan menggunakan senjata api serta melarikan wang tunai RM1.13 juta di parkir kereta Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu.

    kesemua suspek berusia 20 hingga 43 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur pada 15 hingga 17 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 7.48 malam daripada mangsa bersama-sama rakannya yang mendakwa kejadian samun itu berlaku ketika mereka menjalankan transaksi penjualan jam tangan berjenama milik majikan mangsa.

    “Ketika sedang mengira wang yang diterima daripada pembeli jam tangan, dua lelaki yang memakai ‘vest’ berlambang dan bertulis polis menaiki sebuah kereta dan dua lelaki menaiki motosikal telah menahan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, seorang suspek telah mengeluarkan sepucuk pistol dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

    Katanya, kereta mangsa telah digeledah dan wang tunai berjumlah RM1.13 juta telah dirampas.

    “Suspek kemudian mengarahkan mangsa ke Balai Polis Sungai Besi untuk tindakan lanjut.

    “Mangsa telah mengekori suspek, namun kenderaan yang dinaiki suspek telah menghilangkan diri,” katanya.

    Muhammad Idzam berkata, pihaknya merampas dua motosikal jenis Honda RS150 dan Yamaha 15ZR, dua kereta jenis Perodua Myvi dan Honda Civic, wang tunai RM716,800 serta beberapa barangan yang dibeli suspek dengan menggunakan hasil samun itu yang dianggarkan bernilai RM223,460.

    “Seorang suspek turut menggunakan wang yang disamun itu untuk melangsaikan baki hutang keretanya yang bernilai RM90,970,” katanya.

    Muhammad Idzam berkata, empat suspek telah diberi jaminan polis, manakala empat lagi suspek masih direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 10 sungai utama di Pahang di paras air bahaya

    10 sungai utama di Pahang di paras air bahaya

    SEBANYAK 10 sungai utama di Pahang terutama di daerah Kuantan, Maran, Bera dan Temerloh masih merekodkan paras air bahaya setakat jam 12 tengah hari tadi.

    Berdasarkan kemaskini terkini portal Public Info Banjir setakat jam 12 tengah hari, Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut merekodkan bacaan 47.58 meter, melepasi paras bahaya 45 meter.

    Memetik laporan BH, Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh pula merekodkan bacaan 42.8 meter melepasi paras bahaya 40 meter.

    Selain itu, Sungai Pahang di Temerloh (Lubuk Pasu); Sungai Pahang di Water Front dan Sungai Bera di Jam, Bera; Sungai Jengka di Jam Kampung Awah, Sungai Kundang, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan serta Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan.

    Sementara lima sungai merekodkan paras amaran membabitkan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan; Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan; Sungai Serting di Jam Padang Gudang, Bera; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi,Bentong serta Sungai Pahang di Sungai Yap di Jerantut.

    Sembilan sungai pula, termasuk Sungai Tanum di Jam Chegar Perah, Lipis; Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Jengka di Kampung Jengka Batu 13, Maran dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan merekodkan paras waspada.

    Media hari ini melaporkan, meskipun cuaca baik dua hari berturut-turut, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat mencecah 42,529 penduduk setakat jam 8 pagi tadi yang dipindahkan ke 281 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah kecuali Rompin dan Cameron Highlands.

    Jumlah mangsa di daerah Kuantan, Temerloh dan Bera meningkat mendadak dengan mangsa paling ramai di Kuantan membabitkan 21,837 penduduk daripada 5,866 keluarga yang kini ditempatkan di 68 PPS.

    Di Temerloh, sebanyak 76 PPS dibuka menempatkan 10,204 keluarga manakala di Bera pula, 18 PPS dibuka menempatkan 1,868 mangsa daripada 530 keluarga.

    Lipis pula merekodkan 1,628 mangsa daripada 570 keluarga di 29 PPS, Jerantut dengan 1,851 mangsa daripada 510 keluarga di 29 PPS dan Raub dengan 1,315 mangsa daripada 345 keluarga di 20 PPS.

    Di Pekan, 379 keluarga dipindahkan membabitkan 1,277 mangsa yang ditempatkan di 20 PPS, manakala di Bentong, seramai 1,755 orang daripada 435 keluarga dipindahkan ke tiga PPS dan di Maran pula, 14 PPS dibuka menempatkan 499 mangsa.