Category: Semasa

  • 1,256 sukarelawan KEMAS terlibat misi bantuan pasca banjir

    1,256 sukarelawan KEMAS terlibat misi bantuan pasca banjir

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke negeri-negeri terjejas membabitkan 1,256 sukarelawan kakitangannya.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, misi bantuan di bawah program KEMAS Prihatin itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini.

    “Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja-kerja pembersihan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS yang terjejas dilanda bencana banjir, tetapi juga rumah-rumah penduduk yang berhampiran.

    “Kita berharap dengan bantuan yang digerakkan ini akan membolehkan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS dapat bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula.” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Ringkas Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir KEMAS Prihatin di Institut Kemajuan Desa, INFRA, di Bangi hari ini.

    Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

    Mahdzir Khalid bersama sukarelawan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan pasca banjir.

    Menurut Mahdzir, sejumlah 207 premis Tabika, Taska dan Pusat Kegiatan KEMAS diseluruh negara dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir kali ini.

    Paling teruk terjejas, premis Tabika KEMAS di Selangor dengan jumlah 111 buah dan di Pahang 58 buah.

    Manakala sejumlah 357 kakitangan KEMAS sendiri turut menjadi mangsa bencana banjir di seluruh negara.

    Tambah Mahdzir, sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan itu pula, dikumpul dari seluruh negara.

    Antara kawasan tumpuan misi bantuan pasca banjir itu termasuk ke Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang dan Pahang.

    “Saya mengucapkan tahniah atas kesediaan semua sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan ini dan ini juga merupakan satu ibadah kepada kita dalam membantu melapangkan kesusahan orang lain,” kata Mahdzir.

  • Zahid tidak sihat, bicara kes rasuah tangguh 3 Feb 2022

    Zahid tidak sihat, bicara kes rasuah tangguh 3 Feb 2022

    PERBICARAAN kes rasuah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang ditetapkan hari ini dan esok telah dilapangkan susulan bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan tidak sihat.

    Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu yang dijalankan dalam kamar, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan esok kerana tertuduh tidak sihat.

    “Peguam meminta untuk menangguh perbicaraan sebab tertuduh dikatakan tidak sihat walaupun ada di perkarangan mahkamah, oleh kerana atas sebab kesihatan, hakim membenarkan penangguhan. Hari ini dan esok dilapangkan,” katanya sambil menambah kes itu ditetapkan untuk sambung bicara pada 3 Feb 2022.

    Prosiding hari ini turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

    Setakat ini, lima saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan pada perbicaraan tersebut sementara bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim, 62, masih di peringkat pemeriksaan balas.

    Mahkamah juga telah menetapkan 18 hari untuk sambung bicara kes tersebut iaitu pada 3 Feb, 7 dan 8 Mac, 1 April, 10-13 Mei, 17-20 Mei, 30 dan 31 Mei serta 13-16 Jun.

    Mahkamah juga menetapkan 25-29 Julai untuk hujahan lisan dan bertulis serta 24 Ogos untuk keputusan.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau. – BERNAMA

  • 68,341 mangsa banjir di tujuh negeri-KPN

    68,341 mangsa banjir di tujuh negeri-KPN

    SERAMAI 68,341 mangsa banjir ditempatkan di 396 pusat pemindahan di tujuh buah negeri sejak bencana alam itu melanda sehingga kini.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, seramai 18,080 keluarga membabitkan Perak, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Pahang.

    “Pahang merupakan negeri yang paling terkesan. Semalam sahaja, dilaporkan lima kematian iaitu empat dewasa dan seorang kanak-kanak. Dua mangsa lagi hilang.

    “Bencana banjir mengakibatkan 37 kematian dan 10 dilaporkan masih hilang di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam, hari ini.

    Acryl Sani memaklumkan sebanyak 137 lokasi jalan raya masih ditutup melibatkan empat buah negeri iaitu Pahang dengan 120 lokasi diikuti Selangor (12), Kelantan (3) Negeri Sembilan (2).

  • Pahang umum Bantuan Khas Bencana Banjir RM500

    Pahang umum Bantuan Khas Bencana Banjir RM500

    KERAJAAN Pahang hari ini mengumumkan Bantuan Khas Bencana Banjir sebanyak RM500 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas dengan bencana banjir di negeri itu.

    Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan itu adalah sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap mangsa yang terjejas.

    Katanya, bantuan berkenaan meliputi kategori penerima iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan mangsa yang tidak berpindah ke PPS sebaliknya menumpang di rumah saudara mara serta mangsa yang tinggal di rumah sewa dan mangsa yang tidak berpindah ke mana-mana.

    “Selain tanda prihatin, kerajaan negeri membuat sumbangan ini berdasarkan kemampuan dan keupayaan kewangannya. Sumbangan RM500 ini demi meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung, Insya-Allah,” katanya.

    Banjir di Pahang bermula Jumaat lepas dan situasi semasa banjir pagi ini, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyaksikan seramai 37,356 mangsa masih ditempatkan di 264 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah terjejas banjir.

    Daerah yang terjejas adalah Kuantan, Temerloh, Bentong, Maran, Lipis, Raub, Jerantut, Bera dan Pekan. – BERNAMA

  • Banjir: Mangsa di PPS Pahang, Selangor meningkat, negeri lain menurun

    Banjir: Mangsa di PPS Pahang, Selangor meningkat, negeri lain menurun

    MANGSA banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang dan Selangor meningkat malam tadi, manakala Kuala Lumpur dan empat negeri lain menunjukkan penurunan. 

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 38,086 orang di 270 PPS di sembilan daerah setakat 8 malam ini, berbanding 36,841 orang di 267 PPS  petang semalam.

    Setakat ini, daerah Kuantan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi diikuti Temerloh, Bentong, Bera, Jerantut, Pekan, Lipis, Maran dan Raub.

    Bagi negeri SELANGOR, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 8.13 malam,  sebanyak 22,015 mangsa banjir daripada 5,773 keluarga ditempatkan di 109 PPS, menunjukkan peningkatan, berbanding 21,385 mangsa banjir daripada 5,510 keluarga petang tadi.

    Dalam pada itu, paras Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat kini berada di paras bahaya dengan ketinggian 4.6 meter setelah melebihi aras ditetapkan iaitu 4.2 meter setakat 7.45 malam tadi.

    Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 327 individu daripada 88 keluarga di lima PPS bagi daerah Seremban dan Jelebu setakat 8 malam tadi.

    Di PERAK, jumlah mangsa banjir malam ini sedikit berkurangan iaitu sebanyak 252 orang daripada 70 keluarga berbanding 257 orang daripada 72 keluarga petang semalam yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata 109 mangsa masih berada di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 143 lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN juga menunjukkan penurunan setakat 9 malam tadi, apabila 1,559 orang daripada 532 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pasir Mas, berbanding 1,782 orang daripada 603 keluarga, petang semalam.

    Portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan hanya dua sungai utama berada pada paras bahaya melibatkan jajahan Pasir Mas iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 9.18 meter (m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang (9.14 m). 

    Sementara itu di KUALA LUMPUR, sebanyak 312 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala mangsa banjir di MELAKA kekal 150 orang daripada 37 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin, setakat 8 malam tadi.- Bernama

  • Kantoi tukar mangga tabung masjid untuk curi duit

    Kantoi tukar mangga tabung masjid untuk curi duit

    HELAH seorang lelaki yang menukar mangga tabung masjid terbongkar apabila dia ditangkap ketika membuka tabung masjid menggunakan kuncinya sendiri, di Masjid Kubang Bemban, di Pasir Mas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata suspek, 29, telah beberapa kali mencuri duit dalam tabung masjid tersebut dan modus operandinya adalah dengan cara menukarkan mangga tabung masjid.

    Mohd Nasaruddin berkata, berdasarkan laporan diterima, ahli jawatankuasa (AJK) masjid telah menunggu kedatangan suspek yang sebelum ini dilihat mencuri wang tabung melalui kamera litar tertutup (CCTV) beberapa hari lalu.

    Katanya, dalam kejadian itu, suspek datang ke masjid pada 2.30 petang menggunakan basikal elektrik melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan terus memasuki masjid dan membuka mangga tabung masjid menggunakan kuncinya.

    “Semasa kejadian petang semalam, seorang pekerja membaiki lantai masjid telah menyedari kejadian itu dan telah menelefon anggota RELA yang juga ahli jawatankuasa masjid tersebut sebelum bersama-sama menahan suspek di ruang solat wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata ketika disoal siasat suspek mengaku telah mencuri duit tabung masjid sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 511 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

  • Tekong darat, transporter ditahan bawa PATI

    Tekong darat, transporter ditahan bawa PATI

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Taktik digunakan tiga warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat serta ‘transporter’ bagi membawa 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada waktu subuh, gagal mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengakibatkan kesemua mereka ditahan, pagi semalam.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota cawangan khas (E6), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira pukul 6.30 pagi setelah mereka terlebih dulu mengesan dua kenderaan dinaiki tiga lelaki tempatan tersebut di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu.

    Katanya, kenderaan jenis Perodua Alza dan Perodua Aruz yang dinaiki tekong darat dan transporter itu kemudiannya berhenti di kawasan berhampiran tangki air kawasan tersebut.

    “Selepas itu, kesemua PATI warganegara Myanmar tersebut terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita keluar dari tempat persembunyian mereka di kawasan semak sebelum menaik kedua-dua kenderaan itu.

    “Pihak polis lalu mengekori kedua-dua kenderaan tersebut sebelum menahan mereka di kawasan Napoh,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, malam tadi.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini.

    “Siasatan awal mendapati PATI itu baru memasuki Malaysia melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand. Mereka dipercayai membayar sebanyak RM4,000 kepada seorang lelaki warganegara Myanmar yang berada di Thailand untuk masuk ke negara ini.

    “Bagi transporter warga tempatan itu pula, mereka dipercayai menerima bayaran sebanyak RM800 bagi setiap kereta untuk membawa PATI tersebut bekerja di Sungai Lembu dekat Kulim,” katanya.

    Kamarul Zaman berkata, tangkapan PATI bersama tekong darat dan transporter itu merupakan kejayaan E6 dalam membendung kemasukan semula PATI ke Malaysia selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah pemerdagangan manusia ini boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis bagi memastikan aktiviti ini dapat ditumpaskan sepenuhnya,” katanya.

  • Najib tidak balas SMS berkenaan US$700 juta yang dilencongkan ke syarikat lain – Saksi

    Najib tidak balas SMS berkenaan US$700 juta yang dilencongkan ke syarikat lain – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membalas satu khidmat pesanan ringkas  (SMS) yang memberitahu beliau mengenai US$700 juta yang pada asalnya untuk satu usaha sama antara 1 Malaysia Development Bhd dan Petrosaudi International (PSI), telah dilencongkan ke satu syarikat lain. 

    Bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh, 67, berkata beliau telah menghantar kepada Najib satu SMS menerusi telefon pintar BlackBerry selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 Sept 2009 untuk memaklumkan lencongan dana US$700 juta ke Good Star Ltd, syarikat yang didakwa firma gabungan PSI tetapi tidak mendapat balasan daripada bekas perdana menteri itu.  

    “Ini bukannya satu respons normal atau reaksi daripada Datuk Seri Najib. Pada masa lalu, apapun yang saya hantar kepada beliau, akan dibalas,” kata Mohd Bakke dalam pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB  Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

    Good Star Ltd kemudian didapati merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Mohd Bakke berkata lembaga pengarah naik berang apabila isu lencongan dana itu dibangkitkan semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 Sept 2009 kerana ia tidak mengikut arahan diberikan oleh lembaga pengarah.  

    “Pada masa itu, kami tidak tahu ia adalah Good Star. Ini bukan arahan diberikan kepada pengurusan 1MDB dan kami (lembaga pengarah) mempertikaikan bagaimana lencongan itu berlaku. 

    Shahrol (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB  Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) berkata pengurusan telah dinasihatkan oleh peguam luar untuk melakukan ini (lencongan) untuk tujuan komersial,” katanya.

    Saksi ke-13 pendakwaan itu berkata berikutan langkah diambil pengurusan 1MDB itu, beliau mengambil keputusan berundur daripada syarikat pelaburan strategik itu dan meletak jawatan pada 19 Okt 2009.  

    “Apabila saya mendapati pengurusan tidak mematuhi arahan lembaga pengarah, saya mengesyaki sesuatu kerana pengurusan 1MDB melakukan sesuatu yang tidak selari dengan tadbir urus yang baik.

    Terus saya melihat pengurusan dengan kesangsian. Saya tidak gembira, saya marah. Saya beritahu rakan lembaga pengarah bahawa kami semua patut meletak jawatan. Kami (lembaga pengarah) malah memberitahu pengurusan supaya mendapatkan balik US$700 juta itu dan mengambilnya menerusi proses yang sepatutnya,” kata beliau.

    Ditanya Sri Ram, Mohd Bakke mengesahkan beliau ditemu bual oleh Ketua Audit Negara pada Jun 2015 dan beliau menjelaskan kronologi sejak beliau dilantik selaku seorang pengarah dalam Terengganu Investment Authority (TIA yang kemudiannya menjadi 1MDB) dan pelantikan semula beliau sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB.  

    “Saya juga memberikan Jabatan Audit Negara salinan set minit mesyuarat saya untuk dua mesyuarat 1MDB yang saya hadir pada 26 Sept dan 3 Okt 2009,” kata beliau.  

    Mohd Bakke juga mengesahkan minit mesyuarat yang diserahkan kepada Jabatan Audit menunjukkan Jho Low hadir semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 26 Sept.

    Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 7 Mac tahun depan.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • Ikan paus betina ditemukan terdampar di Pantai Merchang, Marang

    Ikan paus betina ditemukan terdampar di Pantai Merchang, Marang

    SEEKOR ikan paus betina dewasa dianggarkan seberat 400 kilogram yang mengalami kecederaan kecil pada bahagian badan, ditemukan terdampar di hadapan sebuah tempat peranginan di  Pantai Merchang dekat Gong Balai, di sini pagi tadi.

    Ketua Cawangan Mamalia Marin, Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Muhammad Amirul Siddiq Abd Rashid berkata mamalia jenis ‘Pygmy Sperm Whale’ berukuran tiga meter itu dijumpai pada pukul 9 pagi oleh orang awam yang berada di tempat peranginan berkenaan.

    “Pasukan FRI Rantau Abang menerima aduan pada 12 tengah hari tadi dan bergegas ke lokasi. FRI Rantau Abang melakukan proses menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

    “Bagaimanapun usaha menyelamat tidak berjaya kerana ikan paus tersebut terlalu lemah. Usaha menyelamat dihentikan selepas mendapati haiwan itu telah mati. Karkas (bangkai) haiwan tersebut telah dibawa balik ke FRI Rantau Abang dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya akan dilakukan esok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Muhammad Amirul Siddiq menambah ‘Pygmy Sperm Whale’ merupakan antara paus yang terkecil di dunia dengan paus dewasa daripada spesies ini berukuran maksimum 3.5 meter.

    “Ikan paus yang dijumpai hari ini berukuran tiga meter jadi ia adalah paus ‘Pygmy Sperm Whale’ dewasa kerana anak ikan paus spesies ini hanya berukuran 2.1 meter ke bawah,” katanya.

    Sementara itu pemilik tempat peranginan itu, Abd Latif Jamaludin berkata beliau menerima makluman daripada kakitangannya mengenai penemuan haiwan berkenaan pada 10 pagi dan bergegas ke lokasi tersebut untuk memastikan kesahihannya.

    “Ketika saya tiba, ikan paus itu masih hidup kerana matanya berkelip, namun keadaan fizikalnya sangat lemah. Kami menghubungi FRI Rantau Abang dan mereka bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan ikan paus tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Abd Latif berkata beliau dan beberapa kakitangan, pengunjung serta orang kampung cuba menolak haiwan itu untuk kembali ke arah laut namun ia terlalu lemah untuk berenang jauh dan kembali terdampar di pantai.

    “Ketika kakitangan Jabatan Perikanan tiba, cubaan untuk menolak haiwan marin itu kembali dilakukan namun masih gagal. Kami seterusnya membantu kakitangan Jabatan Perikanan menggunakan pengusung untuk mengangkat ikan paus itu menaiki kenderaan FRI Rantau Abang,” katanya.

    Beliau berkata penemuan itu adalah kali kedua kerana pada 2017, pernah menemukan bangkai paus di lokasi sama.

    — BERNAMA

  • Moratorium 6 bulan antara 4 inisiatif ringankan beban mangsa banjir – PM

    Moratorium 6 bulan antara 4 inisiatif ringankan beban mangsa banjir – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumuman empat inisiatif yang akan dilaksanakan agensi kerajaan dan sektor perbankan bagi meringankan beban rakyat dan peniaga perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan banjir.

    Ismail Sabri menerusi kenyataan hari ini berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan  pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 dan bagi tujuan itu BSN memperuntukkan RM100 juta untuk ringankan beban mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana itu.

    Perdana menteri berkata, moratorium (rehat bayaran) enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan pembiayaan itu dan inisiatif berkenaan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

    Menurut Ismail Sabri Tekun Nasional juga mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terkesan.

    Katanya bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

     Menurut Ismail Sabri, Bank Negara Malaysia (BNM) juga sedang berusaha menambah peruntukan ke atas Kemudahan Bantuan Bencana 2022 atau Disaster Relief Facility (DRF) 2022 daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.

    Inisiatif lain kata Perdana Menteri ialah bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

    “Antara kemudahan termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran,” kata Ismail Sabri.

    Beliau berkata kesemua inisiatif berkenaan adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang diumumkan sebelum ini termasuk bantuan wang ihsan berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah bagi membantu meringkan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir.

    “Saya amat bersimpati dengan kesengsaraan dan kepayahan yang terpaksa ditanggung oleh Keluarga Malaysia akibat terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini,” kata perdana menteri.

    Beliau berkata mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta-benda. – BERNAMA