Category: Semasa

  • Terdesak curi semasa banjir tetap berdosa – Mufti Kedah

    Terdesak curi semasa banjir tetap berdosa – Mufti Kedah

    MENCURI dalam keadaan yang sangat terdesak semasa menghadapi musibah banjir tetap tidak dibolehkan dan berdosa kecuali apabila sudah dihalalkan pemiliknya, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

    Katanya, walaupun perbuatan itu dilakukan dalam keadaan darurat demi kelangsungan hidup, atau dilakukan dengan niat baik untuk membantu orang lain dalam kesusahan, perbuatan itu tetap salah di sisi agama dan undang-undang negara.

    Beliau berkata demikian bagi merujuk kejadian mangsa banjir di Lembah Klang baru-baru ini dikatakan mencuri barang dari pasar raya demi kelangsungan hidup, dan ada juga yang mengambil makanan dari pasar raya untuk diberikan kepada mangsa banjir yang lain.

    “Walaupun berniat baik, caranya tidak betul. Matlamat tidak menghalalkan cara, meskipun matlamatnya adalah baik mahu bantu mangsa banjir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan oleh Syarikat Korporat di Alor Setar, hari ini.

    Sebanyak 16 syarikat menjelaskan zakat perniagaan masing-masing yang keseluruhan berjumlah RM8,112,895.82 dan diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Datuk Syeikh Zakaria Othman. – BERNAMA

  • KPM cadang fasiliti penting di sekolah ditempatkan di tingkat atas – Dr. Radzi

    KPM cadang fasiliti penting di sekolah ditempatkan di tingkat atas – Dr. Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang menempatkan bilik-bilik utama di sekolah di aras yang lebih tinggi dalam usaha mengurangkan kerosakan harta benda sekiranya berlaku bencana banjir.

    Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, ini termasuk pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik komputer dan bilik buku teks.

    Katanya, perkara itu diambil kira ekoran kejadian banjir di luar jangkaan yang berlaku baru-baru ini sehingga menyebabkan banyak kerosakan kepada kemudahan utama sekolah.

    Mohd Radzi berkata demikian dalam satu hantaran menerusi akaun Facebook rasminya yang mengemas kini aktiviti hariannya turun padang ke SMK Bentong, Pahang untuk bersama-sama bergotong royong membersihkan sekolah berkenaan yang terjejas akibat banjir, hari ini.

    “Saya dimaklumkan ini kali pertama SMK Bentong ditenggelami banjir di mana paras air hampir mencecah tingkat dua.

    “Fasiliti sekolah terjejas teruk. Keseluruhan perabot dan kelengkapan sekolah bagi bilik-bilik yang terletak di tingkat bawah mengalami kerosakan teruk, termasuk bilik guru dan bilik komputer,” katanya.

    KPM katanya, akan memastikan penyelanggaraan ifrastruktur serta penggantian perabot dan kelengkapan dapat dilaksanakan segera.

    Dalam pada itu, Mohd Radzi berterima kasih atas kerjasama pihak guru, kakitangan sekolah, sukarelawan Guru Pewaris Negara dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut serta dalam aktiviti gotong royong itu.

  • ATM nafi video tular bantuan banjir daripada United Nations

    ATM nafi video tular bantuan banjir daripada United Nations

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menafikan keterlibatan ‘United Nations’ (UN) membawa masuk bantuan banjir kepada Malaysia.

    Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perkara itu tersebar menerusi video yang tular memaparkan pergerakan beberapa trak tiga tan berwarna putih serta berlogo UN atas keterlibatan pertubuhan antarabangsa itu.

    Jelasnya, video berdurasi satu minit yang tular pada 7 Disember dan Sabtu lalu tiada kaitan dengan banjir di negara ini.

    “Paparan video tersebut merupakan proses ‘Final Acceptance Test’ (FAT) yang dilaksanakan oleh ATM sebelum kenderaan itu diaturgerakkan ke Lubnan untuk kegunaan kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL),” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Affendi berkata, masyarakat diminta tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti serta berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

    “Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh di dakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

  • Buat laporan polis palsu, juruwang dipenjara, didenda

    Buat laporan polis palsu, juruwang dipenjara, didenda

    SEORANG juruwang wanita yang membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalannya kerana bimbang didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara, hari ini dihukum penjara tiga hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang.

    Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Norhidayah Mohamad Amin, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada Jamarul Azuan Abdullah sehingga menyebabkan pegawai polis itu menyiasat kejadian seperti yang dilaporkan.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan akan dipenjara tiga hari lagi jika gagal membayar denda. Siti Norhidayah membayar denda itu.

    Tertuduh, yang bekerja di sebuah pasar raya, didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Gombak pada 1.44 pagi 12 Dis lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hasni memohon hukuman setimpal kerana perbuatan Siti Norhidayah menyusahkan banyak pihak terutama pegawai yang menyiasat laporan polis palsu itu manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan laporan tersebut dibuat kerana bimbang didenda oleh JPN.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah membuat laporan polis kononnya dia telah disamun oleh dua lelaki bermotosikal sedangkan kejadian itu tidak wujud.

    Siasatan mendapati dompet Siti Norhidayah yang mengandungi kad pengenalannya telah tercicir dan dia mengakui membuat laporan polis palsu bagi mengelak daripada didenda oleh JPN ketika membuat kad pengenalan baharu. – Bernama

  • Omicron: Seorang petugas Putra Specialist Hospital positif

    Omicron: Seorang petugas Putra Specialist Hospital positif

    PUTRA Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd (PSHMSB) hari ini mengesahkan bahawa seorang petugasnya disahkan positif COVID-19 bagi varian Omicron dan beliau kini diletakkan di bawah perintah kuarantin selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

    SHMSB dalam kenyataan hari ini berkata, petugas berkenaan sebelum ini telah mengerjakan umrah, dan diuji positif semasa di lapangan terbang.

    “Keputusan ujian genom mengesahkan bahawa ia adalah varian Omicron, yang dijangkiti pada 25 Disember. Petugas itu tidak melapor diri untuk bekerja sejak kembali dari umrah dan tiada kontak dengan pesakit atau petugas PSHMSB,” menurut kenyataan itu.

    Menurutnya, PSHMSB telah mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu, demi keselamatan pesakit, pelawat, doktor dan petugas, yang amat penting bagi mereka.

    “PSHMSB akan terus bekerjasama dengan KKM bagi langkah selanjutnya yang mungkin diperlukan. Bagi operasi di hospital pula, ia kekal seperti biasa, dan pesakit akan terus dengan pelan penjagaan sedia ada di hospital dengan mematuhi semua langkah-langkah keselamatan,” menurutnya. – Bernama

  • Sedia jadikan stesen pengangkutan awam sebagai PPS-Ka Siong

    Sedia jadikan stesen pengangkutan awam sebagai PPS-Ka Siong

    KEMENTERIAN Pengangkutan sedia menjadikan stesen pengangkutan awam sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) kepada mangsa banjir.

    Menterinya, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua agensi di kementerian supaya memantau dan memaklumkan situasi semasa dengan segera.

    Jelas beliau, pihaknya sudah membuat persediaan kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua.

    “Kita perlu sentiasa bersiap-siaga untuk memberikan perlindungan dan sebarang bantuan pada masa diperlukan.

    “(sebagai contoh) Apabila dalam keadaan terdesak, kalau rakyat tiada tempat nak pergi, terpaksa lari ke stesen (perkhidmatan pengangkutan awam), jadi itulah tempat mangsa banjir berteduh.

    “Itulah tempat yang kita sudi menerima mereka. Kita akan membuat atau mengatur untuk menjadikan stesen pengangkutan awam sebagai PPS, ini antara contohnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan pengenalan pas perjalanan My50, di Stesen LRT Gombak, Gombak, hari ini.

    Ka Siong sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak pagi tadi supaya bersiap-siaga.

    “Kita sedar gelombang kedua banjir mungkin berlaku pada bila-bila masa.

    “Jadi kita kena buat persediaan awal termasuk agensi seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut.

    “Mangsa banjir juga tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat penggantian dokumen yang rosak. Saya tak bagi mereka satu ‘deadline’ (tempoh akhir) untuk buat (penggantian dokumen).

    “Kemaskan rumah dahulu kemudian barulah uruskan penggantian dokumen seperti lesen memandu atau lesen kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata, lazimnya apabila banjir orang akan mencari tempat paling tinggi.

    Katanya, struktur bangunan stesen LRT biasanya dibina tinggi dan mangsa akan cari tempat itu yang tidak ditenggelami air banjir.

    “Jadi secara praktikal mereka akan ke sana. Pada mulanya mereka berada di luar premis, apabila pihak Ketua Operasi Stesen mendapati ada mangsa banjir minta tolong, kita bantu hinggakan bilik gerakan kita iaitu bilik digunakan secara khusus dalam stesen LRT juga kita buka untuk menempatkan mangsa banjir.

    “Itu yang kita lakukan kepada 54 mangsa banjir pada 18 Disember dan 19 Disember lalu di Stesen LRT Putra Height,” katanya.

    Apabila keadaan sudah tenang katanya, mangsa banjir boleh kembali ke tempat masing-masing.

    “Sepanjang waktu mangsa banjir berada di tempat kita, kita sediakan makanan serta memberikan perkhidmatan sebaik mungkin termasuk menyediakan paramedik serta pertolongan cemas,” katanya.

    Sementara itu ditanya jumlah kerugian selepas banjir baru-baru ini yang turut membabitkan perkhidmatan pengangkutan awam, katanya, perkara itu masih belum ada perinciannya.

  • Bank Muamalat nafi tolak cek gereja sebab ‘tak halal’

    Bank Muamalat nafi tolak cek gereja sebab ‘tak halal’

    BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) tidak pernah mengkategorikan cek sebagai halal atau sebaliknya.

    Sebagai sebuah institusi perbankan, pihak bank menerima semua cek yang sah yang tertera butiran yang lengkap serta tepat.

    Pihak bank juga ingin menegaskan bahawa laporan insiden cek yang didakwa dikembalikan oleh cawangan Bank Muamalat Seremban atas alasan tidak halal adalah tidak tepat.

    Bank Muamalat telah menghubungi pelanggan kerana ada kesilapan teknikal di mana nama persatuan yang tertera pada cek berkenaan berbeza dengan nama yang didaftarkan.

    Berikutan itu, pelanggan diminta untuk membuat pembetulan.

    Sebarang pertanyaan yang dikemukakan oleh pihak bank hanya bertujuan memenuhi prosedur pematuhan perbankan sedia ada, serta bagi tujuan kepentingan para pelanggan bank.

    Dalam pada itu, dalam satu sidang media bersama pihak Bank Muamalat dan ADUN Lobak, Chew Seh Yong serta pelanggan terbabit, yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada pagi tadi, kesemua pihak telah mencapai kata sepakat bahawa tiada elemen halal atau sebaliknya berhubung pendepositan cek berkenaan, kecuali isu teknikal dan salah faham terpencil.

    Pihak terbabit juga bersetuju bahawa salah faham yang berlaku tiada kaitan dengan isu halal atau sebaliknya dan bersepakat bahawa kenyataan itu tidak tepat.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat sentiasa bersedia untuk memberi layanan sebaiknya kepada semua pihak yang berurusan dengan pihak bank, tanpa mengira agama dan bangsa.

    “Bank Muamalat komited untuk menyampaikan khidmat pelanggan yang bermutu dan telus untuk memastikan kepuasan semua pelanggan kami. Sebagai sebuah institusi perbankan Islam, operasi Bank Muamalat tertakluk kepada pematuhan prinsip Syariah, namun perkhidmatan perbankan kami diberi kepada semua pihak yang layak, tanpa mengira fahaman agama mahupun bangsa,” ujar Khairul.

    Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bank Muamalat sila layari www.muamalat.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500. – BERNAMA

  • Pemandu lori, ‘runner’ Puspakom maut dirempuh treler

    Pemandu lori, ‘runner’ Puspakom maut dirempuh treler

    SEORANG pemandu lori dan seorang ‘runner’ Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) maut selepas dirempuh sebuah treler di Kilometer 241.6 Lebuhraya Utara-Selatan, menghala utara di Rembau tengah malam tadi.

    Pemandu lori, Saifuddin Abdullah, 50, ‘runner’ tersebut, R. Morgana Krishnan, 49, yang berada di lorong kecemasan ketika itu maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

    Dalam kejadian pukul 12.30 malam itu, Saifuddin sedang memberhentikan lorinya di lorong kecemasan kerana kehabisan minyak, manakala Morgana datang membawa botol minyak.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan tiga jenis kenderaan iaitu sebuah lori, treler dan motosikal.

    “Siasatan awal mendapati pemandu lori (Saifuddin) sedang berhenti akibat kehabisan minyak di lorong kecemasan dan dibantu oleh Morgana yang datang menaiki motosikal membawa botol minyak.

    “Kemudian datang sebuah treler dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang merempuh kedua-dua mangsa yang berdiri di sebelah kanan lori berkenaan. Ia menyebabkan kedua-dua mangsa melambung dan jatuh di atas lorong kecemasan,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, seterusnya dibawa ke unit forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

    “Bagaimanapun pemandu treler berkenaan meninggalkan lokasi selepas kemalangan. Usaha untuk mengesan pemandunya sedang dijalankan.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelas beliau.

  • Tindakan spontan Ajak Shiro bantu mangsa banjir menyentuh hati

    Tindakan spontan Ajak Shiro bantu mangsa banjir menyentuh hati

    BENCANA banjir yang menimpa di beberapa kawasan Malaysia telah membuatkan ramai selebriti sanggup turun padang membantu dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas teruk.

    Namun, tindakan seorang pelawak dan pelakon terkenal, Mohd. Hanaffi Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak Shiro yang sempat membantu seorang lelaki dan anaknya meredah banjir telah menarik perhatian orang ramai.

    Menerusi video berdurasi 59 saat yang dikongsikan oleh @Arezizoul di Tiktok, dapat dilihat Ajak yang memberhentikan keretanya di tengah-tengah banjir selepas ternampak lelaki itu serta anaknya meredah banjir menaiki motosikal. 

    Difahamkan, kes itu berlaku di Bentong, Pahang dan ketika itu, paras air ketika itu mencecah  pinggang sekaligus menyukarkan nereka untuk meredah banjir.

    Ajak bertindak untuk membawa kedua-duanya menaiki kenderaan pacuan empat roda miliknya dan motosikal berkenaan  diletakkan di bahagian belakang kenderaan. 

    Sebelum ini, Ajak juga sempat menumpangkan mangsa yang sedang berjalan kaki meredah banjir termasuk seorang kanak-kanak dan ibu mengandung.

    Tindakan spontan Ajak itu telah mendapat reaksi positif orang ramai malah ada yang sebak melihat tindakan itu.

    “Ya Allah saya kalau tengok orang menolong terasa nak nangis,” kata Nadya Medina.

    “Terbaik brader Ajak Shiro semoga dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki buat bro sekeluarga dan sahabat-sahabat yang tolong,” kata Rfy285.

    “Alhamdulillah…Ajak ko pun terbaik sama-sama menyumbangkan bantuan,” kata Malek Tupai. 

  • Pemandu lori dituduh memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian

    Pemandu lori dituduh memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang anggota  Pasukan Gerakan Am (PGA), Jumaat lalu.

    Tertuduh, Hairul Azman Abdullah, 40, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ni.

    Mengikut kertas pertuduhan, Hairul Azman yang berasal dari Sungai Besar, Selangor didakwa memandu sebuah lori jeni Hino di dengan penagaruh dadah jenis methamphetamine dalam badannya hingga mengakibatkannya tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut.

    Keadaan itu didakwa menyebabkan kematian anggota PGA tersebut yang merupakan pemandu sebuah kenderaan jenis Honda City, Muhamad Aziem Azman di Kilometer 79.5, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dalam Daerah Kuala Muda.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pukul 2.09 pagi, 24 Disember lalu dengan pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Syed Ahmad Ridzuan Syed Zainol mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan didenda antara RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun.

    Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

    Terdahulu Syed Ahmad Redzuan memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar RM50,000 serta meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat dengan tempat tinggalnya sebulan sekali.

    Begitu pun Tengku Hezrul meminta mahkamah untuk mengurangkan kadar jaminan itu dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri yang tidak bekerja, anak yang masih kecil serta ibu dan bapa yang uzur.

    Nadhirah kemudiannya menetapkan kadar jaminan sebanyak RM6,000 dengan serang penjamin dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 Januari depan.