Category: Semasa

  • Banjir: Dua hingga tiga juta buku rosak

    Banjir: Dua hingga tiga juta buku rosak

    KIRA-kira dua hingga tiga juta buku rosak selepas ditenggelami air di gudang Big Bad Wolf dan kedai buku BookXcess @Wolf House di Seksyen 33, Taman Alam Indah di Shah Alam akibat banjir teruk melanda Selangor pertengahan bulan ini.

    Pengasas bersama BookXcess dan Big Bad Wolf Books Andrew Yap berkata jumlah kerugian masih dalam proses penilaian kerana ia akan mengambil sedikit masa untuk dipastikan.

    “Namun, berdasarkan penilaian awal, jutaan buku sudah pasti rosak, musnah dan tidak dapat diselamatkan begitu juga beberapa peralatan gudang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yap berkata kerja-kerja pembersihan gudang Big Bad Wolf Books dan pembuangan buku-buku yang rosak sedang dilaksanakan.

    Selain kedai buku BookXcess di Wolf House, beliau berkata kesemua 14 kedai buku BookXcess di seluruh negara, BookXcess Online dan BookXcess dan Big Bad Wolf Books di platform Shopee masih beroperasi seperti biasa dan menerima tempahan.

    “Hanya Wolf House, terletak di Seksyen 33, Taman Alam Indan di Shah Alam ditutup sementara kerana memerlukan pengubahsuaian sepenuhnya akibat kerosakan teruk.

    “Walaupun kami kehilangan dua hingga tiga juta buku, kami berhasrat untuk menderma buku kepada masyarakat sekitar yang terjejas teruk akibat banjir dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka berada di sekitar gudang kami dan kami mengalu-alukan orang untuk sertai usaha altruistik kami,” katanya.

    — BERNAMA

  • Dua keluarga terima kontena sumbangan Skuad Prihatin Bersatu

    Dua keluarga terima kontena sumbangan Skuad Prihatin Bersatu

    DUA keluarga yang rumah mereka  di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat musnah akibat bencana banjir baru-baru kini tinggal sementara di dua buah kontena yang disumbangkan oleh  Skuad Prihatin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumbangan  dua kontena yang diumumkan oleh beliau semalam sudah diterima termasuk salah satunya hari ini.

    ‘’Kontena sumbangan itu akan dijadikan tempat tinggal sementara dua keluarga terlibat setelah rumah mereka dibawa arus dalam kejadian banjir besar minggu lalu,’’ katanya melalui Facebook beliau hari ini.

    Beliau berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga terlibat yang kehilangan tempat berlindung dalam sekelip mata  minggu lalu.

    ‘’Skuad Prihatin Bersatu akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan tumpuan kepada kerja-kerja membersihkan rumah dan memberi bantuan berupa barangan makanan harian, peralatan keperluan dapur serta barangan keperluan bayi dan kanak-kanak,’’ katanya.

    Muhyiddin memberitahu, dana yang diterima oleh Tabung Bencana Banjir Bersatu yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini telah digunakan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat. ‘’Selain itu  tabung tersebut turut menerima sumbangan daripada orang perseorangan dan para dermawan lain.

    ‘’Sekali lagi saya menyeru marilah sama-sama kita membantu dan menyumbang dalam apa cara cara dan bentuk sekali pun yang termampu bagi membantu mangsa bancana alam ini membina kembali kehidupan mereka terutama selepas banjir berakhir.

    ‘’Kepada para sukarelawan dan petugas barisan hadapan teruskan kerja-kerja murni ini, insya-Allah anda semua akan dilindung dan diberkati Allah SWT,’’ katanya.

  • Banduan ditahan semula lima jam selepas larikan diri

    Banduan ditahan semula lima jam selepas larikan diri

    POLIS berjaya menahan seorang banduan di sebuah stesen minyak di sini, kira-kira lima jam selepas menerima laporan mengenai kehilangan banduan berkenaan yang melarikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Nilai, Serembang , semalam.

    Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata pada mulanya polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berumur 29 tahun itu yang melarikan diri daripada PRP itu pada pukul 12.54 tengah hari.

    Beliau berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai kemudiannya melancarkan operasi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bagi mengesannya di sekitar kawasan berhampiran.

    “Pada pukul 5.15 petang, polis menahan banduan itu di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira empat kilometer dari PRP berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya banduan yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2019 atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu ditempatkan di PRP berkenaan bagi tujuan pemulihan, setelah menjalani hukuman penjara selama dua tahun di Penjara Kajang, Selangor.

    Mohd Fazley berkata kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja lari atau mencuba larikan diri daripada tahanan yang sah. – BERNAMA

  • Kewujudan sekolah vernakular tidak bercanggah Perlembagaan

    Kewujudan sekolah vernakular tidak bercanggah Perlembagaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah terbabit adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak saman yang dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

    Ketiga-tiga pertubuhan itu memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) perlembagaan.

    Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan perlembagaan.

    Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata penggunaan bahasa lain selain Bahasa Malaysia tidak bertentangan dengan perlembagaan kerana sekolah venakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.

    Katanya, sekolah vernakular juga dilindungi oleh perlembagaan.

  • Long Tiger, tiga lelaki direman empat hari

    Long Tiger, tiga lelaki direman empat hari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ABDUL Hamim Ab. Hamid atau lebih dikenali sebagai Long Tiger yang diberkas di Sungai Petani, Kedah, semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, Muar, hari ini untuk direman.

    Lelaki berketurunan Rohingya berusia 32 tahun itu dibawa ke mahkamah bersama-sama tiga lelaki yang berusia 36, 38, dan 46 tahun dipercayai terlibat memberi perlindungan kepada Long Tiger.

    Semua mereka termasuk lelaki yang berperwatakan wanita ditahan bersama-sama Long Tiger di Sungai Petani dan Yong Peng, Batu Pahat, direman selama empat hari bermula Rabu hingga 1 Januari.

    Perintah reman terhadap Long Tiger dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bagi siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan manakala tiga lelaku berkenaan disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama.

    Semalam, penjenayah paling dikehendaki dalam buruan polis itu ditangkap ketika bersembunyi di sebuah rumah di Sungai Petani pada pukul 3.15 petang.

    Semasa tangkapan oleh polis Bukit Aman itu, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    Long Tiger bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember lalu ketika menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

    Lelaki Rohingya itu juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

    Polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang berusia 41 dan 43 tahun baru-baru ini kerana disyaki rakan subahat kepada Long Tiger di Balai Polis Bukit Gambir, Tangkak pukul 12.30 tengah malam.

    Dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

  • 6.1 juta miliki simpanan kurang daripada RM10,000, 3.6 juta ahli  kurang daripada RM1,000 – KWSP

    6.1 juta miliki simpanan kurang daripada RM10,000, 3.6 juta ahli kurang daripada RM1,000 – KWSP

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  menjelaskan, skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020 dan disusuli dengan i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai mendesak, semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

    Setakat Oktober 2021, kata KWSP,  sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran yang bersamaan dengan 22% daripada RM530 bilion pakej rangsangan diperkenalkan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

    “Walaupun skim pengeluaran ini telah memberi sedikit kelegaan kewangan kepada ahli ketika pandemik dan PKP, ia telah menyebabkan sebanyak 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka dengan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang RM1,000 iaitu tahap yang sememangnya tidak dapat menjamin persaraan mereka,” kata KWSP dalam satu kenyataan.

    KWSP berkata, majoriti ahli yang membuat pengeluaran kecemasan merupakan kalangan Bumiputera dan berikutan itu sebanyak 4.4 juta atau 54% golongan tersebut mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 manakala 2 juta atau 25% pula kurang daripada RM1,000.

    “Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000 iaitu jumlah minimum diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya.

    KWSP juga menegaskan, selain penyusutan pendapatan masa depan individu, ia juga bimbang bahawa ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukannya sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.

    “Sebagai pemegang amanah, KWSP mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, lebih-lebih lagi apabila masih terdapat berjuta-juta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan untuk mendapat pulangan lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka kelak,” kata kenyataan itu.

    Sementara itu KWSP mengingatkan sebarang kemelesetan kepercayaan terhadapnya berkemungkinan boleh menyebabkan pengeluaran caruman secara besar-besaran yang memberi impak negatif terhadap pasaran modal negara.

    Ketika menyuarakan kebimbangan itu, dana persaraan tersebut, berkata ini berikutan sehingga kini terdapat lebih RM270 bilion simpanan yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang mencapai usia melebihi 55 atau 60 tahun serta mereka yang mempunyai simpanan lebih RM1 juta.

    “Adalah dibimbangi bahawa kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak dan memberi impak negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP merupakan tonggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara.

    “Skala dan kesan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini telah menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksimum dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk ketika ahli berdepan ketidakcukupan wang simpanan persaraan dan ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan,” kata kenyataan tersebut.

  • Tiada peruntukan benarkan pengeluaran untuk bencana alam – KWSP

    Tiada peruntukan benarkan pengeluaran untuk bencana alam – KWSP

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan sentiasa melindungi keperluan serta kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia pada masa hadapan dan dengan itu, tidak menggalakkan lagi pengeluaran dana itu bagi tujuan lain.

    KWSP dalam kenyataan, menegaskan komitmennya membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra.

    “KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka,”  kata kenyataan tersebut.

    Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70% simpanan) ditetapkan bagi persaraan, manakala Akaun 2 (30% simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

    “Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyatakan, KWSP berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia serta mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP

    ‘’Oleh yang demikian, KWSP, yang merupakan sebahagian daripada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN) telah menawarkan sokongan melalui sumber di bawah keupayaannya termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

    ‘’KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana bantuan tersebut datang daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan. Sokongan itu akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal yang berkredibiliti,’’ kata kenyataan itu lagi.

  • Polis tahan tekong utama seludup PATI di kawasan utara

    Polis tahan tekong utama seludup PATI di kawasan utara

    SEORANG lelaki warga Myanmar yang bertindak sebagai ejen dan tekong darat yang membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar dari sempadan Malaysia-Thailand ke negara ini akhirnya ditahan polis pukul 10.30 pagi tadi.

    Suspek, 42, yang memiliki kad pelarian bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) itu ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama-sama enam individu lain terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga Myanmar dalam serbuan itu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berdasarkan maklumat risikan.

    “Tangkapan ini adalah susulan daripada penahanan tiga tekong darat warga tempatan bersama 13 Pati warga Myanmar di Napoh, Changlun, pada 22 Disember lalu.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, hanya wanita Myanmar berusia 27 tahun itu mempunyai pasport manakala lima lelaki Myanmar berusia 20 hingga 43 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki yang juga suspek utama yang ditahan itu dipercayai ejen dan tekong utama di kawasan utara semenanjung yang menguruskan kemasukan Pati dari Myanmar.

    Katanya, suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket ejen di negara jiran yang akan menguruskan kemasukan lokasi Pati yang baru meloloskan diri ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

    “Suspek dikatakan menghantar transporter untuk mengambil PATI di sempadan sebelum dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

  • Sangka bunyi kucing rupanya tangisan bayi di pondok

    Sangka bunyi kucing rupanya tangisan bayi di pondok

    SEORANG wanita menyangka bunyi kucing dari sebuah pondok berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Tayor Sungai Tong, Permaisuri, tengah malam tadi, namun terkejut apabila mendapati itu adalah tangisan seorang bayi.

    Wanita berusia 34 tahun itu yang menemukan bayi itu pada pukul 12.20 tengah malam kemudian melarikan diri kerana ketakutan.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, wanita itu dan seorang lagi rakan mengambil keputusan kembali ke pondok berkenaan pada jam 6 pagi.

    “Mereka datang untuk membuat pengesahan dan menemui bayi yang hanya beralas dengan kain tudung masih berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Afandi berkata, bayi itu dibawa rumah pengadu di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum wanita itu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

    “Pihak polis bergegas ke rumah wanita yang juga pengadu sebaik menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu pukul 6.40 pagi,” katanya.

    Beliau berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu namun dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.

  • Mangsa banjir perlu bantuan kewangan, dapur, tong gas

    Mangsa banjir perlu bantuan kewangan, dapur, tong gas

    MANGSA banjir yang terjejas di Hulu Langat memerlukan bantuan kewangan, peralatan dapur dan tong gas.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya difahamkan mangsa banjir telah terima banyak bantuan asas yang lain.

    Justeru beliau menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan tersebut bagi meringankan beban mangsa banjir.

    Selain itu katanya, pihaknya menjangkakan proses operasi pasca banjir di kawasan berkenaan mengambil masa kira-kira sebulan.

    “Saya difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan kerja pembersihan di kawasan yang dilanda banjir selesai dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Banjir, Hulu Langat, hari ini.

    Mohd Zaid berkata, seramai 18 pegawai dan 382 anggota dari Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Bukit Aman dan Pasukan Polis Marin membantu dalam operasi pasca banjir.

    “Selain itu, kita turut menerima bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Serdang, Ampang Jaya dan Petaling Jaya,” katanya.

    Setakat ini katanya, hanya empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif.

    “Kita turut meletakkan anggota polis di empat PPS itu sebagai kawalan keselamatan serta mengambil laporan daripada mangsa banjir secara manual.

    “Seramai 5,729 mangsa banjir dicatatkan di kawasan ini. Setakat ini, kita telah menerima sebanyak 3,920 laporan daripada mangsa banjir,” katanya.

    Pihaknya turut menyediakan balai polis bergerak yang ditempatkan di Dewan Sungai Lui, Hulu Langat.

    “Kita juga ada pasukan ronda cegah jenayah untuk mengelak kejadian jenayah seperti pecah rumah, kedai atau curi kenderaan,” katanya.

    Menurut Mohd. Zaid, pihaknya turut berhadapan dengan cabaran untuk mengawal aliran trafik yang sesak di kawasan Hulu Langat.

    “Ia kerana terlalu banyak NGO yang masuk ke kawasan ini untuk menyalurkan bantuan. Kita tidak menghalang mereka menyalurkannya bantuan,” katanya.

    Mohd Zaid. turut menyarankan orang ramai atau NGO melalui Sungai Lalang, Semenyih untuk masuk ke kawasan Hulu Langat bagi memudahkan mereka memberi bantuan kepada mangsa banjir.