Category: Semasa

  • 104 lokasi bencana di jalan Persekutuan, jalan negeri

    104 lokasi bencana di jalan Persekutuan, jalan negeri

    JABATAN Kerja Raya (JKR) memaklumkan 104 lokasi bencana membabitkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri direkodkan berlaku di sembilan negeri sehingga 10 pagi ini.

    Menerusi infografik dalam laman Twitter Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR), jenis kejadian cerun runtuh mencatat jumlah tertinggi dengan 45 lokasi.

    Ini diikuti kejadian banjir dengan 39 lokasi manakala jalan runtuh dengan 11 lokasi.

    Sementara itu, kejadian banjir kilat dikenal pasti di empat lokasi manakala jambatan rosak serta jalan mendap masing-masing dengan tiga dan dua lokasi.

    Daripada jumlah itu, 61 Jalan Negeri terjejas manakala 43 bagi Jalan Persekutuan.

    Dalam perkembangan sama, Pahang mencatat negeri dengan jumlah daerah tertinggi yang terjejas diikuti Negeri Sembilan, Selangor dan Johor masing-masing dengan lima daerah.

  • Penduduk Kota Kuala Muda waspada fenomena air pasang besar

    Penduduk Kota Kuala Muda waspada fenomena air pasang besar

    PENDUDUK berdekatan pantai di Kota Kuala Muda, Kedah berada dalam keadaan berwaspada dan membuat persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar dan diramal berlaku sehingga Rabu ini.

    Tinjauan Bernama di beberapa kampung di situ mendapati rata-rata penduduk peka dan mengambil serius amaran yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia itu.

    Penduduk Kampung Hujung Matang, Hasnah Mohd Rejab, 57, berkata sebaik sahaja mengetahui mengenai amaran berkenaan, beliau segera menyimpan barangan dan dokumen penting di tempat selamat serta mengemas pakaian bersesuaian yang diperlukan.

    “Barang-barang elektrik pun saya letak pada tempat tinggi malah saya juga simpan khemah dan barangan lain yang berkaitan dalam kereta siap-siap untuk memudahkan pergerakan keluarga saya semasa air pasang besar ini berlaku dengan teruk,” katanya.

    Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan Bernama sejak semalam, air pasang besar belum berlaku di kawasan tersebut.

    Hasnah berkata keluarganya sentiasa mengambil berat akan setiap amaran yang dikeluarkan berkaitan cuaca ataupun sebarang fenomena kerana masih trauma dengan tragedi tsunami yang berlaku di kawasan itu pada 2004.

    Seorang lagi penduduk, Roslina Ismail, 47, berkata dia dan keluarganya telah pun bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan memastikan barangan dan dokumen penting sentiasa berada di tempat selamat.

    “Saya dan keluarga pernah berhadapan detik cemas air naik sampai paras lutut ketika kejadian air pasang besar kira-kira dua tahun lepas. Waktu itu, saya sedang tidur, sedar-sedar bangun pukul 4 pagi, tengok air sudah naik,” katanya.

    Sementara itu, penduduk Kampung Paya, Mohd Tarmizi Hassanudin, 50, berkata dia dan keluarganya sudah biasa dengan kejadian air pasang besar, justeru mereka sememangnya sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk berhadapan apa jua kemungkinan.

    “Kami sentiasa berwaspada… tambahan pula saya sendiri berpengalaman menghadapi tragedi tsunami pada 2004 dulu. Perkakasan elektrik kena simpan pada tempat tinggi selain pastikan keselamatan diri dan keluarga sebaik mungkin,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata bacaan paras air laut setakat tengah malam tadi adalah setinggi 2.31 meter dan ia tidak menjejaskan kawasan di sekitar daerah Kuala Muda buat masa ini.

    Beliau berkata pihaknya berada dalam siap siaga menerusi pengawasan di Menara Pemerhati Pantai Merdeka dan anggota terlibat diarahkan memantau paras air laut dari semasa ke semasa.

    “Orang ramai juga diminta supaya tidak mendekati pantai ketika amaran air pasang besar ini, di sekitar daerah Kuala Muda,” katanya.- Bernama

  • WhatsApp sekat lebih 1.75 juta akaun pengguna

    WhatsApp sekat lebih 1.75 juta akaun pengguna

    PLATFORM komunikasi pesanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), WhatsApp, menyekat lebih 1.75 juta akaun pengguna India pada November tahun lepas kerana didakwa menyalahgunakan perkhidmatannya, kata syarikat itu dalam laporan bulanan keselamatan pengguna keenamnya pada Ahad.

    Akaun pengguna India itu disekat berikutan aduan yang diterima daripada pengguna lain melalui mekanisme pengesanan penyalahgunaan syarikat yang memantau aktiviti pengguna di platform.

    Laporan bulanan WhatsApp diterbitkan mengikut Peraturan Teknologi Maklumat India 2021, yang berkuat kuasa pada Mei menetapkan platform digital besar dengan lebih lima juta pengguna untuk menerbitkan laporan pematuhan setiap bulan mengenai aduan yang diterima dan tindakan yang diambil.

    November lalu, penyedia perkhidmatan pesanan itu menerima 602 laporan tentang pelanggaran pengguna terhadap syarat perkhidmatannya.

    Jurucakap WhatsApp berkata syarikat itu melabur dalam teknologi Kecerdasan Buatan dan teknologi tercanggih lain untuk memastikan penggunanya selamat di platform itu.

    Pada Oktober lalu, WhatsApp menerima 500 laporan rungutan selepas dua juta akaun pengguna India disekat. – BERNAMA

  • Surau As Sobirin SBCR santuni mangsa banjir

    Surau As Sobirin SBCR santuni mangsa banjir

    SURAU As Sobirin, Sungai Buloh Country Resort (SBCR), Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini mengadakan misi bantuan pasca banjir kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan dan Kampung Baru HICOM, Selangor.

    Kira-kira 20 sukarelawan yang terdiri daripada ahli kariah surau tersebut dan diketuai oleh Pengarah Misi Bantuan Banjir Surau As Sobirin Datuk Kamal Malik serta Pengerusi Surau Fakhrudin Husain menyertai misi tersebut.

    Menurut Kamal, pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, peralatan dapur, kitab al-Quran, sejadah dan telekung solat serta bantuan wang tunai diagih-agihkan kepada kira-kira 30 keluarga yang terkesan teruk di dua buah kampung iaitu Kampung Serian Batu 11 dan Kampung Limau Kasturi.

    Beliau berkata, sumbangan tersebut adalah hasil derma orang ramai kepada Tabung Mangsa Banjir Surau As Sobirin yang diaktifkan setiap kali tiba musim banjir.

    “Beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Global Peace Malaysia turut menyumbang kotak-kotak makanan untuk diberikan kepada penduduk di dua buah kampung yang terletak di pedalaman Gua Musang itu.

    “Keadaan di kampung tersebut sungguh menyayat hati, sebahagian besar rumah rosak teruk menyebabkan majoriti penduduk kampung kehilangan harta benda manakala jalan utama yang menghubungkan mereka dengan dunia luar juga hampir terputus,’’ katanya.

    Sementara itu Fakhrudin berkata, sukarelawan Surau As Sobirin turut menyumbang kira-kira 300 pek makanan segar kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Baru HICOM yang teruk dilanda banjir.

    Menurut beliau, misi bantuan pasca banjir ini akan diteruskan ke beberapa lagi kawasan yang telah dikenal pasti minggu depan.

    Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bantuan Khas Banjir Surau As Sobirin Bank Islam 12168010016979.

  • Ronaldo disahkan positif COVID-19, jalani kuarantin

    Ronaldo disahkan positif COVID-19, jalani kuarantin

    RONALDO, pemenang Piala Dunia dua kali, tidak dapat menyertai sambutan ulang tahun ke-101 Cruzeiro, kelab Brazil kepunyaannya, selepas disahkan dijangkiti COVID-19.

    Bintang bola sepak berusia 45 tahun itu hanya mengalami gejala ringan tetapi akan berehat dan menjalani kuarantin diri selaras dengan protokol kesihatan, kata Cruzeiro pada Ahad, menurut Xinhua.

    “Cruzeiro mengumumkan pada Ahad bahawa Ronaldo Nazario didapati positif COVID-19,” menurut kenyataan kelab bola sepak itu.

    “Oleh itu, mustahil beliau menghadiri Belo Horizonte bagi merayakan sambutan itu.”

    Acara itu khusus diadakan sempena penampilan umum Ronaldo buat pertama kali setelah beliau membeli Cruzeiro dengan pegangan majoriti bernilai 400 juta reais (sekitar US$70 juta) pada bulan lepas.

    Bekas penyerang itu memulakan kariernya di Cruzeiro pada 1993, menjaringkan 56 gol dalam 58 perlawanan di semua pertandingan bagi pasukan Belo Horizonte sebelum berpindah ke PSV Eindhoven pada Julai 1994.

    “Ronaldo kesal kerana tidak dapat menyertai aktiviti yang dirancang itu, tetapi kami akan mengumumkan jadual baharu sempena penampilannya di Belo Horizonte,” tambah kenyataan itu.

    Ronaldo, yang juga pemilik kelab Sepanyol, Real Valladolid, bersara pada 2011 selepas melakar karier cemerlang dengan Barcelona, ​​Inter Milan dan Real Madrid.

    Beliau menjaringkan 62 gol dalam 98 perlawanan untuk Brazil dan merupakan ahli pasukan kebangsaan kempen Piala Dunia 1994 dan 2002. – BERNAMA

  • Jenayah komersial meningkat sepanjang PKP, kerugian lebih RM11 juta

    Jenayah komersial meningkat sepanjang PKP, kerugian lebih RM11 juta

    KES penipuan membabitkan jenayah komersial di Kedah meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021 yang menyebabkan kerugian lebih RM11 juta.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, peningkatan kes terutama membabitkan jenayah penipuan yang mencatatkan sebanyak 1,881 kes pada 2021 berbanding 1,125 kes pada 2020.

    Daripada jumlah itu, 90 peratus adalah kes penipuan membabitkan jenayah penipuan seperti Macau Scam sebanyak 397 kes, Love Scam (98 kes), pinjaman wang tidak wujud (297 kes), pelaburan tidak wujud (214 kes) dan penipuan belian dalam talian (593 kes).

    “Kejadian banyak berlaku ketika PKP yang mana kebanyakan individu berada di rumah dan waktu itu sindiket penipuan ini merancang serta mencari taktik untuk mengaut wang daripada mangsa. 

    “Jumlah kerugian disebabkan jenayah kes komersial juga meningkat sebanyak RM11,079.937.52 iaitu kerugian sebanyak RM28,899,760.03 pada 2021 berbanding sebanyak RM17,819,822.51 pada 2020.

    “Ia membabitkan kerugian berjumlah RM28 juta pada 2021 berbanding 17 juta pada tahun sebelumnya yang mana peningkatan kes penipuan disebabkan perubahan trend jenayah daripada jenayah bersemuka dengan secara maya disebabkan oleh PKP,” katanya memetik laporan HM ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, bagi pertuduhan jenayah komersial pada tahun ini iaitu sebanyak 657 kes berjaya dituduh iaitu hampir 34.92 peratus.

    Beliau berkata, jenayah kekerasan juga meningkat sebanyak 10.95 peratus, jenayah harta benda meningkat 11.14 peratus dan jenayah narkotik turut menunjukkan peningkatan 28.5 peratus.

    “Kemalangan jalan raya pula turun enam peratus iaitu 18,327 kes pada 2021 berbanding 19,490 kes pada 2020,” katanya.

    Katanya, keseluruhan indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan 7.5 peratus iaitu 3,822 kes pada tahun lalu berbanding 4,133 kes, pada 2020.

    Dalam pada itu, pihaknya berjaya memperoleh sebanyak RM10.9 juta daripada kutipan saman sempena tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik sehingga 80 peratus bermula dari 9 hingga 29 Disember tahun lalu.

  • Hina mahkamah: Permohonan Malaysiakini semak semula sabitan 29 Mac

    Hina mahkamah: Permohonan Malaysiakini semak semula sabitan 29 Mac

    MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 29 Mac ini untuk mendengar permohonan Malaysiakini berhubung sabitan yang mendapati organisasi berita tersebut bersalah menghina mahkamah atas komen lima pembaca.

    Memetik laporan Malaysiakini, peguam mengesahkan perkara itu hari ini dan menyatakan ia akan diadakan menerusi aplikasi Zoom.

    Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan semakan itu akan didengar pada 12 Oktober lepas.

    Walau bagaimanapun, tarikh itu ditangguhkan ekoran penyusunan semula kes mahkamah itu.

    Pasukan peguam Malaysiakini memfailkan permohonan semakan itu pada Mei tahun lalu.

    Malaysiakini memohon agar sabitan diketepikan agar kes dapat didengar semula di Mahkamah Persekutuan.

    “Majoriti (hakim) Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya pada 19 Februari 2021 menangani isu dan/ atau perkara tertentu tanpa memberi peluang kepada pemohon (Malaysiakini) untuk pendengaran sama.

    “Ini pelanggaran prinsip keadilan semula jadi.

    “Keputusan majoriti itu bertentangan dengan Seksyen 98 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata usul itu.

    Seksyen 98(2) akta tersebut memperuntukkan “pematuhan suatu kod industri sukarela berdaftar hendaklah menjadi suatu pembelaan terhadap apa-apa pendakwaan, tindakan atau prosiding daripada apa-apa jenis, sama ada dalam mahkamah atau selainnya, yang diambil terhadap seseorang (yang tertakhluk kepada kod industri sukarela itu) berkenaan dengan suatu perkara yang diperkatakan dalam kod itu.”

    Keputusan tersebut dicapai melalui majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang dengan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf.

    Selain Rohana, keputusan majoriti dibuat oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; serta hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, manakala Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

    Rohana berkata, mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan komen pembaca terhadap Mkini Dotcom telah dibuktikan.

    Sehubungan itu, mahkamah memutuskan syarikat berkenaan bersalah menghina mahkamah.

    Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun tahun lalu bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

  • Keluarga Azeez minta kerajaan selesai lucut hak harta RM16 juta

    Keluarga Azeez minta kerajaan selesai lucut hak harta RM16 juta

    AHLI keluarga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memfailkan representasi kepada kerajaan untuk menyelesaikan permohonan pelucuthakan harta bernilai RM16 juta terhadap mereka.

    Memetik laporan FMT, kerajaan mahu melucut hak RM16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka – Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwav dan Khaleeda Azeera – selain lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka.

    Peguam Prem Ramachandran memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin hari ini, ahli keluarga berkenaan telah menyerahkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) November lepas.

    “Kami difahamkan mereka (kerajaan) sudah sediakan laporan. Bagaimanapun, belum ada mesyuarat antara (keluarga dan) pegawai kanan AGC untuk mempertimbangkan representasi kami,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi keluarga itu dan perkara itu telah dibawa kepada ketua pendakwaan AGC.

    “Pegawai penyiasat kami (IO) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubungnya,” katanya lagi.

    Berikutan itu, Jamil berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan pada 8 Feb, sementara menunggu keputusan AGC.

    Katanya, jika keluarga itu mahu memfailkan afidavit lanjut terhadap kerajaan berhubung pelucuthakan itu, mereka boleh berbuat demikian sebelum 8 Feb.

    Kes rasuah membabitkan Abdul Azeez, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, masih berjalan di Mahkamah Sesyen di sini.

    Beliau berdepan tiga dakwaan rasuah bernilai RM5.2 juta dan sembilan dakwaan pengubahan wang haram membabitkan RM139.3 juta.

    Abdul Azeez dikatakan menerima RM5.2 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, pengarah syarikat Menuju Asas Sdn Bhd di Lembah Klang antara Disember 2010 dan April tahun lepas.

    Beliau turut dituduh menerima RM139.3 juta daripada empat syarikat – Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd and AVP Engineering Sdn Bhd.

    Abdul Azeez memohon untuk membatalkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu atas alasan dakwaan itu cacat.

    Permohonan itu masih menunggu keputusan daripada Mahkamah Rayuan.

  • Cheng Hoe letak jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya

    Cheng Hoe letak jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya

    KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah melepaskan jawatannya berikutan “kegagalan melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2020” di Singapura bulan lepas, demikian menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

    Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, Cheng Hoe telah menyatakan hasrat untuk berundur ketika mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM, baru-baru ini.

    Menurutnya, selepas perbincangan secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

    “FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad bawah-20 tahun kebangsaan pada 2005.

    “Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Jurulatih berusia 53 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah itu pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad bawah 20 tahun, bawah 23 tahun dan Harimau Muda A, sebelum gandingan mantap selaku penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal menyaksikan Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

    Beliau yang kemudian menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kedah bermula 2014-2017, membuktikan dirinya sebagai salah seorang jurulatih terbaik di Liga Malaysia (Liga-M) apabila membantu skuad Lang Merah muncul juara Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan Piala Sumbangsih 2017.

    Cheng Hoe kemudian kembali ke FAM pada 2017 selaku penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada, sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih pada penghujung tahun sama.

    Sebagai pengendali Harimau Malaya, beliau berjaya corak permainan skuad kebangsaan sehingga muncul naib juara Piala AFF 2018 dan meletakkan pasukan di kedudukan terbaik dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019, sebelum cabaran pandemik COVID-19 menganggu jadual kejohanan itu.

    Pada Piala AFF 2020 bermula 5 Dis hingga 1 Jan ini, skuad kendalian Cheng Hoe yang kekurangan persediaan, gagal mara ke separuh akhir apabila menamatkan kempen di kedudukan ketiga berikutan kekalahan 3-0 kepada Vietnam dan 4-1 kepada Indonesia dalam aksi Kumpulan B, selain mencatatkan kemenangan 3-1 dan 4-0 masing-masing ke atas Kemboja dan Laos. – BERNAMA

  • Tongkang bernilai RM6 juta tersadai di Pantai Melawi dituntut

    Tongkang bernilai RM6 juta tersadai di Pantai Melawi dituntut

    AGENSI perkapalan Jassari Sdn. Bhd. membuat tuntutan terhadap sebuah tongkang MMS 009 bernilai RM6 juta yang tersadai di Pantai Melawi, Bachok, hari ini.

    Pengurus Jassari Sdn. Bhd., M. Fakrul Razzi Muhammad berkata, tuntutan dibuat pihaknya bagi mewakili pemilik tongkang itu, Miccennium Marine Shipping yang berpangkalan di Singapura.

    “Semasa menunda tongkang itu sebelum ini, salah satu enjin bot yang terlibat dalam proses berkenaan telah mengalami kerosakan sekali gus menjejaskan kerja-kerja tersebut.

    “Ketika itu keadaan laut bergelora dan kelajuan angin mencecah 37 knot. Situasi tersebut cukup bahaya kepada kerja-kerja menunda tongkang berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Melawi, hari ini.

    Hadir sama Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

    Menurut beliau, situasi itu menyebabkan kru yang terlibat dalam kerja-kerja menunda terpaksa memotong tali tongkang tersebut bagi mengelakkan insiden lebih buruk berlaku.

    Beliau berkata, kesemua tujuh kru bot tunda yang terlibat dalam misi itu selamat berlabuh di jeti Ship Yard, Semerak, Pasir Puteh.

    M. Fakrul Razzi berkata, sejurus menerima maklumat daripada kru, pemilik tongkang berkenaan telah bertindak mencari pihaknya untuk menguruskan perkara tersebut.

    “Kita dapat tahu perkara ini pada Khamis, sehari kemudian, pihak kami telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jelawat untuk memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

    “Kami akan mencari sebuah bot tunda untuk membawa keluar tongkang ini dari Malaysia dan pemiliknya kemudian akan putuskan sama ia akan digerakkan ke Songkla, Thailand atau kembali ke Singapura,” katanya.