Category: Semasa

  • 196 anggota ATM, 31 aset bantu mangsa banjir di Johor-Hishammuddin

    196 anggota ATM, 31 aset bantu mangsa banjir di Johor-Hishammuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 196 anggota termasuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam menyelamatkan mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas di Johor.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, sebanyak 31 aset ATM juga telah digerakkan ke kawasan terbabit.

    Antara kawasan di Johor yang terjejas dengan banjir adalah Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang dan Mersing.

    “Ini bagi membantu petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pasukan bomba dan penyelamat, polis dan setiap agensi berkaitan menerusi Operasi Murni,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Segamat, Batu Anam, Segamat, hari ini.

    Terdahulu beliau bersama-sama Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad meninjau keadaan banjir di Segamat serta singgah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang, Batu Anam, Segamat.

    Hishammuddin mengadakan sidang akhbar di Kem Segamat, Batu Anam, Segamat, hari ini selepas meninjau keadaan banjir di daerah itu

    Katanya, pihak tentera juga akan membantu kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta kawasan pedalaman, selain membantu proses penyediaan makanan di PPS.

    Beliau berkata, keutamaan pasukan tentera adalah memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat serta mempercepat penghantaran makanan dan barang keperluan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Setakat 12 tengah hari ini, di Johor sahaja, bawah Ops Murni, 12 pegawai dan 184 anggota berada di lapangan dan melakukan tugasan operasi.

    “Sebanyak 31 aset diatur gerak ke kawasan terlibat, termasuk tujuh bot, tujuh enjin bot, seunit trak 7 tan, 14 trak 3 tan dan dua trak 1 tan,” katanya

    Hishammuddin berkata, pasukan tentera sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan maklumat terkini paras air sungai di Johor serta ramalan cuaca, khususnya di selatan Semenanjung.

    Jumlah mangsa banjir di tiga negeri mencatatkan peningkatan dengan Pahang merekodkan 2,188 orang di lapan daerah, Melaka (2,537 orang) dan Negeri Sembilan (2,041 orang) setakat awal pagi tadi.

  • Fitnah rogol: Hilman fail saman terhadap Asheeq

    Fitnah rogol: Hilman fail saman terhadap Asheeq

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham memfailkan saman fitnah terhadap peguam hak asasi manusia, Asheeq Ali Sethi Alivi di Mahkamah Sesyen di sini kerana mengaitkannya dengan kes rogol.

    Memetik laporan FMT, pemimpin Bersatu itu mendakwa Asheeq membuat kenyataan berbaur fitnah apabila mengaitkannya dengan kes rogol berkenaan dalam sidang media pada 11 Ogos 2021.

    Menurut beliau, kenyataan itu membawa maksud plaintif (Hilman) terbabit dalam dakwaan rogol terhadap seorang wanita.

    “Defendan dengan sengaja dan/atau berniat jahat cuba memfitnah dan/atau mencemarkan, menjatuhkan dan merendahkan imej dan reputasi plaintif…,” kata Hilman dalam pernyataan tuntutannya, dengan menambah kata-kata fitnah itu dilaporkan beberapa portal berita seperti FMT, Malaysiakini, Sinar Harian dan The Malaysian Insight.

    Hilman menambah, pasukan peguamnya dari Hafiz Ruzaini & Co telah menghantar surat tuntutan kepada Asheeq pada 13 Ogos supaya menarik balik kenyataan itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka dan aku janji. Bagaimanapun katanya, ia tidak diendahkan Asheeq.

    Beliau menuntut ganti rugi dan perintah supaya Asheeq diarahkan membuat permohonan maaf.

    Hilman Idham Asheeq Ali
    ASHEEQ ALI (Gambar: Carian internet)

    Terdahulu, Asheeq dilaporkan berkata, seorang wanita yang mendakwa dirogol rakan Hilman, sedang mempertimbangkan memfailkan kes sivil terhadap pelakunya.

    Wanita itu turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka.

    Seorang lelaki, Mohd Zulfahimin Mahdzir didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Sept lalu atas tuduhan merogol wanita itu pada Disember 2020.

  • Chelsea lawan Liverpool: Penyokong berdiri tonton perlawanan selepas 27 tahun

    Chelsea lawan Liverpool: Penyokong berdiri tonton perlawanan selepas 27 tahun

    PENYOKONG tuan rumah dan pelawat menyaksikan perlawanan antara Chelsea dan Liverpool secara berdiri selepas 27 tahun.

    Chelsea adalah salah satu daripada lima kelab yang diluluskan untuk membuat pencubaan zon selamat berdiri atau safe-standing.

    Manchester United, Manchester City, Tottenham Hotspur dan kelab Championship, Cardiff juga terlibat dengan pencubaan tersebut.

    Kelab-kelab yang terlibat mesti mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti penggunaan CCTV, penambahbaikan latihan untuk penjaga-penjaga stadium dan menghadkan penyokong di ruangan yang ditetapkan.

    Undang-undang pada 1994 menyatakan stadium-stadium dua liga teratas di England mesti duduk ketika menonton perlawanan selepas tragedi Hillsborough pada 1989 yang mengorbankan 97 penyokong Liverpool.

    Margaret Aspinall yang kehilangan anaknya yang berumur 18 tahun dalam tragedi tersebut berkata, pendapatnya berhubung ‘safe-standing’ sama sekali sudah berubah.

    “Sesiapa yang mahu berdiri, mereka sepatutnya dibenarkan berdiri. Penyokong sekarang dan pada tahun 1970-an serta 1980-an dilayan dengan cara berbeza. Kini, mereka lebih berhati-hati. Mereka mendapat pengajaran daripada tragedi Hillsborough,’’ katanya.

  • Banjir: Warga emas tidur dalam lori takut barang kena curi

    Banjir: Warga emas tidur dalam lori takut barang kena curi

    SEORANG warga emas memutuskan untuk tidur di dalam lori bagi menjaga keselamatan harta bendanya daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab, selepas rumahnya di Kampung Belimbing Dalam di Alor Gajah ditenggelami banjir separas dada sejak Sabtu lepas.

    Othman Baba, 83, berkata dia sememangnya tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali kampung tersebut dilanda banjir, kerana risau rumahnya dipecah masuk pencuri.

    Berikutan itu, dia yang telah 17 tahun menetap di situ, memilih untuk tinggal di dalam lori milik anak lelakinya itu, yang diletakkan di jalan raya yang tidak dinaiki air berdekatan rumahnya.

    “Dua anak lelaki saya menjalankan perniagaan sewa khemah. Oleh kerana mereka tiada tempat nak letak barang, mereka simpan dalam stor di rumah saya.

    “Sejak banjir pada Sabtu lepas, dah dua malam saya bersama seorang lagi anak lelaki dan anak perempuan tidur dalam lori ini sebab takut barang-barang tersebut dicuri,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

    Othman berkata ada penduduk kampung yang memintanya supaya berpindah ke PPS, tetapi beliau memutuskan untuk terus berada di situ, sementara menunggu air surut.

    Katanya bagi mendapatkan bekalan makanan dia akan keluar membeli di kedai atau menunggu bantuan makanan yang dihulurkan oleh mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sukarelawan.

    Menurutnya sejak Julai tahun lalu, sudah empat kali rumahnya dinaiki air memandangkan ia berada di kawasan rendah dan berdekatan sungai.

    “Saya dah bina pangkin di dalam rumah bagi meletakkan perabot dan barangan elektrik, namun tetap tenggelam kerana paras banjir tinggi,” katanya. – BERNAMA

  • Bantuan RM500 untuk mangsa banjir di Johor-MB

    Bantuan RM500 untuk mangsa banjir di Johor-MB

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Johor akan memberikan bantuan RM500 kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di negeri itu.

    Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, bantuan itu sebagai tambahan bagi mereka mengharungi bencana itu yang kini sudah mencecah lebih 4,000 mangsa.

    Beliau memberitahu, bantuan tersebut akan dicadangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada Rabu ini untuk disalurkan segera.

    “Di peringkat Persekutuan, kerajaan memberikan bantuan RM1,000 kepada ketua setiap isi rumah yang terjejas banjir serta RM10,000 bagi kematian akibat bencana itu dan di Johor kita akan cadang supaya kerajaan negeri tambah RM500 kepada setiap keluarga.

    “Saya akan bawa ke mesyuarat Exco pada Rabu ini dan kita turut akan berbincang untuk bantuan tambahan juga kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat bencana itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Segamat, Batu Anam, Segamat, hari ini.

    Terdahulu, beliau bersama-sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat keadaan banjir di daerah ini serta singgah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang, Batu Anam.

    Hasni berkata, pihaknya setakat ini amat berpuas hati dengan kerjasama dan koordinasi antara jabatan, agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan awal dan penyampaian sumbangan kepada mangsa-mangsa.

    “Peranan semua pihak amat kerajaan negeri alu-alukan dan terima kasih di atas komitmen yang ditunjukkan, setakat ini agensi-agensi khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain memainkan peranan penting di kesemua PPS di Johor yang melibatkan enam daerah.

    “Apa yang penting kita pastikan supaya arahan yang diturunkan dan koordinasi agensi dapat dipermudahkan dan bantuan kepada mangsa tepat pada masanya. Malah, peranan dan tumpuan yang saya beri di Johor adalah kita memudah cara segala bentuk bantuan diberi pelbagai agensi,” katanya.

  • Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Dr Zakir Naik

    Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Dr Zakir Naik

    PERBICARAAN kes saman fitnah yang difailkan oleh penceramah bebas Dr Zakir Naik terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S. Raveentharan akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

    Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Dr Zakir untuk kebenaran merayu selepas membenarkan bantahan awal peguam Raveentharan iaitu Datuk T. Tharumarajah, Kernail Singh dan Asmeeta Rajendran.

    Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat berkata keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos tahun lepas adalah berdasarkan bantahan awal yang dikemukakan pada pendengaran rayuan itu dan Mahkamah Rayuan tidak meneruskan untuk mendengar merit rayuan itu.

    “Oleh itu, usul kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan sekarang terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan itu adalah berdasarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden (Raveentharan) di Mahkamah Rayuan,” katanya.

    Beliau berkata, kebenaran tidak boleh diberikan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana permohonan kebenaran merayu mestilah berkaitan dengan perkara di Mahkamah Tinggi dalam bidang kuasa asalnya.’

    Hakim Ong membenarkan bantahan awal itu dan menolak permohonan kebenaran merayu dengan kos RM30,000.

    Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Raveentharan untuk memindahkan kes saman itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, menyebabkan Dr Zakir memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

    Bagaimanapun pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Zakir selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam Raveentharan berhubung ketidakpatuhan terhadap peruntukan mandatori Kaedah 18(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 oleh bekas peguam cara (Dr Zakir) berkaitan rekod rayuan.

    Beliau kemudian memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

    Pada prosiding mahkamah hari ini yang dijalankan secara maya, Kernail Singh mengemukakan bantahan awal dengan mengatakan permohonan Dr Zakir untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan adalah tidak kompeten.

    Beliau berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran kerana persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak timbul daripada penghakiman atau perintah Mahkamah Rayuan berkenaan dengan kausa perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.

    Kernail Singh berhujah, Mahkamah Rayuan tidak mendengar rayuan Dr Zakir mengenai merit terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya, sebaliknya Mahkamah Rayuan mendengar bantahan awal.

    Dalam erti kata lain, Mahkamah Rayuan mendengar bantahan awal dalam melaksanakan bidang kuasa asal Mahkamah Rayuan, tambahnya.

    Peguam Dr Zakir, Datuk Sulaiman Abdullah yang hadir bersama Dr Rafie Shafie dan Datuk Akberdin Abdul Kader, berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan perlu mendengar permohonan kebenaran merayu itu.

    Beliau berkata, individu yang mengemukakan bantahan awal harus menyatakan dengan lengkap apakah alasannya itu, tetapi dalam kes tersebut, Raveentharan tidak menyatakan apa-apa.

    Pada 12 Dis 2019, Dr Zakir selaku plaintif memfailkan saman terhadap bekas ADUN itu atas dakwaan memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Okt tahun sama.

    Plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya Raveentharan mengeluarkan lima kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

  • Banjir: Dua kali bersih rumah dalam tempoh 24 jam

    Banjir: Dua kali bersih rumah dalam tempoh 24 jam

    “DALAM tempoh 24 jam ini, sudah dua kali saya bersihkan rumah sepanjang tiga hari banjir melanda kampung ini,” kata Nosimah Naim, 56.

    Nosimah, yang tinggal di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka berkata air mulai naik pada Sabtu lepas separas paha dan beliau menyelamatkan barangan seperti perabot dan alat elektrik ke atas meja.

    Beliau berkata sebahagian daripada kelengkapan rumah seperti sofa pula diletakkan di atas jalan selepas memasang khemah bagi meneduhkan barangan tersebut daripada terkena air hujan.

    “Sabtu lalu, air mulai naik kira-kira pukul 10 pagi. Selepas memindahkan barangan ke tempat selamat saya kemudiannya mendaftarkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam yang terletak berdekatan rumah.

    “Pagi semalam, saya dimaklumkan air mulai surut dan memutuskan untuk mengemaskan rumah namun tak sangka air naik kembali pada pukul 3 pagi tadi separas lutut,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

    Suri rumah itu berkata beliau terpaksa memindahkan kembali kelengkapan rumah yang telah dikemaskan semalam ke tempat tinggi untuk kali kedua.

    “Inilah yang dilalui penduduk Kampung Belimbing setiap kali hujan. Sepanjang enam bulan lepas, sudah empat kali kampung ini dinaiki air termasuklah yang terbaru pada Sabtu lalu,” katanya.

    Sementara itu, penternak lembu dan kerbau Mohamad Noor Abdul Rahman, 43, berkata air yang kembali naik pada awal pagi tadi dipercayai dari Tampin, Negeri Sembilan yang mula masuk ke Sungai Melaka.

    “Saya mula tinggal di kampung ini sejak 2010 dan memang tiap-tiap tahun dilanda banjir, tapi kali ini lebih besar daripada tahun-tahun sebelumnya. Tak pernah air naik dua kali dalam tempoh 24 jam seperti kali ini.

    “Justeru saya berharap agar pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah banjir di kampung ini. Risau juga jika banjir lebih besar berlaku dan saya tak sempat nak selamatkan 20 ekor lembu dan 40 ekor kerbau yang mula diternak sejak tahun 2000,” katanya. – Bernama

  • Hujan lebat dijangka berterusan di Johor, Pahang sehingga esok

    Hujan lebat dijangka berterusan di Johor, Pahang sehingga esok

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga esok.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini memaklumkan daerah yang terlibat ialah Rompin di Pahang dan Mersing di Johor.

    Sementara itu, kenyataan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap kuning yang diramal berlaku di Kemaman (Terengganu), Maran, Kuantan, Bera, Pekan (Pahang), Kuala Pilah, Rembau, Jempol, Tampin (Negeri Sembilan) dan Melaka.

    Amaran tahap waspada itu turut diberikan kepada beberapa kawasan iaitu Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru (Johor) dan Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran (Sabah).

    Dalam pada itu NADMA turut menyarankan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah diaktifkan di kawasan yang berisiko tinggi selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana.

    “Pihak jawatankuasa itu juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut NADMA. – Bernama

  • Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada

    Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada

    PENDUDUK di lima negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air di beberapa sungai di negeri-negeri tersebut masih di tahap bahaya.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan di Pahang, paras air Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera, Stesen Paya Gintong di Jerantut dan Sungai Pahang, Kuala Krau di Temerloh berada pada tahap bahaya dengan trend menaik. 

    Sungai lain iaitu Sungai Pukin di Rompin, Stesen Jambatan Chegar Perah di Lipis dan Sungai Luit, Kampung Subuh di Maran juga masih berada tahap bahaya namun dengan trend menurun.

    Menurut JPS, di Selangor, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, juga berada pada tahap bahaya tetapi dengan trend menurun.

    Di Johor, dua sungai di Segamat iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.

    JPS memaklumkan di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol dan Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah berada dalam trend menurun walaupun masih tahap bahaya.

    Di Melaka, Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah mencatat tahap bahaya tetapi dengan trend menurun, sungai sama di Batu Hampar, Melaka Tengah mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin pula mencatat tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan. 

    Jabatan Mineral dan Geosains turut memaklumkan terdapat penambahan kawasan tanah runtuh hari ini melibatkan tujuh kawasan di Sabah, enam di Negeri Sembilan dan satu di Johor menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 243 kejadian di sembilan negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Terengganu dan Sarawak. 

    Kawasan baharu berlaku tanah runtuh di Sabah ialah Kampung Sagaliud Seberang di Jalan Sagaliud dan Kampung Warisan di Jalan Bukit Garam; Jalan Bongkud, Jalan Stadium, Jalan Tambunan-Ranau dan Jalan Timbau-Melinsau, Ranau serta Jalan Nangoh Paitan di Kanibongan.

    Di Negeri Sembilan, tanah runtuh berlaku di Jalan Seremban-Port Dickson, Jalan Karak-Tampin dan Jalan Talang Ulu, Kampung Lubuk Kadam, Tanjung Ipoh serta tiga kawasan perumahan di Taman Desa Permai dan Kampung Jeram di Tampin dan Gemas. 

    Kawasan berlaku tanah runtuh di Johor pula ialah Taman Bukit Pelali di Pengerang yang menjejaskan kawasan perumahan.– Bernama

  • Warga emas ditemui mati selepas lebih seminggu di rumah

    Warga emas ditemui mati selepas lebih seminggu di rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI kehilangan seorang lelaki warga emas yang sudah lebih seminggu tidak kelihatan terjawab apabila ditemukan mati di kediamannya di Jalan Layang 3, Taman Perling, Johor Bahru semalam.

    Jiran mangsa yang sudah beberapa hari tidak melihat kelibat Ng Meng Kuan, 83, sebelum itu terhidu bau busuk dari rumahnya selain sudah beberapa hari tidak melihat kelibat warga emas tersebut.

    Susulan itu jiran tersebut menghubungi pihak polis sebelum bomba datang membantu memecahkan pintu untuk masuk ke rumah.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Syuhaidy Fazly Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 petang.

    “Seramai lapan anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Pihak bomba membuka pintu kediaman yang berkunci menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa yang tinggal seorang diri ditemukan sudah meninggal dunia dipercayai sejak lebih seminggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi tersebut kemudian ditamatkan pada pukul 4.42 petang,” ujarnya.