Category: Semasa

  • Penganggur dipenjara 4 tahun rompak kedai serbaneka

    Penganggur dipenjara 4 tahun rompak kedai serbaneka

    PADAH merompak seorang juruwang wanita dengan bersenjatakan sebilah pisau di sebuah kedai serbaneka, seorang penganggur dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Cheong Seong Yoon, 55, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah pada tarikh jatuh hukum pada Rabu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 14 Disember lepas.

    Seong Yoon didakwa merompak Roziati Husni, 57, dengan melarikan 177 kotak rokok dan wang tunai RM147 di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sarjana Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur pada 8.59 pagi, 20 November lepas, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal manakala Seong Yoon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dilaksanakan dari tarikh tangkap.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh merompak mangsa di kedai tersebut dengan sebilah pisau sebelum menjual 20 daripada jumlah kotak rokok yang dicuri kepada seorang lelaki warga Bangladesh. – Bernama

  • Muhyiddin cadang JKM selaras semua bantuan kerajaan

    Muhyiddin cadang JKM selaras semua bantuan kerajaan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan untuk menggunakan agensi tunggal bagi menguruskan semua bayaran kepada mangsa banjir yang terkesan melalui bantuan disediakan.

    Beliau berkata, kaedah itu lebih memudahkan mangsa-mangsa yang terkesan untuk menerima bantuan kecemasan, insentif pembaikan rumah, penggantian barangan elektrik yang rosak atau bantuan daripada kerajaan negeri.

    “Saya minta kerenah birokrasi bayaran-bayaran bantuan ini dipermudahkan serta dipercepatkan, kalau boleh diselaraskan oleh satu agensi sahaja seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) contohnya.

    “JKM dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memiliki semua rekod termasuk butiran mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara yang telah disahkan.

    “Maka, sudah cukup kalau (guna data) itu berdasarkan apa kelayakan penerima untuk membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat tanpa menunggu berbulan-bulan selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

    “Kita gunakan satu pangkalan data sahaja, jangan esok (bantuan) jabatan ini satu borang, esoknya lagi satu borang lain dan kena tandatangan penghulu, ketua kampung dan sebagainya,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau keadaan banjir di kawasan itu termasuk singgah ke PPS Balairaya Kampung Jawa di Lenga, Muar.

    Muhyiddin berkata, semua urusan pendaftaran, pengesahan dan borang-borang berkaitan seharusnya diselesaikan di PPS sementara mangsa-mangsa masih berlindung di situ.

    Dalam tinjauan berkenaan, beliau berpuas hati dengan kerjasama serta koordinasi antara agensi dan jabatan-jabatan kerajaan dalam membantu proses pemindahan mangsa banjir serta bantuan susulan yang diperlukan.

    “Keadaan di sini tidak sama seperti di tempat lain macam Selangor kerana di sini air naik lambat, malah penduduk juga sudah berpengalaman kerana mereka terus berpindah dan mereka tahu jika lambat keluarga akan terperangkap dan menyukarkan kerja-kerja menyelamat.

    “Kesemua mangsa di PPS kata mereka dalam keadaan baik, tempat tinggal baik, makanan cukup dan kalau ada yang sakit terdapat doktor bersedia untuk memberikan rawatan.

    “Selain itu, kita lihat banyak bantuan diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negeri. Ini contoh sikap perikemanusiaan yang cukup tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia baik dari yayasan atau NGO yang tampil ke depan menghulurkan tangan,” katanya.

  • Maritim Malaysia lakukan rampasan daun ketum terbesar seberat 5 tan

    Maritim Malaysia lakukan rampasan daun ketum terbesar seberat 5 tan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Hasil kecekapan risikan yang dilaksanakan selama hampir sebulan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira lima tan daun ketum ke negara jiran dan menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi ‘transporter’, awal pagi semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan daun ketum tersebut merupakan yang terbesar dilakukan setakat ini dan hampir menyamai jumlah rampasan keseluruhan pada 2021 iaitu sebanyak 5.9 tan.

    Katanya, tangkapan tersebut dilakukan pada pukul 1.40 pagi semalam apabila pihaknya berjaya mengesan kedudukan sebuah bot fiber yang bergerak keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan gelap.

    “Bot Perkasa 1226 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan. Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot menuju ke daratan berhampiran.

    “Bot fiber itu bagaimanapun berjaya dipintas lalu ditahan oleh pegawai dan anggota yang menaiki Bot Perkasa 1226. Pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki warganegara tempatan menaiki bot fiber itu yang turut membawa 200 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum dianggarkan seberat kira-kira dua tan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Marina Harbour, Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, soal siasat dijalankan terhadap kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan 300 lagi bungkusan plasik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat tiga tan, di satu kawasan yang terletak kira-kira 4.0 batu nautika, timur muara Kuala Kedah.

    “Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa yang mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding RM40 di pasaran tempatan.

    “Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.08 juta dengan nilai daun ketum yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM900,000,” katanya.

    Mohd. Zawawi menambah, kedua-dua transporter itu mendakwa mereka menerima upah sebanyak RM700 untuk dikongsi berdua bagi menyelesaikan tugas tersebut.

    “Upah diterima itu agak rendah kerana biasanya mereka akan menerima RM500 atau RM700 seorang bergantung kepada kuantiti penghantaran. Namun bersandarkan kekuatan enjin bot yang berkuasa 115 kuasa kuda, kita percaya mereka memang merancang untuk melakukan penyeludupan secara besar-besaran pada satu-satu masa,” katanya.

  • ‘’Perbuatan berniat amat jahat, saya akan ambil tindakan undang-undang’’ – Azam Baki

    ‘’Perbuatan berniat amat jahat, saya akan ambil tindakan undang-undang’’ – Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam berkata ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

    “Ia digambarkan seolah-olah saya mengawal satu konglomerat yang besar di bawah saya demi untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai KP (Ketua Pesuruhjaya)  dan institusi SPRM,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini berhubung beberapa dakwaan dan isu yang tular kebelakangan ini.

    Azam berkata setelah mendapatkan nasihat peguam, beliau telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan reputasi beliau dan juga SPRM.

    Beliau dalam sidang media itu berkata terdapat usaha beberapa pihak berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM, yang mengambil kesempatan untuk menghakis kepercayaan masyarakat terhadap SPRM dengan menjadikan KP sebagai sasaran serangan bertubi-tubi.

    Malahan mereka juga telah mengunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM, katanya.

    “Kami telah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka,” katanya.

    Azam berkata apa yang mereka tulis adalah untuk menjatuhkan reputasinya dan beliau juga menyedari ia antara cabaran yang dihadapi oleh hampir semua KP SPRM.

    Dalam melaksanakan tugas, SPRM banyak membuat tangkapan sama ada orang kenamaan atau orang biasa, sudah tentu ia menimbulkan kemarahan beberapa pihak, katanya.

    “Saya sudah berkhidmat selama 37 tahun, saya mungkin mempunyai ramai musuh dan berkemungkinan ramai yang tidak suka dengan saya,” katanya. 

  • Mangsa banjir di empat negeri menurun, Terengganu pulih sepenuhnya

    Mangsa banjir di empat negeri menurun, Terengganu pulih sepenuhnya

    JUMLAH mangsa banjir di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun setakat tengah hari ini berbanding pagi tadi, manakala di Terengganu banjir pulih sepenuhnya dengan penutupan kesemua PPS di negeri itu.

    Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat sedikit manakala di Selangor jumlahnya masih kekal seperti pagi tadi.  

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,117 orang daripada 285 keluarga pada pukul 12 tengah hari ini berbanding 1,256 mangsa daripada 324 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

    Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 1,286 individu membabitkan 337 keluarga dengan 15 PPS dibuka setakat tengah hari ini berbanding 1,488 individu (396 keluarga) pagi tadi.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit penurunan tengah hari ini apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan 1,822 orang ditempatkan di 31 pusat pemindahan berbanding 1,846 individu di 32 PPS pagi tadi.

    Kesemua mangsa melibatkan 559 keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan di Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin manakala PPS di daerah Raub telah ditutup tengah hari ini.

    Selain itu, beberapa jalan masih ditutup antaranya Jalan Triang 1 di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir menurun sedikit dengan 3,347 mangsa banjir daripada 1,349 keluarga tengah hari ini berbanding 3,385 orang daripada 1,329 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa banjir ditempatkan di 29 PPS di lima daerah terjejas banjir terletak di utara dan pantai timur di negeri itu.

    Cuaca tengah hari ini mendung di kebanyakan kawasan utara dan pantai timur, serta di kawasan pantai barat Sabah.

    Di TERENGGANU, banjir gelombang ketiga yang bermula pada 30 Dis lepas pulih sepenuhnya hari ini apabila dua PPS terakhir di Kemaman ditutup secara rasmi pada 12 tengah hari.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan PPS pertama ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga pada 8.30 pagi tadi diikuti PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor.

    Pemantauan akan tetap dilakukan sepanjang Monsun Timur Laut yang berakhir pada Mac ini.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah meningkat sedikit kepada 5,486 orang daripada 1,456 keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 5,399 orang daripada 1,430 keluarga pagi tadi, dengan 80 PPS masih beroperasi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata ia berikutan terdapat penambahan jumlah mangsa di daerah Segamat dan Muar.

    Sementara itu, beliau berkata cuaca di kesemua daerah adalah cerah setakat tengah hari ini meskipun tiga sungai masih mencatatkan aras bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat serta Buloh Kasap dan Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor dekat Tangkak.

    Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir atau hujan lebat bakal berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang setakat 10 pagi tadi. – Bernama

  • Tiada percanggahan kepentingan dalam urusniaga saham libatkan Azam Baki

    Tiada percanggahan kepentingan dalam urusniaga saham libatkan Azam Baki

    LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), satu daripada lima badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan  melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam urus niaga saham pada 2015.

    Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lepas (2021) telah mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham-saham pada tahun 2015.

    Abu Zahar berkata pembelian saham-saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.

    Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mengadakan sidang media di Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Tan Sri Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary mahupun beneficial ke atas saham-saham berkenaan.

    “Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau conflict of interest dalam perkara tersebut,” jelasnya.

    Beliau menambah, di samping itu, LPPR turut bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat dalam masa yang tertentu, tetapi malangnya isu itu telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Edmund Terence Gomez.

    “Perkara ini (pendedahan Edmund) amat mengejutkan saya,” ujarnya.

  • Ibu, kekasih didakwa bunuh anak 3 tahun

    Ibu, kekasih didakwa bunuh anak 3 tahun

    SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Disember lepas.

    M Sutha, 26, yang merupakan ibu kandung kepada kanak-kanak itu dan S Davandakumar, 28, hanya mendiamkan diri ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.

    Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, pasangan kekasih itu secara bersama telah menyebabkan kematian K Nithish di sebuah rumah di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa, Klang, pada 24 Disember lepas.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mac depan.

    Pada 28 Disember lepas, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju di daerah itu. – Bernama

  • Azmi nafi 1MDB tarik saman supaya beri keterangan terhadap Najib

    Azmi nafi 1MDB tarik saman supaya beri keterangan terhadap Najib

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir tidak bersetuju bahawa saman sivil oleh 1MDB terhadapnya ditarik balik sebagai balasan untuk memberikan keterangannya terhadap Datuk Seri Najib Razak.

    Walau bagaimanapun, Malaysiakni melaporkan beliau bersetuju dengan pasukan peguam bekas Perdana Menteri itu bahawa nama beberapa saksi pendakwaan juga digugurkan daripada saman sivil yang sama.

    Semasa perbicaraan terhadap Najib berhubung kes rasuah melibatkan dana RM2.28 bilion 1MDB, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, beliau tidak memberikan keterangan terhadap bekas Perdana Menteri itu, semata-mata sebagai balasan agar namanya (Azmi) disingkirkan daripada saman sivil oleh 1MDB.

    Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Hariharan Tara Singh, yang berhujah bahawa 1MDB menggugurkan saman sivilnya supaya beliau memberi keterangan terhadap Najib.

    Hariharan: Anda setuju walaupun terdapat tuntutan besar (saman sivil 1MDB) terhadap anda, saman itu kemudiannya dipinda dan nama anda dibuang?

    Azmi: Ya.

    Hariharan: Saya menyatakan kepada anda bahawa nama anda telah dikeluarkan daripada saman sivil ini supaya anda boleh memberikan keterangan terhadap Najib.

    Azmi: Saya tidak setuju.

    Hariharan: Anda setuju bahawa orang yang tidak dipanggil sebagai saksi (dalam kes jenayah 1MDB terhadap Najib), nama mereka kekal dalam saman sivil?

    Azmi: Setuju.

    Azmi adalah antara 22 individu dan entiti yang menjadi sasaran saman sivil oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International pada tahun lepas.

    Saman sivil itu menyasarkan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

    Bagaimanapun, pada penghujung tahun lalu dilaporkan beberapa nama defendan telah dikeluarkan daripada saman sivil berkenaan, seperti Azmi; bekas pengarah 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman.

    Selain Azmi yang kini berada di kandang saksi, saksi lain seperti Shahrol Azral, Hazem dan Ismee sebelum ini telah memberi keterangan untuk pihak pendakwaan dalam perbicaraan terhadap Najib.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini, dan dijangka akan diteruskan esok.

    Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

    1MDB dimiliki sepenuhnya oleh kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

    Selain merupakan bekas perdana menteri, tertuduh juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

    Pihak pendakwaan berhujah bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low), atas arahan Najib, telah berpakat dengan beberapa pegawai 1MDB lain untuk menyalahgunakan berbilion ringgit dana daripada syarikat itu, dan melalui aliran kewangan yang kompleks memindahkan sebahagian dana itu ke akaun perdana menteri ketika itu.

    Bagaimanapun, pasukan pembelaan berhujah bahawa Najib tidak tahu mengenai salah laku dalam 1MDB, dan keseluruhan urusan itu didalangi sepenuhnya oleh Jho Low dan beberapa pihak lain dalam 1MDB.

  • Pemuda OKU tabur bakti bantu mangsa banjir

    Pemuda OKU tabur bakti bantu mangsa banjir

    SEORANG lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) sanggup menempuh perjalanan lebih 400 kilometer (km) dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah bagi menghantar dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Labohan Dagang, Sepang.

    Muhammad Azamirudin Ismail, 28, yang merupakan OKU Cerebral Palsy (CP) bersemangat untuk menabur bakti dengan menjalankan misi membantu mangsa banjir di kampung berkenaan.

    Pemuda OKU itu tidak berseorangan sebaliknya bergerak bersama-sama 10 rakan dari Team 4×4 Sungai petani dan penternak udang kara air tawar yang menetap di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

    Menurutnya, barangan bantuan dalam misi itu diperoleh hasil sumbangan daripada penduduk dan rakan penternak udang kara air tawar di sekitar Sungai Petani.

    “Sumbangan ini dikumpulkan dalam tempoh seminggu selepas berlakunya banjir di Selangor.

    “Antara barangan disumbangkan termasuklah pakaian, makanan ringan, minuman dan pelbagai lagi untuk kegunaan asas kepada mangsa banjir yang mana ia dimuatkan ke dalam tiga kenderaan pacuan empat roda,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

    Bercerita lanjut, dia mengakui pembabitan dalam misi itu sedikit memberi cabaran buatnya kerana keadaannya yang bergerak menaiki kerusi roda.

    “Ketika di lokasi, air banjir belum surut sepenuhnya dan kawasan sekitar juga masih dipenuhi banyak sampah yang belum dibuang.

    “Itu belum lagi kesesakan jalan disebabkan banyak kenderaan berat yang membawa sukarelawan keluar masuk ke kawasan banjir untuk proses pembersihan serta agihan makanan dan bantuan.

    “Sebahagian jalan hanya dapat dimasuki kenderaan pacuan empat roda saja namun saya dapat atasi cabaran itu berkat kerjasama dan bantuan daripada rakan yang turut menjayakan misi bantuan kali ini,” katanya.

    Di sebalik halangan itu, Azamirudin bersyukur kerana dapat mengikuti misi berkenaan kerana memberi peluang untuknya mewakili komuniti OKU membantu mereka yang ditimpa musibah.

    “Saya sangat terkesan dan sedih melihat kerosakan rumah, harta benda dan kenderaan mangsa.

    “Bukan setakat itu, haiwan ternakan mereka juga mati akibat banjir… begitu juga peralatan dalam kolam ternakan.

    “Jadi, lega rasanya apabila dapat membantu mangsa, walaupun sedikit, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat mengukir senyuman mereka yang masih berduka,”katanya.

  • Buruh binaan dipenjara tiga bulan ugut bunuh jiran, bogel di tempat awam

    Buruh binaan dipenjara tiga bulan ugut bunuh jiran, bogel di tempat awam

    AKIBAT mengugut untuk membunuh dan berbogel di hadapan rumah seorang wanita yang juga jirannya, seorang buruh binaan dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

    Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas A. Anbalagan, 38, selepas dia mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan mengugut manakala penjara dua bulan bagi pertuduhan berbogel dan kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Nov 2021.

    Anbalagan didakwa mengugut untuk membunuh wanita berumur 36 tahun itu dengan niat untuk mendatangkan cedera, di hadapan rumah mangsa di Batu Arang, Gombak, pada 8.40 malam, 2 November 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dia juga didakwa melakukan perbuatan lucah dengan berbogel di tempat awam di lokasi sama, pada 7 pagi, 3 November 2021 dan dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

    Peguam M. Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ketika kejadian anak guamnya mabuk dan tidak ingat apa yang berlaku serta memohon maaf atas kesilapan itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah jirannya. – Bernama