Category: Semasa

  • Rasuah dapatkan kontrak:Pesara, pengurus syarikat ditahan

    Rasuah dapatkan kontrak:Pesara, pengurus syarikat ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat menahan seorang pesara sebuah syarikat milik kerajaan dan seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan RM500,000.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 61 tahun itu ditahan pejabat SPRM Johor Bahru antara pukul 12.30 tengah Hari hingga 5 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan pada 2019 hingga 2020, suspek pesara yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus syarikat milik kerajaan di Segamat telah menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja kontrak perladangan di daerah tersebut.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    Dalam pada itu, Majitret Suhaila Shafi’uddin membenarkan tempoh reman selama lima bermula hari ini hingga 10 Januari ini.

  • Penduduk beli bot, sedia hadapi banjir

    Penduduk beli bot, sedia hadapi banjir

    SEDIAKAN payung sebelum hujan, peribahasa itu menjadi pegangan hampir rata-rata penduduk Kampung Batu Badak, di Segamat yang menyediakan bot fiber di kediaman masing-masing bagi menghadapi kejadian banjir yang berlaku saban tahun.

    Ternyata pelaburan penduduk kampung yang menempatkan lebih 30 keluarga itu tidak sia-sia, bahkan mampu menyelamatkan harta benda dan nyawa keluarga tersayang.

    Bagi Mohammad Yahaya, 49, bot fiber dan enjin yang dibeli sejak beberapa tahun lalu itu adalah hasil titik peluh bekerja sebagai penoreh getah bagi memudahkan kerja-kerja memindahkan kira-kira 12 ahli keluarganya ketika banjir.

    Menurutnya, bot dan enjin yang bernilai lebih RM8,000 itu banyak membantu mereka sekeluarga dan penduduk setempat untuk keluar dari kawasan yang tenggelami banjir dan berteduh ke kawasan yang lebih tinggi.

    “Kawasan ini berhampiran dengan Sungai Muar iaitu kira-kira satu kilometer dari penempatan kami, jadi apabila paras air sungai ini naik, pasti rumah kami dinaiki air.

    “Walaupun kebanyakan rumah di sini dibina lebih daripada 14 kaki tetapi, ia masih dinaiki air dan kami anggap ini perkara biasa kerana rumah dekat dengan sungai,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

    Mohammad berkata kejadian banjir besar yang dialaminya pada 2006 dan 2011 adalah lebih teruk berbanding kali ini apabila rumah penduduk di kawasan itu ditenggelami air sehingga bumbung rumah tidak kelihatan.

    Jelasnya, air di kawasan tersebut akan mengambil masa lama untuk surut dan boleh mencecah sehingga sebulan untuk kembali seperti biasa. 

    Tinjauan Bernama di kampung tersebut mendapati kawasan kediaman masih ditenggelami air dengan penduduk meletakkan bot fiber mereka berhampiran jambatan Seberang Batu Badak, Segamat.

    Beberapa penduduk kampung membina khemah di jalan tersebut bagi memastikan bot berkenaan tidak dicuri atau hanyut dibawa arus air. – Bernama

  • 120 ekor lembu hilang, jadi ‘mangsa’ korban banjir di Segamat

    120 ekor lembu hilang, jadi ‘mangsa’ korban banjir di Segamat

    TIADA kata yang mampu diungkap, hanya air mata menjadi saksi kehibaan Tey Teng Swee apabila kandang lembu yang diusahakannya sejak lima tahun lepas hilang sekelip mata ‘ditelan’ dalam kejadian banjir di Batu 7 Jalan Muar, Segamat, sejak Ahad lepas.

    Wajah penternak berusia 60 tahun itu juga kelihatan sugul memikirkan nasib 120 ekor lembu pedaging dari baka Charolais, Bali, Belgian Blue dan Brahman yang masih hilang dalam kejadian banjir yang melanda daerah itu.

    Ketika ditemui Bernama, Teng Swee berkata, beliau tidak menyangka kandang setinggi lapan kaki yang dibinanya akan ditenggelami air.

    “Saya dan pekerja cuba untuk mengeluarkan lembu-lembu berkenaan tetapi gagal kerana kawasan sudah dipenuhi air dan haiwan tersebut sudah kelihatan penat kerana tidak diberikan makanan.

    “Kami hanya berjaya menyelamatkan kira-kira 20 ekor lembu dengan menggunakan bot, yang kemudianya terpaksa ditambatkan di tepi jalan,” katanya yang memakai anduh pada tangan kirinya, akibat patah ketika cuba menyelamatkan lembu-lembunya itu.

    Lebih memilukan, biarpun berjaya menyelamatkan sebahagian ternakannya, kebanyakan haiwan ternakannya itu berada dalam keadaan lemah, sehingga ada yang mati akibat kepenatan dan kelaparan, kata Teng Swee.

    Beliau berkata, walaupun Jabatan Perkhidmatan Veterinar ada membantu dengan memberi bantuan makanan kepada haiwan ternakannya, tetapi dalam keadaan banjir, lembu tersebut tidak mampu untuk bergerak apatah lagi mengharungi air banjir yang deras.

    “Saya tidak tahu nak buat apa sekarang, dengan keadaan lembu yang masih lemah… saya harap saya boleh bangkit lagi selepas ini,” katanya.

    Teng Swee berkata, berikutan bencana itu beliau menganggarkan jumlah kerugian sekitar RM600,000 melibatkan empat baka lembu pedaging yang diusahakannya itu. – Bernama

  • DUN Johor rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Osman

    DUN Johor rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Osman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar ke-16, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia 21 Disember lalu.

    Ucapan berkenaan disampaikan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat sebelum memulakan Sidang Khas DUN Johor, di Iskandar Puteri pagi ini.

    “Dukacita dimaklumkan mantan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang mula berkhidmat mulai 12 Mei 2018 hingga 13 April telah kembali ke rahmatullah pada 21 Disember 2021.

    “Allahyarham juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas yang berkhidmat mulai 29 November 1999 hingga 2 April 2013 serta 11 Mei 2018 hingga 20 Disember 2021, selama tiga penggal.

    “DUN Johor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarganya dan marilah kita doakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Ahli dewan yang beragama Islam sedekahkan ucapan al-Fatihah kepada Allahyarham manakala yang bukan Islam bertafakur berdiri selama seminit,” katanya.

    Pada 21 Disember lalu, Osman, 70, dilaporkan meninggal dunia di ibu negara pada pukul 11.45 malam. Allahyarham sebelum ini diserang penyakit angin ahmar pada pertengahan Oktober tahun lalu ketika berada di kediamannya.

    Pada awal November lalu, keadaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam itu dilaporkan stabil, namun masih belum pulih sepenuhnya sebelum dilaporkan menghembuskan nafas terakhir.

  • Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki tempatan dikenali N. Ganesparan kerana gagal hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi kes pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berkenaan dikehendaki bersabit waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur pada 20 Dis lepas, berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 233(1(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki berusia 40 tahun itu,(dinasihatkan) supaya menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Supt Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat Insp Shahrir Mohamad 019-5414014,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Sebelum ini, media melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi Diraja dan kerajaan yang tular di media sosial. – BERNAMA

  • Cemar sungai:JAS tahan pengurus, pengarah kilang

    Cemar sungai:JAS tahan pengurus, pengarah kilang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor menahan seorang pengurus dan seorang pengarah kilang kerana dipercayai melepaskan sisa buangan di Sungai Perembi, Pasir Gudang kelmarin.

    Menurut Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusoff, dua suspek lelaki yang merupakkan warganegara tempatan itu berusia 50-an dan 40-an.

    “Kedua-dua mereka ditahan ketika serbuan dijalankan terhadap premis berkenaan pada pukul 4 petang.

    “Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam lebih kurang pukul 5 petang.

    “Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana melepaskan air buangan efluen tidak terolah secara pintasan (bypass) ke Sungai Perembi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Difahamkan kilang tersebut merupakan sebuah kilang yang memproses bahan berasaskan makanan.

    Pihaknya kemudian mengarahkan premis berkenaan untuk melakukan langkah penambahbaikan bagi dan menghentikan pembuangan sisa berkenaan.

    “Siasatan di sungai mendapati tiada pencemaran berlaku akibat sisa buangan daripada premis tersebut,” katanya.

    Famey berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntuk denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Shamsubahrin didenda RM3,000 buat kenyataan kegentaran awam isu Rohingya

    Shamsubahrin didenda RM3,000 buat kenyataan kegentaran awam isu Rohingya

    AHLI perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam berhubung pelarian Rohingya, dua tahun lepas.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Shamsubahrin, 56, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya pada tarikh jatuh hukum hari ini. Tertuduh membayar denda tersebut.

    Rakaman video berdurasi 51 saat turut dimainkan semula di dalam mahkamah hari ini dan tertuduh mengakui yang dia membuat kenyataan tersebut.

    Shamsubahrin didakwa secara sedar telah membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam pada 30 April 2020.

    Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Aras 28, Menara KPJ, pada 12.30 tengah hari, 4 Mei 2020.

    Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi itu dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan dia menghidap kanser dan pernah dijangkiti virus COVID-19.

    “Saya hanya mewakili B40 kerana ramai pemandu teksi adalah B40, yang hanya bergantung pada bantuan kerajaan sahaja serta ia tidak mencukupi,” kata tertuduh.

    Mengikut fakta kes, semasa pengadu (seorang anggota polis) melayari internet di pejabat JSJK Bukit Aman, beliau terlihat satu posting video telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Soleha Ali. – BERNAMA

  • Farid Kamil gagal dapat kebenaran rayu sabitan kekerasan jenayah

    Farid Kamil gagal dapat kebenaran rayu sabitan kekerasan jenayah

    PELAKON dan pengarah Farid Kamil Zahari hari ini gagal mendapatkan kebenaran merayu terhadap sabitan dan hukuman denda RM5,500, atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis, dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, empat tahun lepas.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak permohonan Farid Kamil, 40, selaku pemohon, bagi mendapatkan kebenaran merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Ogos 2021.

    “Mahkamah mendapati persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pemohon adalah tidak relevan. Oleh itu, permohonan pemohon tidak mempunyai merit dan ditolak oleh mahkamah,” kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

    Pada 2 Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan ke atas Farid Kamil, yang didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 1.20 tengah hari, 11 Jan 2018, mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

    Aktor itu juga dipenjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap mangsa yang sama pada masa dan tempat sama, mengikut Sesyen 90 Akta Polis 1967. Namun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak, iaitu Farid Kamil hanya perlu menjalani hukuman penjara 13 bulan.

    Bagaimanapun, berikutan rayuan pelakon itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000, manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.

    Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu, selepas mengambil kira bahawa Farid Kamil telah membayar kompaun kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian itu termasuk anggota polis berkenaan.

    Sementara itu, panel tiga hakim berkenaan turut menolak permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman bagi pertuduhan di bawah Sesyen 90 Akta Polis 1967, selepas mendapati pihak pendakwa raya tidak menyatakan alasan mencukupi bagi menyokong permohonannya.

    Ini bermakna, pihak pendakwaan hanya akan meneruskan rayuan silang terhadap denda RM5,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Farid Kamil, atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah.

    Tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

    Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah dan Zaki Asyraf Zubir manakala peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke bertindak bagi pihak Farid Kamil. – BERNAMA

  • Musibah banjir:54 kematian, 2 masih hilang

    Musibah banjir:54 kematian, 2 masih hilang

    JABATAN Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) memaklumkan, sebanyak 54 kematian dan dua dilaporkan masih hilang dalam bencana banjir yang melanda negara sejak 18 Disember lalu.

    Menurut Pengarah KDNKA, Datuk Hazani Ghazali, Selangor mencatat bilangan kematian tertinggi dengan 25 mangsa.

    “Pahang merekodkan 21 kematian, diikuti empat kes di Kelantan manakala tiga di Sabah dan satu di Negeri Sembilan.

    “Selain itu, dua yang dilaporkan masih hilang adalah di Pahang membabitkan individu dewasa,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

    Katanya, tujuh negeri terbabit bencana banjir dengan 172 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif.

    Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima daripada semua Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) yang terbabit bencana banjir adalah seramai 13,322 orang daripada 3,989 keluarga setakat tengah hari ini.

    “Warga PDRM yang terjejas banjir pula adalah seramai 67 orang setakat semalam.

    “Secara keseluruhan mangsa banjir di seluruh negara dari 10 November sehingga hari ini adalah seramai 505,069 orang,” katanya.

    Selain itu, katanya, 53 jalan turut ditutup akibat air bertakung dan tanah runtuh.

  • Sultan Johor berkenan benar solat jemaah jarak setengah meter

    Sultan Johor berkenan benar solat jemaah jarak setengah meter

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan agar pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di negeri ini dilakukan dengan jarak hanya setengah meter berbanding satu meter yang dikenakan sebelum ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, perubahan itu berkuat kuasa bermula Jumaat ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

    Katanya, turut dipersetujui adalah solat hajat dilaksanakan selepas solat Maghrib setiap hari dan selepas solat Jumaat setiap minggu di semua masjid dan surau negeri ini.

    “Tujuannya adalah bagi memohon kesejahteraan buat negeri dan negara daripada segala musibah dan wabak penyakit.

    “Selain itu, program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah dan ceramah agama ditambah daripada tempoh masa hanya satu jam kepada dua jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, penjarakan jemaah ditetapkan kepada satu meter setiap jemaah akibat negara ini dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac 2020 lalu.

    Menurut Tosrin lagi, bacaan qunut Nazilah hendaklah dibaca dalam solat Jumaat setiap minggu di seluruh negeri.

    “Dalam pada itu, ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau perlu terus memastikan semua jemaah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

    “SOP tersebut termasuklah memakai pelitup muka, lengkap dua dos vaksin, membawa sejadah sendiri dan tidak mempunyai sebarang gejala,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat khususnya masyarakat Muslim di negeri ini untuk sama-sama berdoa agar beroleh perlindungan daripada segala wabak dan bencana.