JABATAN Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) memaklumkan, sebanyak 54 kematian dan dua dilaporkan masih hilang dalam bencana banjir yang melanda negara sejak 18 Disember lalu.

Menurut Pengarah KDNKA, Datuk Hazani Ghazali, Selangor mencatat bilangan kematian tertinggi dengan 25 mangsa.

“Pahang merekodkan 21 kematian, diikuti empat kes di Kelantan manakala tiga di Sabah dan satu di Negeri Sembilan.

“Selain itu, dua yang dilaporkan masih hilang adalah di Pahang membabitkan individu dewasa,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, tujuh negeri terbabit bencana banjir dengan 172 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima daripada semua Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) yang terbabit bencana banjir adalah seramai 13,322 orang daripada 3,989 keluarga setakat tengah hari ini.

“Warga PDRM yang terjejas banjir pula adalah seramai 67 orang setakat semalam.

“Secara keseluruhan mangsa banjir di seluruh negara dari 10 November sehingga hari ini adalah seramai 505,069 orang,” katanya.

Selain itu, katanya, 53 jalan turut ditutup akibat air bertakung dan tanah runtuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here