Category: Semasa

  • Belasah pemandu e-hailing sampai mati, 6 lelaki ditahan

    Belasah pemandu e-hailing sampai mati, 6 lelaki ditahan

    MALANG tidak berbau bagi seorang lelaki berusia 28 tahun yang diserang sekumpulan lelaki warga tempatan selepas berhibur bersama teman wanitanya, di sebuah pusat hiburan di Kepong pada 28 Dis lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, seramai enam individu memukul mangsa yang merupakan pemandu e-hailing sehingga mengalami pendarahan di bahagian kepala, dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat ‘Blunt Force Trauma to The Head’ pada 30 Dis lalu, selepas dua hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, sebelum kejadian itu berlaku, telah terjadi isu salah faham membabitkan teman wanita mangsa bersama kesemua suspek yang terlibat.

    “Menurut teman wanita mangsa yang merupakan saksi kejadian terbabit, dia bersama mangsa berada di dalam kereta di tempat letak kereta berkenaan, dan mereka melihat kesemua suspek dari dalam pusat hiburan menghampiri dan bertindak membuka pintu kereta milik mangsa.

    “Kesemua suspek menarik keluar mangsa dari kenderaan dan memukul mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan yang parah, dan kesemua suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

    Eng Lai berkata, pihaknya bersama bahagian D9 ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, berjaya menahan kesemua individu terbabit di dalam beberapa siri serbuan di lokasi yang berbeza.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kesalahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 13 Jan depan.

    lelaki dadah sentul
    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, lima wanita antara 15 warga tempatan yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual dan memproses pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM300,000 di sekitar ibu kota, Selasa lepas.

    Eng Lai berkata, suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di Jalan Ipoh, Jinjang, Jalan Kuching dan Cheras Awana.

    Beliau berkata antara lain, polis merampas lebih 5 kilogram serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kanabis seberat 745.69 gram (g), pil eramin 5 (173.64 g), pil ekstasi (30.42 g), ketamin (0.99 g) dan syabu (0.94 g).

    “Turut ditemukan makmal mini pemprosesan dadah di sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar kawasan Jalan Ipoh.

    “Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati lapan daripada mereka yang ditahan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol dan Ketamin serta tiga lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya

    Eng Lai berkata, mereka ditahan reman selama tujuh hari hingga 11 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat sebagai sumber bekalan,” katanya. – BERNAMA

  • Tular: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dirempuh kereta

    Tular: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dirempuh kereta

    EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di Johor Bahru, petang semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Supt Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun, dan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.

    Menurut beliau, ketika kejadian, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.

    “Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal bersama isteri bersama dua anaknya mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

    “Sementara itu, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Trafik JBS pada pukul 6.53 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jit Huey berkata, percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu kata beliau, pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan Azim@Azim Ab Samt di 019-7533893.

    Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan tersebut.

    Akibat dari rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak di atas jalan raya.

    Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian tersebut. – BERNAMA

  • Kekeliruan punca individu tanpa vaksin lepas pemeriksaan

    Kekeliruan punca individu tanpa vaksin lepas pemeriksaan

    MUNGKIN terdapat kekeliruan antara agensi kerajaan yang sepatutnya melakukan pemeriksaan terhadap individu tanpa vaksin yang bebas keluar masuk ke negara ini melalui lapangan terbang antarabangsa.

    Memetik laporan BH, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jabatan Imigresen tidak seharusnya dipersalahkan dalam isu ini.

    Menurut beliau, setiap individu yang melalui pemeriksaan pasukan berkenaan akan membawa bersama pas pelepasan.

    “Sepatutnya sebelum mereka ambil ‘boarding pass’ (pas pelepasan), di situlah harus ada pemeriksaan sama ada pengembara ini sudah mendapatkan vaksin atau belum sebelum melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen.

    “Ketika melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen pula, apabila kita sudah melakukan pemeriksaan berkaitan dokumentasi perjalanan dan individu itu memiliki pas pelepasan, maka kita akan benarkan dia lalu,” katanya selepas menghadiri Program Mekar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini.

    Hamzah menambah, kejadian seumpama itu iaitu pemeriksaan berkaitan individu yang sudah divaksin atau sebaliknya, adalah sesuatu perkara yang di luar jangkaan dan tidak pernah berlaku sebelum ini, namun akan diperbaiki secepat mungkin.

    “Kita faham ini berkaitan sedikit kekhilafan dan kita sedang menentukan siapa barisan hadapan (agensi kerajaan) yang seharusnya boleh menentukan sama ada individu atau pengembara boleh diberi pas pelepasan atau tidak.

    “Kita akan bincang semula dengan semua syarikat penerbangan supaya jika selepas ini mereka dapat memperbaiki lagi proses pemberian pas pelepasan kepada mana-mana individu atau penumpang, sebagai contoh sebelum pas pelepasan diberikan pekerja di kaunter penerbangan boleh memeriksa sama ada individu itu sudah divaksin atau belum,” jelasnya.

    Beliau turut menyelar pihak tertentu yang cuba menyalahkan agensi kerajaan apabila ada individu positif virus Omicron dan tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19 bebas keluar masuk dari negara ini, kerana ia sesuatu yang tidak dijangkakan.

  • Tun Mahathir dimasukkan ke IJN sekali lagi

    Tun Mahathir dimasukkan ke IJN sekali lagi

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini bagi menjalani prosedur perubatan elektif.

    Perkara itu dimaklumkan oleh IJN dalam kenyataan media.

    “Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terkini, tiada pelawat dibenarkan melawat Tun Mahathir,” jelas IJN.

    Terdahulu, pada 16 Disember, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan pemantauan lanjut dan dibenarkan keluar seminggu kemudian.

  • Suami didakwa dera isteri, 9 anak disambung reman

    Suami didakwa dera isteri, 9 anak disambung reman

    PENIAGA berusia 41 tahun yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian dera membabitkan isteri dan sembilan anaknya di daerah Timur Laut, Pulau Pinang seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini disambung reman sehingga 10 Januari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, suspek disambung reman selama empat hari lagi bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    “Kita memohon reman ke atas suspek disambung empat haru lagi bagi memastikan kertas siasatan kes itu dapat dilengkapkan,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

    Sebelum ini Rahimi memberitahu, lelaki berkenaan ditahan polis pada 31 Disember lalu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian dera tersebut daripada isterinya yang berusia 31 tahun.

    Menurut beliau, wanita warga asing berkenaan membuat laporan mendakwa dia bersama sembilan anak-anaknya berusia setahun hingga 13 tahun menjadi mangsa dera lelaki berkenaan.

    Kisah penderaan wanita dan anak-anaknya itu menjadi tular di dalam media sosial baru-baru ini selepas seorang individu dipercayai kakitangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memuat naik mengenainya di laman sosial Facebook.

    Difahamkan, mangsa bersama sembilan anaknya itu berjaya diselamatkan dengan bantuan NGO di Pulau Pinang.

  • Tabika, premis KEMAS jadi Pusat Sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pasca banjir

    Tabika, premis KEMAS jadi Pusat Sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pasca banjir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan premis dan Tabika KEMAS sebagai Pusat Sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pasca banjir.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bancian jumlah rumah yang perlu dibaiki dan dibina semula sedang dilakukan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sebaik sahaja data bancian lengkap.

    “KPLB memutuskan untuk menjadikan premis dan Tabika KEMAS di lokasi banjir sebagai pusat sehenti mulai Selasa depan untuk memudahkan semakan dan pendaftaran kelayakan.

    ‘Sebagai permulaan KPLB akan berada di Tabika KEMAS Bukit Changgang, Banting Selangor selama tiga hari bermula Selasa ini untuk mengemas kini dan menyemak data pemohon yang layak untuk bantuan pembaikan rumah pasca banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mahdzir Khalid

    Kata beliau, semua permohonan Ketua Isi rumah (KIR) untuk pembaikan rumah perlu dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana, PKOB Daerah dan Pejabat Daerah sebelum disah dan didaftarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU, Jabatan Perdana Menteri.

    ”KPLB juga menggerakkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu mengumpul data penduduk yang terkesan dengan bencana banjir untuk diserahkan kepada PKOB daerah. Tempoh pembaikan semula bergantung kepada tahap kerosakan dan akan dilaksanakan oleh Agensi Pelaksana, manakala bagi pembinaan semula rumah tempoh masa yang diambil adalah antara tiga hingga empat bulan bergantung kepada kesediaan tapak,” katanya.

    Mahdzir memberitahu, di bawah Program Bantuan Rumah KPLB, peruntukan sebanyak RM15,000 disediakan untuk baik pulih rumah dan RM56,000 untuk bina baharu rumah di Semenanjung Malaysia manakala RM68,000 bagi wilayah Sabah dan Sarawak.

    “Untuk program pembaikan rumah mangsa banjir, saya dimaklumkan KPLB telah memulakan penilaian kerosakan, dijangka kerja-kerja pembaikan akan bermula esok membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang dan Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan”,” katanya.

    KPLB juga kata Mahdzir, pada masa sama menjemput kementerian dan agensi lain yang terlibat dengan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi memudahkan proses menyalurkan bantuan pasca banjir di Pusat Sehenti premis dan Tabika Kemas yang disediakan KPLB.

    Lokasi dan tarikh akan dimaklumkan melalui laman web rasmi KPLB, media sosial rasmi dan Bilik Gerakan Bencana KPLB di talian 03-88915827.

  • Kes SRC: Najib mohon mahkamah dengar dahulu rayuan

    Kes SRC: Najib mohon mahkamah dengar dahulu rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon Mahkamah Persekutuan mendengar terlebih dahulu rayuan beliau berkaitan bukti baharu yang ingin dikemukakannya dalam kes membabitkan penyelewengan kira-kira RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengesahkan perkara itu, berkata ini adalah kerana bukti tersebut mungkin mempunyai kaitan penting dengan rayuan utama Najib bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Andrin Kamarul pula berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa telah menetapkan 24 Jan sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya bagi rayuan utama pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

    Pada 7 Dis lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC.

    Sehari selepas itu, mahkamah yang sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Rohingya jangan naik kepala, Hamzah beri amaran

    Rohingya jangan naik kepala, Hamzah beri amaran

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan etnik Rohingya di negara ini supaya ‘jangan naik kepala’ dan melanggar peraturan.

    Memetik laporan BH, beliau berkata, status pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) bukan ‘lesen’ untuk mereka berbuat sesuka hati dan melanggar segala peraturan di negara ini.

    “Saya tak suka sesiapa yang naik kepala, melanggar undang-undang negara. Sesiapa sahaja, tak kira warganegara atau bukan mahu pun pelarian, perlu ikut undang-undang negara ini. Kalau mereka tak patuh, boleh ambil tindakan.

    “Sebab itu, saya arahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberi perhatian pada perkara ini dan setiap anggota di lapangan perlu benar-benar faham keadaan mereka (pelarian) ini.

    “Walaupun kita simpati mereka menghadapi masalah, mereka tidak boleh melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan masalah yang lain seperti berniaga di lampu isyarat, meminta sedekah dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, di sini. Program itu bertujuan membantu memudahkan urusan mangsa banjir mendapatkan semula dokumen seperti MyKad, sijil lahir dan sijil kematian, yang hilang atau rosak akibat banjir.

    Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, polis sedang mengesan kanak-kanak dipercayai etnik Rohingya, yang meminta sedekah dengan agresif, termasuk menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya sekitar ibu negara seperti tular di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain juga dilaporkan berkata polis sedang menjalankan siasatan mengenai pengemis jalanan yang membabitkan etnik Rohingya, yang melakukan kegiatan mengemis di bandar besar di negara ini.

    Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada sindiket yang terbabit sebagai ‘dalang’ terhadap etnik Rohingya di negara ini, termasuk menggunakan kanak-kanak untuk mengemis.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Hamzah berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua syarikat penerbangan berhubung kemasukan pengembara luar dijangkiti varian Omicron, selain tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19.

    “Ia terjadi di mana sebelum mana-mana individu menerima pas pelepasan daripada syarikat penerbangan, semua butiran mengenai rekod vaksinasi perlu dikemukakan dan disemak secara teliti manakala Jabatan Imigresen kemudiannya akan menerima sebelum memberi pelepasan untuk melakukan penerbangan.

    “Namun, jika pas pelepasan itu sudah diserahkan kepada imigresen tanpa diketahui sejauh mana pihak yang memohon itu lengkap vaksinasi atau tidak, takkan kita hendak tarik balik dan tidak membenarkan mereka membuat penerbangan kerana bagaimana sesuatu pampasan itu hendak dituntut?” katanya.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata pihaknya mengambil maklum mengenai laporan polis dilakukan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki hari ini.

    “Kita baru menerima laporan itu, tapi kita akan siasat mengikut akta tertentu dan barulah akan membuat siasatan,” katanya.

    Pada Rabu lepas, Azam menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam dilaporkan berkata ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

  • Penyeludup ‘tak cuti’ walaupun banjir, PGA rampas barangan bernilai RM3.7 juta

    Penyeludup ‘tak cuti’ walaupun banjir, PGA rampas barangan bernilai RM3.7 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) mendedahkan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand tetap aktif pada musim banjir bulan lepas susulan nilai barangan dirampas pihaknya mencecah RM3.7 juta menerusi 20 hari operasi bagi membanteras kegiatan itu. 

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Supt Azhari Nusi berkata peningkatan paras air menyebabkan ada penyeludup mengambil kesempatan membawa barangan terus ke stor atau rumah kosong menggunakan perahu atau bot.

    Beliau berkata bagaimanapun modus operandi kumpulan penyeludup itu sudah dapat diagak dan membolehkan tangkapan dan rampasan dilakukan pihaknya menerusi operasi bermula 16 Dis itu.

    “Kita (PGA7) tahu sudah pasti penyeludup akan membawa barangan ke lokasi lebih jauh pada musim banjir berikutan Sungai Golok semakin melebar.

    “Kita bagaimanapun tetap menjalankan penugasan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dapat pergi lebih jauh ke kawasan dinaiki air dan membuat tangkapan. Selain itu, kita juga dibantu  agensi penguat kuasa lain di sempadan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi agihan bantuan banjir sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ABD Enterprise di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi ABD Enterprise Datuk Ku Ardanan Dollah berkata ia merupakan kali pertama pihaknya tampil menghulur sumbangan di Kelantan dengan membawa bekalan keperluan asas untuk lebih 20 keluarga terjejas.

    “Kita turut membekalkan sedikit sumbangan sagu hati kepada golongan petugas barisan hadapan khususnya PGA kerana tetap menjalankan tugasan membanteras penyeludupan dan membantu mangsa banjir, baru-baru ini,” katanya.

    — BERNAMA

  • Penilaian risiko VTL masih dilakukan

    Penilaian risiko VTL masih dilakukan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN Malaysia dan Singapura masih meneruskan penilaian risiko Covid-19 bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara sebelum memutuskan sama ada meneruskan dengan kuota asal atau dikurang kepada 50 peratus.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan akhir berhubung perkara itu akan dimaklumkan semula menjelang 20 Januari nanti iaitu hari terakhir penangguhan jualan tiket buat sementara waktu.

    “Malaysia dan Singapura kini sedang menilai keadaan semasa sama ada untuk meneruskan VTL darat dan udara dengan kuota asal iaitu 1,440 bagi kedua-dua laluan atau kurangkan sehingga 50 peratus kerana varian Omicron menjadi kebimbangan utama ketika ini.

    “(Kalau) ikut perbincangan asal, pada 21 Januari nanti Malaysia dan Singapura akan kurangkan kuota VTL sebanyak 50 peratus, seperti yang dipersetujui pada bulan lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Meraikan Pencapaian 11 Juta TEU di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP Sdn. Bhd., Marco Neelsen.

    Sebelum ini, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL darat serta udara digantung sementara mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan berhubung kluster tempatan Covid-19 melibatkan tiga kes positif.

    Skim VTL darat dan udara Malaysia-Singapura mula dilaksanakan pada 29 November lalu dengan kuota 1,440 individu pada minggu pertama.

    VTL darat membabitkan Stesen Bas Queen Street, Singapura ke Terminal Larkin Sentral, manakala VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, setakat ini, 37,783 individu sudah menggunakan skim VTL udara sejak dilancarkan 29 November hingga 21 Disember lalu.

    “Malaysia berharap VTL dapat diteruskan namun dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dan selamat,” katanya.

    Sementara itu, dalam program tersebut, PTP terus mengukuhkan kedudukannya selaku antara 20 pelabuhan tersibuk dunia dengan rekod kendalian lebih 11 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) tahun lalu.

    Rekod kendalian itu telah dicatatkan sehingga pukul 10 pagi, 25 Disember tahun lalu yang menyaksikan kadar pertumbuhan turut meningkat lebih empat peratus berbanding tahun 2020.

    Ka Siong berkata, PTP mencatatkan jumlah kendalian sebanyak 11.2 juta TEU pada akhir tahun lalu dengan nilai pertumbuhan 14 peratus berbanding 9.8 juta TEU pada 2020.

    Katanya, pencapaian itu amat membanggakan ketika pelabuhan-pelabuhan lain di seluruh dunia masih berada dalam situasi yang kurang stabil akibat daripada pelbagai isu seperti kesan operasi perniagaan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan.