Category: Semasa

  • Mayat bayi masih bertali pusat dibuang bawah flat

    Mayat bayi masih bertali pusat dibuang bawah flat

    SEORANG pekerja pembersihan warga Bangladesh terkejut apabila menemukan mayat bayi perempuan baru dilahirkan di Blok A Flat Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, pukul 8 pagi tadi.

    Sebelum iktu Muhammad Joshim, 30, sedang menyapu sampah di bawah flat berkenaan sebelum ternampak bungkusan plastik sampah hitam di atas kawasan berumput.

    Katanya, sebaik menghampiri dia terkejut melihat di sebelah plastik sampah itu ada bayi perempuan masih bertali pusat dalam keadaan tertiarap tidak bernyawa.

    “Saya takut bila lihat bayi itu dan segera beritahu seorang wanita penduduk di sini. Saya juga beritahu rakan sekerja,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat bayi di kawasan rumput dan beralaskan papan kayu itu pada pukul 8.21 pagi.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diterima, pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ke lokasi untuk siasatan.

    “Hasil penemuan di tempat kejadian dapati mayat bayi perempuan yang dijumpai itu dipercayai berusia sehari dan masih bertali pusat.

    “Mayat bayi itu dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

    Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

    “Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Banjir:Selenggara sungai elak kerugian besar

    Banjir:Selenggara sungai elak kerugian besar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar, Datuk Hasni Mohammad mengarahkan pihak berkaitan untuk memastikan sungai-sungai di Johor sentiasa diselenggara dengan baik sebagai langkah mengelakkan berlakunya bencana banjir.

    Beliau berkata, tindakan penambahbaikan itu wajar dilaksanakan bagi mengelakkan lebih banyak kerugian dan perbelanjaan ditanggung akibat bencana itu.

    Katanya, kerajaan negeri juga akan mengkaji dan meneliti penambahbaikan serta penyelenggaraan sistem saliran di setiap daerah khususnya kawasan titik panas berlaku banjir.

    “Saya sudah mengingatkan rakan Exco Johor untuk mencari pelan jangka panjang untuk memastikan sungai di negeri ini perlu diselenggara secara berkala bagi elak bencana lebih besar di masa hadapan.

    “Jangan sampai sungai sudah mendap, menjadi cetek atau tersekat barulah nak membuat kerja selenggara. Sungai ini perlu diselenggara secara berterusan dan berkala,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Festival Permainan Tradisional di Ulut Tiram, Johor Bahru, hari ini.

    Dalam pada itu, Hasni memberitahu, penambahbaikan infrastruktur serta pengurusan sistem-sistem saliran juga perlu diberikan dalam menangani masalah ini.

    “Johor merupakan negeri yang maju dan kerosakan akibat banjir mungkin akan menelan kos yang besar. Justeru, pelan jangka panjang perlu diberikan tumpuan.

    “Kita negeri maju, bandar, pekan, kampung dan rumah-rumah dahulu tidak macam 30 tahun lepas. Berlaku banjir mungkin kerosakan sekitar RM100,000 hingga RM200,000 bagi satu kampung,” katanya.

  • Amy Search buat kejutan lawat PPS

    Amy Search buat kejutan lawat PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AMY Search membuat kejutan mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Sukan Pagoh dan PPS Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pagoh, Muar, hari ini.

    Kelibat figura lagenda rock itu atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64, yang berseluar jean dan t-shirt hitam mencuri tumpuan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS tersebut.

    Amy turut menghulurkan sumbangan produk kopinya kepada mangsa banjir selain beramah mesra dengan mereka.

    Sempena lawatan itu, Hasni turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Negeri Terlibat Banjir Tahun 2022 (Fasa 1) dan Bantuan Wang Ihsan Johor Tahun 2022 (Fasa 1) berjumlah RM1,500 kepada wakil keluarga mangsa banjir.

    Hasni berkata, kerajaan telah merangka pelbagai bantuan dalam usaha membantu mereka yang terjejas.

    “Saya berharap mangsa-mangsa banjir tidak perlu bimbang, kita tidak akan membiarkan mereka (mangsa banjir) begitu sahaja.

    “Kerajaan Negeri telah merangka bantuan pasca banjir. Bagaimanapun, bantuan akan disalurkan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa,” katanya.

    Hasni turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan golongan sukarelawan yang terlibat menguruskan mangsa banjir di negeri itu.

  • SPRM arah DBKL lantik juruukur bebas, nilai projek kolam takungan air Jinjang

    SPRM arah DBKL lantik juruukur bebas, nilai projek kolam takungan air Jinjang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik juruukur bebas dan mengemukakan laporan lengkap berkaitan tapak projek pembangunan di kolam takungan di Taman Wahyu, Kepong.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata DBKL diberi tempoh tiga minggu untuk membuat pelantikan dan mengemukakan laporan lengkap itu.

    “Ia adalah untuk melihat sama ada pembangunan yang sedang dibina dilakukan di dalam kawasan seperti yang diluluskan dalam pelan pembangunan.

    “Kita harap laporan ini akan disiapkan segera untuk SPRM melengkapkan siasatan dan jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di tapak projek pembangunan di kolam takungan di Taman Wahyu, Kepong, hari ini.

    Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur,  Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

    Azam berkata, siasatan awal SPRM mendapati tiada mana-mana dari enam kolam takungan di sekitar ibu negara ditukar status untuk projek pembangunan telah ditambak.

    “Hanya kolam takungan di Taman Wahyu ini mendapat kelulusan untuk pembangunan dan DBKL belum menerima apa-apa permohonan untuk pembangunan di lima lagi kawasan kolam takungan,” katanya.

    Terdahulu Bernama melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan enam kolam takungan banjir ditukar status untuk projek pembangunan.

    Azam dilapor berkata SPRM akan menyiasat melibatkan pelbagai aspek termasuk unsur rasuah dan salah guna kuasa.

    Baru-baru ini, media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa SPRM agar mengambil tindakan segera berhubung dakwaan itu yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam berkenaan.

  • Tiga beradik kembar seiras bersemangat, rindu ke sekolah

    Tiga beradik kembar seiras bersemangat, rindu ke sekolah

    KEMBAR tiga seiras dari Pasir Tumbuh di Kota Bharu bersemangat dan rindu untuk kembali ke sekolah yang akan bermula esok di Kelantan.

    Nur Qaleesya Kaira Mansur, Nur Qaisara Aisya dan Nur Qisya Izara yang masing-masing berusia lapan tahun, sibuk membeli-belah kelengkapan sekolah pada hari ini bersama-sama ibunya.

    Ibu mereka, Nor Ziana Farahziah Muhamad Fauzi, 37, berkata, anak ketiga, keempat dan bongsu daripada lima beradik tersebut bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Keling, Kota Bharu sejak tahun lalu.

    “Tahun ini akan kembali ke sekolah tetapi masih kekal dalam darjah satu, sehinggalah pada Mac nanti baru akan beralih ke darjah dua.

    “Selain bersemangat untuk kembali ke sekolah kerana merindui pelajaran, mereka gementar kerana sudah terlalu lama tidak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai borong pakaian dan kasut sekolah di Bandar Baru Kubang Kerian, hari ini.

    Nor Ziana, seorang penjual pisang goreng di gerai di hadapan rumahnya di Pasir Tumboh bercuti daripada berniaga bagi menguruskan kelengkapan lima anak yang akan kembali bersekolah esok.

    “Selain tiga beradik itu, dua lagi kakak mereka iaitu Nur Amina Iris, darjah enam di sekolah sama dan Nur Intan Farhana, 14, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2 juga bersiap untuk kembali bersekolah esok.

    “Lima orang bersekolah memang perlu wang banyak kira-kira RM1,000 untuk belikan uniform dan kasut baharu kerana pakaian dan kasut sedia ada sudah tidak muat kerana masing-masing semakin membesar,” katanya.

    Tambah beliau, rutin harian sebagai ibu kepada lima anak itu akan bertambah sibuk sebaik sesi persekolahan bermula kerana perlu menguruskan pengangkutan bagi memastikan anak-anak ke sekolah.

    “Sudah agak lama ketinggalan pembelajaran walaupun ada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tetapi tidak sama dengan sesi persekolahan bersemuka.

    “Saya berharap anak-anak akan kembali belajar dengan baik apabila sekolah dibuka semula.

    “Saya juga bekalkan anak-anak dengan pelitup muka dan pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan jangkitan Covid-19,” katanya.

  • Diberi elaun RM800: Baik kerja McD, kata Rayzam

    Diberi elaun RM800: Baik kerja McD, kata Rayzam

    MENJADI atlet sepenuh masa dan menyumbang pingat buat negara pada setiap kejohanan yang disertainya, Rayzam Shah Wan Sofian terpaksa menelan hakikat pahit apabila elaunnya merosot kira-kira 60 peratus.

    Jika sebelum ini dia dibayar RM2,000 sebulan oleh Majlis Sukan Negara, kini Rayzam hanya diberikan RM800.

    “Kalau RM1,500 tak apa lagi, tapi kalau sudah jatuh sehingga RM800, saya pun terfikir-fikir mungkin lebih baik kerja lain sahaja yang berikan gaji lumayan… lebih baik kerja McDonald’s,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Atlet berusia 34 tahun itu sebelum ini pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2007 dan 2017 melalui acara 110 meter lari berpagar.

    Dia juga menyumbang pingat perak untuk Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

    Kata Rayzam dia memang terkilan dengan pemotongan tersebut dan dengan kadar sebegitu sudah pasti atlet sepetinya akan berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan hidup seharian.

    “Saya harap MSN ada budi bicara untuk mempertimbangkan poto­ngan elaun ini kerana ramai atlet yang berjaya mengekalkan prestasi meskipun tanpa pingat emas,” katanya yang tinggal di Sabah.

    “Saya sudah berkeluarga, dengan RM800 apalah yang dapat saya buat, dengan tanggu­ngan rumah, bil elektrik dan anak.

    “Bagi saya, MSN perlu lebih telus dan ada budi bicara menilai prestasi atlet, tidak wajar pencapaian hanya dinilai berdasarkan pingat, bukan ­prestasi tahunan atau bahkan ­ranking di Asia,” katanya.

  • Tular bergaduh isu tapak niaga, pasangan suami isteri ditahan polis

    Tular bergaduh isu tapak niaga, pasangan suami isteri ditahan polis

    DUA individu yang mencederakan seorang lelaki selepas terlibat dalam pertengkaran dalam kejadian di Taman OUG, Kuala Lumpur pada Jumaat telah ditahan polis.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan telah diambil susulan daripada video berdurasi 45 saat yang tular dalam media sosial.

    “Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berumur 58 tahun mendakwa telah dicederakan oleh suspek apabila dia mengambil gambar tapak niaga milik suspek sebagai bukti bahawa berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan.

    “Suspek seorang lelaki berumur 53 tahun dikatakan telah mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

    “Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengambil gambar telah menyerang dan menendang mangsa di bahagian belakang badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Amihizam berkata, seorang lagi suspek lain iaitu seorang wanita berumur 48 tahun turut ditangkap bagi membantu siasatan.

    Menurut beliau, kedua-dua suspek dalam kes ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera.

    “Mangsa telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” ujarnya.

    Amihizam dalam pada itu turut menasihati orang awam agar tidak melakukan tindakan di luar kawalan yang boleh mendatangkan kecederaan dan ketakutan kepada mana-mana orang.

  • Harimau jantan yang mati ditembak semalam, belum dapat dipastikan sama ada diburu Perhilitan

    Harimau jantan yang mati ditembak semalam, belum dapat dipastikan sama ada diburu Perhilitan

    IDENTITI harimau belang yang ditembak mati selepas kira-kira tiga jam membaham seorang lelaki Orang Asli pada Jumaat, belum dapat dikenal pasti sama ada ia adalah antara tiga ekor harimau yang diburu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan di Pos Bihai, Gua Musang, sebelum ini.

    Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bihai susulan aduan terdapat tiga ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan itu sejak 10 Disember tahun lepas.

    “Kita juga telah memasang tiga perangkap harimau belang (Perangkap Wahab) di Pos Bihai iaitu dua di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak.

    “Beberapa kaedah tangkapan turut digunakan seperti menggunakan tembak pelali dan pemasangan perangkap bagi meningkatkan lagi keberhasilan tangkapan harimau belang di perkampungan terbabit,” katanya menurut laporan Bernama.

    Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata pihaknya sentiasa memberikan talimat kepada penduduk kampung dari semasa ke semasa mengenai perjalanan operasi jabatan serta langkah berjaga-jaga ketika berada di luar kawasan rumah.

    Dalam kejadian semalam, mangsa Anek Bin Along, 59, maut setelah dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, pada pukul 9 pagi, pada Jumaat.

    Dilaporkan kejadian berlaku ketika mangsa keluar membuang air kecil di belakang rumah manakala anak perempuannya sedang menumbuk padi di belakang rumahnya kira-kira pukul 9.10 pagi.

    Namun, Perhilitan Kelantan terpaksa menembak mati harimau jantan berusia tiga tahun dan seberat 120 kilogram itu, selepas haiwan berkenaan cuba menyerang kakitangan Perhilitan semasa proses tangkapan dijalankan pada pukul 12.15 tengah hari, di kampung itu. – Bernama

  • Seorang nenek maut, 9 cedera nahas kereta, MPV

    Seorang nenek maut, 9 cedera nahas kereta, MPV

    SEORANG wanita warga emas meninggal dunia manakala sembilan lagi termasuk kanak-kanak berusia dua tahun cedera dalam kemalangan di Kilometer 106.1 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Sam, Kuala Krai, hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu melibatkan sebuah kereta yang bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, mangsa yang maut di tempat kejadian itu adalah seorang wanita warga emas dikenali sebagai Eshah Ismail, 70, yang menaiki MPV tersebut.

    Menurutnya, sembilan yang lain membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita juga menaiki Naza Ria mengalami kecederaan, manakala pemandu dan dua penumpang Proton Suprima termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan di badan.

    “Siasatan awal mendapati Proton Suprima yang dipandu anggota tentera berusia 31 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang.

    “Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba MPV dipandu lelaki berusia 48 tahun yang datang dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan lain, namun gagal berbuat demikian dan menyebabkan berlakunya pertembungan antara kenderaan terbabit.

    “Ibu pemandu berkenaan yang berada di belakang tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Suzaimi berkata, mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 31 sekolah di Johor tidak dibuka esok akibat banjir

    31 sekolah di Johor tidak dibuka esok akibat banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 31 sekolah di Johor tidak dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula esok susulan masih terjejas akibat banjir.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 23 sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sementara lapan sekolah lagi masih ditenggelami air.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, sekolah yang dijadikan PPS adalah masing-masing lapan sekolah di Segamat dan Tangkak, lima sekolah di Muar dan dua sekolah di Batu Pahat.

    “Sebelum ini, sebanyak 46 sekolah di Johor dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas akibat banjir. Namun keadaan banjir semakin pulih, separuh daripadanya sudah ditutup.

    “Bagi sekolah yang masih dijadikan PPS, ia tidak akan dibuka esok dan akan kekal menjadi PPS sehinggalah isu banjir ini selesai,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

    Sebanyak 1,184 sekolah di negeri ini dijadualkan dibuka esok bagi sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022, mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM).

    Sementara itu, Mazlan berkata, empat sekolah di Tangkak, tiga di Segamat dan sebuah sekolah di Muar juga tidak akan memulakan sesi persekolahan esok kerana dilanda bah.

    Katanya, sesi persekolahan bagi lapan sekolah yang terjejas itu hanya akan bermula sebaik keadaan banjir pulih.

    “Selepas keadaan banjir pulih dan kerja pembersihan sudah selesai, barulah sekolah yang terjejas ini akan menyambung sesi persekolahan penggal ketiga.

    “Bagi sekolah lain yang tidak terbabit banjir, sesi persekolahan akan berjalan seperti seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KPM.

    “Seramai 684 pelajar di negeri ini dipindahkan ke PPS dan sehingga kini 369 daripadanya masih berada di PPS yang masih dibuka,” katanya.