Category: Semasa

  • 15 direman dalam kes penyata akaun bank palsu

    15 direman dalam kes penyata akaun bank palsu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 15 individu termasuk seorang wanita direman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan terhadap kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat tertentu, yang mempunyai butiran palsu bagi memasuki tender pada 2018 dan 2019.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Menurut sumber, kesemua 15 individu itu merupakan antara 21 individu berusia antara 31 hingga 77 tahun yang ditahan di sekitar Bangi dan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah semalam.

    SPRM 15
    Beberapa individu yang ditahan SPRM semalam dibawa keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar setelah menerima perintah tahanan reman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank palsu syarikat untuk mendapatkan tender pada 2018 dan 2019.

    “Tender yang dimaksudkan itu adalah berkaitan dengan penswastaan pengumpulan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.

    “Kes ini melibatkan beberapa syarikat berbeza mereka yang ditahan terdiri daripada individu berjawatan pengarah syarikat, pemilik, pengurus, kontraktor dan individu bekerja sendiri,” katanya, hari ini.

    Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

    “SPRM memang sedang mengesan individu-individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes ini. Jadi tidak mustahil akan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan dibuat itu.

    Beliau turut memaklumkan kes tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Pembakaran terbuka, premis kitar semula kayu palet didenda RM4,000

    Pembakaran terbuka, premis kitar semula kayu palet didenda RM4,000

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 kepada pemilik sebuah premis perniagaan kitar semula kayu palet terpakai di Juru Estate,  Seberang Perai Tengah (SPT) kerana melakukan pembakaran terbuka.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas lokasi pembakaran terbuka itu selepas mendapat laporan daripada orang awam.

    Ujarnya, siasatan lanjut mendapati premis  yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual kayu palet terpakai itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu membenar dan menyebabkan pembakaran terbuka kayu palet di dalam kawasan premis.

    “Kompaun berjumlah RM4,000 telah dikenakan ke atas syarikat tersebut atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan.

    “Jabatan Alam Sekitar memandang serius isu pembakaran terbuka dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat-syarikat yang menghantar kayu palet untuk dikitar semula memeriksa premis penerima bagi memastikan bahan yang dihantar benar-benar dikitar semula dan bukan dilupuskan secara pembakaran terbuka.

    Jelas beliau, pihaknya juga telah mengaktifkan beberapa Pasukan Rondaan selepas waktu bekerja bagi mencegah isu pencemaran dan pembakaran terbuka.

    “Sebarang kesalahan akan diambil tindakan sewajarnya iaitu kompaun dan atau tindakan mahkamah dengan denda maksima RM500,000,” katanya.

    Dalam masa sama tambahnya, sebarang aduan atau maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar yang tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar boleh dikemukakan melalui saluran talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/.

    “Aduan pembakaran terbuka di sekitar kawasan perumahan juga boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

  • Sijil vaksin palsu: Doktor dipercayai minta rakan jadi ejen cari pelanggan

    Sijil vaksin palsu: Doktor dipercayai minta rakan jadi ejen cari pelanggan

    MENJADIKAN rakan-rakan sebagai ejen antara taktik yang dipercayai digunakan seorang doktor untuk mencari individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Terengganu.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata susulan itu, seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun yang disyaki menjadi ejen doktor tersebut ditahan di sekitar Marang, Dungun dan daerah ini pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.

    “Mereka bukan kakitangan klinik tapi lebih kepada kawan-kawan, ejen ini cari orang untuk vaksin di klinik suspek. Mereka ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai keterangan diambil,” katanya kepada Bernama malam tadi.

    Beliau berkata ejen tersebut dibayar serendah RM50, manakala bayaran dikenakan untuk mendapatkan sijil vaksinasi palsu adalah antara RM400 hingga RM600 bagi setiap pelanggan. 

    Terdahulu dalam sidang media, Rohaimi berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik.

    Sabtu lepas, doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan di sebuah klinik swasta di Marang, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19.

    Menurut Rohaimi siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu telah berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat angka sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu.

    — BERNAMA

  • Dua kakitangan kastam tidak mengaku bersalah bocor maklumat

    Dua kakitangan kastam tidak mengaku bersalah bocor maklumat

    DUA pembantu penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan membantu sindiket samun dengan membocorkan maklumat berhubung tempat penyimpanan minuman keras pada November 2020.

    Mereka dituduh menyebabkan kehilangan barangan rampasan dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 119 yang dibaca-sama bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Bagi tuduhan pertama, Mohd. Syahmir Mustafa, 42, dan Mazli Jamil, 45, didapati menyembunyikan barangan rampasan berupa dua buah kotena berisi minuman keras dan rokok yang disimpan di Stor Simpanan JKDM, Dengkil pada 17 November tahun lalu.

    Kesalahan itu dilakukan antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam bagi dua kontena bernombor UETU5457898 dan BM0U6343884 yang sebelum itu dirampas di Lapangan Pemeriksaan Kontena, Pelabuhan Utara, Port Klang, Selangor pukul 10 pagi hari yang sama.

    Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didapati menyembunyikan keterangan mengenai barangan rampasan yang sama di Stor Simpanan JKDM, Dengkil pada 24 November tahun lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Selepas pertuduhan dibacakan, kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.

    Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 7 Mac depan.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim manakala, kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam masing-masing.

    Sebelum ini media melaporkan, penahanan dua suspek itu membawa kepada rampasan dadah jenis pil Captagon seberat dua kilogram, 47 pil Erimin 5 dan kokain (4.9 gram) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM559,899.

    Turut dirampas beberapa penimbang elektronik, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM111,100 dalam kenderaan penguat kuasa yang dirampas.

  • Rakam gambar seluar dalam wanita, lelaki ditahan polis

    Rakam gambar seluar dalam wanita, lelaki ditahan polis

    PADAH merakam gambar seluar dalam seorang wanita di sebuah kompleks beli-belah di Bayan Lepas, Pulau Pinang, seorang lelaki ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 20-an itu ditahan orang awam sebelum menyerahkannya kepada polis.

    Menurut beliau, suspek kini direman dua hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    “Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    “Kita turut merampas dua buah iPhone berserta ‘powerbank’, fon telinga dan beg kain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambah Kamarul Rizal, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

  • Pelan Pemulihan Negara 2.0 dirangka – Muhyiddin

    Pelan Pemulihan Negara 2.0 dirangka – Muhyiddin

    PELAN Pemulihan Negara 2.0 akan dirangka secara komprehensif dan inklusif untuk memastikan pemulihan seterusnya dan secara menyeluruh, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata satu pasukan kerja akan dibentuk bagi meneliti secara mendalam, tentang sektor mana yang boleh cepat dipulihkan dan sektor mana yang mengambil masa panjang.

    “Pelan 2.0 itu penting kerana jika dibiarkan sektor dibiarkan pulih secara semula jadi, ia akan mengambil masa bertahun-tahun.

    “Bila ada pelan 2.0, akan jelas MPN boleh buat untuk membantu sektor besar dan kecil dapat dipulihkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya hari ini.

    Muhyiddin berkata pasukan kerja pelan pemulihan 2.0 juga akan mengemukakan cadangan serta memperhalusi langkah menangani kes COVID-19, jika dikesan meningkat kerana kerajaan telah berjanji tidak akan kembali kepada cara lama iaitu ‘lockdown’ untuk menangani kes COVID-19. – BERNAMA

  • Rasuah lagi:SPRM tahan semula bekas pengurus GLC

    Rasuah lagi:SPRM tahan semula bekas pengurus GLC

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bekas pengurus syarikat milik kerajaan (GLC) yang tamat tempoh reman pada hari ini berhubung kes rasuah di Segamat, ditahan semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

    SPRM Cawangan Segamat menahan suspek yang berusia 61 tahun itu bagi membantu siasatan satu lagi kes berkaitan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemberian projek-projek kepada dua anaknya benilai lebih RM50,000.

    Suspek itu sepatutnya dibebaskan daripada reman hari ini tetapi ditahan pihak SPRM Cawangan Segamat bersama-sama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 28 dan 34 tahun antara pukul 4 hingga 4.30 petang tadi.

    Sementara seorang lagi pengurus syarikat yang juga berusia 61 tahun ditahan bersama-sama pengurus GLC itu pada 6 Januari lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman lima hari terhadapnya tamat hari ini.

    Menurut sumber, sekitar Disember tahun lalu, suspek warga emas itu yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat telah memberikan beberapa projek kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Azmi Alias

    Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa, bagi mendapatkan permohonan reman.

    Pada 6 Januari lalu, SPRM menahan pengurus GLC dan pengurus syarikat tersebut di pejabat SPRM Johor Bahru bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan nilai RM500,000.

    Pada 2019 hingga 2020, Pengurus GLC itu telah menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja kontrak perladangan di daerah tersebut.

  • Bukan saya lantik Azam Baki-Muhyiddin

    Bukan saya lantik Azam Baki-Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu dikaitkan atau mengheret beliau dalam kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Walaupun pelantikan Azam dibuat ketika beliau menerajui negara, Muhyiddin menjelaskan, Ketua Setiausaha Negara yang mencadangkan pelantikan Azam dan ia dibuat selepas diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong.

    Beliau yang juga Presiden Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, pelantikan Azam telah melalui prosedur yang ditetapkan untuk mana-mana jawatan dalam kerajaan.

    “Ya, dia dilantik waktu saya (Perdana Menteri) bila berlaku kekosongan bekas pesuruhjaya yang dahulu berhenti maka perlu ada pengganti.

    “Yang melantik bukan saya iaitu selepas diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong, dan proses lantikan itu teratur mengikut peraturan.

    “Pelantikan itu diperakukan oleh sebuah jawatankuasa, Ketua Setiausaha Negara mencadangkan nama, bukan saya pilih, KSN cadangkan kerana fikir dia layak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman, semalam yang mempersoalkan sama ada memeriksa latar belakang Azam sebelum memberi nasihat berkenaan pelantikannya kepada Agong atau sebaliknya.

    Azalina membuat kenyataan itu susulan kontroversi yang melanda Azam berhubung pemilikan saham, selepas dia mengaku adiknya Nasir Baki menggunakan akaun perdagangan miliknya untuk membeli lebih dua juta saham dan waran dua syarikat pada 2015 dan 2016.

    Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Abu Zahar Ujang telah membersihkan Azam daripada sebarang salah laku, namun anggota panel LPPR yang lain kemudian mendakwa pendirian tersebut hanyalah pandangan peribadi Abu Zahar.

    Azam dilantik mengetuai SPRM berkuatkuasa 9 Mac 2020 selepas ketua pesuruhjaya sebelumnya Latheefa Koya melepaskan jawatan.

  • Lelaki cedera paraglider jatuh dalam kawasan masjid

    Lelaki cedera paraglider jatuh dalam kawasan masjid

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki cedera apabila paraglider dinaikinya gagal dikawal lalu terjatuh ke dalam kawasan sebuah masjid di Kuala Ketil, Kedah, petang semalam.

    Sumber memaklumkan, mangsa yang berusia 34 tahun dan berasal dari Banting, Selangor memulakan aktiviti luncur udara atau paragliding kira-kira pukul 12 tengah hari di kawasan Pengkalan Hulu, Perak.

    Bagaimanapun katanya, keadaan angin tiba-tiba menjadi kuat menyebabkan dia tidak dapat mengawal paraglider tersebut dan terjatuh di kawasan Masjid Padang Kulim, Kuala Ketil, Kedah.

    Beberapa penduduk melihat keadaan mangsa.

    “Pada pukul 1.30 petang, anggota yang bertugas di Kaunter Aduan Balai Polis Kuala Ketil telah menerima panggilan daripada orang awam yang menyatakan terdapat mangsa terjatuh di pekarangan Masjid Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil.

    “Anggota kaunter aduan kemudiannya menghubungi Klinik Kesihatan Kuala Ketil untuk mendapatkan bantuan ambulans. Pada pukul 1.55 petang, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan mendapati mangsa cedera pada bahagian tulang dengan keadaannya dilaporkan stabil.

    “Bagaimanapun sehingga petang ini, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian itu,” katanya.

  • PDRM mohon ekstradisi suspek bunuh Imam Fadi al-Batsh

    PDRM mohon ekstradisi suspek bunuh Imam Fadi al-Batsh

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon suspek kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin pada 2018, di sini, yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin semalam, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pada masa ini, PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).

    “PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin, bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Terdahulu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas dipetik berkata pada Ahad suspek pembunuhan Fadi al-Batsh telah ditahan.

    Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Kota Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut oleh Mossad.

    Pada 21 April 2018, Fadi, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh. – BERNAMA