Category: Semasa

  • Padah berlabuh tanpa kebenaran di Pulau Jarak

    Padah berlabuh tanpa kebenaran di Pulau Jarak

    TINDAKAN sebuah kapal tangki berlabuh kebenaran dan sebuah bot nelayan menceroboh zon tangkapan ikan mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di dua lokasi berasaingan di perairan Pulau Jarak, Lumut, kelmarin.

    Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal tangki sepanjang 171.20 meter yang berdaftar di Jerman itu ditahan di kedudukan 30.7 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada 11.15 pagi.

    Menurutnya, kapal dikendalikan seorang nakhoda dengan 18 kru terdiri daripada warga Russia, Ukraine, Romania dan Filipina berusia 28 hingga 63 tahun dikesan berlabuh secara haram melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

    “Kapal tangki berkenaan dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) di bawah Seksyen 491B(1)(I).

    “Semua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Shahrizan berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau menahan sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 6.2 batu nautika timur Pulau Jarak selepas didapati menangkap ikan kurang 12 batu nautika daripada daratan pada 5.40 petang, hari sama.

    “Bot dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama dua kru warga Thailand dan Laos itu berusia antara 36 hingga 51 tahun ditahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

    Beliau berkata, komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

  • TMJ tegur Melaka United tiga bulan tak bayar gaji

    TMJ tegur Melaka United tiga bulan tak bayar gaji

    PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan skuad Hang Tuah.

    Tunku Mahkota Johor itu yang juga Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) membuat teguran itu menerusi mesej yang dihantar kepada Presiden Musa, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    “Datuk, pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk imej integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan pemain.

    “Tolong selesaikan isu ini Datuk,” tulis Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam mesej berkenaan dengan tangkap layar perbualan itu turut dikongsikan beliau dalam laman media sosial miliknya.

    Mesej berkenaan turut dibalas Sulaiman dengan mengatakan beliau akan berusaha menyelesaikan perkara itu sebaik mungkin.

    Bagaimanapun ciapan TMJ dalam laman Twitter itu seakan sudah dipadam.

    Semalam, beberapa pemain Melaka United dilaporkan memohon pasukan itu menyelesaikan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan membabitkan musim lalu.

    Ia bukan kali pertama skuad Hang Tuah dibelenggu masalah berkenaan dengan mereka pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada musim lalu atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

  • Remaja dari Gua Musang hilang, polis lancar gerakan mencari

    Remaja dari Gua Musang hilang, polis lancar gerakan mencari

    SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir dekat Gua Musang, Kelantan dipercayai hilang sejak pukul 9 malam kelmarin.

    Perkara itu dimaklumkan oleh bapa saudaranya yang dikenali sebagai Azizul Rahman dalam laman Facebook miliknya.

    “Mintak doakan anak saudara saya.. umur 13 tahun hilang depan rumah jam 9 malam lagi.. sampai sekarang tak dapat dikesan, di Kampung Orang Asli, Pasir Linggi Pos Lebir (sempadan Gua Musang – Krai).. lapan kilometer melalui jalan hutan dari simpang Sungai Sam,” katanya.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Sik Choon Foo berkata, laporan tentang remaja yang hilang terbabit dibuat oleh ibunya pada pukul 7 malam kelmarin selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah.

    “Mangsa dipercayai keluar daripada rumah pukul 9 malam, kelmarin, sebelum ibunya menyedari mangsa belum pulang ke rumah pada pukul 3 pagi semalam, dan terus mencarinya bersama keluarga sekitar kampung.

    “Pihak kami telah terima laporan mengenai kehilangan mangsa malam ini dan operasi mencari dan menyelamat akan digerakkan pada 12 Jan, pukul 8 pagi,” katanya.

    Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, kawasan pencarian dengan jarak radius dua kilometer itu turut melibatkan agensi lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung.

  • Azizulhasni, Zii Jia antara calon terima biasiswa Olimpik

    Azizulhasni, Zii Jia antara calon terima biasiswa Olimpik

    JAGUH berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan juara All England 2021, Lee Zii Jia merupakan antara 15 calon atlet dikemukakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menerima Biasiswa Olimpik daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

    Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kesemua 15 atlet itu dipilih daripada keseluruhan 40 pencalonan diterima pihaknya menerusi 11 jenis sukan bagi menikmati biasiswa sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.

    “Antara kriteria ditetapkan oleh IOC adalah penerima perlu dalam kalangan atlet yang berpotensi untuk layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif MOM kali ketiga sesi 2021/2025 di Wisma MOM.

    Lee Zii Jia
    Lee Zii Jia merupakan salah seorang daripada 15 atlet kebangsaan yang dicalonkan oleh MOM untuk menerima Biasiswa Olimpik. (Gambar: Facebook Lee Zii Jia)

    Selain Azizulhasni dan Zii Jia, Mohamad Norza mengumumkan atlet lain yang tersenarai adalah lima lagi pemain badminton negara iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah dan S. Kisona serta dua lagi atlet berbasikal trek iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhd Fadhil Zonis.

    Beliau berkata, ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, Khairul Anuar Mohamad yang mewakili memanah serta tiga pelayar kebangsaan, Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali dan Nur Shazrin Mohd Latif juga berpeluang menerima biasiswa itu.

    Antara bekas atlet kebangsaan yang pernah menerima biasiswa itu adalah dua atlet olahraga iaitu Watson Nyambek dan Yuan Yufang selain Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit dan Choong Tan Fook dari badminton serta atlet pelayaran Kelvin Lim. – BERNAMA

  • Buruh cedera dipukul rakan semasa tuntut hutang

    Buruh cedera dipukul rakan semasa tuntut hutang

    APABILA meminjam duit seseorang, memang menjadi kewajipan bagi peminjam untuk melunaskan hutang dalam tempoh yang dijanjikan.

    Jika lambat membayar hutang, pemiutang berhak menuntutnya.

    Namun, lain pula hal yang berlaku di Taman Dusun Setia, Seremban malam tadi.

    Seorang lelaki cedera di bahagian dada selepas bertengkar ketika meminta rakannya untuk membayar hutang.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, mangsa, Mohd Shahrizad Abu Kaseh, yang bekerja sebagai buruh pergi ke rumah suspek yang berumur 28 tahun.

    Menurut beliau, mangsa yang berumur 30 tahun meminta rakannya membayar hutang seperti yang dijanjikannya semalam selepas menerima gaji.

    “Walau bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan lelaki itu sehingga berlaku pergelutan antara mereka sehingga terjatuh di atas jalan raya.

    “Pada masa yang sama, suspek yang memegang senjata tajam telah terkena pada bahagian kanan dada mangsa sehingga berdarah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Nanda menambah, mangsa kemudian dibawa oleh orang awam ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk menerima rawatan.

    Beliau memberitahu, polis menerima laporan tentang kejadian tersebut daripada orang awam.

    “Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • 10,000 ayam mati di ladang ternakan

    10,000 ayam mati di ladang ternakan

    LEBIH 10,000 ayam mati dalam kebakaran di ladang ternakan ayam Zhang Agriculture Development Sdn Bhd di Jalan Bau-Kuching, Bau, hari ini.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pada pukul 3.40 pagi.

    Menurut Penolong Pengarah Operasi, JBPM Sarawak, Henderi Ardimansyah, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

    “Setibanya di tempat kejadian, didapati api sudah merebak di keseluruhan struktur reban berukuran 7.5 x 30 meter persegi itu.

    “Kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 4.30 pagi dan operasi tamat pada jam 6 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Henderi berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam siasatan.

    Menurutnya berdasarkan maklumat pengusaha ladang ternakan itu, dianggarkan lebih 10,000 ayam mati terbakar dalam kejadian itu.

  • 46 PATI Myanmar ditahan termasuk seorang kanak-kanak, 10 remaja

    46 PATI Myanmar ditahan termasuk seorang kanak-kanak, 10 remaja

    SERAMAI 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanakl dan 10 remaja diberkas ketika cuba masuk ke negara ini di dua lokasi berasingan di Pasir Mas, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd. Nasaruddin M. Nasir, serbuan pertama dilakukan pada pukul 11 malam dan menahan mereka yang berusia antara 11 hingga 43 tahun terdiri daripada lelaki dan wanita.

    “Serbuan itu dilakukan di kawasan semak di Kampung Sapi, Alor Pasir, Jeram Perdah dan polis berjaya menahan seramai 40 PATI termasuk lima remaja.

    “Kesemua PATI yang ditahan itu berusia antara 14 hingga 43 tahun ditahan semasa sedang bersembunyi dalam semak sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 29 PATI yang ditahan itu merupakan lelaki dan selebihnya adalah wanita.

    Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan dalam serbuan itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

    Mohd. Nasaruddin berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI yang dibawa masuk itu akan dihantar ke Kuala Lumpur.

    “Tangkapan PATI ini dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Jeram Perdah yang telah bertindak membuat serbuan sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan migran ke Malaysia,” katanya.

    Menurutnya, dalam serbuan kedua dalam sebuah bangunan lot kedai lama di Jalan Pusu 40, pihaknya telah menahan seorang kanak-kanak dan lima remaja warga Myanmar.

    Beliau berkata, PATI tersebut ditahan pada pukul 4.45 petang hari yang sama.

    Katanya, kesemua mereka ini berusia antara 11 hingga 17 dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah semasa ditahan.

    “PATI yang kita tahan ini terdiri daripada lima perempuan dan seorang lelaki,” katanya.

    Menurutnya, hasil soal siasat yang telah dibuat PATI itu mengaku baru satu hari sampai di Malaysia.

    Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 51 (3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

  • KPLB agihkan 1,050 kit bantuan kepada mangsa banjir di Lipis

    KPLB agihkan 1,050 kit bantuan kepada mangsa banjir di Lipis

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terus menyantuni mangsa banjir dengan mengagihkan 1,050 kit bantuan di Kawasan Parlimen Lipis, Pahang.

    Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KPLB bersama agensi di bawahnya sedia melaksanakan Inisiatif Bantuan Banjir Keluarga Malaysia pada kadar segera demi meringankan beban mangsa yang terjejas.

    “Bantuan yang disasarkan bukan hanya merangkumi barang makanan, peralatan memasak, selimut toto dan kit penjagaan kesihatan, bahkan juga sehingga kerja-kerja pembersihan, membaiki kenderaan dan peralatan elektrik pasca banjir. “

    Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Kit Bantuan Mangsa Banjir di Lipis, Pahang.

    Menurut Abdul Rahman, MARA turut memberi kelonggaran bayaran balik pinjaman pendidikan dan perniagaan serta pengecualian bayaran sewa premis perniagaan kepada yang terjejas.

    ”KPLB juga berkerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT dengan peruntukan RM50 juta setiap kementerian untuk Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia bagi membina semula dan membaik pulih rumah mangsa banjir.

    “Di bawah inisiatif itu, RM15,000 diperuntukkan untuk membaiki rumah, RM56,000 untuk bina semula di Semenanjung dan RM68,000 untuk bina semula di Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Setakat ini KPLB telah mengenal pasti 1,879 unit rumah yang perlu di baik pulih dan 165 buah rumah pula mengalami kerosakan teruk dan perlu dibina baharu di seluruh negara.

  • COVID: 219 positif, 16 kluster libatkan jemaah umrah

    COVID: 219 positif, 16 kluster libatkan jemaah umrah

    SEBANYAK 16 kluster COVID-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi telah dikesan bagi tempoh 25 Nov lepas hingga hari ini dengan tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif COVID-19 bukan varian Omicron. 

    Beliau berkata punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

    “Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi. 

    “Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata sebanyak 456 individu dalam kluster jemaah umrah itu telah disaring  dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.

    Jelasnya, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

    Sementara itu, beliau berkata kumulatif kes sembuh COVID-19 di negara ini kini berjumlah 2,720,399 kes selepas 2,977 lagi kes sembuh direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, manakala kes baharu pula sebanyak 3,175, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 kini 2,792,035.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 99 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) telah dilaporkan sejak 3 Jan lepas sehingga semalam dengan 91 kes baharu varian Delta dan lapan kes baharu varian Omicron.

    — BERNAMA

  • ”Ini susah saya terima…mereka perlu dikenakan hukuman maksimum” – Hishammuddin

    ”Ini susah saya terima…mereka perlu dikenakan hukuman maksimum” – Hishammuddin

    INDIVIDU yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi COVID-19 perlu dikenakan hukuman maksimum kerana tindakan itu bukan hanya mendatangkan bahaya kepada diri sendiri malah terhadap individu lain yang tidak berdosa, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Justeru, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dalam kes berkenaan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.

    “Ini sesuatu yang susah saya hendak terima dan maafkan kerana ia menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang tidak berdosa.

    I want the full force of the law on them and I want to make sure they realise that there a limit when it comes to profit which affects people lives’ (Saya mahu penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya ke atas mereka dan saya mahu pastikan mereka sedar ada had bila tiba tentang keuntungan yang menjejaskan kehidupan orang ramai,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

    Hishammuddin berkata hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap individu yang menjual dan membeli sijil vaksinasi palsu bagi mencegah kegiatan sedemikian daripada merebak.

    Pihak berkuasa juga perlu berada satu langkah di hadapan dalam membanteras kegiatan ini kerana bagi mereka yang inginkan keuntungan mereka akan cuba mencari jalan lain.

    Setakat ini, polis hanya mengesan satu kes aktiviti penawaran sijil vaksinasi COVID-19 palsu setakat ini yang melibatkan seorang pengamal perubatan di Marang, Terengganu.  

    Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, Terengganu.

    Suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan perintah reman suspek berkenaan disambung selama dua hari lagi sehingga esok. 

    — BERNAMA