TINDAKAN sebuah kapal tangki berlabuh kebenaran dan sebuah bot nelayan menceroboh zon tangkapan ikan mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di dua lokasi berasaingan di perairan Pulau Jarak, Lumut, kelmarin.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal tangki sepanjang 171.20 meter yang berdaftar di Jerman itu ditahan di kedudukan 30.7 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada 11.15 pagi.

Menurutnya, kapal dikendalikan seorang nakhoda dengan 18 kru terdiri daripada warga Russia, Ukraine, Romania dan Filipina berusia 28 hingga 63 tahun dikesan berlabuh secara haram melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.

“Kapal tangki berkenaan dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) di bawah Seksyen 491B(1)(I).

“Semua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Shahrizan berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau menahan sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 6.2 batu nautika timur Pulau Jarak selepas didapati menangkap ikan kurang 12 batu nautika daripada daratan pada 5.40 petang, hari sama.

“Bot dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama dua kru warga Thailand dan Laos itu berusia antara 36 hingga 51 tahun ditahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau berkata, komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here