Category: Semasa

  • Abang Viva dapat motosikal pula

    Abang Viva dapat motosikal pula

    IBARAT besi baik tiada berkarat, begitu jugalah resam budi baik akan selamanya dihargai.

    Jasa yang ditaburkan oleh Abang Viva atau nama sebenarnya, Azwan Omar, 29, kepada mangsa banjir di Selangor baru-baru ini terus mendapat penghargaan yang mana sebelum ini dia dihadiahkan sebuah kereta pacuan empat roda (4×4) kini, dia diberikan pula sebuah motosikal jenis Yamaha XJ6S beserta aksesori lain.

    Azwan ketika mengesahkan perkara itu berkata, dia tidak menyangka akan dihadiahkan motosikal berkenaan apabila dia dihubungi oleh sebuah syarikat jual beli motosikal untuk membawa pulang hadiah tersebut.

    “Ia satu kejutan, mereka hubungi saya untuk datang ambil, kebetulan saya berada di Kuala Lumpur jadi saya terus pergi sahaja,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai identiti pemberi, Azwan mengambil keputusan untuk merahsiakan perkara itu terlebih dahulu.

    “Biarlah rahsia dulu, nanti saya akan terangkan semuanya menerusi ‘live’ di media sosial untuk semua orang jelas berkenaan dengan hadiah motor dan juga 4×4 itu,” ujarnya.

    Dia bersyukur dan gembira apabila menerima hadiah berkenaan selain memaklumkan untuk menggunakan motosikal itu untuk urusan kerja.

    “Sememangnya saya gembira dapat motor. Saya akan guna untuk urusan pergi dan balik kerja, nak bantu orang memang tak dapat kalau dengan motorsikal sahaja,” selorohnya.

    Menurut Azwan lagi, biarpun banjir di kebanyakkan tempat telah reda serta air sudah surut, dirinya masih lagi meneruskan usaha menghulurkan bantuan pasca banjir kepada mangsa-mangsa di beberapa kawasan yang terjejas sehingga hari ini.

    Pada 25 Disember lalu, seorang usahawan, Sha Hassan dilaporkan berhasrat untuk menghadiahkan sebuah kereta 4×4 tanpa sebarang syarat kepada Azwan bagi memudahkan urusannya menjalankan misi bantuan dengan lebih lancar.

    Menerusi satu sesi siaran langsung di akaun Facebook ‘unsung hero’ itu pada Khamis lalu, Azwan memaklumkan telah mengambil keputusan untuk menerima hadiah tersebut setelah menilai kehikhlasan usahawan berkenaan ketika berbincang mengenai tawaran tersebut.

  • Penuntut UM tak mengaku komen jelik terhadap TMJ

    Penuntut UM tak mengaku komen jelik terhadap TMJ

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PELAJAR tahun tiga di Universiti Malaya tidak mengaku bersalah atas tuduhan membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kerabat diraja melalui media sosial, pada awal tahun lalu.

    Tertuduh, Ahmad Muazz Ishak, 23, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Pemuda itu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman Twitter “@muazzishak” di pautan https://twitter.com/muazzishak.

    Perbuatan itu dilakukan di alamat No. 14, Kampung Parit Jamal, Benut, Pontian, pada 5 Februari tahun lalu.

    Bagi perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

    Tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan selain boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhd. Valantino Ifni Ho Ridzuan.

    Tertuduh ditawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

    Bagaimanapun, peguam bela tertuduh memohon jaminan minima memandangkan Ahmad Muazz masih belajar dalam jurusan Sains Sosial di peringkat Sarjana Muda di universiti awam itu.

    Tertuduh juga hujah Muhd. Valantino, mengalami masalah kewangan setelah tidak mendapat biasiswa atau pinjaman pendidikan selain terpaksa bekerja sambilan di sebuah kafe selama lima hari seminggu.

    Malah, anak guamnya sebelum ini juga pernah dijamin RM3,500 bagi pertuduhan melibatkan kesalahan yang berbeza ketika dituduh di Mahkamah Sesyen tersebut, pada 28 April tahun lalu.

    Hakim Ahmad Kamal membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Kes penyata akaun palsu: Nilai kontrak lebih RM60 juta

    Kes penyata akaun palsu: Nilai kontrak lebih RM60 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 25 individu sudah ditahan dengan 17 daripadanya kini berada di bawah perintah reman sejak kelmarin, untuk membantu siasatan terhadap kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat tertentu yang mempunyai butiran palsu bagi memasuki tender pada 2018 dan 2019.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan SPRM setakat ini mendapati nilai kontrak bagi kes tersebut dianggarkan lebih RM60 juta.

    Katanya, sehingga kini terdapat sebanyak 25 syarikat dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

    “Jumlah syarikat itu tidak mustahil akan bertambah kerana SPRM kini giat mencari mereka yang mungkin turut terbabit dalam kes ini.

    “Siasatan mendapati ada dalam kalangan pihak yang dicari itu sudah menukar alamat namun beberapa usaha sedang dijalankan bagi mengesan mereka,” katanya.

    Selepas 15 individu direman antara tiga hingga lima hari semalam, hari ini dua lagi pemilik syarikat direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar, Eliana Ismail.

    Daripada 25 individu ditahan sejak kelmarin, hanya 17 yang direman manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

    Penyata akaun bank syarikat yang mempunyai butiran palsu tersebut dipercayai dikemukakan kepada sebuah syarikat pembersihan bagi melayakkan syarikat-syarikat terlibat memasuki tender penswastaan pengumpulan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.

    Individu yang ditahan terdiri daripada pelbagai jawatan antaranya pemilik syarikat, pengurus, pengarah, kontraktor serta beberapa lagi yang bekerja sendiri,

    Kesemua mereka berusia antara 31 hingga 77 tahun.

    Dalam pada itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap memaklumkan, secara keseluruhannya terdapat 22 individu ditahan kelmarin manakala tiga yang lain ditangkap semalam.

    Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan banyak perkara memandangkan siasatan masih berjalan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Tukang rumah mahu elak urine test didenda rasuah polis

    Tukang rumah mahu elak urine test didenda rasuah polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas didakwa memberi rasuah sebanyak RM1,290 kepada seorang anggota polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, pada pertengahan tahun lalu.

    Bagaimanapun Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menangguhkan penghakimannya selepas tertuduh, Wong Chee Ming, 32, mẹmbuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.

    Ini kerana, Hakim Ahmad Kamal meminta Chee Ming melantik peguam bagi mengesahkan pengakuan salahnya.

    Mengikut fakta kes, lelaki itu secara rasuah memberi satu suapan wang tunai RM1,290 kepada anggota polis berpangkat lans koperal yang berusia 31 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan dia serta rakannya daripada menjalani ujian saringan awal air kencing.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.15 petang di simpang tiga Jalan Air Bemban, Taman Air Bemban, Kulai, pada 17 Mei tahun lalu.

    Bagi perbuatan itu, lelaki itu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Hakim menetapkan kes disebut semula pada 14 Februari ini.

  • Kes ahli perniagaan bunuh pengawal keselamatan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

    Kes ahli perniagaan bunuh pengawal keselamatan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

    MAHKAMAH Majistret Ipoh hari ini memerintahkan kes seorang ahli perniagaan yang menyerang pengawal keselamatan di sebuah kondominium pada Disember 2020 sehingga menyebabkan kematian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hosna Mohamad Zikri untuk memindahkan kes yang dihadapi Ahmad Noor Azhar Muhammad, 34, ke Mahkamah Tinggi.

    Ahmad Noor Azhar didakwa membunuh S. Thava Sagayam, 64, di Menara Majestic A-7-1, Jalan CM Yusuff, Ipoh, antara 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Sebelum itu, dia didakwa di Mahkamah Majistret kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Thava tetapi pertuduhan dipinda selepas polis mengklasifikasikan semula kematian pengawal keselamatan itu, yang diserang ketika bertugas di kolam renang di kondominium tersebut, sebagai kes bunuh pada 9 September tahun lepas. – Bernama
     

  • Lelaki lari masuk hutan gara-gara takut polis

    Lelaki lari masuk hutan gara-gara takut polis

    SEORANG lelaki dikhuatiri hilang di kawasan hutan selepas terserempak dengan polis yang sedang melakukan rondaan di Kampung Nelayan, Tok Bali, Pasir Puteh, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, ketika kejadian Ahmad Zul Mukriz Zakaria, 22, dikatakan pergi ke kawasan pembuangan sampah berhampiran untuk membuang sampah pukul 12 tengah hari.

    “Melihat kehadiran anggota polis yang membuat rondaan, lelaki itu terus melarikan diri dengan memasuki hutan berhampiran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi hari ini.

    Katanya, sehingga kini lelaki berkenaan masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) terus digerakkan sebaik sahaja menerima laporan daripada keluarganya di Balai Polis Cherang Ruku, semalam.

    “Seramai 44 anggota polis, bomba, Angensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) digerakkan hari ini untuk SAR,” katanya.

  • PELITA angkat martabat dunia sastera Terengganu

    PELITA angkat martabat dunia sastera Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PERSATUAN Sasterawan Terengganu (PELITA) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup sinonim dalam mengangkat dan memartabatkan dunia sastera di Terengganu sama ada melibatkan bidang penulisan mahupun perkara-perkara berkaitan bahasa.

    Selain melahirkan ramai golongan penulis berbakat dalam pelbagai genre, PELITA juga tidak pernah kontang dalam menganjurkan aktiviti sastera pada setiap tahun termasuklah ketika rakyat di negara ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu.

    Malah, penganjuran aktiviti ada kalanya turut melibatkan Kerajaan negeri serta beberapa agensi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan juga Persatuan Penulis Nasional (PENA).

    Apa yang pasti kehebatan ahli-ahli PELITA bukan dilihat sebagai ‘jaguh kampung’, sebaliknya ramai di antaranya berjaya memenangi anugerah peringkat Nasional.

    Berikut adalah wawancara WartaRakyat bersama Ketua Satu PELITA, KAMARULZAMAN ISMAIL mengenai persatuan tersebut serta perancangan aktiviti untuk tahun ini.

    WartaRakyat : PELITA dikatakan sebagai sebuah pertubuhan sastera yang begitu gah di Terenganu dan sentiasa aktif dalam menganjurkan aktiviti, apa pandangan saudara.

    KAMARULZAMAN : Gah atau tidak, ia sebenarnya bergantung kepada penilaian orang ramai, khususnya dalam kalangan khalayak sastera.
    Kami di PELITA hanya meneruskan tanggungjawab dan aktiviti yang berteraskan kepada bahasa dan sastera sejak dari dahulu sehingga sekarang, cuma kepimpinan sahaja yang berubah. Dari segi penganjuran aktiviti pula, ia bergantung kepada keadaan berdasarkan kesesuaian, kehendak semasa serta keputusan bersama dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK).

    Boleh ceritakan apakah bidang penulisan atau genre yang dihasilkan ahli-ahli PELITA?.

    KAMARULZAMAN: Banyak. Ia merangkumi pelbagai genre seperti puisi, drama, novel, cerpen, esei dan kritikan, anekdot, certot, biografi dan lain-lain. Penulisan skrip drama radio, televisyen dan filem pun ada.

    Siapakah antara nama-nama tokoh yang pernah terlibat dan berjaya mengharumkan nama PELITA?

    KAMARULZAMAN: Memang terdapat banyak nama-nama penulis lama dan baharu dalam PELITA, ada yang telah meninggal dunia. Antara yang masih ada ialah Datuk A Rashid Ngah, Tuan Shariff Putera, SM Noor, Hilmi Rindu, Abdul Mubin Ismail dan ramai lagi.

    PELITA juga memiliki penulis wanita yang masih aktif seperti Mahanie Sulong, Che Jamilah Abdul Rahman, Sabariah Nor Salleh dan Arina Abdul Rahman.

    Sejak penularan wabak pandemik Covid-19 di negara ini, banyak aktiviti secara bersemuka terpaksa dihentikan. Apakah antara aktiviti yang berjaya diteruskan.

    KAMARULZAMAN : Sebenarnya PKP buka halangan untuk PELITA mengadakan aktiviti. Walaupun perancangan asal sedikit terjejas namun aktiviti tetap diteruskan secara atas talian, antaranya termasuklah Bengkel Sastera, Bicara Orang Sastera (BOS), Webinar, Kursus Penulisan dan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu.

    Bagaimana pula dengan perancangan aktiviti pada tahun 2022?

    KAMARULZAMAN : PELITA akan meneruskan program kemuncak yang menjadi tumpuan semua khalayak sastera di negara ini, iaitu Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Daruliman V (HASDI V).

    Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini diadakan secara dwitahunan, PELITA bertindak sebagai penyelaras dan penerbit. Selain menyediakan beberapa kategori anugerah, ia bakal menganugerahkan Tokoh Sasterawan Negeri kepada individu yang layak.

    Turut dirancang ialah Penerbitan lapan antologi puisi, Bengkel Penulisan Sastera, BOS, Kunjungan Muhibah Sastera, Webinar Sastera Antarabangsa, Pelancaran karya, Seminar Pemikiran Tokoh Sastera dan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaaan peringkat Negeri Terengganu.

  • Sijil vaksinasi palsu: Pembantu pejabat direman tujuh hari

    Sijil vaksinasi palsu: Pembantu pejabat direman tujuh hari

    SEORANG pembantu pejabat direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lepas.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Jessica Ombou Kakayun di sini hari ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam di pejabat SPRM di sini ketika hadir untuk memberi keterangan.

    Suspek juga dipercayai memberi rasuah kepada sukarelawan di satu pusat pemberian vaksin sebagai balasan mendaftarkan nama individu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mendapatkan sijil digital berkenaan. – Bernama

  • Siasat dakwaan anggota polis peras ugut warga asing

    Siasat dakwaan anggota polis peras ugut warga asing

    POLIS sedang menyiasat dakwaan anggota polis memeras ugut warga asing di sebuah pasar raya di Kampung Baru Subang, Sungai Buloh.

    Perbuatan itu tular dalam Twitter kelmarin selepas dimuat naik oleh seorang pemilik akaun laman sosial itu yang mendakwa anggota polis memeras ugut warga asing.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar bagaimanapun memberitahu, masa dan tarikh kejadian tidak dijelaskan dengan tepat.

    “Semakan juga dibuat mendapati pemilik akaun telah memadamkan isu tersebut dari laman Twitter miliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, semakan mendapati tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

    “Kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh,” katanya.

  • Elak pemeriksaan, polis tembak tayar kereta

    Elak pemeriksaan, polis tembak tayar kereta

    TINDAKAN seorang pemandu kereta yang cuba merempuh pihak berkuasa telah menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

    Kejadian pada 10.30 pagi itu dipercayai berlaku selepas seorang lelaki bersama dua lagi rakannya dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan cuba mengelak daripada ditahan polis.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kereta itu pada mulanya ditahan oleh Unit Kereta Peronda Polis (MPV) di Tanjung Aru selepas menerima maklumat pasangan suami isteri sedang bergaduh dalam kenderaan berkenaan.

    Menurut beliau, anggota MPV yang bertugas kemudiannya mengarahkan semua individu membabitkan empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun itu turun dari kenderaan.

    “Seorang lelaki dan wanita mendakwa mereka adalah pasangan suami isteri memberikan MyKad untuk diperiksa.

    “Sementara dua lagi individu mendakwa tidak membawa MyKad dan seorang lagi iaitu pemandu memberitahu MyKad miliknya berada di tempat duduk pemandu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Namun, Mohd. Zaidi menyatakan bahawa tiga daripada suspek termasuk wanita terbabit bertindak masuk semula ke dalam kenderaan itu dan terus memecut laju meninggalkan dua rakannya termasuk suami kepada wanita terbabit.

    Menurutnya, anggota MPV terus mengejar kenderaan berkenaan namun sebaik sampai di Jalan Tun Fuad Stephens yang sesak, pemandu kenderaan bertindak berpatah balik secara berbahaya dan hampir merempuh anggota polis.

    “Keadaan itu menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar untuk memberhentikan kenderaan suspek.

    “Suspek akhirnya memberhentikan kenderaan di tengah jalan dan terus melarikan diri bersama dua lagi rakannya meninggalkan kereta terbabit,” katanya.

    Kejadian tersebut sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sehingga tular dalam media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

    Menerusi video berdurasi 1.45 minit yang tular, dapat dilihat sebuah Proton Wira berwarna kuning berhenti di tengah jalan berhampiran sebuah hotel di pusat bandar raya dan terdapat kenderaan polis menyusul di lokasi kejadian.

    Mohd. Zaidi berkata, suspek wanita akhirnya berjaya ditahan di sebuah bilik penginapan di Sinsuran dan siasatan mendapati MyKad yang dibawa adalah milik orang lain.

    Tambahnya, dua lagi suspek yang dikenali sebagai Ijam iaitu pemandu kereta berkenaan dan rakannya, Ali sedang dikesan pihak polis.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan tiga suspek yang ditahan juga akan dipohon reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.