Category: Semasa

  • Maritim rampas 97,500 karton rokok cuba diseludup di Langkawi

    Maritim rampas 97,500 karton rokok cuba diseludup di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis merampas sebanyak 97,500 karton rokok yang cuba diseludup ke negara ini kira-kira 2.7 batu nautika, barat Tanjung Belua, Langkawi semalam.

    Pengarah Maritim Kedah Dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan itu dibuat setelah pihaknya menahan sebuah bot ‘barter trade’ yang digunakan penyeludup bagi membawa kesemua rokok tersebut kira-kira pukul 4 pagi semalam.

    Katanya, kejayaan rampasan tersebut adalah hasil maklumat risikan dan intipan berterusan dilakukan pihaknya, selain kerjasama rapat bersama penguatkuasa negara jiran.

    “Sebaik bot itu ditahan, pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat 1,950 bungkusan mengandungi 97,500 berisi 19.5 juta batang rokok seludup pelbagai jenama di dalamnya.

    “Pemeriksaan lanjut turut menemukan 39 guni berisi tembakau. Kesemua itu disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Susulan itu kata beliau, pihaknya menahan seramai tujuh kru bot tersebut berusia 19 hingga 55 tahun yang disyaki warga Indonesia.

    “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,417,500 merangkumi bot, rokok dan tembakau yang ditemukan. Nilai hasil cukai kerajaan ke atas 97,500 karton rokok yang dirampas itu pula dianggarkan kira-kira RM1.95 juta” katanya.

    Mengulas lanjut beliau berkata, bahan terlarang itu dipercayai dibawa dari Thailand untuk dipasarkan di negara ini menggunakan taktik pemalsuan pembayaran duti setem pada kotak rokok tersebut.

    “Kami percaya aktiviti penyeludupan rokok dalam kapasiti besar ini didalangi sindiket antarabangsa yang turut melibatkan ejen-ejen darat dan laut dalam kalangan warga tempatan,” katanya.

    Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 49(1) dan 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cuba membawa masuk rokok seludup ke Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa menggunakan pintu sempadan yang sah.

  • Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di ibu negara

    Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di ibu negara

    SEORANG lelaki meninggal dunia manakala 11 lagi individu selamat dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Dato Haji Yusof Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, petang tadi.

    Bagaimanapun, identiti lengkap mangsa yang merupakan warga tempatan belum diketahui.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian dengan kekuatan lebih 40 anggota dari tujuh balai bomba.

    Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran bermula di sebuah bilik di tingkat satu rumah kedai empat tingkat berkenaan.

    Jurucakap itu memaklumkan sembilan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan jentera EMRS manakala tiga lagi mangsa menolak untuk dihantar ke hospital.

    “Api dapat dikawal pada kira-kira 6 petang dan padam sepenuhnya 6.55 petang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Serbegeth Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Johor

    Serbegeth Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Johor

    BEKAS bintang bola sepak negara Serbegeth Singh atau Shebby dilaporkan meninggal dunia ketika berbasikal petang tadi di Johor. Beliau berusia 61 tahun.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan kematian Shebby.

    Katanya, kejadian itu berlaku ketika Shebby berbasikal bersendirian di Sunway Iskandar.

    Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan takziah kepada keluarga Shebby susulan pemergiannya secara mengejut petang tadi.

    FAM berkata, Shebby dikenali sebagai seorang pemain pertahanan kental sepanjang kerjaya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997.

    “Sepanjang kariernya, Shebby pernah memenangi Piala Malaysia, Piala FA dan juara liga.

    “Antara pencapaian lain adalah membantu skuad negara mengutip pingat emas Sukan SEA pada 1989 dan gangsa pada Sukan SEA 1985,” kata FAM

    Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012 hingga 2013, Shebby pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta TM Melaka FC.

  • Maszlee patut berterima kasih pada Menteri Pendidikan

    Maszlee patut berterima kasih pada Menteri Pendidikan

    KENYATAAN bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang menggesa kerajaan melihat isu obesiti dalam kalangan murid sekolah daripada sudut lebih luas dibidas Setiausaha Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

    Menurut Hishamuddin, sepatutnya Ahli Parlimen Simpang Renggam itu perlu berterima kasih kepada Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin kerana telah menangani hal yang gagal diuruskannya ketika memegang jawatan berkenaan.

    “Saya lihat Maszlee Malik begitu banyak bercakap mengenai isu pendidikan. Semasa jadi menteri dulu, kenapa tak mahu buat?

    “Yang terbaru, Maszlee bercakap seolah-olah dia lebih tahu kaedah untuk menangani obesiti di kalangan pelajar sekolah.

    “Sepatutnya Maszlee ucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan sekarang kerana telah mula menangani hal yang Maszlee gagal uruskan semasa berkuasa,” katanya dalam laman Facebook hari ini.

    Memetik laporan portal FMT semalam, Maszlee menggesa kerajaan melihat isu obesiti dalam kalangan murid sekolah dari sudut lebih luas.

    Katanya, masalah obesiti agak membimbangkan dan penekanan pada usia muda harus diberikan dalam menerapkan amalan sihat seperti senaman dan pengambilan makanan berkhasiat.

    Beliau berkata demikian sebagai respon kepada laporan Kementerian Pendidikan yang akan melaksanakan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI) ke atas murid sekolah berusia lima hingga sembilan tahun bagi menangani masalah obesiti di negara ini.

    Dalam pada itu, Hishamuddin turut menyelar tindakan Maszlee yang sebelum ini melaksanakan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah.

    “Semasa Maszlee jadi Menteri Pendidikan, dia hanya tahu nak tukar kasut hitam dan rakus nak jadi Presiden UIA sahaja.

    “Tidak ada pencapaian tulin semasa Maszlee menjadi menteri. Hanya tahu bercakap sahaja. Nama Maszlee tercatat dalam sejarah kebangsaan sebagai satu-satunya Menteri Pakatan Harapan (PH) yang dipecat, jadi Maszlee tak perlulah menunjuk pandai dalam mengurus dasar pendidikan.

    “Sedarlah bahawa kena pecat itu maksudnya tidak kompeten dan tidak tahu buat kerja Menteri Pendidikan. Inilah bezanya Maszlee dengan Menteri Pendidikan hari ini. Maszlee hanya tahu bercakap, tetapi Menteri hari ini bekerja,” ujarnya.

    Sementara itu Maszlee ketika dihubungi melabelkan Hishamuddin sebagai ‘bodoh’.

    “Dia (Hishamuddin) tidak tahu apa-apa mengenai kesihatan dan pendidikan. Kita perlukan pakar untuk bercakap mengenainya,” katanya ringkas.

  • Mayat reput terdampar di pantai Seberang Takir

    Mayat reput terdampar di pantai Seberang Takir

    SATU mayat yang sudah reput ditemukan di kawasan Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus, pada pukul 12 tengah hari.

    Mayat tanpa identiti itu dijumpai terdampar di pesisir pantai oleh sekumpulan pekerja pembersihan sebelum dilaporkan kepada polis.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, polis kemudian pergi ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

    “Mayat yang belum diketahui jantinanya ini tidak cukup sifat dengan kepala, tangan dan betisnya sudah tiada.

    “Pengesahan identiti dan jantina mayat masih dalam siasatan. Mayat tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

    Abdul Rahim berkata, ia merupakan mayat kedua ditemui di pantai di negeri ini pada bulan ini.

    “Pada 3 Januari lalu, satu mayat reput tanpa identiti ditemui terdampar di Pantai Mengabang Panjang, Kuala Nerus,” katanya.

    Beliau sehubungan itu meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan polis untuk proses pengecaman.

  • Kaki warga emas dibaham buaya semasa cari lokan

    Kaki warga emas dibaham buaya semasa cari lokan

    SEORANG warga emas berjaya menyelamatkan diri selepas kakinya dibaham buaya di Sungai Silabukan, Lahad Datu pukul 4 petang semalam.

    Lelaki berusia 70 tahun itu sempat diselamatkan oleh isteri dan lima rakannya yang turut berada di lokasi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama enam yang lain berjalan kaki di tepi sungai berkenaan untuk mencari lokan.

    “Tiba-tiba seekor buaya naik ke tepi sungai dan membaham kaki mangsa. Namun dengan bantuan rakan-rakannya, mangsa berjaya diselamatkan dengan memukul bahagian kepala dan mata haiwan berkenaan.

    “Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan kanan dan perut dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi.

    Kata Rohan Shah, mangsa kemudiannya disahkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital terbabit.

    Sebelum itu, satu video berdurasi tujuh saat tular dalam aplikasi WhatsApp memaparkan keadaan mangsa yang dibaham buaya.

  • Tiga lelaki baru keluar penjara ditahan pecah rumah

    Tiga lelaki baru keluar penjara ditahan pecah rumah

    TIGA lelaki warga tempatan yang baru selesai menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) diberkas semula kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah pada Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan selesai menjalani hukuman berkenaan pada Julai 2021.

    “Ketiga-tiga suspek berumur antara 39 hingga 58 tahun itu sebelum ini dikenakan hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

    “Mereka dikenal pasti mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, tangkapan ke atas ketiga-ketiga suspek dijalankan setelah pihaknya menerima laporan berkaitan kes sebuah rumah dipecah masuk pada Sabtu.

    “Mangsa yang tiba di rumahnya pukul jam 11 malam mendapati rumahnya berselerak selain pelbagai barangan berharga telah hilang.

    “Antaranya termasuklah barangan kemas, elektronik, peralatan elektrik, wang tunai dan pelbagai barangan peribadi dengan anggaran kerugian adalah sekitar RM50,000,” katanya.

    Menurut beliau, siasatan mendapati kumpulan itu menyasarkan barangan kemas dan kenderaan mewah.

    “Barang kemas hasil pecah rumah tersebut kemudiannya dijual di kedai pajak gadai di sekitar Rawang dan Setapak.

    “Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di sekitar Petaling Jaya, Serdang dan Ampang,” katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    “Kesemua suspek direman 10 hari untuk siasatan lanjut,” ujar beliau.

  • Polis Sabah rampas dadah RM1.99 juta diisytihar peralatan akuarium

    Polis Sabah rampas dadah RM1.99 juta diisytihar peralatan akuarium

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Sabah merampas dadah dipercayai jenis Methamphetamine bernilai RM1.99 juta berat 55.4 kilogram (kg) dalam dua serbuan di sini pada 4 dan 9 Jan lepas, dan menahan seorang penggangur lelaki tempatan berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.

    Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya percaya kegiatan itu didalangi satu sindiket yang menghantar dadah tersebut dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu di sini menggunakan perkhidmatan kurier yang diisytihar sebagai peralatan akuarium.

    Beliau berkata hasil perkongsian maklumat dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, serbuan dilakukan pada 4.15 petang 4 Jan lepas di tempat letak kereta sebuah syarikat penghantaran barangan di Inanam dan menahan suspek kes tersebut bersama sebuah kereta.

    “Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan berjaya merampas tiga kotak dadah dipercayai jenis  Methamphetamine dengan berat 33.62kg bernilai RM1.21 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    Jauteh berkata hasil siasatan lanjut rampasan pertama, PDRM merampas dua kotak berisi dadah dipercayai jenis Methamphetamine berat 21.78kg bernilai RM784,000 dalam serbuan kedua di sebuah kawasan komersil di Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada pukul 9.50 pagi, 9 Jan lepas.

    Beliau berkata PDRM juga menyita wang tunai berjumlah RM102,097.87 berkaitan kes itu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Suspek yang ditahan mempunyai 17 kes lampau dalam pelbagai kesalahan antaranya dadah dan curi, suspek dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran (dadah)…siasatan masih dilakukan tentang kawasan pengedaran dadah tersebut, serta tempoh sindiket beroperasi,” katanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan PDRM pada pagi tadi menerima maklumat tentang sebuah bot yang meletup di Semporna dan PDRM bersama agensi terlibat masih dalam operasi mencari bot serta mangsa terlibat.

    “Kejadian dipercayai terjadi petang semalam tetapi pihak polis menerima maklumat 11.30 pagi ini…punca kejadian ini masih dalam siasatan dan pasukan mencari menyelamat masih tidak menemui apa-apa setakat ini,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah memberitahu pihaknya menerima maklumat kejadian bot meletup itu yang berlaku di Pulau Tatagan, Semporna, melibatkan dua orang mangsa menggunakan bot jenis ‘pump boat’.

    — BERNAMA

  • Ambil tindakan video tular individu sebar ajaran tasawuf ekstrem

    Ambil tindakan video tular individu sebar ajaran tasawuf ekstrem

    PIHAK berkuasa agama Islam perlu menyiasat segera berhubung isu video ajaran tasawuf ekstrem yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar seperti yang tular di dalam media sosial ketika ini.

    Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, langkah-langkah berkesan bagi mencegah ajaran tasawuf yang menyesatkan itu daripada disebarkan juga perlu diambil supaya akidah umat Islam di negara ini yang berlandaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah akan terus terpelihara.

    Menurut beliau, aliran pemikiran sebegitu mampu merosakkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesesatan kerana memecahkan agama Islam kepada syariah dan hakikat.

    Jelasnya, ia juga memperleceh syariah dan para ulama syariah dengan dakwaan palsu kononnya ulama syariah itu mengubah ajaran agama Islam.

    “Jika dihalusi aliran pemikiran tasawuf yang melampau ini berpunca daripada dakwaan kononnya Rasulullah SAW mengajar kepada sahabatnya ilmu hakikat yang tidak didedahkan kepada sahabat yang lain.

    “Ini adalah satu tohmahan karut terhadap Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda menyembunyikan ilmu yang diperintahkan kepada Baginda menyampaikannya kepada umat Baginda.

    “Sedangkan umat Islam diajar untuk mempercayai antara sifat yang wajib bagi seorang Rasul ialah amanah dan tabligh iaitu menyampaikan perintah Allah SWT kepada umatnya dengan sempurna.

    “Sementara itu, syariah pula adalah segala peraturan yang ditetapkan Allah SWT di dalam agama-Nya (Islam) yang dikehendaki setiap orang Islam mengikutinya sama ada dalam kehidupan peribadi atau kolektif,” katanya.

    Beliau mengulas mengenai video ceramah seorang individu berperwatakan seperti seorang ustaz yang mendakwa pelaksanaan solat adalah menyimpang daripada ajaran Islam yang kini tular dan mendapat reaksi pelbagai daripada warga maya.

    Tambah Wan Salim, adalah jelas ajaran yang memecahkan agama Islam kepada zahir dan batin atau syariat dan hakikat adalah merupakan sejenis penyelewengan yang mampu menggugat akidah seseorang Muslim.

  • Guna basikal angkut barang curi

    Guna basikal angkut barang curi

    SEORANG lelaki hanya menggunakan basikal untuk mengangkut barang curi selepas memecah masuk sebuah rumah di Kubang Kerian, Kelantan, malam semalam.

    Suspek berjaya diberkas orang awam kira-kira dua kilometer dari situ selepas menyedari rumah sebuah keluarga dipecah masuk ketika mereka keluar untuk makan malam.

    Lelaki berusia 42 tahun itu berjaya diberkas penduduk kampung di kawasan tali air, bersama-sama beberapa barangan yang dicuri.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, mangsa wanita berusia 47 bersama keluarga sebelum itu keluar untuk makan dalam keadaan rumah berkunci pada 8 malam.

    “Sebaik pulang pada 11 malam, mereka terkejut apabila mendapati pintu rumah terbuka serta barangan dalam keadaan berselerak dan mengesyaki ia dipecah masuk.

    “Pemeriksaan mendapati beberapa barangan hilang antaranya tiga utas jam tangan, dua unit telefon bimbit, sebentuk cincin, kasut serta beg yang keseluruhannya dianggarkan RM3,000,” katanya memetik laporan HM, hari ini.

    Mohd. Suhaimi berkata, susulan itu, dua anak lelaki mangsa bersama-sama penduduk kampung keluar mencari suspek di kawasan sekitar.

    Menurutnya, mereka menemui seorang lelaki tidak dikenali sedang menunggang basikal sebelum menemui semua barangan yang hilang dan suspek diserah kepada pihak polis.

    “Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamin dan memiliki 11 rekod jenayah bersabit dadah serta jenayah.

    “Suspek direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.