Category: Semasa

  • Remaja ‘dimandikan seperti jenazah’ ketika cuba curi tabung masjid dipenjara 10 hari, denda RM4,000

    Remaja ‘dimandikan seperti jenazah’ ketika cuba curi tabung masjid dipenjara 10 hari, denda RM4,000

    SEORANG remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, hari ini dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Selangor.

    Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, yang memakai kemeja T berwarna biru selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Jan lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

    “Mengaku salah,” kata remaja lelaki itu dalam keadaan bersahaja ketika ditanya jurubahasa mahkamah sama ada dia mengaku salah atau tidak.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Nik Mohd Fadli turut menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah.

    “Tahu apa salah awak? Duit orang bagi untuk masyarakat dan pembangunan masjid, awak curi letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak,” kata Nik Mohd Fadli.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Jan lepas dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh serta mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan sama.

    Peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama kali anak guamnya serta dia telah insaf.

    “Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid. Alasan dia (cuba mencuri) kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis. Dia cuba meminta kepada orang tetapi mereka tidak boleh tolong.

    “Anak guam saya merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik dan ibu bapanya telah bercerai sejak dia berusia lapan tahun. Dia tinggal bersama datuknya berusia 70-an dan kehidupan mereka bukan senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran,” kata Azman yang merupakan peguam pro bono (tanpa bayaran atau sukarela).

    Menurut Azman, meskipun tertuduh salah, tindakan pihak-pihak mengambil video seperti yang tersebar menerusi laman sosial adalah tidak wajar kerana telah menyebabkan tekanan kepada tertuduh dan keluarga.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang merupakan siak di masjid itu telah pergi ke masjid dan mendapati tabung masjid tiada. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki telah merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyembunyikan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

    Pengadu bersama ahli jawatankuasa masjid mengesyaki lelaki itu tinggal berdekatan masjid dan apabila mereka membuat rondaan di sekitar kawasan itu, mereka ternampak seorang lelaki yang sama dengan rakaman CCTV lalu menghampirinya dan bertanya adakah dia memecah masuk dan mencuri tabung masjid berkenaan.

    Lelaki itu kemudiannya mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu menyebabkan ahli jawatankuasa masjid menangkapnya dan menghubungi pihak polis.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tular dalam media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

    — BERNAMA

  • Hanya desas-desus tetapi Bersatu sentiasa bersedia hadapi pilihan raya – Hamzah

    Hanya desas-desus tetapi Bersatu sentiasa bersedia hadapi pilihan raya – Hamzah

    WALAUPUN pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, namun Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan ia hanyalah desas-desus sahaja.

    Hamzah malah menyifatkan perkara itu juga sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dikatakan akan diadakan tahun ini.

    Bagaimanapun, Hamzah memaklumkan, Bersatu sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan termasuk berhadapan dengan pilihan raya.

    Sebagai Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah berkata, beliau sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan rakyat tahu siapa untuk dipilih.

    “Desas-desus ini bukan hanya di Johor tetapi juga pilihan raya umum akan dilakukan. Bila ketetapannya itu akan dibuat oleh mereka yang bertanggungjawab. Saya sebagai Setiausaha Agung Bersatu sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan supaya rakyat tahu siapa untuk dipilih, kepimpinan lebih baik bagi kepentingan negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan dan Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

    Khabar angin pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam masa terdekat semakin banyak diperkatakan.

    Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata beliau tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan untuk mengadakan PRN.

    Menurutnya, kerajaan Johor masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.

    Kerajaan Johor yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai kelebihan satu kerusi susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember tahun lalu.

    BN mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11) dan Pas pula satu kerusi menjadikan keseluruhan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

  • Enam lelaki direman disyaki terima bayaran bekalkan sijil vaksinasi COVID-19

    Enam lelaki direman disyaki terima bayaran bekalkan sijil vaksinasi COVID-19

    ENAM lelaki direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di negeri ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud berkata kesemua mereka yang berusia 35 hingga 57 tahun itu ditahan malam tadi dan direman hingga Sabtu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang hari ini selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.

    M Zambri berkata kesemua lelaki itu dikatakan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa perlu melakukan suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, namun gagal menyediakan sijil berkenaan untuk pelanggan mereka sehingga kini.

    “Polis menerima laporan (daripada pelanggan) bahawa bayaran telah dibuat oleh mereka untuk membeli sijil itu, tetapi suspek dikatakan tidak memberikan sijil itu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata polis percaya kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan seorang doktor lelaki Sabtu lepas, yang disyaki menjual sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di sebuah klinik swasta di Marang.

    Siasatan awal polis mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik itu untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan, dengan bayaran antara RM400 hingga RM600.

    Katanya reman terhadap doktor berkenaan berakhir hari ini dan dia dilepaskan sementara menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya.

    — BERNAMA

  • Korea Selatan guna ubat antivirus rawat pesakit Covid mulai esok

    Korea Selatan guna ubat antivirus rawat pesakit Covid mulai esok

    KOREA Selatan akan mula merawat pesakit Covid-19 dengan ubat antivirus Pfizer mulai esok berikutan kebimbangan terhadap varian Omicron yang dikatakan lebih mudah berjangkit.

    Agensi Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) berkata,  sekurang-kurangnya 21,000 pil yang dipanggil ‘Paxlovid’, dijangka tiba dan akan diedarkan kepada hampir 280 farmasi dan 90 pusat rawatan di seluruh negara itu.

    Menurut laporan agensi berita, KDCA berkata ubat tersebut akan digunakan untuk merawat lebih 1,000 orang setiap hari dengan keutamaan akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi dan berusia 65 ke atas.

    Paxlovid mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 90% untuk mengelak kemasukan hospital dan kematian dalam kalangan pesakit yang mempunyai risiko tinggi kerana mempunyai penyakit teruk. Pfizer juga berkata berdasarkan data yang dikumpul, ubat tersebut berkesan terhadap Omicron.

    Sejak kebelakangan ini, Korea Selatan melakukan usaha  untuk mengawal jangkitan daripada varian Omicron seperti meluluskan pengambilan vaksin Novavax pada Rabu  lalu.

    KDCA melaporkan, rekod baru kes import Covid-19 pada hari Rabu lalu ialah 391 daripada 4,167 jangkitan.

    Ketika pandemik bermula, ,Korea Selatan antara negara yang berjaya mengawal Covid-19 dengan 679,030 kes secara menyeluruh dan 6,210 kematian berikutan pelaksanaan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

    Daripada jumlah keseluruhan kes Korea Selatan, hanya terdapat sejumlah kecil berkaitan jangkitan Omicron namun jumlah tersebut meningkat 3 kali  ganda sejak dua minggu lalu.

    Pertubuhan-pertubuhan kesihatan memberi amaran bahawa kes Omicron akan menjadi dominan pada bulan ini seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah.

    Kerajaan Korea Selatan akan mengumumkan Jumaat ini sama ada untuk melanjutkan lagi tempoh penjarakan sosial yang mula dilaksanakan pada pertengahan bulan lalu  selepas kes di negara itu meningkat sehingga 8,000 kes.

    Berdasarkan data KDCA, lebih daripada 84.4% daripada rakyat Korea Selatan sudah divaksin penuh dan 43.1% telah mengambil suntikan booster sejak Rabu lalu.

  • Tiga anggota polis ditahan peras ugut ejen jualan

    Tiga anggota polis ditahan peras ugut ejen jualan

    TIGA anggota polis ditahan selepas disyaki terbabit kes pemerasan terhadap seorang ejen jualan kenderaan di Persiaran Pandan Prima, Ampang, Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, siasatan mendapati mangsa lelaki berusia 30 tahun diugut supaya memberi wang tunai dan secara pindahan dalam talian

    “Pengadu ditahan oleh dua anggota polis Unit Ronda Bermotosikal (URB) lengkap beruniform dari balai polis Ampang (suspek). Suspek seterusnya membuat pemeriksaan telefon pengadu dan mendakwa pengadu mempunyai kesalahan atas milikan sesuatu dokumen.

    “Suspek meminta sejumlah wang tunai untuk menyelesaikan masalah itu. Akibat takut, pengadu seterusnya menyerahkan wang secara tunai dan secara pindahan dalam talian melalui akaun bank atas nama seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, tiga anggota polis itu yang berusia 36, 40 dan 44 tahun bertugas di balai Ampang ditahan semalam dan direman selama empat hari mulai hari ini.

    ‘’Semua suspek bebas daripada kesalahan dadah dan tatatertib serta berkhidmat dengan polis lebih 10 tahun.

    “Modus operandi suspek adalah berjalan mengesan mangsa dan melakukan pemerasan dengan meminta wang supaya tidak ditangkap. Usaha mengesan suspek masih bebas terutama pemilik akaun diteruskan,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, iaitu menjalankan pemerasan.

  • Pengurus syarikat pembinaan didakwa lagi tiga pertuduhan rasuah babitkan RM14,000

    Pengurus syarikat pembinaan didakwa lagi tiga pertuduhan rasuah babitkan RM14,000

    SELEPAS didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Johor Bahru, seorang pengurus syarikat pembinaan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di Ipoh atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM14,000 kepada penjawat awam bagi mendapatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan pada 2019.

    Asdi Ali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd Majid.

    Dia  didakwa secara rasuah memberi suapan RM6,000 kepada Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hairulnizam Sarudin, 44, sebagai dorongan mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan kerja bagi Kerja-Kerja Pembaikan Lapis Kalis Air di Blok B dan C Asrama Perempuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

    Asdi didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Ipoh Garden di Ipoh, pada 6 Dis 2019.

    Tertuduh turut didakwa memberi suapan RM5,750 dan RM2,250 kepada individu sama bagi mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan kerja bagi Kerja-Kerja Pembaikan Kerosakan di Kediaman Kelas Blok Kakitangan dan Pegawai di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dan Kerja-Kerja Penyelenggaraan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.

    Kedua-dua kesalahan itu pula didakwa dilakukan di lokasi sama pada 20 Dis 2019.

    Asdi didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Nazrin Sulaiman.

    Mahkamah membenarkan Asdi diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes rasuah lain yang dihadapi tertuduh, selain menetapkan 26 Jan ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Ahad lepas, Asdi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memberi suapan RM10,000 bagi mendapatkan kerja-kerja membaiki dan meningkatkan keselamatan jalan raya di sekitar Hulu Selangor.

    Pada 21 Dis lepas pula, Asdi dan abangnya Amir Ali, 45, yang juga kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam masing-masing atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM83,000 berhubung kerja-kerja naik taraf, penyelenggaraan dan membaik pulih di JKR Hulu Selangor, tahun lalu.

    — BERNAMA

  • Polis tahan lelaki dipercayai bunuh rakan gara-gara hutang

    Polis tahan lelaki dipercayai bunuh rakan gara-gara hutang

    POLIS menahan seorang lelaki di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil, Selangor Selasa lepas, yang dipercayai telah menculik dan membunuh rakan sekerjanya disebabkan masalah berkaitan hutang.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian 3 Okt lepas seorang individu mendakwa beliau bersama seorang lelaki berumur 29 tahun diserang dua lelaki bersenjatakan kayu semasa berada di kolam ikan Kampung Poh, Bidor pada pukul 10.22 malam, sebelum lelaki itu dilarikan.

    Beliau berkata susulan laporan polis oleh individu berkenaan, Selasa lepas polis menahan seorang suspek berumur 30 tahun yang kemudiannya mendedahkan bahawa lelaki itu telah dibunuh dan mayatnya ditanam di sebuah kebun sawit di kawasan Bidor.

    “Polis menemui mayat itu yang dibungkus dengan kanvas setelah dipandu arah oleh suspek, dan berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang antara mangsa dengan suspek, yang kedua-duanya bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah dan Seksyen 302 akta sama kerana membunuh.

    Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata polis sedang berusaha mengesan seorang lagi suspek bernama M. Anbu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya diminta menghubungi ASP Noor Irwan Abd Ghani dengan menelefon 017-3168097 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran. 

    Menurutnya kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan narkotik.

    — BERNAMA

  • Pembantu penguatkuasa MPS didakwa 6 pertuduhan rasuah

    Pembantu penguatkuasa MPS didakwa 6 pertuduhan rasuah

    SEORANG pembantu penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,500 daripada sebuah syarikat tiga tahun lalu. 

    Firdaus Azad Ab Hamid, 37, didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM5,500 daripada Pengarah Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd iaitu Yip Kok Kuin sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan permit tahunan sementara. 

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

    Dia juga menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu meminta rasuah RM5,500 daripada individu yang sama sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan permit tahunan sementara di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama. 

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    Firdaus Azad juga menghadapi tiga pertuduhan pilihan iaitu menerima suatu barang berharga iaitu wang berjumlah RM5,500 tanpa balasan daripada individu yang sama yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pembantu penguatkuasa dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.  

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Feb 2019 hingga 12 Nov 2019 di sebuah bank di Shah Alam. 

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 15 Feb bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    — BERNAMA

  • Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini – Hamzah

    Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini – Hamzah

    OPERASI Benteng (Op Benteng) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya. 

    “Inilah sebabnya saya perlu maklumkan kepada semua supaya kami akan lebih bersedia kerana buat masa ini pelbagai kementerian telah terlibat bersama KDN dalam NTF. 

    “Setelah Op Benteng diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini berakhir, ia akan kembali semula kepada kami (KDN) dan usaha memastikan Op Benteng sentiasa ke hadapan akan dibuat,” katanya dalam sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks KDN, di sini.

    Hamzah berkata bukan sesuatu yang baharu untuk KDN kembali mengambil alih hal berkaitan pengoperasian Op Benteng berkenaan.

    Menurutnya, walaupun NTF bakal berakhir pada Jun ini, operasi Gasak Laut dan Darat akan diaktifkan semula bertujuan mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

    “Selain itu, bagi memperkasakan kawasan perairan Sabah inisiatif pelantikan polis bantuan oleh pengusaha resort akan dilaksanakan. Usaha ini dilihat dapat membantu penguatkuasaan di lokaliti dan meningkatkan rasa selamat penduduk setempat.

    “Bagi tujuan ini, sesi libat urus akan dilaksanakan bersama pengusaha resort bagi memastikan inisiatif ini dijalankan dengan sebaiknya,” katanya.

    Pada Disember lepas, Bernama melaporkan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menyatakan bahawa keputusan mengekalkan NTF yang diterajui pasukan keselamatannya itu akan diketahui pada pertengahan tahun ini.

    Menurut Affendi NTF ditubuhkan secara ad hoc dan terbukti keberkesanannya dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin menerusi Op Benteng sejak negara dilanda pandemik COVID-19. 

    Sementara itu, mengulas desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hamzah berkata hanya pihak bertanggungjawab sahaja yang akan membuat ketetapan berhubung bila ia akan diadakan. 

    “Desas-desus ini bukan membabitkan Johor sahaja malah ada juga desas-desus mengenai Pilihan Raya Umum (PRU). 

    “Saya selaku Setiausaha Agung Parti Bersatu, sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan supaya rakyat dalam negara tahu siapa untuk mereka pilih serta memilih kepimpinan yang lebih baik bagi kepentingan negara,” katanya. 

    Sebelum ini, desas-desus PRN Johor diadakan dalam masa terdekat bertiup kencang, berikutan kerajaan negeri itu kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang yang memiliki 27 kerusi. 

    — BERNAMA

  • Pembangkang tidak cipta persepsi PRN Johor – AMK

    Pembangkang tidak cipta persepsi PRN Johor – AMK

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SPEKULASI akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi adalah persepsi yang diwujudkan sendiri oleh UMNO yang dilihat mahu lebih dominan dengan kuasa pemerintahan meskipun tiada apa-apa pergolakan ketika ini.

    Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mendakwa, UMNO sebenarnya berhasrat untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu bagi tujuan itu berbanding hanya berkelebihan satu kerusi majoriti ketika ini.

    “PRN Johor memang menjadi persoalan kerana bagi saya persepsi itu diwujudkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam keadaan kita sedang berdepan dengan situasi banjir tetapi isu itu dibangkitkan beliau.

    “Saya tidak nampak pihak lain memulakan perkara ini (PRN Johor), melainkan di pihak Menteri Besar sendiri.

    “Memang kerajaan negeri ada kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi yang mewujudkan suasana tidak stabil ini bukan Pakatan Harapan (PH) tetapi sebelah sana, jadi kalau boleh lebih baik tumpu untuk membantu rakyat sahaja ketika ini,” ujarnya.

    Beliau sebelum itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi memberi keterangan berkaitan Konvoi AMK Selamatkan SPRM.

    Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, alasan PRN Johor perlu dilakukan demi kestabilan politik tidak seharusnya dicanangkan kerana apa yang dituntut rakyat ketika ini adalah kerajaan yang menjaga kebajikan mereka.

    “Menteri Besar sahaja tidak boleh bercakap mengenai PRN kerana beliau bukan pimpinan paling tinggi, tetapi bukan itu rakyat perlukan ketika ini kerana kita masih dalam fasa pandemik serta musibah banjir yang belum selesai sepenuhnya.

    Khabar angin menyatakan Johor bakal menghadapi PRN dalam waktu terdekat semakin kedengaran selepas kerajaan negeri kini hanya memiliki kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang, 27 kerusi.

    Semalam, PH Johor mendesak Hasni berterus terang tanpa perlu berdolak dalik sekiranya mahu mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat kerana penjelasan itu setidak-tidaknya dapat melenyapkan khabar angin dan kembali fokus terhadap isu lebih utama iaitu membantu rakyat terjejas Covid-19 dan bencana banjir serta pemulihan ekonomi negeri

    Disebabkan spekulasi PRN yang kini berlegar, fokus kerajaan negeri untuk memajukan negeri dan membantu rakyat akan terganggu dan beralih kepada mendapatkan kuasa dan lobi-melobi untuk bertanding.

    Maklum balas Menteri Besar mengenai akan berlakunya PRN dalam tempoh terdekat atau tidak kurang jelas dan seakan-akan berdolak-dalik dalam hal ini sedangkan desas-desus tersebut bermula dari parti mereka juga.

    “Umumkan segera tarikhnya jika benar mahu PRN diadakan, jadilah ‘gentleman’. Ini secara tidak langsung membolehkan ‘politiking’ keterlaluan ketika ini dihentikan seterusnya dapat memberi tumpuan kepada rakyat yang terjejas serta pemulihan ekonomi negeri,” kata Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan.