Category: Semasa

  • Isu ‘unboxing’; Haram dedah hubungan intim suami-isteri

    Isu ‘unboxing’; Haram dedah hubungan intim suami-isteri

    HUBUNGAN intim dan rahsia antara suami isteri adalah haram didedahkan kepada orang lain malah disifatkan satu pengkhianatan yang besar dalam pandangan Islam.

    Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, banyak ayat al-Quran dan hadis melarang suami atau isteri menceritakan hubungan intim mereka kepada rakan dan sesiapa sahaja kerana memelihara rahsia rumahtangga adalah wajib.

    Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewa apabila semakin ramai orang Melayu Muslim sudah kehilangan sifat malu sedangkan agama Islam amat mementingkan sifat itu.

    “Perasaan malu menurut beberapa hadis Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai anak kunci syurga.

    “Sifat ini juga merupakan tiang seri bagi akhlak terpuji yang mampu memelihara iman seseorang Muslim dan mencegahnya daripada melakukan maksiat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas mengenai trend ‘unboxing’ dalam kalangan pasangan pengantin baharu yang tular dalam aplikasi media sosial TikTok ketika ini.

    Trend itu memperlihatkan perbuatan pengantin lelaki membantu membuka tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori pada bahagian kepala isteri dan dirakam sendiri oleh pengantin perempuan terbabit yang duduk di hadapan cermin.

    Dalam perkembangan berkaitan, Wan Salim turut menyarankan Mahkamah Syariah supaya menjalankan perbicaraan terhadap kes-kes perbalahan antara suami isteri secara tertutup supaya rahsia kedua-duanya tidak diketahui oleh orang lain.

    Jelas beliau, perbalahan antara pasangan suami isteri tidak seharusnya dijadikan bahan tontonan dan proses perbicaraan itu tentunya akan menyingkap aib masing-masing.

    “Terkadang ada pula yang mengambil kesempatan untuk meruntuhkan rumahtangga pasangan terbabit atau neruncingkan lagi keadaan sehingga  sukar untuk diselesaikan,” katanya.

  • Empat LMS di Sabah mantapkan kawalan keselamatan perairan negara – Hishammuddin

    Empat LMS di Sabah mantapkan kawalan keselamatan perairan negara – Hishammuddin

    PENEMPATAN empat Kapal Misi Persisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu mampu memantapkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara khususnya di Sabah.

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata LMS memainkan peranan menangkis ancaman, mengawasi kawasan operasi, meronda zon ekonomi eksklusif dan platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik dan perang.

    “TLDM akan manfaatkan dengan sebaik mungkin (keupayaan LMS) demi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan perairan Sabah termasuk melalui peningkatan rondaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang tanpa izin melalui jalan laut dan pelanunan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat TLDM Kota Kinabalu dan mendengar taklimat mengenai ‘Operasi Murni’ iaitu persiapan menghadapi banjir di Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

    Tiga daripada LMS terbabit iaitu KD Keris yang ditauliah pada 6 Jan 2020, KD Sundang (5 Mac 2021), dan KD Badik (22 Okt 2021) bernaung di bawah Skuadron LMS Ke-11 berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

    Hishammuddin berkata LMS keempat iaitu Rencong tiba di pangkalan itu pada 28 Dis lepas dan akan menyertai skuadron apabila menerima pentauliahan pada 28 Jan depan yang kemudian dikenali sebagai KD Rencong.

    “Keberadaan keempat-empat LMS di dalam negara khususnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hari ini cukup bermakna bagi TLDM kerana ia menandakan semua LMS telah selesai diterima oleh TLDM dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

     Kontrak perolehan keempat-empat LMS dimeterai antara Kementerian Pertahanan dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.

    Beliau juga berkata Angkatan Tentera Malaysia akan meneruskan kerjasama rapat dengan Sabah dan agensi berkepentingan menerusi Operasi Murni bagi memastikan kesiapsiagaan mendepani bencana terus berada di tahap tertinggi.

    “Sejak hari pertama banjir di Sabah termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid, anggota ATM telah diatur gerak bukan sahaja membantu memindahkan mangsa banjir tetapi juga menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di pusat pemindahan.

    “Sebanyak 385 anggota bersama dengan 50 aset daripada Briged Kelima Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Timur Sabah sedang diletakkan dalam keadaan bersiap siaga untuk diatur gerak pada bila-bila masa di negeri Sabah,” katanya.

    — BERNAMA

  • Siasatan terperinci perlu untuk banteras penipuan sijil vaksinasi – Hishammuddin

    Siasatan terperinci perlu untuk banteras penipuan sijil vaksinasi – Hishammuddin

    PIHAK berkuasa diminta terus menjalankan siasatan terperinci bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan sijil vaksinasi COVID-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata penipuan membabitkan sijil vaksinasi itu merupakan perkara yang tidak boleh dimaafkan kerana ia akan memudarat serta mendedahkan orang ramai kepada pandemik COVID-19.

    “Bagi saya, kita tidak akan kompromi penipuan sijil vaksinasi COVID-19… ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan saya gembira bila pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap individu tertentu.

    “Namun siasatan mesti diteruskan kerana ketamakan mereka untuk mendapatkan keuntungan dan ambil kesempatan dalam musibah yang melanda dunia perlu ditangani dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu hari ini.

    Hishammuddin juga berkata tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu itu boleh menyebabkan kes COVID-19 di negara ini meningkat.

    “Mereka akan menjejaskan orang yang tidak berdosa… kita tahu sekarang ada varian yang lebih berbahaya iaitu Omicron dan kita tidak mahu kes COVID-19 kembali meningkat,” katanya.

    — BERNAMA

  • PPN 2.0 bakal lakar pemulihan inklusif, lonjak Malaysia ke tahap lebih tinggi-Muhyiddin

    PPN 2.0 bakal lakar pemulihan inklusif, lonjak Malaysia ke tahap lebih tinggi-Muhyiddin

    KEJAYAAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah berjaya membawa semua negeri di Malaysia ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kepelbagaian peluang ekonomi yang lebih baik daripada era sebelum pandemik merupakan pelaburan yang amat menarik kepada para pelabur.

    Kesemua itu telah menjadikan negara lebih dari bersedia dan terbuka untuk menjalinkan hubungan dagang walaupun sempadan antarabangsa masih ditutup, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata, beliau yang ditugaskan menerajui usaha pemulihan pasca pandemik akan menyusun hala tuju dikenali Pelan Pemulihan Nasional 2.0.

    Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Pelan Pemulihan Nasional 2.0 adalah kesinambungan strategi keluar empat fasa menerusi Pelan Pemulihan Nasional terdahulu yang dimuktamadkan pada Disember lalu.

    Muhyiddin berkata, pelan berkenaan bakal melakarkan laluan pemulihan inklusif dan sistematik yang akan melonjakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi supaya negara bangkit semula, lebih kuat berbanding sebelum pandemik.

    Muhyiddin Yassin

    “Jelas sekali banyak peluang untuk bangunkan semula ekonomi dan masyarakat kepada sesuatu lebih baik berbanding era prapandemik.

    “Cadangan nilai kami kepada pelabur adalah kukuh: ekosistem pelaburan kami teguh, kemudahan menjalankan perniagaan bertambah baik, pemulihan pandemik sedang dijalankan, infrastruktur fizikal dan digital kami sentiasa dinaik taraf.

    “Selain itu, kumpulan bakat kami luas dan mendalam, kekuatan institusi kami adalah kukuh, asas ekonomi kami cemerlang dan diiktiraf di peringkat global,” katanya pada majlis jamuan makan tengah hari bersama lebih 30 pemain industri antarabangsa di Ekspo Dubai, hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin juga berharap lebih banyak perniagaan bakal melabur di Malaysia, manakala syarikat tempatan pula akan meneroka peluang bukan sahaja di Emiriah Arab Bersatu tetapi merentasi Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada majlis makan tengah hari di Ekspo Dubai, hari ini. – Foto ihsan Pejabat Tan Sri Muhyiddin Yassin

    “Marilah kita menempa kejayaan bersama-sama untuk masa depan yang lebih bermakna, bukan sahaja ketika pandemik tetapi dalam fasa endemik dan seterusnya.

    “Kerja keras menanti kita. Ketika Tahun Baharu ini berlangsung, kerjasama dan perpaduan akan menjadi kunci jika kita tidak mahu melihat kembali tahun bermasalah ini.

    “Pilihan di tangan kita, berdiri bersama atau jatuh sendiri. Saya berada di pihak yang optimis,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh. 

  • Buat pusingan U:Pesara guru, pemuda maut

    Buat pusingan U:Pesara guru, pemuda maut

    SEORANG pesara guru dan seorang pemuda maut dalam kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labok, di Macang pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Pesara guru, Ab. Hamid Shua’aib, 73, memandu kereta Proton Iswara dan Mohamad Faizuddin Shamsuddin, 27, yang menunggang motosikal parah serta meninggal dunia di lokasi.

    Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati Ab. Hamid yang memandu Proton Iswara dari arah Machang menghala ke Kota Bharu dipercayai membuat pusingan U sebaik tiba di tempat kejadian.

    “Bagaimanapun, motosikal ditunggang Mohamad Faizuddin datang dari arah arah sama hilang kawalan dan melanggar bahagian kanan kenderaan itu.

    “Akibat perlanggaran, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Tiga lelaki terbabit video tular ditahan polis

    Tiga lelaki terbabit video tular ditahan polis

    POLIS menahan tiga lelaki termasuk remaja berusia 16 hingga 19 tahun kerana terbabit dalam kejadian pukul yang videonya tular dalam media sosial sejak semalam.

    Menerusi video berdurasi dua minit 33 saat itu, mangsa dipukul tiga lelaki dalam kejadian di kawasan Kuala Sepetang, Taiping.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah bersama-sama anggota polis Balai Kuala Sepetang menahan ketiga-tiga suspek pukul 9.45 malam.

    “Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Taiping dan mereka dibenar untuk ditahan selama tiga hari bagi membantu siasatan.

    “Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Tun M dibenarkan keluar IJN

    Tun M dibenarkan keluar IJN

    TUN Dr. Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini setelah menjalani beberapa prosedur perubatan pada petang tadi, kata pusat rawatan itu dalam satu kenyataan yang diedarkan.

    Kenyataan itu juga menyebut, Ahli Parlimen Langkawi itu keluar dari pusat rawatan tersebut pada pukul 3.45 petang dan beliau menyambung proses pemulihan di rumah.

    “Tun Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Ali merakamkan penghargaan terhadap semua pihak yang prihatin dan mendoakan sejak Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN sejak seminggu lalu,” katanya dalam kenyataan tersebut.

    Jumaat lalu, Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN untuk prosedur perubatan elektif.

    Pada 23 Disember 2021, Dr. Mahathir yang sebelum ini menjalani rawatan dan pemeriksaan di IJN dibenarkan keluar dari pusat rawatan itu.

    Beliau dimasukkan semula ke IJN selepas itu bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian lanjut.

  • Henti industri kitar semula sisa plastik cemar alam sekitar

    Henti industri kitar semula sisa plastik cemar alam sekitar

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang membabitkan pengeluaran, penggunaan, pengitaran semula dan pelupusan semua plastik di negara ini.

    Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, undang-undang itu bagi memastikan pengeluaran plastik dikurangkan secara drastik dan perdagangan sisa plastik dapat diharamkan.

    Jelas beliau, kerajaan tidak sepatutnya menggalakkan perniagaan mengitar semula plastik toksik kerana bukan sahaja memusnahkan alam sekitar, malah turut menjejaskan kesihatan pekerja dan pengguna.

    “Pengeluar perlu menghentikan penggunaan bahan kimia toksik dalam plastik secara berperingkat.

    “Mereka juiga perlu mendedahkan sebarang kandungan bertoksik kepada pengguna hiliran, pengguna, pengitar semula dan kakitangan pengurusan sisa,” katanya dalam sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohideen, gesaan itu berikutan tinjauan CAP mendapati kekurangan peraturan dan pengawasan dalam industri kitar semula plastik telah menimbulkan pelbagai masalah di Malaysia.

    Menurutnya, plastik terpakai yang dikitar semula menjadi pelet seterusnya digunakan untuk menghasilkan produk plastik lain itu dikesan mengandungi bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan.

    “Ini kerana plastik yang tidak sesuai untuk dikitar semula mungkin dilupuskan melalui pembakaran, justeru melepaskan bahan kimia toksik ke dalam alam sekitar.

    “Ataupun ia mungkin di buang di tapak pelupusan sampah sekali gus berpotensi mencemarkan tanah dan sumber air,” katanya.

    Tambah beliau, selepas China menutup pintu kepada sisa plastik, Malaysia muncul sebagai antara destinasi utama bagi pengeksport sisa plastik.

    Ujar beliau, mengitar semula sisa plastik menjadi perniagaan yang menguntungkan di Malaysia, malah kerajaan turut menggalakkannya menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

    Kata beliau, plastik terpakai dikitar semula menjadi pelet yang seterusnya digunakan untuk menghasilkan produk plastik lain dan ujian yang dijalankan ke atas pelet itu telah mengesan bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan.

    “CAP telah mendapatkan pelet plastik kitar semula berkenaan daripada pengitar plastik yang mengeksport dan menjual pelet tersebut kepada pengeluar tempatan untuk dijadikan produk baharu.

    “Kesemua pelet itu dianalisa bagi kandungan tiga kumpulan bahan kimia yang diketahui berbahaya iaitu penstabil UV benzotriazole; bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A,” katanya.

  • Tiada apa-apa perbincangan tentang PRN – Dr. Sahruddin

    Tiada apa-apa perbincangan tentang PRN – Dr. Sahruddin

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SETIAUSAHA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menegaskan parti itu belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setakat ini.

    Kata bekas Menteri Besar Johor itu, biarpun khabar angin mengenai perkara itu semakin diperkatakan ketika ini, Bersatu teguh dengan tumpuan membantu rakyat di negeri itu yang terjejas banjir serta berdepan kesukaran kerana penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

    Beliau berkata, mereka di peringkat negeri juga tidak mengetahui jika terdapat mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti mengenai PRN Johor yang kononnya diadakan di ibu negara, malam tadi.

    “Cerita tentang PRN Johor ini pun saya tahu daripada hebahan media menerusi kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad serta rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain.

    “Kami masih belum membuat apa-apa perbincangan tentang PRN setakat ini. Buat masa ini Bersatu Johor fokus untuk bantu rakyat yang terjejas banjir dan Covid-19 selain ekonomi yang masih belum pulih,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Senator Isa Ab. Hamid berkata, pucuk pimpinan parti akan mengeluarkan arahan untuk mengadakan mesyuarat bahagian sekiranya MPT mengadakan mesyuarat tertentu termasuk membincangkan soal PRN Johor.

    “Setakat ini, saya serta 25 ketua bahagian Bersatu Johor belum dimaklumkan sama ada mesyuarat MPT diadakan malam tadi atau sebaliknya. Kebiasaannya, selepas mesyuarat MPT, giliran ketua-ketua bahagian pula yang akan bermesyuarat.

    “Sekiranya MPT mengadakan mesyuarat tentang PRN Johor malam tadi, pastinya dalam tempoh sehari dua ini, kami ketua-ketua bahagian Bersatu akan terima arahan untuk adakan mesyuarat susulan pula,” katanya.

    Spekulasi pembubaran DUN yang membuka laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

    Hasni dilaporkan mengakui kerajaan negeri ‘tidak suka’ dengan istilah satu yang merujuk kepada hanya satu majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki biarpun memaklumkan sokongan Bersatu dan Pas tidak goyah.

  • KPMG bayar RM340.92 juta penyelesaian 1MDB

    KPMG bayar RM340.92 juta penyelesaian 1MDB

    MALAYSIA telah menerima wang penyelesaian berjumlah RM340.92 juta (AS$80 juta) daripada KPMG yang telah disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

    Penyelesaian itu susulan daripada pengumuman pada 16 September tahun lalu di mana KPMG bersetuju menyelesaikan saman sivil yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka.

    Secara keseluruhan, Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara telah pun menerima sejumlah RM19.138 bilion setakat ini berhubung skandal kewangan 1MDB.

    Dana tersebut telah atau akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, kerajaan telah membayar balik sebanyak RM13.3 bilion hutang 1MDB.

    Menurut beliau, hutang terkumpul pada 31 Disember 2021 yang terdiri daripada prinsipal dan keuntungan untuk bon serta sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.

    “Walau bagaimanapun, baki semasa akaun amanah itu adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon untuk tahun 2022 sahaja.

    “Apabila semua dana akaun amanah itu telah digunakan, kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB yang penerbitannya disokong oleh jaminan dan surat sokongan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB.

    Pada masa sama, kerajaan akan sentiasa memastikan peruntukan yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang diakibatkan oleh entiti ini.

    “Kementerian Kewangan ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara; Suruhanjaya Sekuriti; Bank Negara Malaysia (BNM); Pasukan Polis Diraja Malaysia; Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini,” jelas beliau.

    16 September lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai AS$80 juta bagi memenuhi semua tuntutan berkaitan tanggungjawab fidusiari dalam pengauditan akaun 1MDB untuk tempoh 2010 hingga 2012.

    Penyelesaian itu mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai 2021 terhadap KPMG.