Category: Semasa

  • Remaja 17 tahun antara 23 individu didakwa promosi judi ‘online’

    Remaja 17 tahun antara 23 individu didakwa promosi judi ‘online’

    SEORANG remaja berusia 17 tahun serta dua berusia 18 tahun antara 23 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mempromosikan judi ‘online’.

    Bagaimanapun, kesemua mereka iaitu 19 lelaki dan empat perempuan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.

    Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 32 tahun itu didakwa secara berasingan mempromosikan permainan perjudian di dalam talian kepada pelanggan dengan menggunakan set komputer di dua lokasi berbeza.

    Seramai 10 daripada mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Persiaran Gurney pukul 5.25 petang pada 7 Januari lalu manakala 13 yang lain di sebuah kondominium di Jalan Kelawei pukul 6.45 petang pada tarikh sama.

    Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

    Selain itu, tertuduh juga berdepan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil memohon mahkamah mengenakan jaminan maksimum RM10,000 namun peguam kesemua tertuduh, Pang Chun Keat memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

    Ini kerana menurut Chun Keat, tertuduh yang masih bujang tidak mempunyai pekerjaan tetap selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta tiada kebarangkalian untuk melarikan diri.

    Malah katanya, kesemua tertuduh juga terjejas mental dan fizikal kerana masih direman hari ini bagi tujuan pendakwaan meskipun tempoh tahanan reman mereka sepatutnya berakhir semalam.

    Rosnee kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tertuduh manakala kes akan disebut semula pada 7 Mac depan.

    Akhbar sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket perjudian online yang menjadikan dua unit kondominium mewah sebagai pusat operasi selepas menahan 23 individu dalam dua serbuan berasingan Jumaat lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua yang ditahan bekerja sebagai ejen mempromosikan sindiket perjudian ‘online’ dengan gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain turut dibayar komisyen sebanyak lima peratus jika pelanggan kalah dalam permainan perjudian tersebut.

    Sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan Disember tahun lalu dengan waktu operasi antara pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari dan memancing pelanggan  melalui media sosial Facebook, Whatsapp dan Telegram.

    Dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian antaranya 85 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 18 unit komputer riba, lapan set komputer meja; 49 keping kad sim dan dua buah kereta jenis Honda.

  • Imam ‘mandikan’ remaja curi tabung masjid letak jawatan

    Imam ‘mandikan’ remaja curi tabung masjid letak jawatan

    IMAM yang terlibat dalam memandikan seorang  remaja seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid telah meletakkan jawatan berkuatkuasa hari ini .

    Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Zawawi Ahmad Mughni, ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad, mengenai tindakan wajar yang sudah diambil kepada imam berkenaan.

    “Saya baru berhubung dengan Pengarah JAIS, dan beliau memaklumkan sudah mengambil tindakan wajar kepada imam berkenaan. Saya kurang pasti tindakan terperinci tetapi saya diberitahu imam berkenaan sudah pun meletak jawatan,” katanya kepada portal Free Malaysia Today

    Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis berkata sebagai seorang tokoh agama tempatan, seorang individu bergelar imam atau nazir tidak sewajarnya menjatuhkan hukuman sendiri, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

    “Sebagai imam atau nazir tidak sewajarnya memberi hukuman sebelum siasatan dilakukan, patutnya kita beri keterangan kepada polis untuk selesaikan. Tugas imam sebagai dai, beri nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah, bukan buat tindakan (menghukum) sendiri,” katanya.

    Remaja berkenaan, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

    Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Jan lalu.

    Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

  • Dakwaan Muhyiddin tidak ambil suntikan vaksin tunai umrah tidak benar

    Dakwaan Muhyiddin tidak ambil suntikan vaksin tunai umrah tidak benar

    DAKWAAN Ustaz Abu Syafiq bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 atau vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada Mac 2021 adalah tidak benar.

    Pegawai Khas kepada Muhyiddin, Mohd. Naaim Mahmod berkata, bekas Perdana Menteri kelapan itu dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air, manakala vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.

    “Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi.

    “Selain itu, lawatan kerja rasmi Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada SOP yang ketat termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan.

    “Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Naim menambah, pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi dalam suatu gelembung perjalanan (travel bubble) yang telah ditetapkan.

    Ustaz Abu Syafiq yang sebelum ini pernah mengaku pergi ke tanah suci tanpa mengambil vaksin, membuat dakwaan tersebut menerusi akaun media sosialnya baru-baru ini.

    Dakwaan itu susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Ahmad yang mahu pihak berkuasa menyiasat pengakuan Abu Syafiq bahawa dia pergi ke tanah susi tanpa mengambil vaksin.

  • Pengawal keselamatan dipenjara 5 tahun gilis kaki anak tiri

    Pengawal keselamatan dipenjara 5 tahun gilis kaki anak tiri

    MAHKAMAH Sesyen Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang pengawal keselamatan atas kesalahan menggilis kaki anak lelaki tirinya menggunakan motosikal, awal bulan ini.

    Ramlan Abdul Karim, 32, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak tiri berumur 10 tahun menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Ysuku.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Padang pada 7 Januari lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

    Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pukul 11.10 malam selepas tertuduh, ketika itu berada di atas motosikal bertengkar dengan isterinya membabitkan hal penceraian di hadapan rumah mereka.

    Berang dengan salah faham yang berlaku, tertuduh secara tiba-tiba telah memecut laju motosikalnya sehingga menggilis mangsa yang berada berhampiran.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari merayu hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor umur mangsa yang hanya berusia 10 tahun dan kecederaan dialaminya.

    Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakli peguam merayu agar hukumannya diringankan kerana telah insaf selain perlu menjaga ibu dan bapanya.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

  • 30 kertas cadangan disenarai pendek untuk terima geran penyelidikan MASA

    30 kertas cadangan disenarai pendek untuk terima geran penyelidikan MASA

    GERAN penyelidikan yang diperkenalkan buat pertama kalinya oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA) tahun lalu, mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Azril Mohd Amin berkata,  kesemua kertas cadangan yang merangkumi tujuh bidang keutamaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah melalui proses tapisan awal oleh Sekretariat Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) diikuti penilaian oleh panel penilai terdiri daripada pakar bidang, mantan pegawai tinggi kerajaan serta ahli akademik.

    ‘’Daripada jumlah itu, sebanyak 30 kertas cadangan merangkumi topik kajian dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari telah disenarai pendek dan diputuskan layak oleh panel penilai untuk menerima geran penyelidikan MPDP.

    Azril Mohd Amin

    ‘’Mereka yang terpilih akan ditawarkan geran penyelidikan bernilai sehingga RM10,000 untuk setiap kertas ringkasan polisi yang dihasilkan. Penerima geran MPDP juga digalakkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan masing-masing dalam jurnal terkemuka, sama ada di dalam atau luar negara,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau memaklumkan, MPDP diperkenalkan pada September tahun lalu bertujuan menyediakan peluang kepada penyelidik untuk memberikan input dan cadangan polisi bagi membantu proses pelaksanaan pemulihan negara serta strategi dan pelan kerajaan pasca Covid-19.

    Senarai penerima geran yang berjaya boleh dilayari di laman web Institut MASA di https://institutmasa.com/ms/geran-penyelidikan-program-pembangunan-dasar-masa-mpdp/.

  • Hadi sahkan Khairuddin digugurkan sebagai AJK Pas Pusat

    Hadi sahkan Khairuddin digugurkan sebagai AJK Pas Pusat

    DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

    Pengguguran Ahli Parlimen Kuala Nerus itu disahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada wartawan selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Marang hari ini sambil memaklumkan ia diputuskan pada mesyuarat Pas di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Bagaimanapun Abdul Hadi menegaskan,  pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu atau mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam PAS, termasuk diberhenti atau ditukarkan.

    “Pengguguran itu mestilah mempunyai alasan kerana dalam parti kita ada jawatankuasa disiplin, siapa yang tidak ikut disiplin boleh ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat,” katanya.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut punca Mohd Khairuddin digugurkan kerana ”urusan parti dikendalikan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan”.

    Mohd Khairuddin antara tiga pemimpin tertinggi parti yang dilantik semula menjadi ahli jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 selepas tewas pada pemilihan Muktamar Pas ke-67 November tahun lalu.

    Abdul Hadi menegaskan, sesiapa sahaja ahli parti termasuk pemimpin yang melanggar disiplin parti akan ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat.

    Sementara itu, Mohd Khairuddin dalam hantaran di laman Facebook malam tadi turut memberi bayangan mengenai situasi akan menimpanya.

    Katanya, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam masyarakat kerana manusia mempunyai akal dan ilmu berlainan yang menghasilkan sudut pandangan berbeza.

    “Tinggal lagi adalah adab dalam perbezaan pendapat dan bagaimana menguruskan perbezaan yang boleh menyuburkan lagi sesuatu perbincangan,” katanya.

  • Dua maut selepas melambung, diseret atas jalan raya

    Dua maut selepas melambung, diseret atas jalan raya

    SEORANG lelaki dan seorang wania maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 13 Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, Kota Bharu pukul 12.01 tengah malam tadi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, lelaki berusia 25 tahun manakala pembonceng wanita berusia 36 tahun melambung sejauh 30 meter (m) sebelum terseret di atas jalan menyebabkan keduanya meninggal dunia serta-merta.

    “Mangsa dipercayai rakan sekerja. Mangsa dipercayai dari arah Kota Bharu menghala ke Perol. Sebuah kenderaan dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki mangsa,” katanya ketika dihubungi.

    Mohd. Suhaimi berkata, kenderaan yang melanggar mangsa dipercayai melarikan diri dan berdasarkan penemuan komponen kenderaan di lokasi kejadian, ia mungkin melibatkan sebuah perodua Myvi berwarna oren.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

    “Kami sedang mengesan pemandu serta kenderaan itu dan sebarang maklumat atau saksi dipohon tampil berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Inspektor Mohd. Ikhwan Mamat di talian 013-9638060 untuk membantu siasatan,” katanya.

  • Helikopter, bot lama PDRM perlu diganti-Hamzah

    Helikopter, bot lama PDRM perlu diganti-Hamzah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang berbincang untuk menggantikan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk helikopter dan bot lama dengan yang baharu kerana dilihat sudah tidak sesuai dengan keadaan masa kini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, aset baharu itu amat diperlukan terutama bagi menghadapi bencana contohnya banjir yang berlaku pada setiap tahun.

    Jelas beliau, perkara itu disedari ketika pasukan beruniform berkenaan turun melakukan operasi membantu sepanjang bencana itu.

    Katanya, situasi tersebut memberi pengajaran kepada pihaknya untuk menggantikannya apatah lagi helikopter PDRM sendiri telah berusia 25 tahun yang tidak dilengkapi teknologi terkini.

    “Aset lama seperti helikopter sebagai contoh adalah aset yang kita rasa bahaya bila ada ribut petir dan hujan lebat kerana ia tidak

    mempunyai kelengkapan yang boleh bersedia dalam keadaan banjir atau bencana seperti ini.

    “Banyak aset PDRM bila dalam keadaan nak membantu ini baru kita sedar. Contohnya bot yang kita guna selama ini telah lama kita perolehi.

    “Jadi, saya ada berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha kementerian untuk kita mencari bot yang lebih sesuai dalam keadaan banjir pada masa akan datang,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di Segamat.

    Hamzah (kiri) diberikan taklimat oleh Bahrin Noh berkaitan keadaan terkini banjir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, Segamat, hari ini.

    Hamzah turut melawat Galeri Darurat Bukit Kepong di Pagoh, Muar sebelum mendengar sesi taklimat berkaitan keadaan terkini bencana itu di di Segamat yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat.

    Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Segamat, Superintenden Bahrin Noh.

    Dalam pada itu, Hamzah mengumumkan peruntukan sebanyak RMM250,000 untuk membaik pulih Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air sehingga paras 2.5 meter dalam bencana banjir baru-baru ini.

    “Atas sifat prihatin KDN, saya telah bersetuju memberikan bantuan kewangan untuk baik pulih kawasan galeri bersejarah tersebut meskipun semua artifak dapat diselamatkan.

    “Walaupun kita sudah reka bentuk galeri tersebut lebih tinggi selepas mengambil kira bencana besar pada tahun 2011 lalu, namun kita perlu melihat keperluan menghadapi bencana ini pada masa akan datang,” katanya.

  • Bantuan Awal Persekolahan diagihkan Isnin ini – Radzi

    Bantuan Awal Persekolahan diagihkan Isnin ini – Radzi

    PEMBERIAN Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid sekolah bagi sesi 2022/2023 akan mula diagihkan mulai Isnin ini.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin dalam hantaran dalam Facebook hari ini.

    Menurut Radzi, agihan tersebut dibuat lebih awal bagi membolehkan persiapan untuk anak-anak dapat dibuat sebelum sesi persekolahan baharu bermula pada 21 Mac depan.

    Beliau berkata, kadar Bantuan Awal Persekolahan pada tahun ini juga dinaikkan kepada RM150 bagi setiap penerima berbanding RM100 sebelum ini.

    “Kementerian Pendidikan (KPM) telah menerima peruntukan BAP bagi tahun 2022 seperti mana yang diumumkan Menteri Kewangan dalam Bajet 2022.

    “Alhamdulillah, kadar BAP tahun ini telah dinaikkan kepada RM150 bagi setiap penerima.

    “KPM menyedari terdapat keperluan ibu bapa atau penjaga untuk membuat persiapan awal anak-anak khususnya bagi memulakan sesi persekolahan 2022/2023 pada 21 Mac 2022,” katanya dalam hantaran itu.

    Sementara itu, KPM dalam kenyataan memaklumkan, pengagihan BAP mulai Isnin itu akan diberikan kepada murid yang bakal memasuki Tahun 2 hingga Tingkatan 5 pada 21 Mac 2022.

    KPM memberitahu, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 layak menerima bantuan tersebut.

    Sementara itu, kata KPM, murid Tahun 1 yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac pula, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai.

    “Manfaat bantuan ini akan diterima seramai tiga juta penerima dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

    “Pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

    “Sekiranya pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

  • Gagal seludup barang kosmetik di kawasan surau

    Gagal seludup barang kosmetik di kawasan surau

    DUA lelaki dipercayai warganegara asing terkejut apabila diserbu Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan semasa mengangkat kotak berisi 157 botol barangan kosmetik seludup di kawasan surau Jeram Perdah 2, Tanah Merah semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, pada mulanya pihaknya membuat rondaan pada pukul 4 pagi dan ternampak dua lelaki berkenaan sedang mengangkat kotak-kotak berkenaan.

    “Menyedari kehadiran kami, kedua-dua lelaki tersebut melarikan diri dengan menaiki perahu ke tebing Sungai Golok Thailand.

    “Barangan kosmetik seludup itu bernilai RM2,225. Kes disiasat di bawah Peraturan 18 A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam satu kes lain, beliau berkata, pihaknya merampas karkas babi hutan seberat 200 kilogram (kg) bernilai RM5,000 dalam sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, semalam.

    Azhari berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Panglima Bayu ke Rantau Panjang ditahan selepas didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 1.45 petang.

    “Hasil pemeriksaan menjumpai karkas babi hutan di belakang kenderaan tersebut. Anggota kami meminta mereka mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan.

    “Seterusnya karkas babi hutan berkenaan dibawa ke Martak Lubok Stol untuk pengiraan dan timbangan. Hasil timbangan mendapati, muatan karkas babi hutan yang dibawa melebihi jumlah muatan dibenarkan dalam permit pindah,” katanya.

    Menurutnya, kesemua barang kes dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu, Tanah Merah untuk siasatan lanjut pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.