GERAN penyelidikan yang diperkenalkan buat pertama kalinya oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA) tahun lalu, mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Azril Mohd Amin berkata,  kesemua kertas cadangan yang merangkumi tujuh bidang keutamaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah melalui proses tapisan awal oleh Sekretariat Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) diikuti penilaian oleh panel penilai terdiri daripada pakar bidang, mantan pegawai tinggi kerajaan serta ahli akademik.

‘’Daripada jumlah itu, sebanyak 30 kertas cadangan merangkumi topik kajian dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari telah disenarai pendek dan diputuskan layak oleh panel penilai untuk menerima geran penyelidikan MPDP.

Azril Mohd Amin

‘’Mereka yang terpilih akan ditawarkan geran penyelidikan bernilai sehingga RM10,000 untuk setiap kertas ringkasan polisi yang dihasilkan. Penerima geran MPDP juga digalakkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan masing-masing dalam jurnal terkemuka, sama ada di dalam atau luar negara,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, MPDP diperkenalkan pada September tahun lalu bertujuan menyediakan peluang kepada penyelidik untuk memberikan input dan cadangan polisi bagi membantu proses pelaksanaan pemulihan negara serta strategi dan pelan kerajaan pasca Covid-19.

Senarai penerima geran yang berjaya boleh dilayari di laman web Institut MASA di https://institutmasa.com/ms/geran-penyelidikan-program-pembangunan-dasar-masa-mpdp/.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here