Category: Semasa

  • Tengku Maimun tidak pernah didekati pihak tertentu campur tangan kes mahkamah

    Tengku Maimun tidak pernah didekati pihak tertentu campur tangan kes mahkamah

    KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata beliau tidak pernah didekati oleh pihak-pihak tertentu untuk campur tangan dalam keputusan kes mahkamah.

    Tengku Maimun berkata beliau percaya bahawa hakim lain juga tidak pernah mengalami perkara sama dan menegaskan semua hakim membuat keputusan berdasarkan keterangan di mahkamah dan tidak boleh lari daripada prinsip tersebut.

    “Memang kita ada dengar daripada televisyen bahawa bekas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah didekati, tetapi tiada sesiapa menghubungi saya secara peribadi untuk meminta pertolongan begitu (campur tangan).

    “Tetapi jika ada sesiapa menghubungi, kita boleh kata tiada apa yang boleh dilakukan kerana apa yang berlaku dalam mahkamah bergantung kepada bukti dan keterangan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas pada majlis hari ini yang menyentuh mengenai perutusan Muhyiddin tahun lalu bahawa beliau menerima rayuan pihak tertentu untuk campur tangan dalam keputusan kes mahkamah.

    Ditanya pemberita mengenai siaran media sosial berhubung kes mahkamah berprofil tinggi antara lain melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Maimun berkata orang ramai berhak menyuarakan pandangan mereka tetapi badan kehakiman akan menyampaikan keputusan mengikut prinsip undang-undang.

    “Mereka ingin memberitahu seluruh dunia tentang sisi cerita mereka. Bagi kami ia tidak menjadi masalah kerana apa yang penting adalah bukti yang dibawa ke mahkamah dan itu akan menjadi asas kepada keputusan kami berkenaan kes-kes tersebut,” kata Ketua Hakim Negara.

    Mengulas mengenai isu yang sama, Tengku Maimun berkata peguam juga tertakluk kepada prosiding menghina tetapi ia bergantung kepada kenyataan yang mereka nyatakan.

    “Prosiding menghina ada untuk melindungi imej badan kehakiman sebagai sebuah institusi tetapi kami juga sangat jelas bahawa prosiding itu perlu diambil secara berhemat. Bagi tindakan peguam, mereka juga tertakluk kepada kod etika peguam di bawah Akta Profesion Undang-Undang,” katanya.

    Sementara itu, Tengku Maimun berkata hukuman yang diputuskan oleh mahkamah rendah boleh disemak oleh Mahkamah Tinggi jika didapati ia berlebihan atau kurang sesuai mengikut undang-undang sedia ada.

    Beliau berkata Mahkamah Tinggi boleh memanggil semula rekod kes berkenaan bagi tujuan semakan.

    “Maka dibolehkan di bawah undang-undang untuk memanggil rekod kes berdasarkan kuasanya untuk menyemak keputusan mahkamah rendah,” katanya ketika diminta mengulas berhubung keputusan Mahkamah Majistret Selayang semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap seorang remaja lelaki berusia 19 tahun atas dakwaan cuba mencuri tabung masjid.

    Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tular dalam media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

    — BERNAMA

  • KPLB letak sasaran, 2022 percepat projek pembangunan luar bandar demi rakyat – Mahdzir

    KPLB letak sasaran, 2022 percepat projek pembangunan luar bandar demi rakyat – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meletakkan sasaran tahun 2022 sebagai tahun menyegerakan setiap projek pembangunan di luar bandar.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB memerlukan anjakan paradigma dalam proses kerja bagi mengelakkan tempoh masa terlalu lama diambil dalam pelaksanaan projek sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

    “Sekarang ini masa untuk kita fikirkan dengan dunia teknologi digital, bagaimana kaedahnya untuk kita mempercepatkan proses pelaksanaan projek, bagaimana kita nak buat, sekarang ni kita tak boleh buat, semua orang kata sekarang tak boleh buat, jadi bagaimana kita nak mengubah paradigma ini.

    ”Ini menjadi satu cabaran baharu kepada kita untuk mempercepatkan proses. Insya Allah-kita boleh deliver kepada rakyat lebih baik kalau kita sama-sama dapat memikirkan, sebab kita nak masuk tahun baharu, kita nak masuk dalam RPII (Rolling Plan 2) Rancangan Malaysia Ke-12,”

    Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di Putrajaya hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri (1) Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, ketua-ketua agensi dan pengurusan tertinggi kementerian itu.

    Mahdzir menegaskan, semua warga KPLB perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk merealisasikan anjakan paradigma untuk mengelakkan daripada terus berada di dalam kepompong yang sama.

    Beliau turut membayangkan untuk KPLB meningkatkan lagi pencapaiannya dengan meletakkan tagline baharu iaitu ‘Luar Bandar, Luar Biasa’.

    Pencapaian luar biasa itu katanya boleh digapai oleh KPLB berdasarkan kejayaan melaksanakan perbelanjaan pembangunan lebih 99 peratus pada tahun lalu.

    Dalam amanatnya juga Mahdzir berkata, KPLB mempunyai mandat dalam bidang pendidikan iaitu Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional, TVET.

    “Sudah sampai masanya semua kementerian berkaitan duduk bersama dalam satu task force untuk memikirkan pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak 2.0 supaya lebih sesuai dengan keperluan dan perkembangan dunia semasa. Antaranya termasuk menaiktaraf Guru Tabika KEMAS lulusan Diploma kepada Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

    Bagi bidang pendidikan TVET kata beliau, institusi TVET KPLB perlu mengelakkan terlalu banyak pertindihan kursus yang sama dan tidak bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan.

    “Kita tidak mahu timbul masalah pelajar ambil kursus kemudian dapat sijil tetapi tidak mendapat pekerjaan. Kita tidak boleh ambil pendirian hanya mahu penuhkan institusi pengajian tetapi tidak dapat memenuhi kehendak industri,” katanya.

  • Tular lelaki mati mengejut di gelanggang badminton

    Tular lelaki mati mengejut di gelanggang badminton

    SEORANG lelaki yang lengkap berpakaian sukan ditemukan meninggal dunia secara tiba-tiba di sebuah gelanggang badminton di Taman Raja Idris di Taiping pukul 8.30 malam tadi.

    Siasatan awal dijalankan pihak polis mendapati, tiada sebarang kesan unsur jenayah pada tubuh mangsa, Lim Thian Meng, 47, semasa ditemukan terbaring di gelanggang itu.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa sebelum itu bermain badminton bersama-sama rakan lain.

    “Temubual bersama rakan mengatakan, mangsa telah datang untuk bermain badminton di situ pada jam 6.30 petang.

    “Sekitar 8.30 malam ketika bermain, mangsa dikatakan telah tunduk untuk mengambil bulu tangkis, namun terus rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pihak ambulans telah dihubungi dan petugas kesihatan yang hadir telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    Katanya, polis dimaklumkan bahawa mangsa yang masih bujang itu mempunyai penyakit darah tinggi dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

    “Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, siasatan lanjut dibuat selepas bedah siasat selesai,” katanya.

    Kejadian berkenaan tular selepas beberapa keping gambar memperlihatkan tubuh mangsa terbaring di gelanggang dikongsi dalam media sosial.

  • Pengasuh mengaku tidak bersalah dera anak kekasih

    Pengasuh mengaku tidak bersalah dera anak kekasih

    SEORANG pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas dua pertuduhan mendera anak kekasihnya, Ogos tahun lalu.

    Tertuduh, Chan Wan Ting, 31, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendera kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan menekap kepala mangsa di papan seterika yang masih panas sehingga mengakibatkan kecederaan pada tangan dan muka.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah teman lelakinya di Jalan M-20 Taman Merdeka, Batu Berendam pada pukul 10.15 pagi, 2 Ogos tahun lalu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan cili hingga mengakibatkan kecederaan di mulut dan kedua-dua pipi kanak-kanak itu di Jalan M10 berhampiran sebuah tadika di Taman Merdeka antara pukul 7 hingga 8 pagi, pertengahan tahun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Liyana Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili Casdian Anthony.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 15 Februari depan.

  • Kastam rampas 3.96 kg mercun bola bernilai RM130,000 dalam gudang simpanan ayam sejuk beku

    Kastam rampas 3.96 kg mercun bola bernilai RM130,000 dalam gudang simpanan ayam sejuk beku

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 3,960 kilogram mercun bernilai lebih RM130,000 di sebuah gudang di Kampung Atas Pinggir, Tendong, di sini kelmarin.

    Pengarahnya Mohd Nasir Deraman berkata rampasan di sebuah gudang simpanan ayam sejuk beku itu membabitkan 600 guni mercun jenis bola dan 15 kotak mercun jenis CN4002.

    Katanya turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan mercun terbabit untuk siasatan lanjut.

    “Serbuan telah dibuat hasil intipan dan maklumat yang dilakukan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang. Hasil soal siasat juga mendapati suspek menerima kadar upah bernilai RM500 untuk penyimpanan.

    “Kita juga tidak menolak kemungkinan bekalan mercun yang dirampas ini untuk digunakan sempena Tahun Baharu Cina yang akan datang untuk pasaran ke negeri selatan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan di Rantau Panjang di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Nasir berkata hasil siasatan modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk mercun melalui sempadan Malaysia-Thailand dengan menggunakan khidmat penyeludup melalui Sungai Golok secara berperingkat. 

    “Mercun-mercun yang diseludup ini akan dikumpul dan disembunyikan di suatu tempat bagi memastikan pergerakan mereka selamat sebelum di bawa ke luar Kelantan khususnya ke negeri selatan untuk diedar dalam pasaran,” katanya.

    Kata  beliau lagi, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

    “Orang ramai juga digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, dan sebagainya selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

    JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-8855, atau pejabat Kastam terdekat. JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Cuti atau tidak? Ada buat kering sebelum ini, tapi sekarang dia paling lantang

    Cuti atau tidak? Ada buat kering sebelum ini, tapi sekarang dia paling lantang

    Oleh HERMAN HAMID

    BERCUTI seketika atau bertugas macam biasa?

    Apabila seseorang berprofil tinggi sama ada pemimpin politik atau pengurusan tertinggi awam sedang disiasat, isu ini pasti timbul.

    Begitu juga dalam apa yang sedang dilalui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sekarang.

    Antara yang lantang menggesa Azam bercuti seketika menanti siasatan selesai adalah mereka yang tidak pun berbuat demikian ketika melalui situasi sama seperti bos SPRM.

    Malah lebih dahsyat, mereka kekal memegang jawatan ketua kerajaan negeri dan jawatan lain dalam kerajaan meskipun sudah dituduh di mahkamah.

    Sedangkan tujuan berehat seketika adalah bagi mengelak seseorang yang berkuasa menggunakan pengaruh mereka.

    Ini sekali gus membolehkan ketelusan siasatan dilihat cantik kerana undang-undang bukan hanya perlu dilaksanakan bahkan dilihat dilaksanakan.

    Namun sayangnya, di Malaysia kelaziman ini tidak konsisten kebelakangan ini.

    Kena diri sendiri, cepat-cepat kata tuduhan politik. Tak perlu berehat.

    Bahkan ada dilantik protfolio penting ketika tuduhan ke atasnya masih dibicarakan.

    “Jika si A boleh, tak kan si B tidak boleh.”

    Perkara inilah yang diingatkan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Rais Yatim dalam sidang akhbarnya hari ini.

    Berpandangan Azam wajar bercuti tetapi pada masa sama beliau juga bangkitkan amalan kebelakangan ini yang mana ada yang menjalankan tugas seperti biasa.

    Bahkan mereka berdepan pertuduhan jenayah, dan ini berbeza dengan situasi dilalui Azam yang mana kata Rais, ramai berpandangan ini mungkin lebih kepada soal salah laku.

    “Ada juga pihak yang lebih tinggi sebelum ini yang disiasat tetapi tak ambil cuti. Ini perlu saya sebut. Ada dua situasi depan kita,” kata Rais.

    Sebab itu kepada pimpinan politik, di saat telunjuk lurus, jari yang lain juga kena ikut sama lurus.

    Barulah cakap tu ada kredibiliti. – UTUSANTV

  • Trend ‘unboxing’ isteri ibarat ‘jual bini’

    Trend ‘unboxing’ isteri ibarat ‘jual bini’

    TREND unboxing isteri yang menjadi ikutan para pengantin baharu, melibatkan pengantin lelaki membantu pengantin perempuan membuka tudung dirakam untuk dimuat naik ke dalam media sosial, dilihat seperti ‘menjual bini’.

    Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kemajuan teknologi yang semakin berubah menjadikan manusia mendedahkan diri sendiri sebagai satu kebanggaan dan kesombongan.

    “Kebanggaan dan kesombongan untuk menunjukkan apa yang aku ada dan apa yang orang lain tiada sehingga ada yang terpengaruh dengan memuat naik kandungan unboxing isteri semata untuk mendapat like (tanda suka) yang banyak dalam media sosial.

    “Kadang-kadang mereka ini membuat trend yang melampaui batas sampai mendedahkan isteri sendiri,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhari: “Nabi Muhammad SAW tidak membenarkan perempuan bercerita mengenai tubuh perempuan lain kepada suaminya kerana itu akan menaikkan syahwat suaminya terhadap perempuan lain.”

    Mohd Asri juga berkata, penglibatan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang tidak berfaedah perlu dikurangkan.

    Sementara itu, seorang penjawat awam Norhafizah Saad, 48 berkata, trend unboxing tersebut dianggap kurang sopan kerana aurat isteri adalah untuk suami dan bukannya untuk menjadi bahan tontonan ramai.

    “Tidak perlu untuk kongsi apa yang kita ada untuk semua orang walaupun niat asal hanya untuk berkongsi kegembiraan akhirnya seolah-olah menjual bini,” katanya.

    — BERNAMA

  • 11,000 guru TABIKA Kemas bakal dinaiktaraf untuk miliki Ijazah Sarjana Muda

    11,000 guru TABIKA Kemas bakal dinaiktaraf untuk miliki Ijazah Sarjana Muda

    KIRA-kira 11,000 guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bakal dinaik taraf daripada lulusan diploma kepada ijazah sarjana muda, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Beliau berkata pelaksanaan naik taraf guru itu yang bakal memberi lonjakan terhadap pendidikan di Tabika Kemas, akan dibuat secara berperingkat dan ia sedang diselaraskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dari aspek kewangan dan perjawatan.

    “Sekarang ini, silibus Tabika Kemas dan Kementerian Pendidikan sama, cuma guru yang ada di Kemas ada yang kelulusan diploma. Oleh demikian, kami mahu tingkatkan kelulusan tenaga pengajar daripada diploma kepada ijazah,” katanya.

    “(Kelulusan) guru di Tabika Kemas akan ditingkatkan… bukan kita buang mereka tetapi guru yang ada boleh ambil ijazah sarjana muda,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di Putrajaya, hari ini.

    Pada 5 Nov tahun lepas, Mahdzir berkata perjawatan baharu bagi pendidik masyarakat tabika Kemas pada masa depan perlu memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

    Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan profesionalisme warga pendidik masyarakat dan menjamin kualiti pendidikan awal kanak-kanak seiring dengan peredaran masa serta kepesatan teknologi.

    — BERNAMA

  • Harapan Djokovic pertahan juara musnah, Australia batal visa buat kali kedua

    Harapan Djokovic pertahan juara musnah, Australia batal visa buat kali kedua

    HARAPAN pemain tenis No.1 dunia,  Novak Djokovic untuk bermain di Australian Open musnah apabila Kerajaan Australia membatalkan visanya buat kali kedua.

    Pihak berkuasa berkata bintang tenis itu boleh memberi ancaman kepada orang awam kerana tidak mengambil vaksin.

    Pembatalan tersebut bermaksud Djokovic akan digantung untuk permohonan visa Australia selama 3 tahun, kecuali dalam keadaan tertentu.

    Djokovic yang merupakan penyandang juara Australian Open pada Khamis lalu telah diundi untuk menentang rakan senegaranya, Miomir Kecmanovic pada perlawanan pembukaan Isnin atau Selasa depan.

    Isu Djokovic itu telah mencetuskan perdebatan di seluruh dunia berhubung hak memilih untuk mengambil vaksin dan mempersoalkan cara Kerajaan Australia menguruskan

    Visa pemain tersebut.

    Isnin lalu, Djokovic berjaya mendapatkan visa selepas mahkamah di Australia menyatakan keputusan pihak imigresen untuk menolak visanya ketika dia tiba di negara tersebut tidak patut kerana Kerajaan Australia telah meluluskannya sebelum Djokovic tiba di Melbourne.

    Menteri Imigresen Alex Hawke berkata, beliau menggunakan budi bicara untuk membatalkan visa Djokovic selepas mahkamah menolak permintaan tersebut sebelum ini.

    “Hari ini, saya telah menggunakan kuasa saya di bawah Seksyen 133C(3) dalam akta Migrasi untuk membatalkan visa yang dipegang oleh Novak Djokovic di atas kepentingan kesihatan dan kebaikan awam,” kata Hawke.

    Australia telah melalui antara tempoh perintah berkurung paling lama di dunia. Negara tersebut juga mempunyai kadar vaksinasi 90 peratus  dalam kalangan dewasa dan kini menghadapi gelombang Omicron yang menyebabkan kes Covid-19 di negara itu mencatatkan hampir sejuta  sejak 2 minggu lalu.

  • JDT umum pemain import baharu dari Argentina

    JDT umum pemain import baharu dari Argentina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran ‘keluarga’ baharu mereka yang melibatkan pemain import, Fernando Forestieri.

    Pengumuman itu dimaklumkan skuad Harimau Selatan tersebut melalui video pengenalan berdurasi kurang satu minit yang dimuat naik dalam Facebook dan Instragram milik mereka, hari ini.

    Dalam video berkenaan, pemain itu dilihat keluar daripada sebuah limosin hitam yang berhenti di depan pintu utama ibu pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Ketibaannya di ibu pejabat tersebut disambut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora.

    Pemain penyerang kelahiran Argentina itu dipercayai bakal menyarung jersi bernombor 45 jika dilihat berdasarkan video yang dikongsikan berkenaan.

    Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini beraksi bersama-sama pasukan Udinese dalam liga Serie A, Itali.

    Selain itu, dia turut pernah menyarung jersi Sheffield Wednesday dan Watford.

    Sementara itu, Forestieri berkata, beliau telah mendengar dan melihat banyak perkara mengenai JDT khususnya melibatkan projek bola sepak juara Liga Super berkenaan.

    “Saya telah mendengar dan melihat banyak perkara mengenai projek Bola Sepak JDT, dan saya membuat keputusan inilah hala tuju saya.

    “Saya teruja untuk memulakan perjalanan ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas yang turut dimuat naik dalam dua media sosial JDT itu.