Category: Semasa

  • Permohonan ambil 32,000 pekerja asing dibuka 28 Januari ini

    Permohonan ambil 32,000 pekerja asing dibuka 28 Januari ini

    KERAJAAN membenarkan proses permohonan bagi pengambilan pekerja asing secara berperingkat-peringkat bermula 28 Januari ini.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, permohonan itu bagi pengambilan seramai 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas.

    “Bagi permohonan pekerja asing untuk sektor lain termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas pula akan mula dibuka 15 Februari.

    “Selain daripada tarikh-tarikh yang diumumkan untuk kemasukan pekerja warga asing, saya ingin mengingatkan semua majikan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu.

    SOP itu akan merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin.

    “Semua pekerja warga asing perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung oleh majikan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin ketika ini berada di Lembah Klang.

    “Setakat ini, kapasiti yang boleh ditampung oleh pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin adalah sebanyak 10,000 orang pada satu-satu masa.

  • 18 PATI warga Myanmar ditahan depan sekolah agama

    18 PATI warga Myanmar ditahan depan sekolah agama

    CUBAAN membawa 18 pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar dengan menggunakan dua buah kenderaan gagal apabila berjaya ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di hadapan sebuah sekolah agama di Pasir Mas, semalam.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi, menerusi serbuan pukul 1 petang itu, PATI berkenaan dibawa menggunakan dua buah kenderaan utiliti serbaguna jenis Starex dan dipandu dua pemandu warga tempatan beralamat di Johor Bahru.

    “Pemeriksaan mendapati kenderaan pertama dinaiki sembilan individu termasuk pemandu manakala kenderaan kedua dinaiki 11 individu termasuk pemandu.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warganegara Myanmar berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit Iphone, Huawei dan Poco F3 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM165,000 termasuk dua kenderaan tersebut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

  • Pengurus guna gaji pekerja untuk berjudi, dakwa wang dicuri

    Pengurus guna gaji pekerja untuk berjudi, dakwa wang dicuri

    SEORANG pengurus syarikat pembinaan mendakwa wang gaji pekerjanya sebanyak RM39,000 hilang dari dalam kenderaan semasa singgah makan di Taman Sentosa, Port Dickson, semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pengurus berkenaan mendakwa, sebelum itu dia mengeluarkan wang dari di Cyberjaya bagi membayar gaji pekerja.

    “Apabila selesai, dia kembali semula ke kenderaan dan mendapati duit dan beg sandang sudah hilang, namun tiada kesan pecah cermin pada kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Aidi Sham berkata, ketika disoal siasat oleh polis, pengurus itu didapati mengada-adakan cerita kehilangan wang berjumlah RM39,800, agar dapat melewatkan pembayaran gaji pekerja kerana wang itu sudah habis digunakannya untuk bermain judi.

    Katanya, pengadu disiasat kerana membuat keterangan dan laporan polis palsu.

    “Kes disiasat mengikut seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

  • KPDNHEP rampas pakaian sukan tiruan jenama popular bernilai RM60,500

    KPDNHEP rampas pakaian sukan tiruan jenama popular bernilai RM60,500

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pakaian sukan jenama popular tiruan bernilai RM60,500 dalam serbuan di sebuah stor di Kuala Kangsar Prima, Kuala Kangsar, semalam.

    Operasi berkenaan dijalankan pada pukul 11 pagi hasil maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mendapati pengedaran dan penjualan pakaian berjenama tiruan itu secara dalam talian.

    Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Kangsar, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, operasi membabitkan tujuh penguat kuasa KPDNHEP Kuala Kangsar bersama wakil pemilik cap dagang itu menemukan pakaian sukan berjenama tiruan antaranya Adidas, Levi’s dan Nike disimpan di stor itu.

    “Pakaian terbabit diiklankan di dalam talian pada harga lebih murah dari pasaran semasa bagi menarik perhatian pembeli.

    “Pakaian itu dibekalkan pembekal dari Lembah Klang yang mengimportnya dari luar negara dan ia disita untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, perniagaan terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita berusia 31 tahun yang dipercayai menjalankan perniagaan itu bersama suaminya.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan, barangan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan secara salah.

  • Pekerja putus jari, majikan didenda RM13,000

    Pekerja putus jari, majikan didenda RM13,000

    SEBUAH kilang pembuatan dan pemasangan aksesori motosikal didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan selepas seorang pekerjanya cedera parah putus jari telunjuk dan jari tengah tangan kanan akibat terhimpit mesin mengecap di tempat kerja.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak, Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan menyebut syarikat CJM Industries Sdn Bhd yang diwakili pengarah urusannya sebagai majikan, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

    “CJM Industries Sdn Bhd sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, iaitu gagal mengadakan sistem kerja yang selamat bagi aktiviti menggunakan mesin mengecap sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada seorang pekerja tempatan berusia 52 tahun.

    “Kemalangan yang berlaku pada 23 Julai lalu, 2.15 petang telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah iaitu putus jari telunjuk dan jari tengah tangan kanan akibat terhimpit di antara die dan mould mesin mengecap,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

    Menurut kenyataan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Bernama

  • 2 polis, 2 OKT ditahan berhubung kes OKT mati dalam lokap

    2 polis, 2 OKT ditahan berhubung kes OKT mati dalam lokap

    POLIS menahan dua orang kena tuduh (OKT) dan dua anggota polis bagi membantu siasatan kes kematian seorang OKT di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, pihaknya sudah mendapatkan perintah reman terhadap semua suspek selama tujuh hari bermula hari ini.

    “Mereka direman untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Semalam, polis mengesahkan kematian seorang OKT lelaki berusia 63 tahun di lokap IPD Taiping pada pukul 11 pagi.

    OKT itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu.

    Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

  • 2 lelaki dengan 46 rekod lampau ditahan lagi

    2 lelaki dengan 46 rekod lampau ditahan lagi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIDAK serik-serik. Mungkin itu perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan dua lelaki yang mempunyai 46 rekod dadah dan jenayah ditahan di dua lokasi di Bandaraya Johor Bahru malam tadi.

    Dua lelaki tempatan berusia 22 dan 44 tahun ditahan bersama-sama sebuah kereta curi serta sejumlah dadah dalam satu operasi khas.

    Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Superitendan R Azizan Ibrahim berkata, operasi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 7 malam.

    “Polis merampas 57.65 gram (g) syabu bernilai RM5,765 selain 8.65g ganja bernilai RM432 dan 12 biji pil ekstasi bernilai RM180.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah bagi operasi ini RM6,377. Polis turut melakukan sitaan sebuah kereta Proton Saga bernilai RM10,000. Kenderaan ini dilaporkan hilang di Melaka pada tahun 2021.

    “Keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM16,377,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, modus operandi mereka ialah dengan menyewa rumah berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat menyimpan dadah dan kegiatan tersebut dilakukan sejak awal tahun lalu.

    Menurut beliau, dadah tersebut boleh digunakan seramai 308 penagih.

    “Seorang suspek mempunyai 42 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai empat rekod dadah,” katanya.

    Tambah beliau, seorang daripadanya merupakan orang yang dikehendaki bersabit kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Semua suspek katanya, direman tujuh hari bermula Jumaat sehingga 20 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952, jika sabit kesalahan dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.

    Sementara itu, beliau memberitahu, JSJN Johor menangkap 638 individu atas pelbagai kesalahan dadah dari awal bulan ini sehingga Khamis.

    Tambahnya, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 93.17 kilogram dadah dirampas bernilai RM375,527 dirampas selain turut disita harta bernilai RM460,180.

  • ADUN Perak positif dadah ditahan ketika berhibur di Pulau Pinang

    ADUN Perak positif dadah ditahan ketika berhibur di Pulau Pinang

    SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di Seberang Perai, Pulau Pinang malam tadi kerana disyaki positif dadah.

    Turut ditahan bersama ADUN berusia 54 tahun dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu ialah 35 individu lain masing-masing 28 lelaki dan lapan wanita kerana disyaki positif dadah.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komissioner, Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ketika serbuan itu seramai 82 individu telah diperiksa.

    “Seramai 48 individu berusia antara 21 hingga 70 tahun telah ditahan yang mana 36 daripadanya termasuk ADUN berkenaan disyaki positif dadah.

    “Selain itu, polis turut menahan seramai 12 wanita warga asing dan siasatab masih dijalankan bagi menentukan sama ada mereka bekerja di situ atau hadir bersama rakan masing-masing,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Mustafa Kamal Gani, ADUN berkenaan direman selama sehari dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patologi.

  • KPM komited pastikan persekolahan secara bersemuka sepanjang 2022

    KPM komited pastikan persekolahan secara bersemuka sepanjang 2022

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) komited memastikan sesi persekolahan secara bersemuka untuk sesi 2022 dapat dilaksanakan sepanjang tahun ini melalui pelaksanaan beberapa inisiatif antaranya berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kata Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata pihaknya juga akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pelajar dapat hadir bersemuka ke sekolah walaupun menyedari terdapat risiko peningkatan jangkitan COVID-19.

    “Sekolah ni kadang-kadang apabila mula dibuka, dah mula rasa selesa, jadi kita dah minta pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan SOP sentiasa dipatuhi terutama pemakaian pelitup muka dan pengudaraan.

    “Pengudaraan merupakan satu lagi komponen yang kita sentiasa tekankan bukan saja dalam kelas tetapi termasuk di bilik guru dan bilik khas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di sini hari ini.

    Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan komputer riba dan pelan data sumbangan wang wakalah zakat kepada 42 penerima anak asnaf dari sekolah rendah dan menengah di sekitar Putrajaya.

    “Kita sentiasa duduk berbincang mengambil pandangan KKM dan kita yakin dengan kerjasama ibu bapa, anak-anak dan sekolah, insya-Allah anak-anak kita dapat terus hadir secara bersemuka untuk 2022,” katanya.

    Sementara itu, Radzi berkata KPM pada tahun ini akan menumpukan kepada pembangunan kurikulum baharu.

    “Kurikulum ni ada kitarannya dan untuk tahun ini kitarannya dah tamat. Bermakna murid Tahun Enam dah lengkap kitaran kurikulum semasa.

    “Kita ambil kira semua pandangan yang diberikan dan insya-Allah kita akan pastikan supaya pembangunan kurikulum ini dapat mengambil kira bukan saja pandangan tetapi keadaan dan persekitaran di luar sana bagi memastikan anak-anak kita bersedia apabila mereka keluar dari sistem pendidikan dalam tempoh enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.

    “Pada waktu itu apa yang dipelajari masih relevan dengan keadaan semasa,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berkata KPM juga sedang membangunkan satu sistem yang merekod dan menyimpan aset-aset serta bil utiliti sekolah dalam usaha memastikan pembaziran dapat diminimumkan.

    Beliau berkata sepanjang lawatannya selama 22 bulan ke lebih 277 institusi pendidikan, didapati berlaku pembaziran air memandangkan walaupun sekolah ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan dan tiada pelajar, namun bil air masih mencecah ribuan ringgit sebulan.

    “Kita sedang bangunkan satu sistem supaya kesemua bil air ini diletakkan dalam satu papan pemuka bagi membolehkan pengetua dan guru melihat bil air mereka berbanding sekolah-sekolah lain dan melihat sekolah manakah bil airnya melebihi kadar nisbah ditetapkan.

    “Ini juga membolehkan kita melihat apakah puncanya dari sudut pembaziran itu sendiri ataupun paip lama yang telah bocor di bawah sana (tanah). Jadi kita tahu puncanya dan membolehkan kita melaksanakan intervensi yang lebih cekap untuk kita pastikan supaya dapat jimat perbelanjaan utiliti,” katanya.

    Selain itu, Radzi berkata satu sistem pengurusan inventori yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan bertujuan merekodkan aset-aset di sekolah supaya sekiranya ada aset yang tidak digunakan di sekolah itu, ia dapat dipindahkan ke sekolah lain yang memerlukan.

    “Hasil lawatan, kita lihat banyak aset kementerian yang tidak diguna secara optimum. Contoh ada berberbelas ketuhar tidak diguna sedangkan ada keperluan untuk institusi kita yang melaksana program katering, jadi kita boleh pindahkan.

    “Perabot-perabot yang rosak…kita ada satu senarai di manakah sekolah yang ada lebihan perabot akan di bawa dari sekolah ini ke sekolah yang memerlukan. Jadi ia merupakan pendekatan pengurusan aset yang lebih cekap,” katanya.

    — BERNAMA

  • Buli siber dalam kalangan belia: Malaysia kedua tertinggi di Asia

    Buli siber dalam kalangan belia: Malaysia kedua tertinggi di Asia

    LAPORAN Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia, menunjukkan bahawa buli siber kini menjadi masalah yang semakin ketara dalam negara.

    Penggunaan media sosial yang meluas telah menjadikan ia platform yang menggalakkan perbuatan buli siber dan sikap buruk, bukan sahaja dalam kalangan belia, malah orang dewasa.

    Penyelidik mengenai buli siber belia Jessie Yong berkata, perbuatan itu mungkin berpunca dari rasa tidak gembira si pembuli akibat keperluan asasnya tidak dipenuhi.

    “Menurut Teori Pilihan Glasser, keperluan-keperluan itu berkisar kepada aspek kelangsungan hidup, isu kepunyaan (untuk menyayangi, disayangi dan harga diri), kuasa, kebebasan dan keseronokan,” jelasnya kepada Bernama dalam satu temu bual.

    Teori Pilihan yang dibangunkan oleh pakar psikiatri Amerika Syarikat, William Glasser itu menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai lima keperluan asas yang menggerakkan tingkah laku (pilihan mereka).

    “Apabila satu atau lebih keperluan asas ini tidak dipenuhi, mereka mungkin menggunakan buli siber sebagai platform bagi memuaskan keperluan itu. Itu sebabnya kes buli siber tidak hanya dilakukan oleh golongan belia sahaja, tetapi turut membabitkan orang dewasa,” jelas Yong, yang juga pensyarah sambilan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC). 

    “Kajian juga menunjukkan bahawa pelaku buli siber mengalami kadar kesunyian yang tinggi,” katanya dalam webinar TalkSpace yang diadakan baru-baru ini bagi menangani isu berkaitan dengan buli siber terutama dalam kalangan belia.

    “Ini disebabkan oleh kekurangan kasih sayang ahli keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Membuli dalam talian adalah usaha mereka untuk meraih perhatian daripada orang asing,” katanya.

    Beliau berkata mereka yang mempunyai rasa harga diri yang rendah, rasa kurang diterima secara sosial dan rasa kurang popular atau kurang disukai, juga mempunyai kecenderungan untuk terlibat dalam buli siber, berikutan kajian menunjukkan bahawa pembuli siber selalunya adalah individu yang tidak pandai bersosial.

    Sementara itu dalam seminar yang sama, pengasas Projek #Cybercancelled dan bekas Miss Petite Universe International Semenanjung (MPUIS) 2020, Narvinni Jayakumar berkongsi pengalamannya  berhadapan dengan pelbagai bentuk buli siber sejak berusia 16 tahun.

    Menurutnya beliau melalui pengalaman dibuli secara lisan, secara penyamaran serta secara menghendap siber (cyber stalking); dan kini beliau berhasrat untuk membantu mereka yang mengalami situasi sama dengannya.

    Sesi webinar pada 29 Dis lepas itu, dianjurkan buat julung kalinya oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Persuasif dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia dan dihadiri lebih 400 orang.

    Kumpulan pelajar itu turut melancarkan kempen NETHICS bagi tujuan memupuk etika media sosial yang baik dan membendung gangguan siber.

    Pengarah projek Larissa Lorelle Christian berkata kempen itu akan memberi peluang kepada belia untuk menangani isu buli siber dan mempelajari etika berkomunikasi dalam talian.

    Bengkel WorkSpace turut diadakan sempena kempen berkenaan pada 10 Jan lepas untuk berkongsi kepentingan membina jenama diri dan cara untuk memperbaiki identiti dalam talian menerusi platform media sosial.

    — BERNAMA