Category: Semasa

  • Satu tahanan lelaki ditemukan mati dalam lokap

    Satu tahanan lelaki ditemukan mati dalam lokap

    BELUM pun reda kes satu orang kena tuduh (OKT) mati di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 13 Januari lalu, seorang lagi tahanan lelaki ditemukan mati ketika dalam lokap di IPD Kota Bharu semalam.

    Tahanan lelaki yang berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5 petang.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, suspek sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sel semasa pemeriksaan rutin berkala yang dilakukan oleh pihak polis.

    “Suspek disangkakan tidur dan dikejutkan namun tidak bangun menyebabkan polis menghubungi pegawai perubatan.

    “Pegawai perubatan yang tiba dari Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa ke lokap IPD Kota Bharu mengesahkan suspek sudah meninggal dunia,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum ini polis mengesahkan kematian seorang OKT lelaki berusia 63 tahun di lokap IPD Taiping pada pukul 11 pagi.

    OKT itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu.

    Mengulas lanjut, Mohd. Suhaimi berkata, suspek tersebut ditahan pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes pemilikan dadah mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Ujian saringan awal urin suspek sebelum ini didapati positif dadah jenis metamphetamine.

    “Suspek berada dalam tempoh tahanan reman sebelum didapati meninggal dunia di dalam sel di IPD Kota Bharu,” katanya.

    Tambah beliau, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Pasukan dari Unit Forensik turut memeriksa mayat di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk bedah siasat.

    “Siasatan bagaimanapun masih dijalankan dan mayat dijangka menjalani proses bedah siasat itu pada hari ini,” katanya.

  • Motosikal bertembung: Pelajar tahfiz, mekanik maut

    Motosikal bertembung: Pelajar tahfiz, mekanik maut

    SEORANG pelajar tahfiz meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan motosikal yang dibawa oleh seorang mekanik di Kampung Pangkal Kala, Pasir Mas, kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

    Pelajar tahfiz berkenaan, Muhammad Amirul Hakim Abdullah, 17, dan Mohd Aizat Abdul Ghani, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

    Memetik laporan BH hari ini, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika Mohd Aizat yang menunggang dari arah Gelang Mas menghala ke Bunut Susu, manakala Muhammad Amirul dari arah bertentangan.

    “Kedua-dua motosikal itu bertembung di tengah laluan di lokasi kejadian menyebabkan kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar ketika itu, terjatuh di tengah jalan dan cedera parah di kepala.

    “Mohd Aizat yang tinggal di Kampung Kedondong Kubang Gadong, Pasir Mas dan Muhammad Amirul beralamat di Kampung Jal Besar, Tumpat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan dipercayai akibat daripada kecuaian kedua-dua penunggang yang menunggang dalam keadaan laju di lokasi yang gelap dan jalan lurus,” katanya.

    Beliau menambah, kedua-dua motosikal remuk di bahagian hadapan dan kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

    Siasatan terhadap kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lelaki tular hidup bawah jambatan dibantu

    Lelaki tular hidup bawah jambatan dibantu

    NASIB seorang lelaki yang ditemui tinggal di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) di kawasan di ibu kota, mendapat perhatian kerajaan apabila akan dipindahkan ke kediaman lebih selesa.

    Sebelum ini lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Kasturi, tinggal di bawah landasan LRT itu akibat tidak mampu untuk membayar sewa rumahnya di Kapar selepas diberhentikan kerja.

    Lebih malang, isteri Kasturi yang dilaporkan sedang sakit tidak dapat untuk meneruskan proses rawatan di hospital kerana masalah kewangan dihadapi keluarga terbabit.

    Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam hantaran menerusi Facebook miliknya memberitahu, pihaknya segera menemui lelaki terbabit sejurus mendapat maklumat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Rupanya pasukan lain pun ramai ke sana termasuk (pihak) Baitulmal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

    Shahidan berkata, bagi memastikan perkara itu tidak berlanjutan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan sebuah rumah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

    Malah menurutnya, DBKL juga menawarkan peluang kepada Kasturi untuk mengubah kehidupan dengan memulakan perniagaan dalam kawasan DBKL ketika menemui pemuda terbabit semalam.

    “(Bagaimanapun) dia memilih untuk menyewa sebuah rumah di Kapar terletak berdekatan kediaman lamanya dan sewa dibayar oleh Baitulmal. Pasukan saya sedekah sedikit keperluan,” tambahnya.

  • Dua remaja lemas dalam sungai

    Dua remaja lemas dalam sungai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA remaja lelaki ditemukan lemas dalam sungai di Jalan Masai Utama, Taman Masai Utama, Pasir Gudang, malam tadi.

    Sharif Mohd. Sharizan Sabri, 11, dan Mohd. Ahlan Kiram, 14, sebelum itu bermain di tepi sebelum dipercayai terjatuh dalam sungai.

    Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Pasir Gudang menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 6.14 petang semalam.

    Menurut Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamdan Ismail berkata, seramai 14 anggota BBP Pasir Gudang dibantu unit Pasukan penyelamat di Air (PPDA) BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.

    Mangsa dalam sungai berkedalaman hampir 3 meter dan sebelum itu kedua-dua mangsa dikatakan bermain di tepi sungai sebelum kejadian itu

    Katanya, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), satu utiliti Urvan dan dua jentera Rapid Rescue Vẹhicle (RRV).

    “Mangsa dalam sungai berkedalaman hampir 3 meter. Mereka dikatakan bermain di tepi sungai sebelum kejadian itu.

    “Mayat pertama telah dijumpai pukul 9.18 malam pada jarak 15.24 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas dan mangsa kedua dijumpai pukul 10.32 malam pada jarak 18.28 meter dari lokasi mangsa lemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, operasi mencari mangsa dibantu orang awam dan mayat diserahkan kepada polis sebelum operasi tersebut tamat pukul 11.59 malam.

  • Akibat selisih faham sesama keluarga, tiga rumah terbakar

    Akibat selisih faham sesama keluarga, tiga rumah terbakar

    AKIBAT perselisihan faham dalam keluarga, seorang lelaki yang disyaki kurang siuman bertindak membakar rumahnya hingga mengakibatkan dua lagi unit perumahan awam di Setapak Jaya dekat sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kebakaran tersebut pada kira-kira 4.30 petang.

    “Kita menerima maklumat awal berlaku pergaduhan keluarga di lokasi kejadian sehingga menyebabkan suspek disyaki membakar rumahnya sendiri sebelum api merebak ke dua unit rumah lain.

    “Suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

    Ashari berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun insiden tersebut telah mengakibatkan tiga unit rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 90 peratus.

    Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata seramai 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Keramat, Setapak dan Hang Tuah terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran.

    “Kebakaran berlaku di tingkat empat rumah pangsa itu dan api berjaya dikawal tidak lama selepas kejadian,” katanya. – BERNAMA

  • Ismail Sabri beri komitmen bantu Rohana Abdullah

    Ismail Sabri beri komitmen bantu Rohana Abdullah

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan komitmen untuk membantu Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika di sini, 22 tahun lalu selepas ibunya pulang ke Indonesia.

    Perkara itu dinyatakan Ismail Sabri menerusi satu video yang dikongsi di laman sosial Setiausaha Akhbarnya, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza.

    Menerusi perkongsian itu, Perdana Menteri yang dilihat berada dalam kenderaan telah menghubungi sendiri Rohana bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kesulitan yang dihadapi gadis berkenaan.

    Ismail Sabri berkata, beliau mengetahui mengenai kesulitan yang dialami Rohana selepas membaca mengenainya di akhbar.

    Perdana Menteri berkata, pihaknya akan menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara bagi membantu urusan dokumentasi Rohana bagi membolehkan dokumen identiti diberikan kepadanya.

    “Kalau ada apa-apa (perkembangan) nanti, pegawai saya akan hubungi awak,” kata Perdana Menteri menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 5 saat itu.

    Rohana juga didengar mengucapkan terima kasih dan berharap Perdana Menteri dapat membantunya.

    Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

    Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya.

    Dalam pada itu, menerusi catatan di laman Facebooknya, Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada Chee yang menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang.

    Beliau berkata Rohana dibesarkan dengan baik dan mendapat didikan agama Islam walaupun berbeza agama dengan ibu angkatnya.

    “Insya-Allah demi masa depan Rohana, saya akan bantu beliau mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

    Buat Chee Hoi Lan, terima kasih…salam hormat jua dari saya kerana menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang tanpa sempadan,” katanya. – BERNAMA

  • Tapak pelupusan sampah terbakar, 400 penduduk dipindahkan

    Tapak pelupusan sampah terbakar, 400 penduduk dipindahkan

    KIRA-KIRA 400 penduduk daripada 86 buah keluarga yang tinggal berdekatan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibung Tebal, Pulau Pinang terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat selepas kebakaran di kawasan itu sejak empat hari lalu belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.

    Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah dibuka bagi menempatkan penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.

    Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam satu kenyataan berkata, stesen pengawasan kualiti mudah alih Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram mendapati terdapat kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

    Menurut kenyataan itu, penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah ke dua PPS buat sementara waktu.

    “JAS melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan; Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.

    “JAS akan terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu kenyataan tersebut menambah, orang ramai diingatkan terus mematuhi nasihat kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan segera ke hospital jika mengalami gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat.

    Tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar itu dilaporkan terbakar kira-kira pukul 4.40 petang Rabu lalu membabitkan kawasan seluas 6.5 hektar.

    Kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira pukul 9 malam Khamis lalu, manakala kerja-kerja pemadaman masih dilakukan ketika ini.

    Bagaimanapun, asap hitam kesan daripada kebakaran itu masih terhasil sehingga kini dan dapat dilihat menjulang ke udara pada jarak lebih 10 kilometer.

  • Lelaki tetak bekas bapa mentua dengan parang

    Lelaki tetak bekas bapa mentua dengan parang

    SEORANG lelaki tergamak menetak bekas bapa mentuanya menggunakan sebilah parang di sebuah kedai makan di Pandan Jaya di Kuala Lumpur semalam selepas didesak supaya membayar ganti rugi.

    Kejadian pada 11 malam itu menyebabkan mangsa, yang juga seorang warga asing berusia 51 tahun, mengalami luka di belakang kepala, pipi sebelah kiri dan bahagian lengan kiri.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian, suspek berusia 25 tahun yang merupakan warga tempatan membawa sebilah parang dan menetak mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

    “Punca kejadian disebabkan mangsa ada meminta sejumlah wang ganti rugi seperti yang dijanjikan oleh suspek kepada mangsa namun akibat desakan itu, suspek bertindak menetak mangsa.

    “Susulan kejadian itu, mangsa kini berada di Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek yang tidak bekerja untuk membantu siasatan. – BERNAMA

  • Cubaan seludup setan ketum ke negara jiran gagal

    Cubaan seludup setan ketum ke negara jiran gagal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup 103 bungkusan plastik hitam yang mengandungi lebih setan daun ketum ke negara jiran di perairan Kuala Kedah, hari ini.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, aktiviti itu dibanteras selepas pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor sedang menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan pada 6.45 pagi.

    Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan melarikan diri.

    “Pemeriksaan ke atas bot menemui bungkusan plastik warna hitam disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat 1.03 tan yang disorokkan di dalam bahagian bot yang sudah diubah suai.

    “Kesemua bungkusan hitam daun ketum, bot serta enjin yang dianggarkan bernilai RM505,400, dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Noor Azreyanti berkata, pada kira-kira jam 6.20 pagi, empat nelayan bot kelas C ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan.

    “Bot tempatan itu ditahan di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah. Semasa ditahan mereka enggan bekerjasama dan bertindak memotong pukat dengan tujuan melupuskan bahan bukti.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama seorang kru warga tempatan dan dua kru lagi disyaki warga Thailand yang telah tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memukat ikan kurang dari 15 batu nautika dari pantai.

    “Kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon APMM Kuala Kedah di talian 05-7310579,” katanya.

  • Kerajaan cadang pasang kolar penjejak pada Harimau Malaya

    Kerajaan cadang pasang kolar penjejak pada Harimau Malaya

    KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli bercadang untuk memasang kolar penjejak pada kira-kira 150 ekor Harimau Malaya di seluruh negara untuk memudahkan urusan menjejaki haiwan mamalia itu.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata penggunaan kolar penjejak menggunakan teknologi satelit itu dapat mengesan sekiranya hidupan liar itu berpindah ke kawasan lain atau keluar dari habitat asal.

    “Kita juga telah mengarahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengkaji penggunaan kolar penjejak berkenaan terhadap Harimau Malaya seperti yang digunakan terhadap gajah liar sebelum ini.”

    “Sekiranya berkesan kita juga mahu gunakan kolar penjejak ini kepada Harimau Malaya supaya boleh jejak keberadaan haiwan tersebut,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu berkata kerajaan memandang serius untuk melindungi Harimau Malaya daripada terancam dan pelbagai tindakan diambil untuk menyeimbangkan kepentingan pembangunan dan kelestarian alam.

    “Kita sedar tentang perkara ini malahan kita telah mengambil tindakan yang luar biasa untuk menyelamatkan hidupan liar seperti baru-baru ini Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat membincangkan mengenai isu ini selain saya juga telah membawa pindaan Akta Perhilitan pada Disember tahun lalu dengan meningkatkan jumlah denda kepada mereka yang melakukan kesalahan terhadap hidupan liar,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai isu harimau berkeliaran di Pos Bihai, Gua Musang baru-baru ini dipercayai aktiviti pembalakan, Takiyuddin berkata setiap kerajaan negeri diberikan kuasa mengikut undang-undang yang telah ditetapkan untuk menebang balak setiap tahun.

    “Kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana setiap tahun kerajaan negeri diberi kuasa untuk menebang balak menerusi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sebagai sumber ekonomi tetapi perlu ada penanaman semula dan mempunyai kawalan agar tidak menjejaskan habitat hidupan liar dan sebagainya,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau pada 7 Jan lepas.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 59, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun didapati hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk di dalam hutan. – BERNAMA