Category: Semasa

  • Video tular kanak-kanak tahan kenderaan, polis minta buat laporan

    Video tular kanak-kanak tahan kenderaan, polis minta buat laporan

    ORANG ramai diminta membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berhubung video tular seorang kanak-kanak yang meluru ke jalan raya dan menahan kenderaan dipercayai berlaku di Pasir Gudang, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, video berdurasi 27 saat yang dirakam menggunakan kamera perakam video sebuah kenderaan itu, tular di Facebook sebuah portal berita hari ini.

    Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku semalam pada 5.46 petang di Jalan Bandar, Pasir Gudang berhampiran Taman Tasik Layang-Layang di sini.

    “Bagaimanapun, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut dan berdasarkan video tersebut tiada sebarang kemalangan direkodkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

    Terdahulu, video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak yang kelihatan seperti kanak-kanak lelaki secara tiba-tiba meluru ke lorong kanan jalan lalu menahan kenderaan dan kemudiannya terus beredar. – Bernama

  • Polis siasat video tular, lelaki dibelasah sekumpulan individu

    Polis siasat video tular, lelaki dibelasah sekumpulan individu

    POLIS sedang menyiasat video tular dalam media sosial yang memaparkan kejadian seorang lelaki dipukul sekumpulan individu lain, dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Ipoh.

    Video terbabit disebarkan oleh pemilik akaun laman media sosial Facebook bernama Melvin Zheng Wenxin sehingga mendapat perhatian umum.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan: “Polis mengesahkan satu laporan polis diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Pada masa yang sama, siasatan dijalankan bagi mengesan individu yang terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan,” katanya.

    Juateru katanya, orang awam disarankan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini kerana akan menjejaskan siasatan polis.

    “Kita ingin menyeru kepada mangsa dalam kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian terbabit untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki menerusi talian 012-5077026 bagi membantu siasatan polis.

    Terdahulu tular media sosial video berdurasi satu minit lima saat memaparkan video seorang lelaki dipukul sekumpulan individu.

  • Pengenalan diri tidak sah:Ketua MIC Sabah akan disiasat

    Pengenalan diri tidak sah:Ketua MIC Sabah akan disiasat

    KERAJAAN Sabah akan menyiasat laporan mengenai Ketua MIC Sabah, Peer Mohamad Kadir yang didakwa mendapat dokumen pengenalan diri secara tidak sah selepas beberapa tahun berhijrah dari India ke Sabah.

    Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, dakwaan itu hanya diketahui melalui media sosial dan akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

    Hajiji turut mengesahkan bahawa Peer Mohamad adalah orang sama dikaitkan dengan Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu yang dilantik kerajaan negeri untuk menganggotai lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu.

    “Kita akan siasat perkara itu. Saya belum dapat maklumat lanjut tetapi nama yang disebut Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu itu adalah Pengerusi MIC Sabah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tiga usaha sama pelaburan antara kerajaan negeri dan Yayasan Sabah dengan syarikat tempatan serta luar negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, hari ini.

    Hajiji mengulas dakwaan terhadap Peer Mohamad selepas namanya disebut antara individu yang pernah mengaku mendapat kewarganegaraan secara tidak sah pada 1980-an ketika pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah pada 2013.

    Sebelum ini, beberapa pihak mahukan kepastian sama ada Peer Mohamad yang dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu adalah individu sama yang didakwa datang dari India ke Sabah pada awal 1980-an sebelum mendapat kewarganegaraan secara tidak sah enam tahun kemudian.

  • Azam Baki bersyukur keputusan Suruhanjaya Sekuriti

    Azam Baki bersyukur keputusan Suruhanjaya Sekuriti

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menzahirkan rasa syukur atas keputusan yang dibuat Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkaitan siasatan dilakukan pengawal selia pasaran modal itu terhadap kes beliau.

    Reaksi itu berkenaan dakwaan pemilikan saham luar biasa oleh Azam seperti yang dilaporkan dan disiasat sebelum ini.

    “Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh SC yang telah mendapati tiada kesalahan yang dilakukan oleh saya.

    “Saya telah dimaklumkan oleh pihak SC bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan.

    “Oleh yang demikian, pihak SC telah menutup fail inkuiri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Justeru, beliau menegaskan akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat.

    SC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Azam dan menamatkan inkuiri.

  • Warga emas sebagai tekong darat cuba seludup PATI ditahan

    Warga emas sebagai tekong darat cuba seludup PATI ditahan

    CUBAAN seorang warga emas yang berperanan sebagai tekong darat ditahan dalam serbuan di Taman Berkat, Sabak Bernam ketika cuba menyeludup keluar empat pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam.

    Lelaki tempatan berusia 64 tahun itu cuba menghantar dua lelaki dan dua wanita berusia antara 13 hingga 45 tahun kepada tekong laut semasa diserbu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.

    “Mereka dipercayai ingin pulang ke negara asal melalui laluan yang tidak diwartakan menggunakan jalan laut.

    “Siasatan lanjut polis telah menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 51 tahun yang bertindak sebagai penghubung kepada tekong laut berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan dan sejumlah wang tunai berjumlah RM8,380 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM23,380.

    Menurutnya, kesemua tangkapan akan menjalani ujian calitan Covid-19 untuk mengelak penularan wabak tersebut di kalangan pesalah dan anggota polis.

    Rizal berkata, kes tersebut disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 dan suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan juga dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” ujarnya.

  • Bayi kembar lahir dalam bot di tengah Tasik Banding

    Bayi kembar lahir dalam bot di tengah Tasik Banding

    SEORANG ibu berketurunan Orang Asli selamat melahirkan bayi kembar dalam sebuah bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk ke hospital di Gerik, pada Sabtu lalu.

    Jabatan Kesihatan Perak dalam Facebook mereka, hari ini memaklumkan, kelahiran dua bayi berkenaan disambut pegawai perubatan, jururawat masyarakat dan penolong perawatan kesihatan Klinik Pos Kemar.

    Jelas kenyataan itu, kejadian tersebut berlaku sewaktu usaha membawa wanita tersebut dengan usia kandungan 35 minggu ke Hospital Gerik.

    “Wanita berusia 31 tahun itu mengalami sakit bersalin ketika pemeriksaan dilakukan jururawat masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.

    “Dengan tindakan pantas anggota kesihatan, ibu tersebut selamat melahirkan bayi kembar dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram.

    Ibu tersebut selamat melahirkan bayi kembar dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram

    “Kesemua mereka dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi menjalani rawatan susulan,” menurut kenyataan itu tanpa menyatakan jantina bayi.

    Proses kelahiran itu dianggap satu detik bersejarah buat anggota kesihatan terlibat kerana dilakukan dalam keadaan bot yang sedang bergerak tanpa peralatan lengkap.

    Untuk rekod, Pos Kemar merupakan sebuah penempatan orang asli di kawasan Gerik dan penduduk menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar masuk.

    Jarak antara perkampungan itu untuk ke Hospital Gerik mengambil masa hampir dua jam menggunakan laluan air dan darat.

  • Klinik swasta jual kad vaksin palsu diserbu

    Klinik swasta jual kad vaksin palsu diserbu

    SEBUAH klinik swasta di Kota Bharu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pemalsuan sijil vaksinasi diserbu polis semalam.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, serbuan berkenaan berjaya menahan empat suspek berumur pertengahan 30-an hingga awal 60-an yang terdiri daripada tiga penerima vaksin dan seorang pemilik klinik berkenaan.

    “Turut dirampas, kad vaksinasi dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” katanya
    katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pihak bertindak selepas pihaknya menerima satu laporan mengenai pengeluaran kad vaksinasi dipercayai palsu kelmarin.

    “Berdasarkan laporan yang diterima, antara 1 Oktober 2021 hingga 11 Januari 2022, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menerima empat aduan daripada sumber berbeza berkenaan pengeluaran kad vaksinasi disyaki palsu oleh sebuah klinik swasta.

    “Klinik berkenaan dipercayai di kawasan Kota Bharu dan mereka didakwa menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin dengan caj RM180 setiap suntikan.

    “Hasil semakan lanjut oleh pihak JKNK mendapati empat individu yang dikatakan telah menerima vaksin tersebut tiada rekod vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

  • Tiada bukti kesalahan Azam Baki bawah Seksyen 25(4)

    Tiada bukti kesalahan Azam Baki bawah Seksyen 25(4)

    TIADA bukti terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berdasarkan siasatan yang dijalankan.

    SC dalam satu kenyataan memberitahu, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan.

    “SC tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA telah berlaku,” katanya dalam satu maklum balas hari ini mengenai siasatan SC terhadap akaun dagangan Azam di bawah seksyen berkenaan.

    SC menjelaskan, sebagai pengawal selia pasaran modal, bidang kuasa kawal selia mereka ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), dan Industri Sekuriti (Depositori Pusat) Akta 1991 (SICDA).

    “Dalam hal ini, siasatan itu berkaitan dengan isu sama ada potensi pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Depositori Pusat Sekuriti 1991 (SICDA) berlaku.

    “Seksyen 25(4) SICDA pula memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama yang berfaedah pemilik atau penama yang diberi kuasa,” katanya.

    SC pada 6 Januari lalu meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Azam memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

    Kata SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

    “Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan,” kata kenyataan itu.

    Azam dalam satu sidang media berasingan selepas berakhirnya sidang media Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, dalam penjelasannya kepada panel LPPR memaklumkan bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

    Beliau berkata, saham-saham yang dibelinya adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.

    Sebelum ini tular dalam media sosial dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

  • Tragedi bot karam:Enam mayat ditemui, seorang selamat

    Tragedi bot karam:Enam mayat ditemui, seorang selamat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAEMAI enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemukan mayatnya dipercayai penumpang bot yang terbalik dan karam dipukul ombak besar di perairan Pulau Pisang, Pontian, hari ini.

    Enam mayat PATI tersebut ditemui dan dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar.

    Mayat pertama dan kedua dinaikkan di jeti berkenaan pukul 2.35 petang manakala baki empat mayat terakhir pula dibawa naik pukul 3.04 petang.

    Sementara itu, seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan merupakan antara tujuh PATI yang dikhuatiri lemas, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat.

    Wanita yang dipercayai selamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang, Pontian, hari ini.

    Wanita berkenaan tiba di jeti itu pukul 2.30 petang menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    Wanita itu dilihat menangis setibanya di jeti berkenaan sebelum dibawa ke ambulans yang menanti di jeti untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Dalam kejadian itu, tujuh PATI dikhuatiri lemas, manakala enam lagi ditemui selamat nelayan tempatan selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik dan karam di perairan Pulau Pisang pukul 10 pagi tadi.

    Seorang daripada enam PATI yang diselamatkan nelayan tempatan itu berada dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Pontian.

  • Sultan Selangor benarkan guna sepenuhnya ruang masjid untuk solat Jumaat

    Sultan Selangor benarkan guna sepenuhnya ruang masjid untuk solat Jumaat

    SEMUA masjid dan surau di Selangor yang mendapat kebenaran solat fardu Jumaat dibenarkan untuk menggunakan ruang solat utama dan ruang limpah secara sepenuhnya bagi menunaikan solat tersebut bermula Jumaat ini.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan sebanyak semeter.

    Mohd. Shahzihan berkata, surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh pihaknya kepada 427 buah masjid dan 316 buah surau terlibat dalam tempoh terdekat.

    “Ketetapan ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah jemaah dibenarkan melalui ketetapan terakhir JAIS pada November lalu.

    “Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada para jemaah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan turut memaklumkan ketetapan tersebut menyentuh beberapa perkara berbangkit berhubung dengan hal ehwal aktiviti pengimarahan, pengurusan solat dan jemaah.

    Ujarnya, ia turut menyentuh isu pengurusan jenazah dan peranan pentadbir untuk mengambil pendekatan keseimbangan dalam mengurus pertembungan sikap individu serta jemaah atau masyarakat dalam beberapa perkara berhubung penguatkuasaan SOP yang ditetapkan.

    “JAIS berharap agar ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefarduan solat Jumaat.

    “Sayugia diingatkan bahawa hanya individu yang berusaha mendapatkan tempat bagi mendirikan Solat Fardu Jumaat, lalu tidak berjaya, akan diangkat kefarduan jumaatnya.

    “Perkara tersebut selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Selangor mengenainya bertarikh 13 Jun 2020 dan 22 Julai 2020 yang masih dikekalkan sehingga kini,” katanya.